Wednesday, June 23, 2010

Dr Asri masuk UMNO atau Pas: Apa masalahnya?


Merujuk kepada tulisan saudara Yusri Mohamad dalam ruangan forum di Utusan Malaysia bertarikh 23 Jun 2010 menyebabkan penulis rasa terpanggil untuk memberikan pandangan balas berkaitan isu yang ditimbulkan olehnya. Isu utama yang dibangkitkan oleh saudara Yusri ialah berkaitan cakap-cakap politik yang menyebut Dr Asri (mantan Mufti Perlis) akan menyertai UMNO pada hari jumaat ini bersama dengan 100 orang alim ulama’ berkelulusan tinggi. Usai membaca ulasan beliau, dapat kita faham tentang beberapa hal penting yang ditekankan terutamanya berkaitan manhaj yang dipegang oleh Dr Asri yang didakwa sebagai syaz (ganjil) dan juga akan merugikan kedua-dua parti politik, secara jelas beliau menyebut nama parti UMNO dan juga Pas.  

Menyebut nama Dr Asri sahaja sudah dapat membayangkan seorang tokoh ikonik muda agama yang dilihat cukup kontroversi dengan pelbagai pandangannya sehingga membangkitkan perdebatan dikalangan masyarakat Malaysia. Lantaran ketinggian populariti Dr Asri dikalangan generasi muda, sebahagian golongan liberal dan masyarakat bukan Islam telah menyebabkan beberapa tokoh politik (Pas dan UMNO) mengambil inisiatif mengajak beliau menyertai parti politik tertentu, namun sehingga kini Dr Asri masih belum memberi kata putus terhadap hal ini.

Penulis secara peribadi bersama sebahagian besar pembaca merasakan Dr Asri tidak wajar melibatkan diri dalam kancah dunia politik kepartian. Namun untuk jangka masa panjang, kemasukannya dalam mana-mana parti politik adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Sebagai seorang pendakwah bebas, ruang lingkup beliau terbatas dalam beberapa keadaan sahaja. Penglibatan beliau dalam bidang politik akan memberikan skop dan ruang lingkop yang lebih besar kepada tugas dakwah. Jika dulu beliau hanya boleh bercakap dan menyarankan tentang hal itu dan ini, maka dengan adanya kuasa dan dukungan politik segala saranan itu mampu untuk direalisasikan.

Astora Jabat, bekas penulis agama di akhbar Utusan Malaysia pernah menyatakan bahawa kini Dr Asri akan bergusti di dalam gelanggangnya apabila beliau mula menjawat jawatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis. Namun hakikatnya, penulis merasakan beliau ketika itu hanyalah menjadi pengadil perlawanan di antara peninju, justeru kemasukan Dr Asri ke arena politik secara serius barulah akan menunjukkan sifat ‘bergusti di dalam gelanggangnya’. Jika sebelum menduduki kerusi Mufti, beliau dilihat sebagai pemerhati akademik dan orang luar, kemudian apabila menjadi Mufti pandangannya mula memasuki gelanggang, dan akhirnya kemasukan ke dalam dunia politik akan memberikan impak yang lebih besar di mana segala cakap dan tingkap laku akan ditafsir pelbagai, kesannya juga akan lebih dirasai. Jika dulu segala saranan dan nasihat mungkin dilihat sebagai orang yang bebas, namun selepas menyertai mana-mana parti politik, pandangannya mungkin akan ditafsir sebagai berkepentingan.

Tulisan saudara Yusri Mohamad membawa kepada dua implikasi persepsi, pertama menimbulkan keraguan kepada Dr Asri berkenaan manhaj agamanya, kedua memberikan peringatan kepada parti politik yang berminat terhadap Dr Asri tentang risiko-risiko tertentu seperti hilang sokongan majoriti. Dua implikasi yang ingin ditimbulkan ini mungkin hadir daripada kebimbangan peluasan pengaruh Dr Asri dikalangan rakyat Malaysia. Kebimbangan ini wujud apabila beliau diyakini membawa ajaran ‘Wahabi’ yang didakwa boleh memecahbelahkan masyarakat Islam di Malaysia. Terbaharu, ada cubaan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengaitkan beliau dengan gerakan extremis agama. Pandangan saudara Yusri Mohamad sebenarnya lebih berbaur pertembungan aliran pemikiran agama, dan bukan percanggahan dari sudut pembawaan manfaat politik.

Jika benar Dr Asri ingin secara serius memasuki dunia politik kepartian, beliau harus diperingatkan dengan beberapa hal. Antaranya ialah risiko kehilangan audien dikalangan parti lawan. Contohnya, apabila beliau memasuki UMNO, kemungkinan besar pendukung Pakatan Rakyat akan mulai memandang kata-kata dan saranan Dr Asri sebagai mewakili UMNO dan berkepentingan, begitu juga sebaliknya. Beliau harus memastikan agar tidak kehilangan audien yang besar ini walau apa parti pun yang akan dipilih olehnya. Jika UMNO menjadi parti pilihan, beliau harus berusaha merealisasikan cadangannya dahulu agar UMNO memiliki sayap Badan Ulama’ seperti mana parti itu kini memiliki sayap Puteri, Pemuda dan Wanita. Pandangan-pandangannya yang bersifat sinis dan kritikal terhadap mana-mana pihak harus dikekalkan bagi menjamin kelangsungan pemikiran tajdid yang dicanang-canangnya itu. Janganlah apabila sudah memasuki politik kepartian, pandangan-pandangannya yang bersifat sinis dan tajam itu akan dipencenkan. Jika itu berlaku, maka Dr Asri tidak lebih daripada hanya mengulangi sejarah beberapa tokoh agama dinegara ini.       

Kemasukan Dr Asri ke dalam mana-mana parti politik sama ada UMNO atau Pas sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya, bukan pula hanya sekadar mahu mendapat nama atau menunjukkan sokongan daripada agamawan. Penulis berpendapat, selagi ia bermanfaat membangunkan umat Islam di negara ini tanpa mengira pegangan politik, ia adalah sesuatu yang amat baik. Oleh itu, jika Dr Asri masuk UMNO atau Pas, apa masalahnya?              

Petikan artikel di akhbar Utusan:

Monday, June 21, 2010

ISLAM: Antara Keajaiban Atau Keaiban

1. Jika kita perasan, ramai dikalangan umat Islam yang terlalu ghairah untuk mengaitkan sesuatu peristiwa dan hal yang kelihatan pelik serta ajaib kepada unsur-unsur mistik. Akhirnya, kaitan itu akan disandarkan kepada ajaran Islam. Kita pastinya pernah mendengar kisah-kisah seperti ada tulisan nama Allah pada hirisan daging, anak derhaka bertukar menjadi binatang, keajaiban para wali dan lain-lain. Aku fikir, hal ini berlaku mungkin kerana sebahagian mereka ingin memperlihatkan kehebatan dan kebenaran agama Islam. Namun, kadang kala ada kisah yang ingin ditonjolkan itu hanya mengundang gelak tawa masyarakat bukan Islam.

2. Biar aku berikan contoh yang mudah dan dekat dihati masyarakat kita. Pernah dengar air jampi menjadi pandai? Fenomena minum air jampi ini akan kerap melanda pelajar yang akan menduduki peperiksaan besar seperti UPSR, PMR dan juga SPM. Ibu bapa pelajar terbabit akan berjumpa Ustaz atau orang yang kelihatan pandai agama dan meminta Ustaz itu menjampi air untuk diberikan kepada anak mereka agar berjaya menduduki peperiksaan dengan cemerlang. Cuba kita bandingkan pelajar hasil air jampi itu dengan pelajar bukan Islam yang tidak minum air jampi, mana yang mendapat keputusan peperiksaan lebih baik? Jawapan kepada soalan itu mengecewakan bukan? Apakah ini bermakna ‘keajaiban’ air jampi ala-ala Islam itu satu pembohongan? Tatkala pelajar bukan Islam sedang sibuk menelaah pelajaran, kita masih bergantung pada ‘keajaiban’. Rahsia untuk berjaya dalam pelajaran bukan meminum air jampi pada malam peperiksaan, namun ia memerlukan sejumlah besar usaha dan kerajinan yang berterusan.


3. Fenomena terbaharu, terdapat banyak produk keluaran umat Islam yang meletakkan air zam zam di dalam produk mereka. Hal ini tiada salah pada awalnya, namun apabila ada sesetengah pihak yang mula menjanjikan keajaiban hasil daripada kandungan air zam zam itu seperti mampu menyembuhkan penyakit-penyakit kronik, menjadikan akal cerdas dan pintar, dan seribu keajaiban lain, maka ini suatu hal yang berbahaya. Lebih menduka cita, air zam zam ini sering kali dikaitkan dengan agama Islam. Tatkala dunia perubatan sedang bertungkus-lumus mencari penawar berbagai-bagai jenis penyakit kronik, umat Islam sebahagiannya masih bermalasan bergantung pada ‘keajaiban’ air zam zam semata. Jika benarlah air zam zam itu seajaib yang dikhabar, maka pastinya umat manusia di Makkah itu sudah terhindar daripada sebarang penyakit kronik dan menjadi pintar-pintar belaka. Namun hakikat menunjukkan sebaliknya. Apakah ini sekali lagi menunjukkan pembohongan yang disandarkan kepada ‘keajaiban’ Islam?

4. Penulisan ini bukan bermakna ingin menolak keajaiban secara total, namun agar keajaiban itu dilihat dari sudut yang lebih rasional. Bagaimana mahu melihat dari sudut rasional? Ini mungkin kisah yang boleh dijadikan contoh. Seorang hamba Allah yang beragama Islam begitu ghairah menjaja cerita tentang bentuk awan yang mirip tulisan nama Allah dilangit. Ini menandakan kebenaran agama Islam katanya. Kemudian, seorang penganut kristian menunjukkan kepada orang Islam itu awan yang mirip berbentuk salib. Kemudian hamba Allah itu kelu seribu bahasa. Apakah kebenaran suatu agama itu bergantung pada ‘keajaiban’ seperti itu? Sila fikirkan sendiri.

5. Difahamkan, Nabi Muhammad s.a.w juga ada menggunakan jampi yang menurut Quran. Namun itu bukanlah jampi yang mampu menjadikan seseorang itu bijak dalam sekelip mata, atau juga air jampi yang mampu memurtadkan orang Islam seperti mana yang dipercayai sesetengah pihak yang mana apabila orang Islam meminum ‘Holy Water’, maka dia akan menjadi murtad kerana sudah tidak mampu mengucap. Jika benarlah ada air jampi yang mampu mengubah akidah seseorang, maka tidak perlulah Nabi bersusah payah berdakwah pada masyarakat Arab jahiliah. Lebih baik sahaja Nabi menjampi air zam zam di Makkah, pastinya seluruh penduduk Makkah ketika itu akan menjadi Muslim.

Monday, June 14, 2010

Langit Petang - Siri 1



 Siri 1: Bertemu Jodoh
Kisah perkahwinan Mak (Rani) dan Ayah (Roslan) aku amat menarik hati, sebuah kisah klasik yang mungkin dilihat sudah tidak relevan dalam dunia moden ini. Semuanya bermula ketika Mak berada di Segamat menolong saudaranya memotong getah. Waktu itu, usia Mak baru menjengah usia 18 tahun dan tidak menetap bersama ibunya di Bukit Gambir. Apabila aku bertanya Mak tentang pengalamannya ketika itu, kelihatan dia begitu gembira menceritakan pengalaman hidupnya di usia remaja. Antara yang aku ingat, Mak menyebut perihal bagaimana dia memotong getah, bangkit susu getah, memesin getah buku untuk dijadikan getah skrap dan juga kesungguhannya bertungkus lumus membawa getah itu untuk dijual dengan hanya menaiki basikal. Aku hanya mampu membayangkan, kerana sekuat mana aku pernah menolong Mak hanyalah sekadar bangkit getah buku, itu pun hanya kadang kala.
Ketika di Segamat, Mak mendapat telegram dari Bukit Gambir yang menyuruhnya pulang ke kampung. Tidak pula dinyatakan alasan kenapa, memang tabiat anak zaman itu untuk tidak banyak soal. Mereka lebih banyak menurut daripada menyoal bagaimana dan mengapa. Setelah pulang, barulah Mak mengerti tentang hal pernikahan yang telah ditetapkan oleh Ayah tirinya (Hj Mesir). Ayah kandung Mak (Markom) meninggal dunia ketika Mak masih kecil. Masih segar diingatan Mak, ketika itu arwah baru sahaja pulang dari pekan. Kemudian arwah duduk bersandar dipintu rumah, dan ia rebah ketika ingin merangkul anak kecilnya yang baru selesai menyusu badan. Sebelum Mak dinikahkan dengan Ayah, Hj Mesir sudah terlebih dahulu membawa Ayah ke rumah untuk saling dikenalkan secara tidak langsung dengan Mak. Hal ini mengingatkan aku dengan beberapa hadis yang dipetik daripada kitab ‘Bekal-Bekal Pernikahan Menurut Sunah Nabi’ karangan Sheikh Shalih Fauzan, antaranya menyebut:
“Apabila seorang di antara kalian mengkhitbah (meminang) seorang wanita, maka jika dia bisa melihat apa yang mendorongnya untuk menikahinya maka lakukanlah” (HR Ahmad & Abu Dawud)

Majlis pernikahan tidak dilakukan di rumah pengantin, tetapi di rumah Tok Kadi. Apabila diceritakan kepada aku tentang majlis yang berlangsung, aku hanya mampu tersenyum. Majlis itu berlangsung dalam suasana yang sangat ringkas dan kelihatan agak lucu. Mak bersama Ibu dan Ayah tirinya pergi ke rumah Tok Kadi hanya dengan berbasikal, manakala ayah pergi ditemani oleh kawannya menaiki motorsikal. Akad nikah secara tiba-tiba terpaksa ditangguhkan sebentar apabila wali kepada Mak tiada. Pada awalnya, mereka fikir pengantin perempuan boleh berwalikan dengan Hj Mesir yang mana merupakan Ayah tiri kepada Mak. Maka suasana menjadi sedikit kelam kabut apabila terpaksa bergegas mencari wali kepada Mak. Akhirnya, adik kepada Mak iaitu Asban menjadi wali pernikahan ini. Apa yang menjadi sedikit lucu, ketika Asban dicari untuk menjadi wali, dia berada di dalam kandang kambing. Mak sendiri tidak pasti sama ada Asban sempat mandi atau tidak semasa menjadi wali. Usai akad nikah, Ayah membawa Mak pulang dengan hanya berbasikal. Rumah Ayah ketika itu hanyalah sebentuk kotak, tiada bilik dan hanya berbekalkan dua tingkap. Namun itu sudah memadai, rumah yang besar belum menjaminkan apa-apa natijah kepada kehidupan seterusnya.
Aku kerapkali tersenyum sendiri apabila mengenangkan cerita ini. Entah sudah berapa kali aku bertanyakan hal pernikahan ini kepada Mak aku. Kadang kala aku merasa hairan dan pernah bertanya pada diri sendiri, ‘semudah itu?’ Apabila membandingkan dengan perkahwinan yang berlangsung dewasa ini, aku cuba mencari rasional harga perkahwinan yang bernilai puluhan ribu ringgit tetapi akhirnya kecundang dimeja talaq. Cerita ini akan aku kenang sebagai satu kisah nostalgik yang amat bermakna untuk dikongsikan pada generasi yang akan datang, dan mungkin juga pada diri aku sendiri.
Bersambung...

Friday, June 11, 2010

Langit Petang

Akan datang, aku akan menulis satu siri yang terbaharu dan mungkin yang terbaik pernah aku hasilkan.
Nantikan... "Langit Petang..."

Link Terpilih

Blog Widget by LinkWithin