Sunday, April 25, 2010

Politik ugut-ugutan



1. Ada sebahagian besar orang politik, bila berkempen dalam pilihanraya memang hebat. Cakapnya penuh dengan janji-janji manis, iktikad yang nekad, dan jiwanya umpama sebesar dunia. Mudah sungguh membuat janji, semudah itu jugalah ia dimungkiri.

2. Mungkin ada yang tidak perasan, atau pura-pura tidak tahu. Ada sesetengah orang politik yang suka membuat kenyataan 'politik ugut-ugutan'. Biar penulis beri contoh, baru-baru ini seorang Perdana Menteri di sebuah negara membuat kenyataan seperti berikut:

"Kita mahu membangunkan tanah di sini tetapi syarat pertama ialah dengan memastikan pada pilihan raya umum akan datang, Selangor kembali kepada BN. Kalau tidak, kita tidak dapat buat tukar syarat tanah," ruj: link


3. Jika ingin melakukan kebaikan kepada rakyat, mengapa perlu letak syarat? Apakah kerana jika rakyat di kawasan A tidak menyokong parti B, maka di'haram'kan rakyat disitu mendapat bantuan dan pembangunan? Mungkin akan ada yang beralasan tentang kesukaran melakukan urusan jika pusat dan negeri berlainan ideologi kepimpinan. Ya, alasan itu memang satu alasan!

4. Menjadi pemimpin bukan hanya perlu ada karisma, idea dan kepetahan ber'janji', tetapi juga perlu amanah dan adil. Lupakah kita tentang firman Allah yang menyeru untuk berlaku adil?

"Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Al-Maa'idah:8)

5. Penulis fikir, rakyat perlu berubah. Apa kata jika rakyat pula yang mengugut parti politik. Anda mahu undi kami, lakukan ini dan itu. Bukankah ini negara demokrasi?

Monday, April 19, 2010

Kerja laGila

1. Aku tak tahu entah dah berapa juta kali aku update resume, dah berpuluh company aku hantar. Tapi........ (diam)

2. Aku sebenarnya ingat nak lepak-lepak sekejap lepas abis blaja, tapi bila tengok dah ada member yang dah dapat kerja, aku pun rasa mengelabah. Final exam sebenarnya belum habis lagi, masih berbaki 3 paper.

3. Aku mungkin memilih mintak kerja, itu memang aku akui (buat masa sekarang). Aku masih memilih kerja yang sesuai dengan pengkhususan aku iaitu Design Engineer. Kalau anda ada mengetahui kekosongan jawatan Design Engineer, jangan segan-segan bagi tahu aku. Sedia berkhidmat.

4. Aku terasa nak memekak lagu Meet Uncle Hussein (la.. la.. Kerjalah...)

5. Tiada nilai ilmiah dan tajdid dalam kiriman ni, harap maklum.

Friday, April 16, 2010

Sultan & Raja

Kiriman ini merupakan isu yang sensitif untuk dibicarakan. Namun penulis rasa ia hal yang penting kerana bersangkut paut dengan orang Melayu dan kedudukan Islam di negara ini. Di harap penulisan ini tidak disalah tafsir. Sila baca tulisan ini dan nilaikan dari sudut akademik dan rasional.


1. Seperti yang umum sedia maklum, kedudukan orang Melayu dan Islam di Malaysia bernaung di bawah sistem beraja. Raja Melayu atau Sultan di negeri tertentu akan bertanggungjawab dalam memelihara dan mempertahankan kedudukan orang Melayu dan Islam. Kerajaan British telah meninggalkan negara ini dengan Islam berada dibawah kuasa Raja-Raja Melayu, bukan pula Islam berada di atas Raja-Raja Melayu dan seluruh pentadbiran politik negara ini.

2. Baru-baru ini, Kartika Sari Dewi yang sepatutnya dihukum sebat telah diberi keampunan oleh Sultan Pahang. Hukuman sebat telah bertukar menjadi khidmat masyarakat. Dari satu sudut ia kelihatan cukup positif, namun ada beberapa sudut lain yang perlu juga diambil perhatian. Hal ini menunjukkan kuasa yang ada pada Sultan mampu 'mengatasi' hukuman yang telah ditetapkan oleh mahkamah syariah. Kerisauan untuk kuasa itu disalah guna pada masa hadapan tetap ada.

3. Menjadi Sultan atau Raja Melayu yang berjiwa rakyat tidak cukup hanya dengan melawat kampung sebulan sekali dan kemudian bergambar sahaja. Ini tidak berjiwa rakyat. Sultan berjiwa rakyat yang sebenar adalah dengan menjiwai dan merasai kesusahan rakyat marhaen di kampung dan ceruk desa. Rasakan bagaimana ceroinya air kopi mereka, betapa tawarnya air gula mereka, dan betapa mereka tidur hanya beralaskan tikar mengkuang. Mereka tiada tukang masak 5 bintang yang membantu menyediakan masakan. Mungkin Sultan Johor yang baharu telah mendahului hal ini dengan melakukan Kembara Mahkota Johor.

4. Ketua Agama Islam perlu responsif dan cepat bertindak apabila ada isu yang membabitkan kepentingan umat Islam. Tidak perlu menunggu 2 tahun sekali, atau setahun sekali untuk bersidang. Keputusan yang diambil juga bukan hanya perlu adil, ia juga perlu kelihatan adil dan sesuai dalam konteks negara Malaysia.

5. Untuk dihormati, kita perlu menjadi manusia berilmu dan berakhlak mulia. Menjadi manusia yang dilahirkan dalam kelompok institusi beraja tidak menjadikan kita lebih mulia daripada orang lain. Hatta keturunan Nabi yang dimuliakan itu juga ada batasannya didalam memberikan penghormatan. Kemuliaan sesorang manusia itu bergantung pada sikap, akhlak dan juga ilmu.

6. Ada beberapa tokoh institusi beraja yang boleh dijadikan contoh yang baik, salah seorang daripadanya ialah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah. Beliau bukan hanya sekadar seorang yang Raja yang terpelajar, tetapi juga mempunyai nilai intelektual yang tinggi. Apabila membaca teks-teks ucapan beliau, dapat dilihat bahawa ia bukan sekadar teks ucapan yang disediakan untuk dibaca, tetapi beliau juga terlibat didalam penyedian teks itu. Bercakap dengan ilmu tidak sama dengan bercakap sekadar membaca.

6. Penulisan ini bukan ingin menyembah derhaka, tapi cuma patik mohon mengkritik.

Doa kita

Kadang kala kita menjadi manusia yang hilang arah. Berguni penuh keilmuaan di dalam dada, tapi kita masih melaku dosa dan noda.

Apa guna berilmu tapi tak beramal? Apa kita mahu menjadi manusia yang menipu Tuhan? Menzahirkan keimanan, tetapi memendam nafsu syaitan.

Oh Tuhan, selamatkan kami! Selamatkan kami dari bencana ini!

Wednesday, April 14, 2010

Mencari Adil Tuhan

Kadangkala kita merasa dunia ini sungguh tidak adil,
Masakan tidak, kita lihat banyak peristiwa.. terlalu banyak cerita..
Membuktikan betapa dunia ini sungguh tidak adil pada manusia..

Ada insan yang hatinya tulus, jiwanya jujur..
Dia dengan ikhlas menebarkan hatinya pada agama..
Namun, acap kali itu dia ditindas oleh dunia..
Oleh manusia yang disekitarnya..
Maka terkulai-kulailah dia mempertahankan diri..
Pada dunia yang tidak adil ini katanya..

Ada insan yang berusaha mencari cinta Ilahi..
Nekad menjerumuskan diri pada rancah yang penuh emosi ini..
Namun, dunia ini tidak memudahkan..
Selalu memberikan kesukaran..
Hingga ada maruah insan yang telah dicemarkan..
Bahkan ada lukisan berdarah pada jasadnya..

Ada manusia yang bernasib baik..
Hidupnya penuh dengan tipu noda, tapi tiada cela..
Hampir semua sempurna..
Dunia ini memberikan seribu keselesaan pada dia..
Maka bersenang-senang dia menikmati kehidupan ini..
Atas keringat, berkat derita, dan air darah insan lain..
Sungguh dunia ini tidak adil..

Tetapi, maha adil Tuhan..
Tatkala dunia tidak mampu adil pada insan,
Namun Allah tidak perlu lupa untuk adil...
Maka, telah diciptakan akhirat untuk manusia..
Agar kehidupan ini tidak mengecewakan, tidak sia-sia..
Maha suci Tuhan dengan firmanNya,

‘Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang Sebenarnya; tidak ada Tuhan selain Dia, Tuhan (Yang mempunyai) 'Arsy yang mulia.’
(Surah al-Mukminun ayat: 115-116)

Betapa dunia ini telah berlaku kejam..
Namun maha suci Tuhan, keadilan itu tetap ada.. tetap ada!

Link Terpilih

Blog Widget by LinkWithin