Sunday, May 30, 2010

Pemikiran HAMKA – Siri 4: Nasihat berguna

Walaupun Hamka dipandang oleh sesetengah pihak sebagai tokoh Muhammadiyyah yang pastinya mempunyai perbedaan pandangan dalam hal-hal tertentu dalam bab agama dengan arus ‘perdana’, namun itu tidak menandakan beliau harus dilihat sebagai tokoh yang menyebabkan perpecahan dikalangan umat Islam. Beliau juga mencintai perpaduan dan kesepakatan di antara kaum muslimin. Lihat sahaja sumbangan Hamka, kesemuanya berkehendakkan kebaikan untuk umat Islam, tiada yang berkeinginan memecah belahkan umat. Bagi siapa yang pernah membaca buku kritikan Hamka terhadap Mufti Johor, pasti dapat membaca kritikan-kritikan pedas dan sinis Hamka. Namun, Hamka lebih dari itu dalam buku ini menyatakan satu nasihat yang amat berharga,  

‘Selama kita bertengkar-tengkar dengan berkaum tua berkaum muda, agama kita telah terserang dari segala penjuru. Kita banyak melihat al-alimin al-ghafilin (orang yang alim tetapi lalai) dan melihat pula al-jahilin al-mutanassikin (orang yang bodoh tetapi kuat beribadat). Ini belum kita tilik. Kadang-kadang kita berdengki-dengkian, sehingga musuh mudah benar memecahbelahkan kita. Apa guna berkaum tua, apa guna berkaum muda. Berkaum muslimin saja lebih baik.’

Benar kata Hamka, apa guna berkaum tua? apa guna berkaum muda? Berkaum Muslimin sahaja itu lebih baik!

Friday, May 21, 2010

Manusia berubah, dan aku juga!

Belajar
Aku ingat lagi, semasa aku bersekolah rendah, antara perkara yang aku impikan adalah habis belajar. Waktu itu, peperiksaan UPSR pun aku tak ambil lagi. Tapi keinginan aku untuk habis belajar sangat membuak-buak, aku berasa sangat tak sabar nak berkerja. Terasa nak pegang duit sendiri kononnya. Kehidupan keluarga aku yang sukar ketika itu menyebabkan aku fikir duit adalah penyelesai bagi segala masalah. Kini, apa yang aku hajati beberapa tahun lepas sudah aku kecapi. Ya, aku sudah tamat belajar. Bukan sekadar lepasan SPM sahaja seperti yang aku fikirkan dulu, tapi aku telah tamat belajar sehingga ke tahap ijazah. Perjalanan hidup aku kini bukan seperti yang aku fikirkan semasa sekolah rendah. Dulu aku hanya impikan sekeping sijil SPM dan terus bekerja, semudah itu. Kita hanya mampu berangan tentang masa hadapan, berfikir untuk mencorak kehidupan yang kita impikan. Namun terlupa, Perancang di atas itu lebih mengetahui apa yang lebih baik untuk kita.

Bekerja
Aku selalu bermonolog dan berkata pada orang lain tentang betapa aku tidak suka menjadi seorang guru. Aku tidak fikir aku miliki jiwa pendidik yang mampu bersabar mengajar orang lain tentang ilmu, tentang kehidupan. Selalu juga aku berfikir, kebanyakkan orang yang bekerja dengan kerajaan ini tidak kompetetif. Erti kata yang lebih mudah, pemalas! Kini, apa yang aku fikirkan dulu banyak yang sudah berbeda. Aku seperti mahu menjilat ludah aku kembali. Kehidupan ini bukan seperti yang kita fikirkan dan sangkakan, manusia yang berteori tentang itu dan ini tidak sama dengan manusia yang bersifat praktikal. Aku kini diambang dunia pekerjaan, masih mencari-cari ke mana hala tuju hidup selepas ini. Angan-angan yang disifatkan oleh diri sendiri sebagai ‘perancangan’ kelihatan begitu gagal. Aku masih berkira-kira tentang masa hadapan, tentang pekerjaan.

Tajdid?
Tatkala aku kenal dengan istilah tajdid atau pembaharuan, aku fikir ini yang akan membawa kepada pembaharuan minda umat Islam. Satu pendekatan yang digelar paling selamat dan juga paling sederhana. Aku begitu rakus dan ghairah menyampaikan hal yang aku sendiri hanya tahu sekadar ala kadar. Kegilaan aku pada aliran ini sehingga aku abadikan nama timangan aku dengan nama tajdid. Ya, AJIMTAJDID. Aku merasa inilah manhaj yang paling benar, suci dan bersih. Sehingga aku tidak perasan, kegilaan penyakit yang secara perlahan membunuh diri.

Penyakit merasa diri paling benar, paling berilmu dan paling sederhana.

Aku lihat penyakit ini sudah banyak menjangkiti sebahagian besar mereka yang digelar pendukung tajdid, salafi dan islah. Ada sebahagian yang mendakwa, aliran tajdid adalah aliran yang mementingkan hujah dan nas. Duka cita apabila aku melihat hal yang sebaliknya. Aku dapati, sebahagian mereka apabila gagal menjawab penghujahan orang lain dalam forum agama milik mereka, maka yang memilih berbeda dari mereka itu akan disingkirkan. Bahkan, lebih teruk dari itu mereka melabel yang disingkir itu sebagai pengikut tareqat, penganut ajaran sufi, tidak faham dalil, tidak mahu berlapang dada, berfikiran sempit dan sebagainya. Tutup cerita, tidak perlu hujah balas. Entah sudah ke mana hilangnya slogan tajdid yang dicanang melata itu. Sudah membakul sampah barangkali. Pertempuran pemikiran bukan hanya berlaku di antara mereka yang bergelar mendukung aliran salaf dan khalaf, namun sesama sendiri juga berlaku. Selalu juga aku membaca tentang kisah salafi ‘tulen’ vs salafi ‘kurang tulen’. Salafi ‘tulen’ mendakwa salafi ‘kurang tulen’ sebagai tidak cukup sunnah, bahkan lebih dari itu salafi ‘kurang tulen’ mendakwa salafi ‘tulen’ menuduh salafi ‘kurang tulen’ sebagai khawarij. Isunya apa? Seputar isu berkaitan politik dalam bab menegur pemerintah. Aku menjadi bosan. Tatkala dunia mahu menginjak-injak agama Islam, ada yang masih berperang dalam kelambu sendiri...

.. dan kelihatan kelambu itu sudah pun terbakar. 

Apabila aku menulis kata tentang hal ini, bukan bermakna aku sudah memalingkan muka pada aliran tajdid. Aku barangkali cuma mahu memuntahkan apa yang sudah lama terbuku dalam hati, telah lama aku cuba bersangka positif tiapkali hal itu berlaku. Namun kini aku titipkan sekadar merekodkan apa yang ada dalam fikiran, ia sudah membusuk.

Akhirnya..
Membesar adalah satu keajaiban. Kita berubah dan berevolusi selari dengan proses pembesaran kita. Apa yang kita fikirkan tentang masa hadapan pada 10 tahun lepas, kini berubah. Aku kadang kala mahu membiarkan masa depan ditentukan tanpa perancangan, mahu biarkan ia bergerak dengan penuh teka teki tanpa pengharapan, mungkin kerana aku sudah kecewa dengan kegagalan. Namun, acap kali itu aku akan teringat kata-kata yang tertampal di sekolah lama aku.

‘Jika anda gagal merancang, anda merancang untuk gagal’

Kegagalan merancang bukanlah sesuatu yang mengecewakan bukan?

Wednesday, May 19, 2010

Nasihat Ikhlas Kepada Pentaksub Syeikh al-Albani



Nasihat yang berguna:
-Tulisan ini khusus untuk mereka yang mempelajari ilmu hadith...

Saya ialah seorang penuntut ilmu...dan saya akan terus begitu selagi mana saya sedar ilmu itu lautan luas yang tidak bertepi.

Nasihat saya kali ini khusus saya tujukan kepada mereka yang terlalu mengagungkan salah seorang ulama hadith moden, syeikh al-Albani.

Secara ringkasnya, terdapat dua golongan yang agak melampau dalam menilai usaha dan hasil karya syeikh al-Albani. Golongan pertama ialah yang menganggap syeikh al-Albani langsung tidak ada sebarang jasa, dan menganggap beliau sesat dan menyimpang dari jalan yang benar.

Golongan kedua pula - yang saya tujukan kepada mereka nasihat ini - menganggap syeikh al-Albani yang terbaik dan pendapatnya dalam hadith dan fiqh boleh mengatasi ulama silam dan beliaulah ulama paling tulen.

Golongan pertama dan kedua ini lahir kerana keduanya melampaui batas rasional dan adab sopan. Mungkin pandangan golongan pertama lahir kerana golongan kedua terlalu angkuh menobatkan syeikh al-Albani sebagai satu-satunya muhaddith agung. Mungkin juga serangan balas pihak pertama menyebabkan pihak kedua bertambah taksub?

Fokus tulisan saya yang ringkas kali ini ialah tentang sikap yang baru saya temui (mungkin anda telah lama tahu) terdapat dalam kalangan golongan kedua iaitu mereka yang terlalu mengkagumi syeikh al-Albani. Sikap itu ialah:

- Apabila mereka menilai pandangan ulama lain yang salah atau tidak tepat dengan dalil, mereka akan bersungguh-sungguh menyatakan bahawa mereka ikut dalil, mereka ikut kebenaran, mereka ikut pandangan ulama tulen, ulama salaf dan sebagainya.Mereka akan menyatakan bahawa sehebat mana ulama itu pun dia tidak maksum. Mereka begitu mudah dan tidak malu menyebut bahawa Imam2 Fiqh seperti Imam al-Syafie, Imam Malik dan lain-lain lagi - salah, silap, tak jumpa hadith, menyalahi kaedah bahasa arab dan lain-lain dakwaan melucukan! Mereka juga tidak segan silu dengan angkuhnya menyatakan bahawa imam2 hadith pula salah mengaplikasikan kaedah ilmu hadith! Imam2 hadith tak jumpa hadith...tak tahu ia dhaif! Pelbagai lagi dakwaan biadap...

TETAPI...apabila mereka terserempak atau terjumpa dengan pandangan syeikh al-Albani yang menyalahi kebenaran, menyalahi dalil, menyalahi ijmak muhaddithin atau fuqaha', mereka begitu lembut dan berlapang dada...sehinggakan mereka berkata ' ini soal ijtihad, masing2 dapat pahala'...'kita hendaklah menghargai jasa ulama'...'kita hormat semua orang'...'kita mesti cakap dengan bahasa sopan'.

Inilah sikap berat sebelah yang cukup memualkan dalam kalangan mereka yang mendakwa mereka memperjuangkan aliran salaf. Mereka mendakwa mereka ingin tajdid kembali kepada salaf. Tetapi adakah salaf yang mereka maksudkan itu salaf yang hanya sesuai dengan aliran mereka?

Contoh mudah utk mengakhiri tulisan ringkas ini - apabila Syeikh al-ALbani menilai sesuatu hadith dengan penilaian 'sahih'....golongan yang taksub ini tidak lagi menoleh ke belakang utk melihat penilaian imam2 hadith agung yang lebih hebat di kurun kegemilangan Islam seperti Imam2 Yahya al-Qattan, Abd. Rahman Bin Mahdi, Ahmad Bin Hanbal, Yahya Bin Ma'in, al-Bukhari sehinggalah kepada yang lain seperti al-Nasaai atau al-Daraqutni...tidak. mereka cukup dengan kata putus syeikh al-Albani.

Lebih malang apabila ada di antara mereka yang menoleh juga sejenak ke belakang...namun apabila mereka dapati ada imam2 awal telah menilai hadith itu sebagai dhaif....nah! Anda akan melihat bermacam2 alasan diberikan utk tetap 'memenangkan' pandangan syeikh al-Albani.

adakah ini kajian ilmiah? adakah ini semangat tajdid? adakah ini namanya beradab dengan ulama? adakah ini namanya mengagungkan salaf? mereka menolak pandangan ulama salaf...ya mereka menolaknya dan mereka siang malam bertempik ...kami salafi...kami menyokong tajdid.

Saya tidak menulis utk menginsafkan mereka kerana mereka awal2 lagi tidak mahu mendengar. tapi saya menulis untuk menyatakan kekesalan dan menginsafi kelemahan diri.

Jangan kerana ilmu yang sedikit...kita sibuk menghentam pihak itu dan ini...akhirnya kita terperangkap apabila kita sendiri yang menyalahi apa yang kita seru dan perjuangkan.

* artikel ini ditujukan utk mereka yang taksub sahaja. kalau anda tidak, saya katakan ...barakallahu fiika...
sumber: Ustaz Adlan

Link Terpilih

Blog Widget by LinkWithin