Sunday, March 13, 2011

Kartunis Zoy dan Berita Harian tiada Sensitiviti?


Hari ini (13/3/2011) kecoh dengan isu berkenaan kartunis Zoy dan Berita Harian yang dikatakan tidak sensitif dengan perasaan rakyat Jepun apabila menyiarkan kartun seperti diatas. Lukisan kartun berkenaan berkisar watak Ultraman yang sinonim dengan masyarakat Jepun yang sedang cemas melarikan diri daripada ombak tsunami. Isu ini semakin menjadi hangat apabila ia mula mendapat perhatian media antarabangsa seperti CNN. Sila rujuk link ini.

Isunya kelihatan amat berat, berkisar sensitiviti. Namun, terdapat persoalan yang timbul, dibahagian manakah pada kartun itu yang dikatakan tiada unsur sensitiviti? Apakah watak kartun Ultraman yang sedang berlari daripada ombak tsunami itu menghina rakyat Jepun? Ataupun mungkin watak kartun itu tidak sesuai, wajar ditukarkan kepada watak Naruto atau Doraemon? Atau mungkin disebabkan kartun ini dikeluarkan di Berita Harian, maka ia amat menghina dan sangat tidak sensitif!

Ruangan kartun kelolaan kartunis Zoy di Berita Harian acapkali sinis dalam penyampaian. Memang normal untuk kita melihat para kartunis yang acapkali melukis dalam bentuk penyampaian yang berbentuk sinis, kadangkala ia sukar pula untuk ditafsirkan. Namun kartun yang dilukis oleh kartunis Zoy tidaklah sebegitu sukar untuk difahami, bahkan tidak pula memerlukan kita untuk mendapatkan segulung ijazah. Semua orang sedia maklum, watak Ultraman amat sinonim dengan Jepun dan sudah pastinya watak itu mewakili negara Jepun dengan kemegahannya sebagai kuasa besar bukan sahaja di Asia bahkan dunia. Ombak tsunami yang sedang 'mengejar' Ultraman itu tidak perlu kepada terjemahan. Jelas ia bencana alam, atau lebih tepat kuasa TUHAN. Bukankah mesej yang disampaikan cukup jelas? Ultraman sedang 'cemas' dilanda tsunami. Jika masih tidak jelas, Jepun sedang dilanda ombak tsunami! Kartunis sedang memberikan gambaran sebenar keadaan di Jepun dalam bahasa seorang kartunis.

Jika anda mahu kepada ulasan atau terjemahan maksud kartun itu yang lebih mendalam dan sinis, boleh sahaja. Begini, watak Ultraman bukan sahaja melambangkan Jepun dengan kemegahannya, namun ia melambangkan juga kuasa manusia yang dikira 'sangat hebat' dengan pelbagai kejayaan membangunan teknologi-teknologi baru tetapi akhirnya terpaksa akur dengan MAHA hebat kuasa penciptanya. Setinggi mana kejayaan manusia atau mana-mana negara, akhirnya ia perlu tunduk dengan kekuasaan Tuhannya. Cukup positif bukan mesejnya?

Mungkin selepas ini ada yang menuduh penulis juga tiada sensitivi bahkan biadap! Sebelum menuduh penulis sebegitu, tolong jelaskan bahagian mana pada kartun itu yang dikatakan menghina dan biadap terhadap mangsa-mangsa tsunami di Jepun?

Kadangkala penulis terfikir, kita tiada sensitiviti atau terlebih rasa sensitif?

Link Terpilih

Blog Widget by LinkWithin