Sunday, January 12, 2014

Gereja & Umat yang terkeliru


Apabila terlihat iklan penganjuran wacana dan pelancaran buku Berdialog dengan Gereja di Melaka, saya tidak henti-henti mencari buku itu disekitar Melaka. Namun hampa, ia tiada. Saya terpaksa memesan buku itu di MPH  dan menunggu hampir seminggu sebelum buku itu tiba ditangan saya. Hajat dihati mahu hadam buku ini sebelum wacana berlangsung, tetapi ia hanya tinggal harapan. Buku itu tiba ditangan sehari sebelum wacana itu berlangsung. Wacana ilmu dan perlancaran buku ini telah dianjurkan oleh Pemuda PAS Melaka dengan kerjasama Akademi Ibnu Abbas dan telah berlangsung di markas Pas Bukit Katil.



Rasional & Liberal

Dialog intelektual ini menampilkan Dr Dzulkefli Ahmad, Ustaz Wan Ji Wan Hussein dan Dr Mujahid Rawa sendiri selaku ahli panel yang membincangkan intipati buku Berdialog dengan Gereja. Melihat dan mendengar perbincangan mereka, dua perkara penting yang sentiasa berlegar di fikiran saya sampai ke hari ini. Mereka berbicara tentang perdamaian di antara Islam dengan agama lain dan berwacana dengan mengambil sikap yang rasional dan realistik. Pendekatan ini amat sesuai dengan sosiopolitik Malaysia sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam dan dalam masa yang sama meraikan kepelbagaian agama lain. Sepanjang wacana itu berjalan, tidak kedengaran satu pun ucapan dari ahli-ahli panel berkempen untuk mengendurkan pegangan akidah kita sebagai umat islam jika mahu berinteraksi dengan pihak gereja. Bahkan mendengar hujah-hujah mereka mendatangkan lagi perasan betapa Islam sebagai sebuah agama rahmatan lil alamin. Jauh berbeda dengan tuduhan-tudahan agamawan kering serta badut-badut politik yang seringkali melemparkan najis kebodohan dengan mengatakan usaha berdialog dengan gereja ini menandakan seseorang itu telah penganut fahaman Islam liberal serta menjadi seorang yang pluralis dengan mengganggap semua agama itu sama. Ini suatu projek pembodohan. Jika kita tidak mampu untuk memulakan sesuatu yang mendamaikan, jangan pula kita mahu untuk memulakan sesuatu yang mengeruhkan. Berfikir dan bertindak rasional tidak menjadikan seseorang itu liberal, tetapi lebih islamik.

Kita seringkali mendengar hujah-hujah agamawan tentang betapa Islam itu agama perdamaian, senantiasa menyantuni masyarakat dengan kebaikan. Namun jarang benar kita melihat agamawan ini mengambil langkah kehadapan untuk menjalinkan perdamaian dengan masyarakat bukan Islam. Kita hanya mendengar ucapan yang hanya tinggal ucapan. Barangkali wujud ketakutan atau keegoan sebahagian agamawan yang mana merasakan mengapa perlu mereka yang pertama menghulurkan tangan perdamaian, barangkali fikir mereka, yang sesat dululah yang harus menghulur tangan perdamaian.

Terancam dan Mengancam

Membaca sebahagian akhbar dan catatan-catatan di media maya membayangkan betapa kedudukan Islam di Malaysia kala ini seolah-olah berada di dalam keadaan yang amat terancam. Bermula dengan isu murtad, kini ia menjalar kepada isu penggunaan kalimah Allah oleh pihak kristian di dalam penerbitan The Herald dan juga kitab Bible edisi bahasa Melayu. Ada pihak yang merasa curiga dan gusar dengan tindakan pihak gereja dimana kelihatan bersungguh-sungguh mempertahankan hak mereka menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan mereka. Kegusaran ini amat difahami dan di dalam satu konteks yang lain, ia amat wajar. Di dalam perkembangan ajaran Kristian sendiri, terdapat kelompok yang digelarkan ‘Evangelist’ yang mana kerjanya tertumpu kepada projek kristianisasi. Namun itu tidak mewajarkan kita untuk bertindak seakan ingin pula mahu mengancam mereka. Di dalam pengurusan sebuah negara, kerajaan berhak untuk menetapkan suatu peraturan dan larangan jika menurut mereka ia mampu untuk membawa kebaikan atau mampu mengelakkan ancaman kemudaratan kepada rakyat. Namun, kerajaan harus bijak bukan sahaja di dalam membuat penetapan, tetapi juga di dalam menyatakan kerasionalan disebalik penetapan itu.

Generasi sekarang bukan hanya mahu buta mengikut, mereka dahagakan hujah dan alasan disebalik setiap tindakan. Mereka akan mempersoalkan hampir segalanya. Jika larangan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian itu wajar menurut pihak kerajaan, hujah dan alasan yang rasional wajar untuk dinyatakan. Jika sekadar beralasan dikhuatiri umat Islam akan terkeliru, ia belum cukup meyakinkan. Setiap umat islam di Malaysia akan menikmati pendidikan Islam berbelas tahun lamanya, bermula dari peringkat sekolah rendah sehinggalah ke peringkat sekolah menengah. Apakah dengan hanya membaca kitab Bible dengan nama Allah di dalamnya, maka akan goyahlah iman kita? Apakah telah sia-sia pengajian al-Quran dan Islam kita berbelas tahun lamanya itu? Kelemahan telah menjadikan kita berasa terancam sehingga terasa pula mahu mengancam orang lain.

Umat yang terkeliru

Apabila ada ura-ura cadangan untuk membuka cawangan baru Hard Rock Café di Putrajaya, maka cadangan ini cepat mendapat bantahan penduduk. Rata-rata masyarakat Islam membantah cadangan ini kerana ia kelihatan tidak bersesuaian dengan kedudukan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran Malaysia yang diyakini Islamik dan penduduk Putrajaya itu sendiri yang rata-ratanya masyarakat Islam. Ramai yang tidak tahu, Hard Rock Café mempunyai kaitan rapat dengan Sultan Selangor. Memetik kata-kata Matthew Putna semasa pembukaan cawangan itu di Melaka pada tahun 2013, "For over 20 years Hard Rock has been welcoming locals and visitors to the Malaysian Peninsula with our franchise partner Sultan of Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir and HPL Ltd, and our newest location will continue offering Hard Rock's unique hospitality,". Apabila ada sekumpulan pemimpin politik yang berhimpun dan melaungkan slogan bahawa Menteri Besar Selangor telah mengkhianati Sultan Selangor berhubung dengan isu kalimah Allah, maka saya pun terfikirkan sesuatu. Adakah tindakan penduduk Putrajaya yang menolak cadangan pembukaan cawangan Hard Rock Café itu juga boleh dikira sebagai mengkhianati Sultan Selangor?

Tidak habis dengan isu kalimah Allah, sudah ada isu ‘nasi tambah’ iaitu air Holy Water yang didakwa digunakan sebagai usaha untuk memurtadkan orang Islam. Isu ini cukup popular suatu ketika dahulu, kini ia kembali untuk memarakkan lagi api isu kalimah Allah. Saya tidak fikir air Holy Water ini mampu untuk memurtadkan orang Islam. Jika benar, Mubaligh Kristian juga tidaklah terlalu bodoh. Mereka pastinya akan mencurahkan air itu ke seluruh empangan di Malaysia. Nescaya akan terketar-ketarlah orang Islam di Malaysia kerana tidak mampu lagi untuk mengucapkan kalimah syahadah. Maka cakap-cakap tentang kononnya mahu menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian pastinya akan berhasil. Adakah agama kita terlalu murah dan begitu lemah sehingga kita dikelirukan dengan isu-isu seperti ini?

Islam & Kristian

Kita seringkali dibacakan tentang perbezaan di antara Islam dan Kristian sehingga kadangkala kita sudah menjadikan mereka sebagai musuh dalam nyata. Perbezaan itu tetap perbezaan, tidak banyak yang kita mampu untuk lakukan. Tetapi menyatakan keinginan untuk perdamaian tidak akan menjadikan kita lemah, bahkan ia akan menunjukkan nilai toleransi Islam yang tinggi terhadap agama lain. Bukankah agama Kristian itu paling dekat dengan Islam?

“Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan sesungguhnya kamu dapati orang yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya kami ini orang Nasrani”. Yang demikian itu disebabkan kerana di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) kerana seseungguhnya mereka tidak menyombong diri.” [al-Maidah:82]

Meluruskan Salah Faham Proses Pengundian


Seperti biasa, setelah tamat sahaja pilihanraya, maka pelbagai isu yang akan dibangkitkan terutamanya apabila melibatkan dengan proses pengundian. Sesetengah isu yang dibangkitkan itu mempunyai latar yang kukuh untuk diperdebatkan, ada sesetengah isu pula dibangkitkan sekadar untuk membentuk persepsi buruk hasil daripada salah faham dan kurang informasi yang tepat. Antara isu ulangan yang kerap kali didendangkan adalah penyelewangan pengiraan undi, cubaan melarikan kotak undi atau pun pertambahan kotak undi secara misteri. Isu ini dihangatkan dengan paparan gambar yang dimuat turun dilaman sosial dan kemudian pembawa gambar itu akan menjustifikasi paparan itu untuk membentuk persepsi kepada pembaca.

Perkara yang perlu diketahui oleh umum adalah, setiap pusat mengundi mempunyai beberapa saluran undi. Untuk memudahkan pemahaman, saluran itu membawa maksud bilik undian dan di dalam bilik undian itu akan terdapat dua peti undi yang mana satu peti mewakili undi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu peti lagi undi Parlimen. Di dalam bilik undian itu pula akan terdapat beberapa orang petugas SPR dan diketuai oleh seorang Ketua Tempat Mengundi (KTM). Ejen-ejen calon yang bertanding akan diletakkan di dalam bilik undian itu bagi memantau proses pengundian dari mula hinggalah sampai ke proses pengiraan. Ejen calon juga akan dibekalkan dengan senarai daftar pengundi dimana setiap pengundi yang masuk ke dalam bilik undian itu akan disemak secara bersama bagi memastikan setiap pengundi yang masuk itu berdaftar dengan SPR dan mengelakkan pengundian lebih dari sekali oleh seorang pengundi. Ini diperkuatkan dengan penggunaan dakwat kekal.
Setelah proses pengundian tamat pada pukul 5.00 petang (bergantung pada pusat mengundi), proses pengiraan undi akan berlangsung. Sebelum pengasingan undi mengikut calon bertanding dilakukan, pengiraan jumlah undi akan dilakukan dan akan disahkan oleh ejen-ejen calon yang hadir melalui Borang 13. Setelah itu, barulah proses mengasingkan kertas undi mengikut calon dilakukan dan seterusnya pengiraan kertas undi mengikut calon. Semua ini dilakukan dihadapan ejen-ejen calon bertanding dan perlu disahkan oleh ejen terbabit. Ya, proses ini dilakukan dihadapan mata tanpa sebarang ruang penipuan untuk berlaku. Setelah tamat pengiraan, maka ejen-ejen calon perlu menandatangani Borang 14 untuk pengesahan jumlah undi yang telah dikira dan akan diberikan satu salinan. Proses seterusnya adalah semua kertas undi itu akan dimasukkan ke dalam sampul, dimaterai dan dimasukkan ke dalam peti undi. Akhirnya, peti undi yang bersampul warna kuning itu akan dibawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi dengan iringan pihak polis. Semua proses ini akan menggunakan nama saluran atau dalam bahasa mudah, bilik undian.
Perlu diingat, di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, proses pengiraan undi tidak berlaku, tetapi hanya proses penjumlahan undi mengikut saluran sahaja. Ini bermaksud, pegawai SPR akan menambah jumlah undi mengikut saluran seperti yang telah disahkan oleh ejen-ejen calon bertanding bagi mengetahui jumlah keseluruhan kerusi DUN atau Parlimen tertentu. Proses penjumlahan undi mengikut saluran itu akan dipaparkan kepada umum dan ejen-ejen calon pastinya secara mudah dapat mengesahkan sama ada terdapat penipuan semasa proses penjumlahan kerana mereka memiliki salinan bagi setiap saluran. Untuk kes penambahan kotak undi misteri, hal ini tidak boleh berlaku kerana semua sudah sedia maklum dengan jumlah saluran dan setiap saluran akan mempunyai ejen calon. Untuk memudahkan pemahaman, jika kerusi DUN ‘A’ mempunyai 20 saluran, peti undi DUN yang akan tiba di Pusat Penjumlahan Rasmi adalah 20 unit. Pastinya, setiap saluran itu akan mempunyai ejen calon. Penambahan peti undi misteri akan mudah dikesan dan jika ia berlaku, bantahan boleh dibuat kerana ejen mempunyai bukti yang kuat tentang jumlah saluran dan jumlah undi bagi setiap saluran yang terlibat. Kehadiran ratusan Pemerhati Luar dan Tempatan daripada beberapa NGO dapat memastikan proses demokrasi berjalan dengan baik semasa proses pilihanraya berlangsung. Kesemua NGO ini akan mengemukakan laporan penuh terhadap proses pengundian yang telah dijalankan.
Apa yang dihuraikan ini adalah contoh salah faham dan penerangan tentang proses sebenar yang berlaku. Benar, terdapat beberapa isu lain yang memerlukan perhatian dan penambahbaikan seperti isu bekalan elektrik terputus ketika proses pengiraan undi, pengunaan tempat mengundi yang tidak mesra golongan tua dan OKU, pengundi perlu beratur lama untuk mengundi, penggunaan dakwat kekal yang diragui serta kehadiran pengundi yang diragui status kerakyatannya. Hal ini memang mempunyai dasar yang kuat untuk diperdebatkan, tetapi sikap untuk membangkitkan isu-isu yang lebih bersifat persepsi dan sangkaan ini perlu dihapuskan agar tumpuan dapat diberikan pada isu yang lebih penting. Kita harus menjadi masyarakat yang objektif serta mengikat pada fakta dan bukan masyarakat dibentuk melalui persepsi semata.

Link Terpilih

Blog Widget by LinkWithin