Sunday, January 27, 2013

Politik Menurut Saya

Pucuk Hijau
 
Ketika mula belajar di Universiti pada tahun 2006, saya mempunyai kegilaan yang luar biasa terhadap dunia politik Malaysia. Kegilaan saya ini dicetuskan oleh rasa hinaan apabila merasa diri tiada apa-apa nilai yang boleh menyaingi rakan-rakan Universiti yang rata-rata hadir dengan minat yang berlainan dan mengagumkan. Selaku pelajar yang pasif dalam sukan, saya memilih untuk aktif dalam dunia yang tidak memerlukan peluh jantan untuk menitik. Saya bermula dengan membaca akhbar-akhbar politik picisan yang terjual secara mingguan atau bulanan. Apa nama akhbar itu, saya tidak mampu untuk mengingatinya kembali. Tetapi, apa yang masih saya ingat terdapat cerpen-cerpen politik yang mengunakan nama haiwan sebagai dukungan watak untuk mengambarkan politikus-politikus yang sedang bertarung hangat di arena politik negara. Kini saya merasa, cerpen-cerpen itu tidak lebih daripada sebahagian satira politik yang keterlaluan dan berlebihan dalam mengambarkan musuh politik mereka.



Oleh kerana Universiti yang saya duduki itu masih pucuk hijau, gerakan politik dikalangan pelajar amat kaku. Semasa pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar, tiada istilah pro-aspirasi atau pro-mahasiswa. Apa yang ada hanya menang tanpa bertanding. Medan pertemburan pula hanya berlaku di medan-medan maya seperti diskusi kumpulan Universiti di laman sosial Friendster. Maaf, ketika itu Facebook masih belum seperti sekarang. Boleh dikatakan, saya antara orang yang aktif di dalam diskusi maya itu. Kelebihan menulis yang saya ada digunakan sebaikkannya untuk menyebarkan idealism politik yang saya imani ketika itu. Saya pernah ditegur oleh seorang rakan, kebetulan dia merupakan orang kuat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA). Katanya, saya sedang berada dalam pemerhatian pihak HEPA. Ketelanjuran ketika itu, kempen Pilihanraya Umum ke-12 (PRU-12) sedang hebat berlangsung. Kehebatan itu boleh digambarkan seperti “makan beralaskan poster kempen PRU-12, tidur bermimpikan keputusan PRU-12 dan duduk termenung di atas mangkuk tandas memikirkan nasib Malaysia PRU-12”. Kecenderungan terhadap politik menyebabkan kadang kala saya menjadi bahan senda gurau dan ‘rujukan’ kepada rakan-rakan lain. 

Alam Realiti

Kehebatan di alam maya tidak menjadikan saya hebat di dalam dunia realiti. Saya seorang yang tidak aktif berpesatuan atau mengikuti mana-mana jemaah. Saya lebih gemar memilih pendekatan melihat dari jauh, walaupun kadang kala hadir dalam aktiviti yang dijalankan oleh kumpulan atau jemaah tertentu seperti seminar dan juga forum. Pernah di ‘basuh’ oleh rakan tentang kepentingan berjemaah tidak pernah memudarkan prinsip saya itu. Keengganan saya untuk melibatkan diri di dalam mana-mana kumpulan berpaksikan kepada beberapa hal, antaranya saya merasakan keterikatan saya akan menyebabkan cara fikir terkongkong dalam ruang lingkup kumpulan itu sahaja. Pandangan saya ini berdasarkan pemerhatian secara peribadi, melihat ramai individu yang hanya bercakap dalam konteks kumpulan sahaja. Pertimbangan juga akan menjadi dacing yang cacat kerana terpaksa menjaga kepentingan kumpulan atau jemaah. Ramai yang menafikan bahawa mereka terikat, namun hakikatnya amat berbeda. Ini fenomena yang menyedihkan. Benar, bukan semua tetapi malangnya ramai yang begitu. Walaupun saya memilih pendirian itu, saya amat terbuka bahkan menggalakkan rakan-rakan lain terlibat. Saya akan mengutip pengalaman-pengalaman mereka dan bersifat analitikal. Bagi saya, ini adalah kemanisan untuk mematangkan pemikiran sendiri terhadap isu-isu politik, agama, semasa dan kenegaraan. 

Pendirian Politik

Tun Dr Mahathir pernah menyatakan pendapat mengenai pembentukan fasa politik seseorang sewaktu menulis kata pengantar di dalam buku tulisan Kassim Ahmad yang bertajuk, ‘Mencari Jalan Pulang: Dari Sosialisme Kepada Islam’. Beliau menyebut tentang tiga fasa, pertama seseorang itu akan cenderung kepada politik kiri, pada fasa kedua akan menjadi seseorang yang berada dipertengahan dan ketiga akan menjadi berat kepada politik kanan. Saya ingin menyalin bulat kata-kata Tun, tetapi malangnya buku itu telah hilang daripada simpanan! Politik kiri saya bermula dengan sedikit ekstrim iaitu pada usia seawal 12 tahun. Apabila krisis politik berlaku ketika itu, seorang Ustazah menzahirkan kata-kata kebencian terhadap Dr Mahathir dengan berkata gambarnya yang tergantung di dinding kelas itu selayaknya dipijak sahaja. Apabila kelas beransur habis, saya bersama rakan-rakan berasa terinspirasi dengan kata-kata Ustazah itu lantas bertindak menurunkan gambar Dr Mahathir sambil mengoyakkan dan memijak-mijak wajahnya. Kami lakukan dengan penuh beremosi, tapi kosong. Apa itu liwat dan bulu ari-ari pun masih belum kami ketahui maknanya.   

Di awal Universiti, saya masih berhaluan kiri. Beranggapan Pak Lah sebagai pemimpin yang tidur dan lemah. Khairi Jamaluddin (KJ) pula seorang politikus muda yang egois dan bodoh sombong. Secara tidak sengaja, saya mula mengangkat Dr Mahathir sebagai hero. Perbandingan mula dilakukan. Kritikan-kritikan Dr Mahathir terhadap Pak Lah dan KJ mula dijadikan firman-firman politik. Pas pula mula menawarkan tempat terhadap Dr Mahathir, dan ayat-ayat Mahafiraun sudah tidak lagi kedengaran. Setelah keluar dari penjara, saya melihat Anwar Ibrahim menjadi figura politik yang sangat mengiurkan. Saya selalu terkesima mendengar ucapan-ucapan beliau yang bersifat memahami apa yang marhaen rasakan. Walaupun kadang kala ia mungkin lebih bersifat simpati terhadap apa yang pernah berlaku pada dirinya dan keluarga. Hal ini berterusan sehinggalah Pakatan Rakyat memenangi sejumlah besar kerusi Parlimen dan ia cukup mengagumkan kerana pada awalnya saya fikir Pakatan Rakyat akan tewas dengan mudah. Kebimbangan telah bertukar menjadi berita gembira.

Pendirian Politik 2.0 

Setelah hampir setahun Pakatan Rakyat memenangi beberapa buah negeri, pendirian politik saya mulai goyah. Saya mula sedar tentang apa itu politik dan berpolitik. Politik dan berpolitik tidak sama. Berpolitik ketika menjadi pembangkang tidak sama ketika menjadi pemerintah. Kejelekan terhadap kebobrokan orang politik begitu memuncak. Janji-janji tentang surga dunia jika berjaya memerintah mula mengkhianati pendirian saya sendiri. Menyedari hal itu, saya kembali mengosongkan jiwa politik dan mula berusaha mengisi dengan politik baru yang lebih realistik dan dinamik. Saya tidak lagi mudah terpedaya dengan angka-angka yang bersifat populis dan janji-janji yang tiada asas untuk mampu dilakukan. Saya fikir, hal ini turut dilakukan oleh kebanyakkan anak muda. Ramai juga ahli politik juga turut terpaksa menyesuaikan diri dengan perubahan politik baru ini. Antara yang mengagumkan saya ialah KJ, beliau bangkit menjadi orang yang baru setelah menyepi seketika akibat teruk dikritik kerana dituduh menjadi antara penyebab utama kemerosotan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN). Perdebatannya bersama Rafizi di kota London telah berjaya mencuri perhatian saya. Pertembungan yang banyak bermain dengan angka dan fakta antara kedua anak muda ini begitu mengujakan. Masing-masing kelihatan begitu profesional ketika mengemukakan penghujahan dan menjawab soalan. Tiada lagi kisah dalam kain perlu dibangkitkan. KJ telah memilih jalan yang betul.

Jika dulu saya berlebihan melihat lambang (walaupun tidak terlibat) dan hanya tokoh-tokoh tertentu, kini saya miliki pendirian politik baru. Saya melihat atas kapasiti individu, bukan lagi lambang dibelakangnya atau kepetahannya menukil janji. Politik tidak lagi berkisar tentang parti politik semata. Ia melibatkan banyak juzuk tatacara pengurusan negara. Berpolitik juga tidak sewajarnya hanya mampu menunjukkan kelemahan dan korupsi musuh politik, tetapi juga mesti mampu membawa idea-idea baharu yang sesuai dengan zaman dan bersifat realistik dengan kondisi yang sedia ada. 

Proses kematangan

Mungkin ada yang bertanya, apa motif tulisan ini dinukilkan? Saya bukanlah orang besar, tetapi saya merasakan setiap orang akan mempunyai jalur kematangan pemikiran politik sendiri dan saya ingin berkongsi dengan pembaca. Tidaklah juga saya bermaksud untuk membuktikan kebenaran kata-kata Tun Dr Mahathir kerana saya sendiri tidak tahu dimana fasa yang saya berada sekarang. Perkongsian ini mungkin bermanfaat pada sebahagian manusia yang akan, sedang dan pernah mengalami proses kematangan pemikiran politik sebagaimana saya. Saya percaya, dengan membaca pengalaman orang lain, ia akan membantu proses kematangan seseorang dan tentulah ke arah yang lebih baik!

Link Terpilih

Blog Widget by LinkWithin