Sunday, December 21, 2014

Berpolitik tetapi Budiman



Lewat ini, saya mempunyai sedikit kerisauan terhadap parti Pas. Ini kerana Pas dalam banyak hal kelihatan hilang dan tenggelam dalam dalam asakan ganas rakan-rakan parti yang lain di dalam Pakatan Rakyat. Acapkali saya memikirkan dimanakah Pas akan meletakkan dirinya dalam masa sepuluh tahun yang akan datang? Pas pastinya masih wujud dalam bentuk entiti kepartian, tetapi apakah kewujudan Pas ketika itu masih releven terutamanya dikalangan generasi anak muda?

Menuju Politik Baru
Baru-baru ini Pas melalui Jabatan Pendidikan Politik Pemuda Pas telah menganjurkan sebuah kem Akademik Politik Budiman (Budi) yang menyasarkan penglibatan anak muda. Jika sebelum ini parti PKR mempunyai Sekolah Politik (SekPol) dan DAP mempunyai Sekolah Demokrasi (SekDem) sebagai instrumen mendidik anak muda tentang politik baru & demokrasi, maka Pas juga kini telah mempunyai program yang hampir sama, Akademik Politik Budiman (Budi). Kewujudan program ini menunjukkan Pas sedang serius untuk menyaingi serta menyimbangi pengaruh rakan mereka didalam Pakatan Rakyat terhadap anak muda.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh United Nations Inter-Agency Network on Youth Development (UN IANYD) pada Ogos 2008, majoriti seramai 13,000 ribu orang di 186 buah negara bersetuju antara masalah utama bagi golongan muda di dalam politik adalah peluang yang terhad untuk terlibat secara berkesan didalam membuat dasar serta polisi. Peluang yang sangat terhad ini telah menyebabkan mereka merasa terpinggir dan telah menjauhkan golongan muda dengan institusi politik. Program pendidikan politik dan demokrasi terhadap golongan muda seperti program Budi ini mampu menjadi sebahagian kepada penyelesaian untuk mendekatkan golongan muda kepada institusi politik. Ini kerana, program seperti ini memberikan pendedahan tentang ilmu politik baru, sistem demokrasi, ekonomi, dasar serta polisi negara, kontrak sosial, pengurusan isu dan persepsi, parlimen muda, dan yang paling menarik memberi peluang anak muda mengajukan soalan, memberikan idea serta pendapat terus kepada tokoh-tokoh politik dan akademik yang hadir sewaktu program berlangsung. Ia tidak sama seperti program-program "cliché" yang lain kerana bersifat satu hala, terima dan telan.

Aspirasi Politik Budiman
Kita seringkali mendengar perkataan budi, dan secara umumnya kita memahami sebagai kata yang membawa maksud jasa. Namun apabila Ketua Pemuda Pas menyebut tentang Politik Budiman, beliau cuba membawa maksud roh yang lebih besar. Di dalam sebuah rencana yang bertajuk "Membudayakan Politik Budiman", saudara Suhaizan Kaiat menulis tentang beberapa ciri-ciri penting apabila beliau menggagaskan idea Politik Budiman. Antara ciri utamanya adalah politik berdasarkan hujah dan ilmu, membudayakan adab dalam perbezaan pandangan politik, berpolitik dengan akhlak dan etika yang tinggi, serta berintegriti dan akauntabiliti.

Jika diamati semua ciri-ciri ini, ia merupakan satu bentuk reaksi balas terhadap kebobrokan realiti politik yang sedang berlaku ketika ini. Pentas politik Malaysia dipenuhi dengan politik kebencian, korupsi, sangat berbaur emosi dan peribadi.  Generasi baru menilai permainan politik orang lama ini sebagai sesuatu yang amat menjengkelkan kerana ianya tidak dapat membantu generasi muda menyelesaikan banyak masalah-masalah yang berlegar disekitar mereka. Generasi muda berhadapan dengan isu yang "real'' seperti masalah ekonomi, peluang untuk mendapatkan pendidikan yang baik, sukar mendapat pekerjaan, kos sara hidup yang tinggi, pertembungan ideologi pemikiran, dan soal kebebasan. Politikus Malaysia kini lebih ramai yang berminat untuk berdebat soal siapa yang bersalah dalam kes liwat, kesahihan video lucah, mempersoalkan kenapa isteri pemimpin  tidak memakai tudung, dan bala telah menimpa negara kerana MAS menjual arak dan pramugarinya tidak menutup aurat.

Politik itu Dinamik
Dr Maszlee Malik di dalam sebuah kertas kerja yang bertajuk "Siyasah Syar'iyyah Di Dalam Kerangka Demokrasi Berparlimen Di Malaysia" menyatakan ramai pemikir dan fuqaha reformis kontemporari menyebut tentang betapa perlunya metod yang baru bagi melihat kedudukan politik di dalam Islam agar lebih harmoni dengan Maqasid al-Shari'ah. Beliau juga memetik pendapat Dr Yusuf al-Qaradawi yang menyifatkan isu politik termasuk di dalam ruang ijtihad yang amat luas bagi para Muslim menghasilkan pendapat-pendapat yang baru dan berpandukan Maqasid al-Shari'ah.

Hal ini amat penting untuk ditekankan agar Pas dapat melihat politik dalam kerangka yang lebih luas kerana sistem politik dunia telah berubah menjadi lebih kompleks dari sebelumnya. Prof. Madya Datuk Dr Asri pula menyebut tentang politik adalah satu bidang yang membabitkan soal menguruskan manusia. Budaya dan zaman telah berubah. Iklim politik pada zaman Rasulullah dan sahabat sudah tentu tidak sama dengan zaman Umawiyyah dan Abbassiyah. Menurut beliau, sesiapa yang cuba melaksanakan pemerintahan politik menurut Islam secara literal dengan mengadaptasi teks lampau ke zaman kini, maka dia seorang yang naif dan dangkal dalam memahami tabiat politik dan rasional Islam itu sendiri.

Perjuangan Politik
Biar apa pun nama gagasan idea yang dicanang dalam membentuk pemikiran politik baru, akhirnya perjuangan politik itu mestilah yang mendapat manfaat terbesar adalah rakyat. Ini kerana perjuangan politik bukanlah hanya sekadar mahu menukarkan kerajaan A kepada kerajaan B semata atau sebaliknya, tetapi perjuangan politik adalah tentang usaha penentangan rakyat terhadap kuasa yang korup dan menindas. Kita mahu menukar prinsip dan nilai, bukan jenama parti atau kerajaan. Perjuangan politik soal isi, bukan kosmetik!

Friday, August 1, 2014

Hipokrasi Isu MB Selangor

Jari-jari ini tidak dapat menahan dari mengetuk papan muka komputer riba kerana terlalu banyak amarah dan perasaan yang sakit. Terasa banyak yang ditipu dan dikhianati. Mahu sahaja mukadimah ini dimulakan dengan maki hamun, tetapi memikirkan kami rakyat semakin matang dan kami tidak mahu kelihatan sama seperti sebahagian ahli politik yang suka mempamerkan kebodohan mereka di alam maya. Oleh itu, naskah ini dibawakan dengan bertujuan mengetuk dunia hipokrasi ahli politik apabila berhadapan dengan isu Menteri Besar (MB) Selangor.



Double Standard

Pembinaan lebuhraya Kidex dikatakan menjadi antara faktor utama usaha untuk menyingkirkan Tan Sri Khalid Ibrahim dari jawatan MB Selangor. Antara hujah utama yang dicanangkan ialah pembinaan lebuhraya Kidex yang bertentangan dengan aspirasi Pakatan Rakyat iaitu menolak pelaksanaan lebuhraya bertol, tidak mengambil kira pandangan masyarakat sivil dan terdapat unsur kronism yang berkait rapat dengan UMNO. Jika benar ini menjadi hujah sandaran mereka, maka akan terdapat kontradiksi yang besar dandouble standarddalam Pakatan Rakyat. Apakah projek Penang Undersea Tunnel di Pulau Pinang yang menelan belanja RM 6.3 bilion itu menggambarkan aspirasi Pakatan Rakyat yang tidak mahu lebuhraya bertol? Ini kerana menurut laporan The Edge Financial Daily (30 Sep 2013), akan terdapat konsesi tol selama 30 tahun untuk projek ini. Ya, 30 tahun!

Consumers Association of Penang (CAP) menerusi Presidennya, S.M Mohamed Amin juga mengkritik keras Lim Guan Eng kerana projek ini telah mengabaikan bantahan dan kritikan sejumlah NGO kerana projek ini dikatakan boleh memberikan impak negatif yang besar terhadap alam sekitar. CAP juga mendesak supaya kajian yang lebih mendalam dilakukan agar dapat memberikan analisis terperinci tentang keperluan dan impak projek ini terhadap masyarakat dan alam sekitar Pulau Pinang. Mengapa ada dua reaksi yang berbeza pada isu yang prinsipnya sama? Kenapa tiada desakan untuk Lim Guan Eng meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri kerana membelakangkan aspirasi Pakatan Rakyat?

Isu konsesi air di Selangor juga dicanang menjadi alasan yang kukuh untuk menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim dari tampuk MB Selangor. Persoalan demi persoalan timbul berkaitan dengan isu konsesi sehinggakan menimbulkan keraguan yang munasabah. Terbaru, Raja Petra Kamaruddin (RPK) di dalam laman blognya mendedahkan wujud campur tangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim apabila beliau didakwa mengaturkan pertemuan antara Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah dengan Tan Sri Khalid Ibrahim mengenai tawaran harga pengambilalihan Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB). Sehingga saat ini, Tan Sri Khalid Ibrahim sudah selesai memulakan tawaran pengambilalihan kesemua syarikat konsesi air kecuali SPLASH dengan termeterainya “Heads of Agreement”.

KDEB membuat tawaran pembelian dengan harga RM 250.6 juta tetapi SPLASH menuntut dengan harga sebanyak RM 2.5 bilion. Tan Sri Khalid Ibrahim dikatakan tetap berdegil dengan tawaran RM250.6 juta dan telah memaksa Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah meminta Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengaturkan pertemuaan antara mereka berdua. Aturan pertemuan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak dinafikan oleh Tan Sri Wan Azmi apabila menjawab tuduhan RPK di dalam laman blognya dan mendakwa ia dilakukan atas kapasiti Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor. Kenyataan balas beliau boleh dibaca dilaman blog RPK.

Tan Sri Wan Azmi bukan sekadar salah seorang seorang pemegang saham didalam SPLASH, tetapi lebih dari itu, beliau merupakan salah seorang ahli Lembaga Pengarah Institut Rakyat yang menjadi kumpulan pemikir (think tank) kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Tidakkah tindakan menggunakan Anwar Ibrahim mengundang rasa curiga terhadap kewujudan unsur kronism? Ini ditambah lagi dengan kenyataan Rafizi Ramli yang menyatakan bahawa perjanjian air di Selangor akan dikaji semula jika MB Selangor bertukar tangan seperti yang dilaporkan oleh The Edge Malaysia (23 Jul 2014). Apakah akan ada kemungkinan tawaran harga RM250.6 juta itu akan menjadi RM2.5 bilion jika MB Selangor bertukar? Urusan yang melibatkan aset dan kepentingan awam bukan hanya setakat perlu bersih, tetapi ia juga perlu kelihatan bersih!

Pas Keluar Pakatan Rakyat

Apabila petikan perbincangan tertutup di antara Dr Zuhdi Marzuki dan rakan-rakan AJK Pas Pusat bocor, maka terdapat kritikan yang maha hebat dari PKR dan DAP yang meminta tindakan itu dan ini daripada Presiden Pas terhadap Dr Zuhdi Marzuki. Hal ini dapat difahami dengan mudah sebenarnya, tetapi ada sebahagian politikus yang cuba mengambil kesempatan menggunakan isu ini untuk mengaburi isu lain yang lebih besar. Sebagai seorang yang menjawat jawatan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli tidak perlu berpura-pura menjadi naïf dengan membuat reaksi terkejut bercampur marah terhadap isi perbincangan yang telah dibocorkan itu.

Sebagai sebuah organisasi politik yang besar, Pas apabila membincangkan sesuatu isu mengambil kira beberapa keadaan dan senario adalah suatu tindakan yang rasional dan wajar. Bagaimana Pas sebagai sebuah parti politik berjiwa besar mahu bergerak kehadapan jika kepimpinan tertingginya gagal untuk menimbangkan beberapa senario yang akan melibatkan masa depan partinya apabila membincangkan sesuatu isu? Apakah ahli tertinggi PKR dan DAP tidak pernah sekali pun menimbangkan tentang kemungkinan untuk mereka “keluar dari Pakatan” dalam perbincangan sama ada formal atau tidak sesama mereka? Jika tidak, maka dapatlah difahami mengapa Langkah Kajang itu dilihat sebagai tindakan politik yang gagal dan penuh dengan penipuan. Antara isu lain yang ditimbulkan ialah unsur perkauman dan ayat yang kelihatan agak kasar digunakan oleh Dr Zuhdi Marzuki. Hal ini telah dijawab sendiri oleh Dr Zuhdi Marzuki di laman sosial dan mereka yang mahu mendapatkan penjelasan bolehlah merujuk kenyataan penuh beliau.

Double standard sekali lagi berlaku apabila reaksi balas yang ditunjukkan oleh pemimpin PKR dan DAP tidak sama dalam isu yang ditimbulkan oleh pemimpin DAP Sarawak apabila Pengerusi DAP Sarawak secara terbuka mengugut untuk keluar dari Pakatan Rakyat (Sarawak) jika Pas terus dengan agenda Hududnya. Mengapa kecaman terhadap ugutan terbuka oleh pemimpin DAP tidak seteruk cadangan dan analisa tertutup mengenai senario Pas keluar Pakatan Rakyat? Mengapa kritikan tajam kelihatan begitu selektif dan lebih tertumpu terhadap Pas sedangkan Pakatan sedang berhadapan dengan isu dalaman yang lebih serius?

Melangkah Rakyat

Langkah Kajang adalah satu perancangan politik yang gagal. Ia bermula dengan penipuan dan sedang berakhir dengan kegagalan. Langkah Kajang merupakan satu bentuk menifestasi politik berkepentingan yang telah membelakangkan rakyat dan rakan seteru didalam Pakatan Rakyat. PKR ketika merencana rancangan ini telah membelakangkan rakan-rakan pakatannya dan ketika melaksanakannya telah pula membelakangkan rakyat. Beberapa tinjauan umum yang dilakukan seperti oleh Astro Awani telah menunjukkan majoriti rakyat Selangor mahu Tan Sri Khalid Ibrahim kekal menjadi MB Selangor. Jika Langkah Kajang boleh dinamakan semula, Melangkah Rakyat mungkin nama yang padan.

Apabila rakyat memberi “mandat” kepercayaan kepada Pakatan Rakyat menerusi 52% undi popular bukan bermaksud rakyat mahu menukar kerajaan Barisan Nasional kepada kerajaan Pakatan Rakyat semata. Apa yang rakyat mahu ialah penukaran kepada sebuah kerajaan yang lebih berprinsip dan berintegriti. Sebuah kerajaan yang mana lebih bersih dan tidak korup. Inilah faktor utama mengapa peralihan mandat undi popular berlaku. Jika prinsip dan integriti rakyat dikhianati, tidak kira kerajaan apa, BN atau Pakatan, kami tidak segan silu menukar kepada yang lain!

Sunday, January 12, 2014

Gereja & Umat yang terkeliru


Apabila terlihat iklan penganjuran wacana dan pelancaran buku Berdialog dengan Gereja di Melaka, saya tidak henti-henti mencari buku itu disekitar Melaka. Namun hampa, ia tiada. Saya terpaksa memesan buku itu di MPH  dan menunggu hampir seminggu sebelum buku itu tiba ditangan saya. Hajat dihati mahu hadam buku ini sebelum wacana berlangsung, tetapi ia hanya tinggal harapan. Buku itu tiba ditangan sehari sebelum wacana itu berlangsung. Wacana ilmu dan perlancaran buku ini telah dianjurkan oleh Pemuda PAS Melaka dengan kerjasama Akademi Ibnu Abbas dan telah berlangsung di markas Pas Bukit Katil.



Rasional & Liberal

Dialog intelektual ini menampilkan Dr Dzulkefli Ahmad, Ustaz Wan Ji Wan Hussein dan Dr Mujahid Rawa sendiri selaku ahli panel yang membincangkan intipati buku Berdialog dengan Gereja. Melihat dan mendengar perbincangan mereka, dua perkara penting yang sentiasa berlegar di fikiran saya sampai ke hari ini. Mereka berbicara tentang perdamaian di antara Islam dengan agama lain dan berwacana dengan mengambil sikap yang rasional dan realistik. Pendekatan ini amat sesuai dengan sosiopolitik Malaysia sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam dan dalam masa yang sama meraikan kepelbagaian agama lain. Sepanjang wacana itu berjalan, tidak kedengaran satu pun ucapan dari ahli-ahli panel berkempen untuk mengendurkan pegangan akidah kita sebagai umat islam jika mahu berinteraksi dengan pihak gereja. Bahkan mendengar hujah-hujah mereka mendatangkan lagi perasan betapa Islam sebagai sebuah agama rahmatan lil alamin. Jauh berbeda dengan tuduhan-tudahan agamawan kering serta badut-badut politik yang seringkali melemparkan najis kebodohan dengan mengatakan usaha berdialog dengan gereja ini menandakan seseorang itu telah penganut fahaman Islam liberal serta menjadi seorang yang pluralis dengan mengganggap semua agama itu sama. Ini suatu projek pembodohan. Jika kita tidak mampu untuk memulakan sesuatu yang mendamaikan, jangan pula kita mahu untuk memulakan sesuatu yang mengeruhkan. Berfikir dan bertindak rasional tidak menjadikan seseorang itu liberal, tetapi lebih islamik.

Kita seringkali mendengar hujah-hujah agamawan tentang betapa Islam itu agama perdamaian, senantiasa menyantuni masyarakat dengan kebaikan. Namun jarang benar kita melihat agamawan ini mengambil langkah kehadapan untuk menjalinkan perdamaian dengan masyarakat bukan Islam. Kita hanya mendengar ucapan yang hanya tinggal ucapan. Barangkali wujud ketakutan atau keegoan sebahagian agamawan yang mana merasakan mengapa perlu mereka yang pertama menghulurkan tangan perdamaian, barangkali fikir mereka, yang sesat dululah yang harus menghulur tangan perdamaian.

Terancam dan Mengancam

Membaca sebahagian akhbar dan catatan-catatan di media maya membayangkan betapa kedudukan Islam di Malaysia kala ini seolah-olah berada di dalam keadaan yang amat terancam. Bermula dengan isu murtad, kini ia menjalar kepada isu penggunaan kalimah Allah oleh pihak kristian di dalam penerbitan The Herald dan juga kitab Bible edisi bahasa Melayu. Ada pihak yang merasa curiga dan gusar dengan tindakan pihak gereja dimana kelihatan bersungguh-sungguh mempertahankan hak mereka menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan mereka. Kegusaran ini amat difahami dan di dalam satu konteks yang lain, ia amat wajar. Di dalam perkembangan ajaran Kristian sendiri, terdapat kelompok yang digelarkan ‘Evangelist’ yang mana kerjanya tertumpu kepada projek kristianisasi. Namun itu tidak mewajarkan kita untuk bertindak seakan ingin pula mahu mengancam mereka. Di dalam pengurusan sebuah negara, kerajaan berhak untuk menetapkan suatu peraturan dan larangan jika menurut mereka ia mampu untuk membawa kebaikan atau mampu mengelakkan ancaman kemudaratan kepada rakyat. Namun, kerajaan harus bijak bukan sahaja di dalam membuat penetapan, tetapi juga di dalam menyatakan kerasionalan disebalik penetapan itu.

Generasi sekarang bukan hanya mahu buta mengikut, mereka dahagakan hujah dan alasan disebalik setiap tindakan. Mereka akan mempersoalkan hampir segalanya. Jika larangan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian itu wajar menurut pihak kerajaan, hujah dan alasan yang rasional wajar untuk dinyatakan. Jika sekadar beralasan dikhuatiri umat Islam akan terkeliru, ia belum cukup meyakinkan. Setiap umat islam di Malaysia akan menikmati pendidikan Islam berbelas tahun lamanya, bermula dari peringkat sekolah rendah sehinggalah ke peringkat sekolah menengah. Apakah dengan hanya membaca kitab Bible dengan nama Allah di dalamnya, maka akan goyahlah iman kita? Apakah telah sia-sia pengajian al-Quran dan Islam kita berbelas tahun lamanya itu? Kelemahan telah menjadikan kita berasa terancam sehingga terasa pula mahu mengancam orang lain.

Umat yang terkeliru

Apabila ada ura-ura cadangan untuk membuka cawangan baru Hard Rock Café di Putrajaya, maka cadangan ini cepat mendapat bantahan penduduk. Rata-rata masyarakat Islam membantah cadangan ini kerana ia kelihatan tidak bersesuaian dengan kedudukan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran Malaysia yang diyakini Islamik dan penduduk Putrajaya itu sendiri yang rata-ratanya masyarakat Islam. Ramai yang tidak tahu, Hard Rock Café mempunyai kaitan rapat dengan Sultan Selangor. Memetik kata-kata Matthew Putna semasa pembukaan cawangan itu di Melaka pada tahun 2013, "For over 20 years Hard Rock has been welcoming locals and visitors to the Malaysian Peninsula with our franchise partner Sultan of Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir and HPL Ltd, and our newest location will continue offering Hard Rock's unique hospitality,". Apabila ada sekumpulan pemimpin politik yang berhimpun dan melaungkan slogan bahawa Menteri Besar Selangor telah mengkhianati Sultan Selangor berhubung dengan isu kalimah Allah, maka saya pun terfikirkan sesuatu. Adakah tindakan penduduk Putrajaya yang menolak cadangan pembukaan cawangan Hard Rock Café itu juga boleh dikira sebagai mengkhianati Sultan Selangor?

Tidak habis dengan isu kalimah Allah, sudah ada isu ‘nasi tambah’ iaitu air Holy Water yang didakwa digunakan sebagai usaha untuk memurtadkan orang Islam. Isu ini cukup popular suatu ketika dahulu, kini ia kembali untuk memarakkan lagi api isu kalimah Allah. Saya tidak fikir air Holy Water ini mampu untuk memurtadkan orang Islam. Jika benar, Mubaligh Kristian juga tidaklah terlalu bodoh. Mereka pastinya akan mencurahkan air itu ke seluruh empangan di Malaysia. Nescaya akan terketar-ketarlah orang Islam di Malaysia kerana tidak mampu lagi untuk mengucapkan kalimah syahadah. Maka cakap-cakap tentang kononnya mahu menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian pastinya akan berhasil. Adakah agama kita terlalu murah dan begitu lemah sehingga kita dikelirukan dengan isu-isu seperti ini?

Islam & Kristian

Kita seringkali dibacakan tentang perbezaan di antara Islam dan Kristian sehingga kadangkala kita sudah menjadikan mereka sebagai musuh dalam nyata. Perbezaan itu tetap perbezaan, tidak banyak yang kita mampu untuk lakukan. Tetapi menyatakan keinginan untuk perdamaian tidak akan menjadikan kita lemah, bahkan ia akan menunjukkan nilai toleransi Islam yang tinggi terhadap agama lain. Bukankah agama Kristian itu paling dekat dengan Islam?

“Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan sesungguhnya kamu dapati orang yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya kami ini orang Nasrani”. Yang demikian itu disebabkan kerana di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) kerana seseungguhnya mereka tidak menyombong diri.” [al-Maidah:82]

Meluruskan Salah Faham Proses Pengundian


Seperti biasa, setelah tamat sahaja pilihanraya, maka pelbagai isu yang akan dibangkitkan terutamanya apabila melibatkan dengan proses pengundian. Sesetengah isu yang dibangkitkan itu mempunyai latar yang kukuh untuk diperdebatkan, ada sesetengah isu pula dibangkitkan sekadar untuk membentuk persepsi buruk hasil daripada salah faham dan kurang informasi yang tepat. Antara isu ulangan yang kerap kali didendangkan adalah penyelewangan pengiraan undi, cubaan melarikan kotak undi atau pun pertambahan kotak undi secara misteri. Isu ini dihangatkan dengan paparan gambar yang dimuat turun dilaman sosial dan kemudian pembawa gambar itu akan menjustifikasi paparan itu untuk membentuk persepsi kepada pembaca.

Perkara yang perlu diketahui oleh umum adalah, setiap pusat mengundi mempunyai beberapa saluran undi. Untuk memudahkan pemahaman, saluran itu membawa maksud bilik undian dan di dalam bilik undian itu akan terdapat dua peti undi yang mana satu peti mewakili undi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu peti lagi undi Parlimen. Di dalam bilik undian itu pula akan terdapat beberapa orang petugas SPR dan diketuai oleh seorang Ketua Tempat Mengundi (KTM). Ejen-ejen calon yang bertanding akan diletakkan di dalam bilik undian itu bagi memantau proses pengundian dari mula hinggalah sampai ke proses pengiraan. Ejen calon juga akan dibekalkan dengan senarai daftar pengundi dimana setiap pengundi yang masuk ke dalam bilik undian itu akan disemak secara bersama bagi memastikan setiap pengundi yang masuk itu berdaftar dengan SPR dan mengelakkan pengundian lebih dari sekali oleh seorang pengundi. Ini diperkuatkan dengan penggunaan dakwat kekal.
Setelah proses pengundian tamat pada pukul 5.00 petang (bergantung pada pusat mengundi), proses pengiraan undi akan berlangsung. Sebelum pengasingan undi mengikut calon bertanding dilakukan, pengiraan jumlah undi akan dilakukan dan akan disahkan oleh ejen-ejen calon yang hadir melalui Borang 13. Setelah itu, barulah proses mengasingkan kertas undi mengikut calon dilakukan dan seterusnya pengiraan kertas undi mengikut calon. Semua ini dilakukan dihadapan ejen-ejen calon bertanding dan perlu disahkan oleh ejen terbabit. Ya, proses ini dilakukan dihadapan mata tanpa sebarang ruang penipuan untuk berlaku. Setelah tamat pengiraan, maka ejen-ejen calon perlu menandatangani Borang 14 untuk pengesahan jumlah undi yang telah dikira dan akan diberikan satu salinan. Proses seterusnya adalah semua kertas undi itu akan dimasukkan ke dalam sampul, dimaterai dan dimasukkan ke dalam peti undi. Akhirnya, peti undi yang bersampul warna kuning itu akan dibawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi dengan iringan pihak polis. Semua proses ini akan menggunakan nama saluran atau dalam bahasa mudah, bilik undian.
Perlu diingat, di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, proses pengiraan undi tidak berlaku, tetapi hanya proses penjumlahan undi mengikut saluran sahaja. Ini bermaksud, pegawai SPR akan menambah jumlah undi mengikut saluran seperti yang telah disahkan oleh ejen-ejen calon bertanding bagi mengetahui jumlah keseluruhan kerusi DUN atau Parlimen tertentu. Proses penjumlahan undi mengikut saluran itu akan dipaparkan kepada umum dan ejen-ejen calon pastinya secara mudah dapat mengesahkan sama ada terdapat penipuan semasa proses penjumlahan kerana mereka memiliki salinan bagi setiap saluran. Untuk kes penambahan kotak undi misteri, hal ini tidak boleh berlaku kerana semua sudah sedia maklum dengan jumlah saluran dan setiap saluran akan mempunyai ejen calon. Untuk memudahkan pemahaman, jika kerusi DUN ‘A’ mempunyai 20 saluran, peti undi DUN yang akan tiba di Pusat Penjumlahan Rasmi adalah 20 unit. Pastinya, setiap saluran itu akan mempunyai ejen calon. Penambahan peti undi misteri akan mudah dikesan dan jika ia berlaku, bantahan boleh dibuat kerana ejen mempunyai bukti yang kuat tentang jumlah saluran dan jumlah undi bagi setiap saluran yang terlibat. Kehadiran ratusan Pemerhati Luar dan Tempatan daripada beberapa NGO dapat memastikan proses demokrasi berjalan dengan baik semasa proses pilihanraya berlangsung. Kesemua NGO ini akan mengemukakan laporan penuh terhadap proses pengundian yang telah dijalankan.
Apa yang dihuraikan ini adalah contoh salah faham dan penerangan tentang proses sebenar yang berlaku. Benar, terdapat beberapa isu lain yang memerlukan perhatian dan penambahbaikan seperti isu bekalan elektrik terputus ketika proses pengiraan undi, pengunaan tempat mengundi yang tidak mesra golongan tua dan OKU, pengundi perlu beratur lama untuk mengundi, penggunaan dakwat kekal yang diragui serta kehadiran pengundi yang diragui status kerakyatannya. Hal ini memang mempunyai dasar yang kuat untuk diperdebatkan, tetapi sikap untuk membangkitkan isu-isu yang lebih bersifat persepsi dan sangkaan ini perlu dihapuskan agar tumpuan dapat diberikan pada isu yang lebih penting. Kita harus menjadi masyarakat yang objektif serta mengikat pada fakta dan bukan masyarakat dibentuk melalui persepsi semata.

Link Terpilih

Blog Widget by LinkWithin