Thursday, July 22, 2010

Langit Petang - Siri 3 (i)


Siri 3: Zaman hitam dan putih (i)..


Zaman kanak-kanak merupakan zaman yang paling aku samar tentangnya. Tidak banyak memori yang disimpan, namun ada beberapa memori yang cukup berbekas dalam hati. Aku percaya, zaman kanak-kanak hanya ada dua warna sahaja, sama ada hitam atau pun putih. Kita mencorakkan kehidupan tanpa banyak fikir dan soal, menuruti tanpa tahu sama ada betul atau salah, dan tiada siapa yang terlalu mengambil berat tentang keputusan kita.

Aku seorang yang aktif ketika kacil, bergerak ke sana dan ke sini tanpa menghiraukan panas terik. Kadangkala makanan tengah hari aku tidak jamah, lewat petang menjengah maghrib baru aku pulang. Ketika Mak dan Ayah keluar menoreh, aku dijaga oleh Akak aku. Yin nama panggilannya. Sepatutnya, ketika itu dia perlu memasuki kelas Tadika, namun disebabkan perlu menjaga aku, dia tidak mengambil kelas Tadika, tetapi terus masuk darjah satu pada tahun berikutnya. Jika terlalu bosan duduk di rumah, aku dan Yin akan mengayuh basikal ‘jaguar’ pergi ke kebun getah di mana Mak dan Ayah menoreh. Basikal ‘jaguar’ yang disebut bukan bermakna basikal itu keluaran syarikat kereta ‘Jaguar’, tetapi satu istilah yang merujuk kepada basikal tua yang mempunyai tempat duduk di belakang yang agak lebar. Aku sendiri boleh duduk bersila jika duduk di tempat duduk belakang. Jangan ditanya bagaimana muncul gelaran basikal ‘jaguar’, aku hanya menurut pada kebanyakkan orang. Basikal seperti ini kerapkali muncul dalam filem-filem Melayu lama. Kalau si kecil berhajat besar untuk menunggang basikal jenis ini, terdapat cara yang unik. Kita perlu mengayuh basikal ini dengan keadaan berat sebelah di mana badan kita akan menyilang ke bawah palang di tengah basikal. Kemudian kita akan mengayuh seperti orang yang hilang keseimbangan.

Ketika itu, Mak dan Ayah menoreh di Kampung Parit Ghani, jaraknya daripada rumah lebih kurang 10 kilometer atau mungkin lebih. Kebun tempat Mak dan Ayah aku menoreh dimiliki oleh seorang saudara yang berpangkatkan Nenek, ibu saudara kepada Mak, namun aku memanggil dia dengan gelaran Atok. Disebabkan keuzurannya, dia mengupah Mak dan Ayah untuk menoreh dikebunnya, dan hasil jualan getah buku akan dibahagikan dua. Masih terngiang-ngiang ditelinga aku, bagaimana Ayah dan Atok berbincang untuk membahagikan hasil jualan getah buku, kadangkala kedengaran suara bernada tegas. Ayah aku tidak pernah bersekolah, aku tidak pasti bagaimana dengan Atok, mungkin tidak juga. Pada fikiran aku, kekurangan seperti ini yang memungkinkan kesukaran untuk membahagikan hasil jualan walaupun pada hakikatnya hasil jualan tidak seberapa. Pada awal perjumpaan dengan Atok, aku merasa pelik dan hairan melihat kedua matanya. Kelihatan tidak selari pergerakan antara kiri dan kanan. Setelah diselidiki, rupanya Atok memakai mata batu. Salah satu bebola mata asalnya telah rosak dan telah digantikan dengan mata palsu. Sama seperti Mak, namun mata yang rosak itu tidak pula diganti dengan mata palsu.

Keluarga aku dihadiahkan televisyen oleh Cik Asban, berstatus Pak Saudara yang merangkap adik ipar Mak. Tidak pasti, usia aku berapa tahun ketika itu. Apabila sesebuah keluarga memiliki televisyen sudah cukup menggambarkan kehidupan yang agak mewah. Memiliki televisyen juga memerlukan lesen, sampai sekarang aku masih memikirkan rasionalnya kenapa undang-undang sebegitu pernah dibuat. Kini, televesyen sudah menjadi asasi. Setiap keluarga seolah-olah wajib memilikinya. Apabila berjumpa rakan-rakan, bercerita tentang rancangan televisyen sudah menjadi satu kemestian. Antara rancangan kegemaran kanak-kanak ketika itu, Usop Sontorian dan juga kuiz Di mana Joe Jambul. Aku masih ingat trademark rancangan kuiz kelolaan Kak Zizi itu, watak Joe Jambul yang mempunyai jambul yang besar dan juga sebutan berlagu nama rancangan itu yang mudah diingati. Namun aku fikir, kini peranan televisyen semakin suram, generasi baru (termasuk diri yang menulis) tampak lebih gemar menggunakan internet. Ada beberapa menyebab yang difikirkan menjadi punca permasalahan ini, antaranya ialah kawalan dan sekatan yang keterlaluan. Tidak dinafikan, ada sebahagian sekatan itu baik untuk menapis rancangan-rancangan yang tidak bersesuaian dengan etika Timur, namun jika tapisan itu juga melibatkan aspek pemikiran dan intelek, ia sesuatu yang sukar diterima. Kerencaman pemikiran sewajarnya kita cambah, tidak kira sama ada dalam bidang politik, agama dan juga budaya. Adakah kerana suatu pemikiran itu berbeza dengan kita, maka ia perlu diharamkan tanpa perlu kepada ruang untuk berhujah dan menjawab? Jika itu yang kita ingin tuju, maka jadilah kita bangsa yang jumud dan hidup dalam dunia kepompongnya sendiri.

Bersambung...

Thursday, July 15, 2010

Aku Bukan Tuhan!


Aku pernah ditanya tentang soal itu..
Bukan sekali, namun berkali-kali..

Soalan itu kadangkala berbeda nada..
Berbeza rangkap, namun menjurus pada yang sama..

Berhenti bertanya padaku soal itu!
Bukan aku yang memegang kunci-kunci, pada pintu-pintu rezeki..
Kerana aku bukan Tuhan.. Aku bukan Tuhan!

Monday, July 12, 2010

Penyakit orang-orang ‘muda’...

Penyakit orang-orang “muda” yang baru menapakkan kakinya beberapa langkah di dunia ilmu keislaman adalah mereka tidak mengetahui kecuali satu pendapat dan sudut pandang yang mereka dapatkan dari satu orang syeikh (guru). Mereka membatasi diri dalam satu madrasah dan tidak bersedia mendengar pendapat lainnya atau mendiskusikan pendapat-pendapat lain yang berbeda dengannya.

Anehnya, mereka ini melarang bertaqlid, padahal sebenarnya mereka sendiri bertaqlid. Mereka menolak mengikuti para imam terdahulu, tetapi mereka bertaqlid kepada sebahagian ulama masa kini. Mereka bahkan menolak madzhab, padahal mereka sendiri menjadikan pendapatnya sebagai “madzhab kelima” dengan membelanya mati-matian dan menolak setiap orang yang berbeda pendapat dengannya. Mereka menolak ilmu kalam klasik yang mengutamakan perdebatan kalamiah, tetapi sebenarnya mereka sendiri telah membuat “ilmu kalam baru” dengan pembicaraan mereka yang tidak memperhatikan penanaman aqidah di dalam hati, tetapi hanya mementingkan perdebatan sekitar masalah-masalah aqidah.

Sesungguhnya, sikap mereka terhadap kebenaran tak ubahnya seperti sikap orang-orang buta terhadap gajah dalam kisah India yang terkenal. Mereka tidak mengetahui gajah melainkan bahagian yang disentuh olehnya.
Seandainya mereka mahu memperluaskan wawasan, niscaya mereka akan mengetahui dan menyedari bahawa persoalan yang dihadapi itu lebih luas dari sekitar satu pendapat dan keanekaragaman pendapat itu dapat ditoleransi. Akan tetapi, yang penting adalah bersikap adil, meninggalkan fanatisme, dan mahu mendengarkan orang lain, sekalipun mungkin mereka lebih benar pendapatnya.

(Dr Yusuf Al-Qardhawi, Fiqhul Ikhtilaf)

Saturday, July 3, 2010

Langit Petang - Siri 2


Siri 2: Kelahiran
Setelah dua tahun berkahwin, akhirnya Mak dan Ayah dikurniakan anak pertama. Kemudian tahun silih berganti, sehingga lahirlah sembilan adik-beradik. Ramai yang terkejut apabila mengetahui bilangan adik-beradik aku yang ramai. Jika mengikut sejarah, memang menjadi kebiasaan keluarga berketurunan Jawa mempunyai anak yang ramai. Oleh itu, jika jumlah adik-beradik 8, 9 atau lebih daripada itu dianggap sesuatu yang normal. Aku merupakan anak yang ke-7. Menjadi anak yang lahir hampir kepada bongsu tidak menjanjikan apa-apa, kehidupan ketika itu sangat sukar.
Ketika mak ingin melahirkan aku, bidan yang ditugaskan menyambut kelahiran bayi kawasan sekitar Bukit Gambir tiada. Difahamkan, Bidan itu pergi menyambut kelahiran bayi lain. Maka terpaksalah Ayah pergi ke kawasan Simpang Lima mendapatkan Bidan lain. Simpang Lima dan Bukit Gambir tidaklah terlalu jauh, mengambil masa lebih kurang 15 minit perjalanan. Namun, kerana keadaan ketika itu awal pagi sekitar pukul 2 - 3 pagi, ia menjadi sedikit sukar. Pergi ke hospital bukan satu pilihan yang baik. Jarak untuk ke Hospital Daerah sahaja akan memakan masa lebih kurang 45 minit, ditambah lagi dengan isu ketiadaan kenderaan.  
Akhirnya, aku dilahirkan pada sekitar jam 4 pagi, 24 September 1987 dan disambut oleh seorang Bidan Cina. Keesokan harinya, kehilangan Bidan Bukit Gambir itu terjawab apabila dia dikhabarkan menyambut kelahiran bayi di sekitar rumah jiran. Jarak rumah jiran itu hanya selang beberapa rumah sahaja. Dalam tidak sedar, aku mempunyai kembar (lain Emak dan lain Ayah) yang lahir pada waktu yang hampir sama, cuma bezanya dia lahir lewat sedikit iaitu pada jam 6 pagi.
Ketika aku kecil, tiada istilah lampin bayi pakai buang yang berjenama dan jika ada pun, itu bukanlah pilihan yang baik. Memang menjadi lumrah bayi ketika itu akan memakai lampin kain yang berwarna putih. Setiap kali selepas melepaskan hajat, lampin kain itu akan dibasuh dan digunakan semula. Aku masih ingat jalur halus benang-benangnya, ia kelihatan sedikit jarang. Sama ada selesa atau tidak memakai lampin ini, sudah pasti aku tidak mampu ingat. Namun untuk membandingkan dengan lampin pakai buang yang ada kini, sudah pastinya ia jauh berbeda melangit. Tradisi pemakaian lampin jenis ini kekal sehinggalah ke adik yang paling bongsu. Entah masih ada atau tidak tradisi pemakaian lampin kain itu tatkala kini, mungkin sudah tiada.
Orang kata, sebaik-baik susu adalah susu ibu. Aku sangat bersetuju, kerana aku sendiri pernah bergantung pada susu ibu. Seorang cikgu yang pernah mengajar aku pernah berkata, kedegilan anak-anak muda sekarang ini mungkin kerana tidak minum susu ibu. Mereka dibesarkan dengan diberi minum susu lembu, maka sifatnya lebih kurang seperti seekor lembu. Memang kenyataan ini kelihatan bersifat dangkal, apa kena mengena dengan minum susu lembu dengan pembentukan peribadi seseorang? Namun begitu, kita kadangkala melihat ada benarnya kenyataan ini. Entah kebetulan atau tidak, aku sendiri tidak pernah mengambil secara serius apa yang diperkatakannya.     
Tatkala menceritakan tentang kelahiran, Al-Quran telah mendahului sains moden apabila sudah menceritakan secara terperinci tentang kejadian manusia 1400 lepas. Seperti mana yang diceritakan oleh Allah dalam kitab-Nya:
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kokoh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik.”
(Surah Al-Mu’minuun: 12-14)
Antara prinsip hidup yang aku pegang adalah, kehidupan ini tidak dinilai semata dengan masa, tempat dan bagaimana kita dilahirkan, namun ukuran sebenar kehidupan adalah pada kematian. Jika seseorang itu dilahirkan sebagai seorang Islam, namun pada kehidupan dan saat kematian dia gagal menjadi Islam, alangkah sia-sia kehidupannya itu. Oleh itu, marilah kita belajar untuk hidup dan mati dalam Islam!
Bersambung…

Link Terpilih

Blog Widget by LinkWithin