Sunday, December 21, 2014

Berpolitik tetapi Budiman



Lewat ini, saya mempunyai sedikit kerisauan terhadap parti Pas. Ini kerana Pas dalam banyak hal kelihatan hilang dan tenggelam dalam dalam asakan ganas rakan-rakan parti yang lain di dalam Pakatan Rakyat. Acapkali saya memikirkan dimanakah Pas akan meletakkan dirinya dalam masa sepuluh tahun yang akan datang? Pas pastinya masih wujud dalam bentuk entiti kepartian, tetapi apakah kewujudan Pas ketika itu masih releven terutamanya dikalangan generasi anak muda?

Menuju Politik Baru
Baru-baru ini Pas melalui Jabatan Pendidikan Politik Pemuda Pas telah menganjurkan sebuah kem Akademik Politik Budiman (Budi) yang menyasarkan penglibatan anak muda. Jika sebelum ini parti PKR mempunyai Sekolah Politik (SekPol) dan DAP mempunyai Sekolah Demokrasi (SekDem) sebagai instrumen mendidik anak muda tentang politik baru & demokrasi, maka Pas juga kini telah mempunyai program yang hampir sama, Akademik Politik Budiman (Budi). Kewujudan program ini menunjukkan Pas sedang serius untuk menyaingi serta menyimbangi pengaruh rakan mereka didalam Pakatan Rakyat terhadap anak muda.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh United Nations Inter-Agency Network on Youth Development (UN IANYD) pada Ogos 2008, majoriti seramai 13,000 ribu orang di 186 buah negara bersetuju antara masalah utama bagi golongan muda di dalam politik adalah peluang yang terhad untuk terlibat secara berkesan didalam membuat dasar serta polisi. Peluang yang sangat terhad ini telah menyebabkan mereka merasa terpinggir dan telah menjauhkan golongan muda dengan institusi politik. Program pendidikan politik dan demokrasi terhadap golongan muda seperti program Budi ini mampu menjadi sebahagian kepada penyelesaian untuk mendekatkan golongan muda kepada institusi politik. Ini kerana, program seperti ini memberikan pendedahan tentang ilmu politik baru, sistem demokrasi, ekonomi, dasar serta polisi negara, kontrak sosial, pengurusan isu dan persepsi, parlimen muda, dan yang paling menarik memberi peluang anak muda mengajukan soalan, memberikan idea serta pendapat terus kepada tokoh-tokoh politik dan akademik yang hadir sewaktu program berlangsung. Ia tidak sama seperti program-program "cliché" yang lain kerana bersifat satu hala, terima dan telan.

Aspirasi Politik Budiman
Kita seringkali mendengar perkataan budi, dan secara umumnya kita memahami sebagai kata yang membawa maksud jasa. Namun apabila Ketua Pemuda Pas menyebut tentang Politik Budiman, beliau cuba membawa maksud roh yang lebih besar. Di dalam sebuah rencana yang bertajuk "Membudayakan Politik Budiman", saudara Suhaizan Kaiat menulis tentang beberapa ciri-ciri penting apabila beliau menggagaskan idea Politik Budiman. Antara ciri utamanya adalah politik berdasarkan hujah dan ilmu, membudayakan adab dalam perbezaan pandangan politik, berpolitik dengan akhlak dan etika yang tinggi, serta berintegriti dan akauntabiliti.

Jika diamati semua ciri-ciri ini, ia merupakan satu bentuk reaksi balas terhadap kebobrokan realiti politik yang sedang berlaku ketika ini. Pentas politik Malaysia dipenuhi dengan politik kebencian, korupsi, sangat berbaur emosi dan peribadi.  Generasi baru menilai permainan politik orang lama ini sebagai sesuatu yang amat menjengkelkan kerana ianya tidak dapat membantu generasi muda menyelesaikan banyak masalah-masalah yang berlegar disekitar mereka. Generasi muda berhadapan dengan isu yang "real'' seperti masalah ekonomi, peluang untuk mendapatkan pendidikan yang baik, sukar mendapat pekerjaan, kos sara hidup yang tinggi, pertembungan ideologi pemikiran, dan soal kebebasan. Politikus Malaysia kini lebih ramai yang berminat untuk berdebat soal siapa yang bersalah dalam kes liwat, kesahihan video lucah, mempersoalkan kenapa isteri pemimpin  tidak memakai tudung, dan bala telah menimpa negara kerana MAS menjual arak dan pramugarinya tidak menutup aurat.

Politik itu Dinamik
Dr Maszlee Malik di dalam sebuah kertas kerja yang bertajuk "Siyasah Syar'iyyah Di Dalam Kerangka Demokrasi Berparlimen Di Malaysia" menyatakan ramai pemikir dan fuqaha reformis kontemporari menyebut tentang betapa perlunya metod yang baru bagi melihat kedudukan politik di dalam Islam agar lebih harmoni dengan Maqasid al-Shari'ah. Beliau juga memetik pendapat Dr Yusuf al-Qaradawi yang menyifatkan isu politik termasuk di dalam ruang ijtihad yang amat luas bagi para Muslim menghasilkan pendapat-pendapat yang baru dan berpandukan Maqasid al-Shari'ah.

Hal ini amat penting untuk ditekankan agar Pas dapat melihat politik dalam kerangka yang lebih luas kerana sistem politik dunia telah berubah menjadi lebih kompleks dari sebelumnya. Prof. Madya Datuk Dr Asri pula menyebut tentang politik adalah satu bidang yang membabitkan soal menguruskan manusia. Budaya dan zaman telah berubah. Iklim politik pada zaman Rasulullah dan sahabat sudah tentu tidak sama dengan zaman Umawiyyah dan Abbassiyah. Menurut beliau, sesiapa yang cuba melaksanakan pemerintahan politik menurut Islam secara literal dengan mengadaptasi teks lampau ke zaman kini, maka dia seorang yang naif dan dangkal dalam memahami tabiat politik dan rasional Islam itu sendiri.

Perjuangan Politik
Biar apa pun nama gagasan idea yang dicanang dalam membentuk pemikiran politik baru, akhirnya perjuangan politik itu mestilah yang mendapat manfaat terbesar adalah rakyat. Ini kerana perjuangan politik bukanlah hanya sekadar mahu menukarkan kerajaan A kepada kerajaan B semata atau sebaliknya, tetapi perjuangan politik adalah tentang usaha penentangan rakyat terhadap kuasa yang korup dan menindas. Kita mahu menukar prinsip dan nilai, bukan jenama parti atau kerajaan. Perjuangan politik soal isi, bukan kosmetik!

Link Terpilih

Blog Widget by LinkWithin