Sunday, December 20, 2009

Malay PIG all..

Gambar diatas menunjukkan sikap sentimen perkauman yang berlaku dlm dunia facebook. Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Ong Siang Ying telah memohon maaf atas kesilapan dan menyatakan dia tidak bermaksud begitu. Sumber: Mazidul TV3

Gambar ke-2 pula menunjukkan dialog antara fan Namewee di dalam Facebook. Ini hanyalah sebahagian daripada perkataan rasict yang digunakan. Penulis mengambil sendiri gambar ini di dalam Facebook.

1. Orang bukan Melayu (tidak semua), kerap kali melabel orang Melayu sebagai 'pemalas', tidak produktif, anak emas kerajaan dll. Lebih dari itu, ada yang lebih ekstrem melabel orang Melayu dengan nama yang lebih canggih, seperti yang dapat anda baca pada gambar di atas.

2. Apabila kerajaan banyak menolong orang Melayu, maka sebahagian bukan Melayu menganggap ini tidak adil. Mereka menganggap kerajaan melakukan diskriminasi terhadap bukan Melayu. Mereka menganggap kerajaan Malaysia hanya mementingkan kaum Melayu sahaja. Sumbangan kaum lain seolah-olah tidak diiktiraf.

3. Perlu difahami, orang Melayu merupakan kaum teramai dan termiskin di dalam negara ini. Bantuan yang dihulurkan bukan bermakna menyisihkan kaum lain, tetapi membantu meningkatkan taraf hidup orang Melayu agar sebaris dengan kaum lain di negara ini. sila lihat angka ini:

Menurut perangkaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), pada tahun 2004 Bumiputera memiliki 16.4 peratus bidang pertanian, 12.3 peratus perlombongan, 8.1 peratus pembuatan, 6.3 peratus utiliti, 35.2 peratus pembinaan, 20.4 peratus perdagangan borong dan runcit, 26.7 peratus pengangkutan, 12.5 peratus kewangan dan 18.7 peratus perkhidmatan.
Lihat sahaja senarai manusia terkaya di Malaysia, siapakah yang mendominasi? Sila klik sini untuk melihat senarainya. Penulis optimis, jika majoriti rakyat termiskin di Malaysia adalah bukan Melayu, pastinya mereka akan juga dibantu seperti mana yang berlaku pada orang Melayu. Mungkin ada kelemahan dari segi pengagihan bantuan, dan hal ini perlu diperbaiki. Walaupun bantuan banyak diberikan pada orang Melayu, kaum lain juga dibantu. Ini FAKTA.

4. Sebahagian bukan Melayu (kaum Cina terutamanya) seringkali menganggap bahawa merekalah yang bertungkus lumus membangunkan negara ini, menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara, dan ikon kepada kekayaan. Ini merupakan fakta yang sombong apabila mengenepi peranan kaum lain yang turut sama membangunkan negara ini.

5. Kaum Cina diakui, hebat dalam bidang perniagaan, namun itu tidak bermakna kaum lain itu bodoh, pemalas dan tidak tahu berniaga. Kita harus melihat dalam konteks realiti dan sejarah. Orang Cina sejak awal terdidik dengan ilmu niaga, lihat sahaja perniagaan mereka yang turun termurun diwariskan kepada keturunan mereka, manakala orang Melayu pula terdidik dengan pertanian berbentuk 'cukup makan' sahaja. Namun kini, orang Melayu sudah mampu menjadi peniaga yang baik walaupun mungkin jumlahnya tidak seramai kaum lain, tetapi ini satu kenyataan yang boleh dibanggakan. Proses ini memakan masa.

6. Mungkin mereka yang mendakwa kaum terhebat itu lupa, sumbangan besar kaum Melayu terhadap mereka. Jika kaum Cina memiliki perniagaan, maka kaum Melayu merupakan konsumer terbesar dan sumber tenaga manusia kepada perniagaan terbabit. Jangan dilupa juga, sumbangan terbesar orang Melayu yang menerima sejumlah besar pendatang (ketika sebelum merdeka) ke dalam Tanah Melayu. Kini keturunan mereka menjadi rakyat Malaysia, ini satu hakikat yang diterima oleh orang Melayu.

7. Mungkin akan ada yang berhujah, orang Melayu juga pendatang dari Jawa dan Sumatera. Orang asal Tanah Melayu adalah kaum asli di dalam hutan. Ya, orang Melayu pendatang. Begitu juga orang Cina di negara China, orang India di negara India dan semua bangsa di dalam dunia ini. Masakan tidak, bukankah tempat asal kita dulu di Syurga sebelum diturunkan ke dunia? Bukankah kita hanya penumpang sementara di atas muka bumi ini? Hujah ini mungkin tidak diterima oleh orang yang tiada asas agama samawi. Penulis membuat hujahan ini berdasarkan pemahaman 'pendatang' menurut mereka.

8. Pendatang yang sebenarnya menurut penulis adalah, sekumpulan manusia yang datang dari sebuah kawasan A ke kawasan B yang mana kawasan itu telah mempunyai masyarakat yang telah membina atau mempunyai tamadun sendiri dan berasimilasi dengan persekitarannya. Masyarakat Melayu telah membina tamadunnya sendiri sejak ratusan tahun yang lalu dan telah mengadaptasi persekitarannya di Alam Melayu. Hal ini diperakui oleh tokoh-tokoh sejarah di dunia. Hal yang sama berlaku di negara China, orang Cina telah berjaya membina tamadunnya sendiri di Tanah Besar China. Jika orang Melayu berhijrah dari Tanah Melayu ke negara China, pastinya orang Melayu itu pendatang.

9. Jika orang bukan Melayu melabel orang Melayu sebagai 'pemalas', tidak produktif dll, orang bukan Melayu juga ada label dan gelarannya. Orang Cina dilabel sebagai 'penipu', gila duit, dll, begitu juga orang India yang dilabel sebagai 'cakap putar belit', keling dll. Jika orang bukan Melayu melabel orang Melayu dengan gelaran seperti 'pemalas' berdasarkan pengalaman mereka, hal yang sama berlaku pada orang Melayu yang melabel kaum lain berdasarkan pengalaman. Namun bersetujukah orang Melayu, Cina dan Indin pada label yang diberikan itu? Pastinya tidak, oleh itu BERHENTI melabel orang lain dengan label nama yang buruk!

10. Malaysia sudah lebih 50 tahun merdeka, namun perpaduan antara kaum masih renggang. Penulis tidak percaya pada retorik yang mengatakan rakyat Malaysia bersatu padu, hubungan antara kaum sangat harmoni dll. Ini satu penipuan fakta. Kelihatan bersatu padu itu hanya berlaku apabila ada Rumah Terbuka Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali, selebihnya hanya perpaduan saduran dan ia terlalu nipis. Penulis bercakap dalam konteks negara keseluruhannya, bukan mengambil kira perpaduan dalam jumlah kecil. Penulis menganggap kita tidak berjaya memupuk perpaduan antara kaum dalam negara secara menyeluruh, tetapi kita lebih baik dari kebanyakkan negara lain di dunia.

11. Penulis bukan seorang yang 'rasict'. Penulis menganggap orang Cina, India dll sebagai rakyat Malaysia. Penulis mengiktiraf sumbangan mereka dalam membangunkan negara, menaikkan nama Malaysia di pentas dunia dll. Tetapi penghormatan yang sama penulis minta diberikan kepada orang Melayu, sama seperti orang Melayu memberikan pernghormatan pada yang lain.

12. Tidak semua orang Melayu itu 'pemalas', tidak semua orang Cina itu 'penipu', dan tidak semua orang India itu cakapnya 'putar belit'.

Friday, December 18, 2009

Pemikiran HAMKA – Siri 3: Penulisan Sejarah Melayu


Sumbangan pemikiran HAMKA dalam ilmu sejarah Melayu amat besar. Walaupun HAMKA tidak dididik secara formal sebagai seorang sejarawan, namun tulisannya menepati kehendak disiplin ilmu dalam bidang itu bagi membolehkan karyanya dijadikan sebagai bahan rujukan. Penulisan ini akan memfokuskan sejarah Islam di Alam Melayu bertumpukan pada bahagian ketujuh yang bertajuk, “Perkembangan Agama Islam di Nusantara” dalam buku beliau Sejarah Umat Islam. Bahagian ketujuh ini mengambil masa lima belas tahun untuk disiapkan sebelum buku sejarah ini dapat diterbitkan pada tahun 1961. Melalui bahagian ketujuh ini, HAMKA menghuraikan tentang asal usul bangsa, bahasa dan agama orang Melayu sejak zaman dahulu sehinggalah kedatangan agama Hindu dan Buddha. Seterusnya beliau menerangkan tentang penyebaran agama Islam ke Alam Melayu. Melalui perbincangannya, HAMKA menghuraikan pengaruh dan kesan mendalam Islam ke atas masyarakat Melayu. Tidak ketinggalan, beliau juga menyentuh tentang pertembungan yang berlaku antara Islam dan penjajah Barat pada abad ke-16 dan ke-17.

Ketika HAMKA meneroka bidang penulisan sejarah, beliau berhadapan dengan cabaran yang besar apabila menghadapi kesukaran mendapatkan bahan-bahan rujukan bagi menghasilkan tulisan yang meyakinkan. Ketika itu, sebahagian penulisan sejarah mengenai penyebaran Islam ke Alam Melayu ditulis oleh sarjana Barat. Lantaran itu, tulisan HAMKA sendiri tidak dapat lari daripada menjadikan penulisan Barat sebagai sebahagian daripada rujukan. Walaupun begitu, rujukan yang diambil daripada sumber Barat tidaklah dilakukan tanpa penelitian yang rapi. Ini kerana setiap rujukan itu akan dianalisa dengan kritikal kerana menyedari ada agenda tersembunyi di sebalik penulisan mereka yang sering kali dikaitkan dengan penjajahan dan kristianisasi. Bagi mengimbangi pendapat ini, HAMKA memberikan pendapatnya sendiri melalui perspektif baharu tentang penyebaran Islam ke Alam Melayu. Sumber-sumber rujukan tradisional Melayu tidak dikesampingkan dengan menjadikan ia sebahagian daripada rujukan yang penting dalam penulisannya. Walaupun begitu, beliau masih rasional dalam menganalisa sumber-sumber tempatan di mana beliau sendiri turut ragu dengan kebenarannya kerana sumber-sumber tersebut telah bercampur antara fakta dengan mitos. Penggabungan pelbagai sumber, Barat, Arab dan tempatan telah menjadikan karya HAMKA ini cukup istimewa kerana memberikan perspektif yang seimbang dalam huraiannya tentang penyebaran Islam di Alam Melayu.

Perspektif tempatan tentang proses yang membawa kepada penyebaran Islam ke Alam Melayu telah dikaitkan oleh HAMKA dengan tiga isu iaitu tarikh sebenar Islam diperkenalkan kepada orang Melayu, asal usul pendakwah yang menyebarkan agama Islam dan bagaimana proses ini berlaku dengan begitu berkesan sekali. HAMKA cenderung berpendapat bahawa agama Islam telah disebarkan pada awal abad Hijrah iaitu pada abad ketujuh Masihi melalui kajian beliau dengan merujuk sumber China. Beliau juga bersandar kepada pendapat tulisan T.W. Arnold yang mengaitkan peranan yang dimainkan oleh pedagang-pedagang Arab sejak sebelum abad Masihi lagi dalam kegiatan perdagangan di rantau Melayu. Walaupun HAMKA berpendapat begitu, beliau bersetuju dengan pandangan Barat yang menyatakan bahawa Samudera-Pasai (abad 13-14) merupakan kerajaan Islam yang pertama wujud di rantau ini dengan bersandarkan daripada maklumat pengembaraan Marco Polo. Pendapat yang dikemukan oleh HAMKA ternyata berasas dan boleh diterima apabila terdapat kajian dan penemuan-penemuan baharu seperti kajian penemuan batu nisan dengan tulisan Arab bertarikh 419 H/1028 M di Teluk Cik Munah, Pekan, Pahang. Begitu juga dengan penemuan batu nisan Shaykh Abdul Kadir Ibn Husayn Shah Alirah bertarikh 290 H/902 M di Tanjung Aris, Alor Setar. Penemuan ini menunjukkan keberadaan Islam kukuh di rantau ini menjelang abad ke-13 dan menandakan Islam telah bertapak di Alam Melayu selewat-lewatnya pada abad ke-11.

Majoriti sarjana dan orientalis Barat mengemukan teori bahawa kedatangan Islam ke rantau ini dibawa dari benua kecil India dan bukan dari semenanjung Arab. Teori ini pada awalnya dikemukan oleh seorang sarjana bernama Pijnappel, seorang profesor Pengajian Melayu di Universiti Leiden, Belanda. Beliau tidak menolak kemungkinan Islam dibawa oleh orang Arab, tetapi berpendapat tidak dibawa secara terus dari dari Arab, tetapi sebaliknya datang dari Gujerat dan Malabar. Kemudian teori ini disokong oleh kajian yang dibuat oleh J.P. Moquette berdasarkan kepada gaya batu nisan yang ditemui di Pasai pada tahun 1428 yang didapati sama seperti gaya batu nisan di makam Maulana Malik Ibrahim (1419)di Grisik. Moquette membuat kesimpulan bahawa kedua-dua batu nisan itu sama dengan batu nisan yang ditemui di Cambay dan Gujerat. HAMKA telah menyanggah pendapat para sarjana dan orientalis Barat dengan menyatakan terdapat bukti kukuh bahawa Islam yang dibawa ke rantau ini datang terus dari Semenanjung Arab dengan merujuk karya sastera Melayu tradisional seperti Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu. Dalam menyokong pendapatnya ini, beliau berhujah dengan merujuk peristiwa Sayid Abdul Aziz yang mengislamkan Sultan Melaka. HAMKA juga merujuk kepada Hikayat Merong Mahawangsa yang menceritakan tentang pendakwah Arab yang bernama Shaykh Abdullah al-Yamani yang dikatakan datang langsung dari Semenanjung Arab bagi menukarkan agama Sultan Kedah kepada agama Islam dan seterusnya dikenali sebagai Sultan Muzaffar Shah. Terdapat juga kisah-kisah lain yang dipaparkan oleh HAMKA seperti pengislaman yang berlaku di Aceh pada sekitar tahun 1112 M oleh seorang pendakwah Arab bernama Shaykh Abdullah Arif. Kegagalan teori sarjana Barat adalah apabila tidak merujuk dan mengiktiraf sumber-sumber tempatan sebagai sebahagian daripada sumber rujukan penting sejarah penyebaran Islam ke Alam Melayu. HAMKA menganggap mereka tidak jujur dan berkepentingan apabila beliau mengungkapkan, “... nampaknya adalah sebagai satu percubaan yang amat teratur untuk menghilangkan keyakinan negeri-negeri Melayu tadi tentang hubungan rohani yang mesra antara mereka dengan Tanah Arab sebagai sumber pertama dari Islam.”

Para sarjana sepakat bahawa perdagangan merupakan faktor penting kepada berlakunya proses islamisasi di Alam Melayu. Teori faktor perdagangan mulanya diperkenalkan oleh Tome Pires yang menulis sekitar tahun 1515 M. Timbul pula satu persoalan, adakah pemelukan agama Islam secara besar-besaran oleh umat Melayu pada abad ke-13 dan ke-14 boleh dijelaskan dengan meyakinkan sekadar melalui hubungan perdagangan ini? HAMKA berpendapat bahawa perdagangan dengan semangat: laba-rugi sudah tentu tidak dapat menyumbangkan kepada penyebaran agama Islam yang pesat. Proses pengislaman berlaku apabila pendakwah Arab datang langsung dari Tanah Arab, menukarkan agama pemimpin Melayu tempatan kepada agama Islam dan langkah ini diikuti oleh rakyat jelata. Dalam huraiannya, HAMKA menyenaraikan peranan pendakwah Arab yang mengislamkan raja-raja Melayu di Sumadera-Pasai, Aceh, Kedah dan lain-lain tempat. Bagi melengkapkan teori yang dikemukan oleh HAMKA tentang peranan yang dimainkan oleh pendakwah Arab, Syed Muhammad Naquib al-Attas pula menekankan pemikiran rasional agama dan nilai intelektual yang tinggi diterima secara terbuka oleh orang Melayu. S.Q Fatimi pula meletakkan kejayaan proses islamisasi di rantau ini atas sikap yang dimainkan oleh pendakwah Islam berbeza dengan pendakwah Kristian. Para pendakwah Islam bersikap terbuka dalam hubungan mereka dengan penduduk tempatan malahan mempelajari bahasa dan mengahwini wanita tempatan. Hakikat menunjukkan majoriti penduduk di Alam Melayu beragama Islam membuktikan penerimaan agama tersebut dalam komuniti besar di Asia Tenggara. Fakta juga menunjukkan penyebaran agama Islam berlaku secara sukarela tanpa menggunakan sebarang paksaan atau aktiviti ketenteraan.

HAMKA telah melakukan sebahagian kerja yang amat besar apabila memecahkan teori-teori yang selama ini diterima hampir bulat-bulat oleh masyarakat Melayu tentang penyebaran Islam di Alam Melayu. Pandangan beliau mewakili sarjana tempatan dengan mesej yang cuba dibawa iaitu Islam disebarkan ke Alam Melayu melalui proses yang penuh komitmen dan Islam yang disebarkan itu ialah Islam yang murni dari sumber yang asal.

Oleh: ajim

*Penulisan ini merupakan ringkasan/rumusan terhadap makalah yang bertajuk, Sumbangan HAMKA Dalam Penulisan Sejarah Melayu di Alam Melayu oleh Prof. Madya Dr. Mohammad Redzuan Othman dalam buku Pemikiran HAMKA terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2008.

Tuesday, December 15, 2009

Subject: Masjid & British

Gambar yang first nie hasil exprerimentasi aku guna software Photomatix Pro 3. Actually, software ni kena bayar kalau guna. Sebab tu ada tulisan yang menyemak kat dalam gambar nie, sebab tak beli lesen dia la.. huhu.

Gambar kedua ni pula, bangunan lama kat Pulau Pinang. Aku tak ingat apa nama bangunan dia. tapi agak menyeramkan la.

SERIUS


Memang, aku pun rasa macam tu.. aku rasa blog yang aku tulis nie, makin lama, makin serius penulisannya.. member aku pun pernah cakap, blog aku nie banyak sangat tulisan-tulisan yang berat dan payah untuk difahami.. dulu ada gak aku buat posting-posting yang simple2, cerita tentang life aku.. tapi ada gak member aku cakap, dia tak suka baca blog yang tulis tentang life diorg sendiri.. haha..

Sunday, December 6, 2009

Pemikiran HAMKA – Siri 2: Tajdid Dan Islah


Sebelum meneroka jauh pemikiran HAMKA mengenai tajdid dan islah, perlu difahami maksud keduanya. Tajdid berasal daripada perkataan jaddada, yujaddidu dan juga al-tajdidan yang membawa erti memperbaharui sesuatu perkara. Islah pula berasal daripada perkataan aslaha yang membawa maksud menghilangkan sesuatu kerosakan, membaiki sesuatu setelah rosak, mengembalikan sesuatu hak kepada yang berhak, sama ada hak sesama manusia ataupun hak Allah. Seorang muslih (pemurni) akan tetap menentang segala aktiviti anti tauhid dan bersedia untuk mempertahankan kesucian Islam pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Perkataan tajdid dan islah adalah sesuatu yang sinonim dan berlaku pada waktu yang sama.

HAMKA bukan hanya terkenal sebagai seorang ulama’, da’ie pujangga, wartawan dan aktivis Muhammadiyah sahaja, beliau lebih dari itu dikenali sebagai seorang mujaddid oleh sesetengah pihak. Sumbangannya terhadap dakwah dan kemajuan Islam di Indonesia dan alam Melayu amnya amatlah besar terutamanya melalui penulisan dan pemikirannya. Sifat reformis yang ada pada diri HAMKA telah diwarisi daripada orang tuanya sendiri iaitu Abdul Karim Amrullah yang telah mendidiknya dalam hal keagamaan. Selain itu, beliau juga mendapat didikan awal agama pada usia 16 tahun daripada Haji Omar S. Tjokromaninoto ketika baru datang ke Jakarta. Melalui abang iparnya, A.R Mansur, dia mempelajari ilmu tafsir dan mendapat bimbingan sebagai aktivis Muhammadiyah. HAMKA juga telah dipengaruhi oleh pemikiran islah Sayid Jamaluddin Al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh dan Sayid Rashid Rida, ulama’ refomis tiga serangkai yang amat berpengaruh di Mesir.

Dalam menghadam pemikiran HAMKA, pastinya kita akan melihat Islam yang diperjuangkan oleh beliau adalah menyeluruh meliputi aspek akidah, syariah dan akhlak. Hal ini sama seperti tokoh reformis yang lain, misalnya para tokoh refomis seperti Sayid Jamaluddin Al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh dan Sayid Rashid Rida yang menolak amalan khurafat, tahyul dan bidaah. Beliau juga menolak takliq iaitu amalan menerima sesuatu ajaran secara membuta tuli dan sebaliknya beliau menganjurkan penggunaan akal dalam memahami agama. Melalui dakwahnya sama ada dalam bentuk syarahan mahupun tulisan, HAMKA sememangnya menampakkan pendirian selaku ulama’ refomis yang mana mendukung kuat pemikiran berjalur tajdid dan islah. Antara pemikiran tajdid yang disampaikan oleh beliau adalah menekankan peri penting kemerdekaan umat Islam. HAMKA menerusi buku Revolusi Agama telah menempatkan rangka revolusi atau kebangkitan kemanusiaan, yang mana pada dasarnya suatu kebangkitan agama kerana agamalah yang menciptakan kemerdekaan, yakni kemerdekaan jiwa dan semangat. Beliau juga mengaitkan kemerdekaan dengan amal makruf, nafi mungkar apabila menyatakan kemerdekaan menyatakan pendapat (amal makruf), dan kemerdekaan mengkritik yang salah (nafi mungkar). Kalimat makruf bererti pendapat umum yang sihat dan manakala mungkar pula penolakan orang banyak atas yang salah. Natijahnya, ia membawa kepada pembinaan pemikiran masyarakat yang sihat. Beliau juga mengaitkan ia dengan tahap keimanan seseorang kepada Allah, jika berkurang, maka kita tidak berani lagi bernahi mungkar.

Naskah besar tulisan HAMKA iaitu Tafsir Al-Azhar ditulis atas dorongan untuk mentajdid dan mengislahkan masyarakat, khususnya golongan belia di alam Melayu yang mana tidak berkemampuan untuk memahami bahasa arab, tetapi amat meminati agama, maka penulisan ini diharap dapat membina keimanan mereka. Tafsir Al-Azhar dilihat sangat relevan dengan situasi semasa apabila terdapat banyak contoh yang berkait rapat dengan situasi yang berlaku di Indonesia ketika itu. Contohnya, beliau membawakan persoalan polemik agama antara Islam dengan Kristian, antara umat Islam yang berlainan mazhab, ancaman Ahmadiyyah, Komunisme dan sebagainya. Pada masa yang sama, beliau juga menghasilkan tafsir bagi membersihkan tafsir Al-Quran daripada cerita-cerita karut dan dongeng yang terbit daripada kisah-kisah Israiliyyat yang mana cerita yang dibawa oleh orang Yahudi ke dalam Islam. Dapat dilihat, usaha ini selari dengan sifat seorang reformis yang mementingkan ketulenan beragama.

HAMKA menolak amalan adat masyarakat setempat yang mengandungi unsur-unsur khurafat, tahyul dan bidaah dalam usahanya mempertahankan kemurnian Islam. Beliau pernah mengkritik amalan adat-adat usang yang berlaku dalam masyarakat Minangkabau seperti campur tangan kaum keluarga dalam kehidupan berumah tangga sehingga membawa kepada penceraian. Kritikan ini dapat dilihat dalam melalui novel-novelnya seperti Merantau ke Deli dan Dijemput Mamak. Di dalam naskhah Di Bawah Lindungan Kaabah, beliau mengkritik soal perbezaan status serta keangkuhan keluarga bangsawan jika martabat wanita lebih tinggi daripada lelaki. Bagi HAMKA, tiada perbezaan antara manusia Muslim melainkan ketaqwaan kepada Allah. Dalam menekankan tentang pentingnya syura (bermesyuarat) dalam urusan kemasyarakat hinggalah ke peringkat negara, secara tidak langsung beliau telah menyanggah pendapat bahawa Barat telah lebih awal membawa kebebasan dan unsur mesyuarat kerana Magna Carta, iaitu hak yang diberikan oleh Raja Inggeris kepada para pembesar itu hanya berlaku pada 1215 Masihi. Ini menunjukkan keluasan pemikiran HAMKA yang mampu membuat perbandingan antara Islam dan Barat sehingga mampu membuktikan Islam tetap unggul.

Dalam menangani isu berkaitan wanita dalam Islam, HAMKA telah memberikan penjelasan yang bernas mengenai kedudukan wanita dalam Islam melalui karyanya, Agama Islam dan Perempuan (1939). Isu wanita selalu menjadi mainan dan sering disalah tafsir oleh pihak Barat dan orang Islam yang cetek pengetahuannya mengenai Islam. Dalam karyanya itu, beliau telah membela kedudukan wanita sebagai ibu dan menentang penindasan kaum lelaki terhadap wanita, terutamanya di Minangkabau yang terkenal dengan adatnya itu. Penjelasan yang lain telah diberikan dalam karya, Kedudukan Perempuan Dalam Islam (1974)yang mana beliau menimbulkan persoalan memuliakan wanita selaku ibu, penghormatan dan kasih sayang terhadap kaum Hawa dan hak-hak wanita. Di samping itu, beliau membuat perbandingan dan mengkritik kepincangan serta amalan barat dalam hal wanita bermula dengan pandangan yang diberikan oleh kitab Perjanjian Lama (Old Testament) sehinggalah ke zaman moden. Di samping dalam mempertahankan kemurnian Islam, beliau juga dapat mengukuhkan keyakinan umat Islam terhadap agamanya.

Dalam bidang akidah, HAMKA amat tegas terhadapnya. Beliau menolak pandangan Mu’amar Qadhafi, Presiden Libya yang menyatakan bahawa, ‘kita orang Islam berpegang kepada Al-Quran sahaja, tidak perlu berpegang kepada Hadis dan Sunah Rasulullah’. Bagi HAMKA, Qadhafi bersikap begitu kerana beliau dikelilingi oleh pihak komunis yang sentiasa memuji-muji kepimpinan beliau, namun tidak pula dipedulikan oleh negara-negara Islam yang lain. Ketegasan HAMKA dalam memelihara akidah dibuktikan melalui Majlis Ulama’ Indonesia (MUI)apabila beliau mengeluarkan fatwa menolak pendapat pihak pemerintahan iaitu Menteri Agama berhubungan isu ‘Natal Bersama’. Lantaran itu, pihak pemerintah mengarahkan agar fatwa itu ditarik balik. Namun, HAMKA tidak melakukan sedemikian dan apabila persetujuan tidak dicapai, beliau mengundurkan diri sebagai Ketua MUI. Walaupun begitu, dalam menghadapi kepelbagai mazhab dalam Islam, beliau bersikap berlapang dada dan bertoleransi meskipun dia sebagai salah seorang pemimpin Muhammadiyah yang mempunyai pegangan sendiri dalam beberapa cabang persoalan fiqh. Dalam ceramah dan tulisan yang disampaikan sejak awal lagi, beliau mengelak daripada membangkitkan persoalan furu’yang hanya akan dipertikaikan tanpa sebarang penyelesaian. Dalam hal ini, beliau faham yang mana lebih utama, yakni menghadapi kerosakan akidah dan ancaman daripada musuh-musuh Islam.

Setelah membawakan beberapa contoh dan usaha oleh HAMKA, maka dapatlah dirumuskan bahawa beliau sememangnya layak diiktiraf sebagai seorang mujaddid dan muslih di alam Melayu. Pemikirannya menjangkaui aspek agama yang luas dan dalam, kemerdekaan dalam berfikir, keadilan pemerintah, meliputi juga isu dialog antara agama, dan polemik mempertahankan kemurnian akidah dan ibadat yang jelas membuktikan tajdid dan islah yang diperjuangkannya.

Oleh: ajim

*Penulisan ini merupakan ringkasan/rumusan terhadap makalah yang bertajuk, Tajdid dan Islah Mengikut Pemikiran HAMKA oleh Prof. Madya Dr. Fadhlullah B. Jamil dalam buku Pemikiran HAMKA terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2008.

Friday, December 4, 2009

Pemikiran HAMKA – Siri 1: Sejarah Hidup


Haji Abdul Malik Karim Amrullah lahir pada tanggal 17 februari 1908 di sebuah kawasan desa kecil Sungai Batang, Maninjau Sumatera Barat. Ahli keluarganya berlatar belakang ulama’ di mana ayahnya iaitu Abdul Karim Amrullah atau dikenali juga sebagai Haji Rasul merupakan seorang ulama’ yang aktif menulis. Ayahnya juga dikenali sebagai pendukung aliran Kaum Muda di mana beliau gigih membanteras amalan khurafat dan bidaah yang berlaku dalam masyarakat ketika itu. Datuknya juga merupakan ulama’ yang cukup berpengaruh di Minangkabau.

Ketika kecil, beliau dipanggil Malik. Zaman kecilnya sama seperti kanak-kanak lain, beliau belajar mengaji, berpencak silat dan selalu tidur di surau. Semasa belajar di Thawalib, Malik hanyalah pelajar yang biasa, tidak tergolong dalam kalangan cerdik pandai, bahkan dia malas belajar dan suka ponteng sekolah. Malik amat suka mengembara mengunjungi perguruan pencak silat, mendengar senandung dan kaba, iaitu penceritaan kisah rakyat menggunakan nyanyian dan alat muzik tradisional. Malik berhenti sekolah apabila ayah dan ibunya bercerai. Walaupun begitu, dalam diam-diam beliau giat membaca terutamanya karya-karya sastera, tidak kira naskhah Melayu atau Arab bahasa pengantarnya.

Sekitar tahun 1920-an, muncul gerakan-gerakan politik dan agama seperti Sarekat Islam dan Muhammadiyah. Gerakan Muhammadiyah diasaskan oleh KH Ahmad Dahlan di Yogyakarta agak selari dengan aliran agama yang dibawa oleh Abdul Karim Amrullah iaitu ayah Malik. Selain itu, muncul juga gerakan yang bersifat nasionalis sekular dan juga komunis di tanah Jawa oleh Alimin. Kebangkitan gerakan-gerakan ini telah menimbulkan perbincangan masyarakat umum di surau-surau dan di mana-mana sahaja. Sifat Malik yang mempunyai kecenderungan ingin tahu dan keinginan mencari pengalaman telah membawa dia ke Kota Pekalongan, Pulau Jawa untuk bertemu abang iparnya. Kemudian beliau ke Yogyakarta mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan oleh parti Sarekat Islam dan menjadi anggota parti itu. Beliau juga menganggotai Muhammadiyah dan mengikuti pengajian yang diberikan oleh pemimpin Muhammadiyah seperti KH Mochtar, KH Fachruddin, Kiai Bagus Hadikusumo dan lain-lain. Keberadaan Malik di Yogyarkarta telah banyak meninggalkan kesan yang mendalam terhadap hidupnya, apatah lagi ketika itu beliau masih di usia remaja. Kegilaan membaca buku-buku sastera, sejarah dan sebagainya membantu meninggalkan erti yang cukup besar dalam pembentukan hidupnya.

Pada usia 19 tahun, Malik mengerjakan ibadah haji di tanah suci Makkah tanpa pengetahuan ayahnya yang ketika itu sibuk menguruskan berbagai-bagai tugasan sebagai pengajar di Thawalib. Pemergian Malik ke Makkah hanya berbekalkan wang yang cukup untuk menyewa kapal dari Medan ke Jeddah sahaja, urusan menampung hidup di sana memaksa beliau bekerja di sebuah percetakan buku. Selama enam bulan berada di Makkah, beliau mengambil peluang untuk membaca buku-buku dan menambah kefasihan berbahasa Arab. Setelah pulang dari Makkah, Malik dinikahkan dengan seorang gadis yang bernama Siti Raham.

Malik rajin menghantar karya penulisannya ke beberapa penerbitan surat khabar di Jakarta dan Medan. Kemudian, rakan-rakannya meminta beliau menerajui sebuah majalah bernama Pedoman Masyarakat. Majalah ini telahberkembang pesat dan melahirkan beberapa karya hebat seperti Tasauf Moden, Falsafah Hidup, Lembaga Hidup, dan Lembaga Budi dalam bentuk penerbitan buku. Tidak dikesampingkan, karya sastera beliau iaitu Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang merupakan cerita sambungan daripada majalah Pedoman Hidup. Karya-karya Malik telah tersebar luas di Indonesia dan mengangkat namanya sebagai Sasterawan Islam, maka lahirlah sebutan HAMKA hasil daripada singkatan nama penuhnya iaitu Haji Abdul Malik Karim Amrullah. Pendudukan tentera Jepun telah membantutkan penerbitan majalah Pedoman Hidup. Selepas itu, HAMKA mula mencurahkan perhatiannya pada gerakan Muhammadiyah dan menyandang jawatan Ketua Muhammadiyah Sumatera Timur.

HAMKA banyak terlibat dalam politik untuk mempertahankan Indonesia tatkala menentang pendudukan tentera Belanda. Beliau dipilih oleh wakil Presiden iaitu Muhammad Hatta sebagai Secretaris Front Pertahanan Nasional iaitu perhimpunan parti-parti politik Sumatera Barat dalam usaha untuk penentang Belanda. Beliau juga menubuhkan Pembela Negara dan Kota (BPNK) yang berperanan sebagai gerakan gerila melawan Belanda. Walaupun menjawat Ketua BPNK, beliau turut bergerila memasuki hutan, mendaki dan menuruni bukit dalam usaha mengobarkan semangat rakyat menentang Belanda. Setelah Indonesia medeka, HAMKA dan keluarga berpindah ke Jakarta bagi memulakan hidup baru pasca-merdeka. Pada awal tahun 1950, terdapat permintaan yang banyak daripada penerbitan buku untuk mengulang cetak bukunya, genre sastera dan juga agama. HAMKA turut semakin giat melebarkan dakwat penulisannya dan banyak memenuhi undangan melakukan tugas dakwah. Penyebaran dakyah Parti Komunis yang membawa fahaman atheis ditentang oleh HAMKA menerusi Parti Islam Masyumi. Pemberontakan di Sumatera Barat oleh kepimpinan Masyumi menyebabkan parti itu dibubarkan oleh Presiden Soekarno yang waktu itu rapat dengan komunis. Rentetan peristiwa ini, HAMKA menerbitkan majalah Panji Masyarakat, majalah yang mirip seperti Pedoman Masyarakat. HAMKA telah diserang oleh komunis melalui lidah akhbar mereka seperti Harian Rakyat dan Bintang Timur dihalaman utama dengan tajuk seperti, ‘Neo-Masyumi muncul di masjid Al-Azhar’ dan ‘Kebayoran Baru Jakarta’. Masjid Al-Azhar merupakan tempat di mana HAMKA meyampaikan kuliah subuh dan mengajarkan tafsir Al-Quran. Pada tahun 1964, HAMKA dan beberapa pemimpin serta ulama’ ditangkap dan dipenjara berdasarkan Undang-undang Anti-Subversif yang dibuat oleh Soekarno. Penahanan ini berdasarkan tuduhan mengadakan pertemuan-pertemuan untuk membunuh Soekarno dan menerima wang daripada Tunku Abdul Rahman, ketika itu Perdana Menteri Malaysia walaupun tiada bukti. Penahanan ini memberikan ruang kepada HAMKA untuk menulis karya hebatnya, Tafsir Al-Azhar. HAMKA dibebaskan sejurus selepas kejatuhan pemerintahan Soekarno.

Penglibatan HAMKA dalam Majlis Ulama’ Indonesia (MUI) hasil daripada permintaan oleh Menteri Agama ketika itu, Prof Mukti Ali. MUI bagi HAMKA harus pandai menjaga jarak, kerana bila terlalu dekat dekat dengan pemerintah, nescaya hangus, begitu juga bila terlalu dekat dengan rakyat juga boleh jadi hangus. Sikap seperti ini menyebabkan HAMKA amat berani dalam menyatakan pendapat meskipun tidak sebulu dengan keinginan Presiden Soeharto ketika itu. HAMKA pernah penolak keinginan Soeharto agar membenarkan upacara golongan penganut agama peninggalan nenek moyang Indonesia seperti percaya pada kubur keramat, memuja pohon beringin, dan sebagainya. Kemuncaknya, HAMKA hanya mampu bertahan menjawat jawatan Ketua MUI selama lima tahun sahaja apabila beliau meletak jawatan apabila terjadi perbezaan pendapat antara MUI dengan pihak pemerintahan iaitu Menteri Agama berhubungan isu ‘Natal Bersama’. MUI yang dipimpin oleh beliau mengeluarkan fatwa, ‘Haram bagi umat Islam mengikuti perayaan Natal di Gereja’. Menteri Agama ketika itu, Alamsyah Ratuprawiranegara meminta MUI menarik balik fatwanya, namun HAMKA menolaknya dan terus menyatakan pengunduran sebagai Ketua MUI.

Beberapa bulan kemudian, pada tarikh 24 Julai 1981, setelah selesai solat terawikh di Masjid Al-Azhar, beliau mendapat serangan jantung dan meninggal pada usia 73 tahun setelah dirawat selama beberapa hari di hospital.

Oleh: Ajim

*Penulisan ini merupakan ringkasan/rumusan terhadap makalah yang bertajuk, HAMKA: Keperibadian, Sejarah dan Perjuangan oleh H. Rushdi Hamka dalam buku Pemikiran HAMKA terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2008. H.Rushdi Hamka merupakan anak kepada HAMKA.

Tuesday, December 1, 2009

Isu Island Red Cafe (IRC) lagi!


Aku pernah menulis berkaitan isu IRC ini dulu, kini keraguan yang aku timbulkan itu kelihatan rasional. Kepada yang belum membaca artikel tersebut, boleh klik link dibawah ini:

MLM: IRC2U (Island Red Cafe)

Dibawah ini pula petikan berita berkaitan skim pelaburan yang dijalankan oleh IRC dan kenyataan pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) :

SSM siasat Island Red Cafe tawar skim tidak sah kepada awam

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sedang menyiasat Island Red Cafe di bawah Akta Syarikat kerana menawarkan pelaburan berbentuk skim berkepentingan yang tidak sah kepada orang ramai.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata, pihaknya juga mendapati Island Red Cafe menjalankan perniagaan francais dan mengutip yuran francais yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 6 dan 37 Akta Francais 1998.

Sehubungan itu, katanya, kementerian telah memberi amaran kepada Island Red Cafe supaya tidak mengulangi perbuatan itu dan mengarahkan yuran francais dikembalikan.

"Mengenai Island Red Cafe yang membuat promosi menarik pelaburan ahli, ia bukanlah syarikat jualan langsung tetapi merupakan sebuah syarikat pelaburan skim berkepentingan.

"Mana-mana syarikat yang ingin menawarkan skim berkepentingan kepada orang ramai perlu mendaftar skim tersebut dengan SSM terlebih dahulu, sekiranya cara penawaran adalah dalam bentuk pemasaran pelbagai peringkat (MLM), syarikat mestilah mendapat lesen di bawah skim jualan langsung," katanya.

Beliau menjawab soalan Hee Loy Sian (DAP-Petaling Jaya Selatan) ketika menggulung perbahasan Bajet 2010 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Island Red Cafe merupakan satu program yang sedang berkembang pesat di seluruh negara dan menggunakan konsep perniagaan mudah melalui cara 'makan dan buat duit'.

Ia menawarkan lima pakej iaitu satu bintang bernilai RM360, tiga bintang (RM990), tujuh bintang (RM2,310), 10 bintang (RM3,300) dan 15 bintang (RM4,950) yang meliputi baucer makan, yuran, kad keahlian dan bonus insentif.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kementeriannya juga sedang membuat pindaan kepada Akta Jualan Langsung 1993 dengan memasukkan klausa yang lebih luas tentang skim piramid.

Katanya, pindaan yang dijangka dibentang pada Mac tahun depan itu dibuat kerana akta sedia ada mempunyai banyak lompong dan tidak dapat mengambil tindakan berkesan terhadap penipuan yang dilakukan melalui Internet.

"Selain itu aspek penguatkuasaan juga diperketatkan bagi mengenakan penalti yang lebih tinggi terhadap mereka yang mempromosikan skim piramid.

"Definisi jualan langsung juga akan dipinda selaras dengan perkembangan semasa," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya akan mengeluarkan sisipan khas jualan langsung dalam akhbar Utusan Malaysia pada minggu kedua Disember ini yang mengandungi senarai syarikat jualan langsung berdaftar dan tips mengetahui perbezaan antara skim piramid dan skim cepat kaya.

sumber: Utusan

Link Terpilih

Blog Widget by LinkWithin