Sunday, December 13, 2015

Keajaiban Istighfar & berserah pada Allah

Kisah ini merupakan pengalaman peribadi penulis.


Pada tahun pertama perkahwinan, kami suami isteri tinggal berasingan. Saya bekerja di Melaka dan isteri bekerja di Rawang, Selangor. Isteri ada cuba nasib untuk mencari kerja di Melaka, tetapi rezeki masih belum menyebelahi kami lagi.

Apabila isteri saya mula mengandung, saya terpaksa beralah dan memikirkan kembali rencana untuk mencari kerja di kawasan negeri Selangor. Apabila beberapa kenalan rapat tahu rancangan saya untuk berpindah kerja di kawasan negeri Selangor, saya mendapat panggilan daripada seorang 'boss' besar sebuah syarikat yang mana menjadi 'customer' kepada syarikat saya bekerja. Dia bertanya apakah betul saya sedang merancang untuk mencari kerja di kawasan Selangor dan saya mengiakan.

Kemudian dia menawarkan kerja tetapi saya terpaksa menolak kerana memikirkan bidang kerja baru ini memerlukan saya berurusan dengan syarikat dimana saya sedang bekerja. Saya khuatir berlaku 'conflict of interest' dan kezaliman terhadap etika kerja.

Ketika saya sedang memandu kereta pulang ke Melaka, saya mendapat satu panggilan daripada sebuah syarikat di Rawang yang menawarkan satu jawatan. Saya berpatah balik dan terus pergi temuduga pada sebelah petangnya. Alhamdulillah saya mendapat kerja di Rawang.

Setelah berpindah ke Rawang, beban tanggungan dirasakan amat tinggi. Walaupun gaji bertambah dari sebelumnya, tetapi masih tidak mencukupi untuk menampung kehidupan.

Alhamdulillah, setelah sebulan bekerja, gaji saya dinaikkan. Kenaikkan gaji ini bukan kerana mendapat confirmation kerja, tetapi saya diberitahu pihak majikan amat berpuas hati dengan prestasi kerja selama sebulan. Pada bulan ke-4, gaji saya sekali lagi dinaikkan kerana sudah confirm diterima bekerja.

Apabila genap setahun bekerja, saya ditawarkan kenaikkan pangkat kepada level Manager. Sekali lagi gaji dinaikkan bersama jawatan baharu. Alhamdulillah, pada usia kurang 28 tahun, Allah telah kurniakan pelbagai nikmat.

Saya selalu membulatkan hati, apabila ditimpa masalah atau dugaan, dengan menyakini bahawa Allah sentiasa ada untuk saya. Dia akan memberikan jalan-jalan dari arah yang tidak kita sangka-sangka. Akidah mesti jelas.

Selain itu, saya pernah mendengar kuliah tentang keajaiban istighfar oleh Dr Maza. Beliau menasihatkan supaya diperbanyakkan istighfar agar urusan hidup menjadi mudah. Saya telah mengamalkan nasihat beliau, dan Alhmadulillah, Allah mudahkan urusan untuk saya.

Yakinlah dengan Allah, dan sentiasa memohon keampunan dariNya!

Najib v Mahyuddin


1. Apa yang disoalkan oleh TSMY adalah soal bagaimana sebuah syarikat 1MDB yang awalnya bermodalkan RM 1 juta boleh terbeban dengan hutan sehingga RM 42 billion dalam masa hanya beberapa tahun operasi sahaja.

2. Walaupun ada hujah balas tentang aset yang dimiliki lebih dari nilai hutang, tetapi syarikat itu punyai masalah cashflow. Hutang tak boleh dibayar on time.

3. Ini menunjukkan seakan ada salah tadbir syarikat terbabit sehingga menyebabkan ia terbeban dengan hutang yang sedemikian banyak. Hutang menggunung ini memberikan satu indikasi berlakunya salah tadbir atau pun sekurang-kurangnya kesilapan (baca: kesalahan) ketika membuat keputusan tertentu dalam urus tadbir 1MDB.

4. Pihak kerajaan kata, tunggu dulu hasil siasatan pihak PAC, Polis, Bank Negara, SPRM & AG.

5. Masalahnya kelihatan seolah ada campur tangan ketika siasatan sedang dijalankan. AG yang secara tiba-tiba dibersarakan lebih awal, pemindahan anggota PAC tertentu ke Kementerian, dan serbuan terhadap pegawai yang sedang menyiasat kes ini.

6. Apabila ini berlaku, ada dua soalan yang timbul. Pertama jika tiada apa yang salah, mengapa perlu ada "campur tangan"? Kedua, jika hasil siasatan telah siap dan diumumkan kepada awam, apakah masih wujud kepercayaan pada hasil laporan ini setelah berlaku "campur tangan" yang melengah dan mengganggu siasatan?

7. Apa yang Arul Kanda dan kerajaan Malaysia lakukan sekarang adalah "rasionalisasi" hutang 1MDB. Mereka sedang cuba mengurangkan hutang 1MDB dengan menjual aset-aset berkepentingan.
8. Langkah rasionalisasi ini menunjukkan 1MDB memang bermasalah dan sedang cuba diselamatkan. Itu fakta.

9. Soalnya siapa yang menjadi punca kepada masalah-masalah ini? Yang pasti bukan salah lembu.

10. Menteri-menteri UMNO tak perlukan degree untuk faham hal semudah ini.

Aku tulis berdasarkan kefahaman aku menonton video & ucapan TSMY.

Thursday, October 29, 2015

Catatan Humairah [29-Oct-15]


Hari ini saya bangun awal, seawal jam 5 pagi. Saya nak keluar, tapi Papa dan Mama saya masih tidur.

Saya guling-guling atas katil sambil merengek. Kemudian saya sepak kepala papa saya banyak kali.

Papa saya masih diam, tidur lagi rasanya.

Maka saya pun baring atas badan Papa saya, kemudian saya duduk pula diatas badannya.

Tetapi Papa masih diam.

Setelah semua cubaan gagal, maka saya menangis guling-guling atas katil. Akhirnya Papa bangun. Saya tarik tangan Papa bawa keluar.

Saya nak keluar, saya nak keluar.

Papa kata hari masih pagi, baru pukul 5. Papa kena tidur sebab kena kerja. Tunggulah hari siang. Tetapi saya tetap nak keluar.

..................

Papa nak mandi dan solat subuh, saya tak bagi. Sebab saya nak keluar. Saya tarik-tarik baju Papa.

.................

Gambar di atas ini Papa saya yang ambil. Akhirnya saya keluar juga. Papa bawa pergi makan di Restoran Salim.

.................

Sebelum pergi kerja Papa cium saya. Dia kata,

"Bye, bye Sayang..."



Wednesday, October 14, 2015

Logik Zairil Khir Johari seputar isu Sekolah Satu Aliran

Rentetan daripada artikel penulis yang tersiar di TheMalaysianInsider berkaitan dengan isu sekolah satu aliran, saudara Zairil telah memberikan komen balas di laman Facebook.


Dibawah pula merupakan reaksi balas penulis terhadap hujah-hujah baru yang telah dikemukakan oleh beliau;


Kritikan awal penulis terhadap Saudara Zairil Khir Johari adalah berpunca daripada kenyataan beliau yang telah disiarkan di akhbar Sinar Harian. Salinannya adalah seperti dibawah;



Tuesday, October 13, 2015

Sekolah Satu Aliran & Logik Zairil Khir Johari

Jurucakap Parlimen DAP bagi pendidikan sains dan teknologi, Zairil Khir Johari menyatakan sekolah satu aliran tidak akan dapat mencapai perpaduan kaum. Beliau memberikan beberapa alasan seperti isu demografi, kualiti sekolah kebangsaan dan peningkatan bilangan pelajar Bumiputera di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC). Kenyataan penuh beliau boleh dirujuk di akhbar Sinar Harian, bertarikh 12 Oktober 2015 bertajuk "Perpaduan bukan alasan tubuh sekolah satu aliran."

Membaca ulasan dan alasan penolakan Zairil terhadap cadangan sekolah satu aliran merupakan satu bentuk tindakan terancang untuk membawa pembaca lari daripada konteks isu sebenar. Alasan pertama yang beliau nyatakan adalah, bagaimanakah dengan sekolah di kawasan pendalaman yang mana demografinya dikuasai oleh satu kaum sahaja?
Beliau turut mempersoalkan apakah sekolah sebegitu boleh menjadi pelbagai bangsa? Apa yang disoal oleh beliau merupakan satu bentuk realiti terhadap demografi penduduk di Malaysia. Tetapi dengan berhujah alasan seperti ini menunjukkan Zairil seorang yang tidak realistik. Beliau seakan berharap jika benar mahu sekolah satu aliran dengan pelbagai bangsa di dalamnya, maka semua sekolah satu aliran wajib bersifat demikian.
Jika terdapat beberapa sekolah terutamanya di kawasan pendalaman yang tidak mempunyai cukup syarat ini, maka cadangan sekolah satu aliran ini tidak patut dilaksanakan. Jika logik ini yang digunakan oleh Zairil, maka ia satu bentuk kecelaruan dan kelucuan. Ambil contoh mudah begini. Jika ada sebuah kerajaan yang ingin membina jalan raya untuk kemudahan masyarakat, tetapi jalan raya terbabit tidak dalam memasuki beberapa kampung atas beberapa masalah seperti kos peruntukkan dan bentuk geografi muka bumi, maka projek ini wajar dibatalkan secara total jika kita mengguna pakai logik Zairil.
Memang benar jika sekolah satu aliran dilaksanakan, maka akan terdapat beberapa lompong yang perlu penambahbaikan. Tetapi untuk menggagalkan ia secara total hanya kerana ia tidak mampu dilaksanakan secara menyeluruh, alasan ini sangat dangkal dan murahan. Beliau turut mempersoalkan kualiti sistem pendidikan di sekolah kebangsaan menjadi punca mengapa orang Melayu semakin banyak menghantar anak mereka ke SJKC.
Mungkin ada benar sebahagian dakwaannya itu, tetapi hakikatnya ramai ibu bapa Melayu menghantar anak mereka ke SJKC kerana memahami persaingan untuk mendapatkan pekerjaan memerlukan kemahiran bertutur dalam bahasa Mandarin. Lihat sahaja iklan kerja kosong di laman Jobstreet, kebanyakannya menyatakan syarat layak memohon mestilah menguasai bahasa Mandarin.
Barangkali, iklan itu sepatutnya ditulis dalam bahasa Cina agar sasaran pencari kerja lebih terarah. Jika Zairil berpendapat terdapat kelemahan dalam sistem pendidikan di Sekolah Kebangsaan, sewajarnya beliau atas kapasiti "Yang Berhormat" dan semangat nasional memberikan sumbang saran tentang bagaimana kualiti itu boleh dipertingkatkan.
Bukannya hanya sekadar memberikan alasan tidak boleh kerana itu dan ini.
Mencari jalan damai
Masyarakat Cina atau India tidak akan meleburkan SJK kerana mereka menganggap ia satu bentuk jati diri dan budaya yang perlu mereka pertahankan. Sentimen mereka itu difahami dan wajar diambil perhatian yang serius. Hakikatnya sekolah satu aliran dan SJK masih boleh wujud beriringan tanpa perlu mengorbankan mana-mana identiti sekolah. Jika semua pihak serius, kita perlu melakukan beberapa perubahan yang besar untuk merealisasikan idea ini.
Pihak kerajaan perlu menjadikan sekolah rendah kebangsaan wajib dihadiri oleh semua pelajar di Malaysia bermula daripada darjah 1 sehingga ke darjah 6. Medium pengajaran pula wajib menggunakan bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Sukatan pembelajaran pula patut mengurangkan slot pengajaran subjek agama Islam dan pendidikan moral bagi memendekkan sesi pembelajaran.
Jika sesi sekolah kebangsaan pada waktu pagi, maka pada waktu petang pelajar beragama Islam boleh pergi ke sekolah agama manakala pelajar Cina atau India boleh pergi ke SJK. Sistem pendidikan sebegini lebih fleksibel dan memberikan ruang pelajar berbilang bangsa berinteraksi sesama mereka pada usia yang lebih muda ketika mana minda mereka masih bersih daripada stereotaip bangsa hasil acuan daripada generasi dahulu.
Sekolah sesi petang boleh dijadikan medium untuk memberikan peluang kepada pelajar berbilang bangsa kembali kepada asal agama dan budaya tanpa kerajaan perlu banyak campur tangan tentang bagaimana sistem pendidikan sesi petang itu mahu dibentuk.Kaedah ini memberikan situasi “menang-menang” terhadap sistem sekolah satu aliran disamping meraikan kepelbagaian SJK.
Soalnya bukan boleh atau tidak, tetapi mahu atau tidak.

Sunday, September 27, 2015

SYIAH PUNCA KEMATIAN 717 JEMAAH HAJI?

Kita mungkin nak bela Arab Saudi, tetapi berpada-padalah. Belum pun selesai siasatan insiden rempuhan jemaah Haji, kita dah mengkotomikan isu ini dengan permasalahan sekte. Sunni vs Syiah. Jemaah Iran paling ramai terkorban, reaksi awal marah atau kecewa itu normal.
Tak normal kalau kita nak buat teori konspirasi Syiah nak jatuhkan Arab Saudi. Dari mana datangnya idea ini? Logik sikitlah.
Aku fikir ini soal disiplin dan pengurusan. Arab Saudi mungkin dah cuba berbuat yang sebaik mungkin, tetapi tetap ada kelemahan dan ruang untuk diperbaiki. Jemaah Haji juga kena diajar disiplin beribadah ketika di Tanah Haram. Belajar untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
Aku pernah baca ada hadis Nabi yang melarang orang baca al-Quran dengan kuat sehingga ganggu jemaah lain beribadat. Hadis ini bagi aku menunjukkan bahawa dalam soal ibadah dengan Tuhan pun kita perlu menjaga hubungan sesama manusia.
“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih). ref
Soal ibadah Haji apatah lagi. Dalam jutaan manusia yang berebut mengejar redho ilahi, tetapi kalau kita melakukannya dengan menyakiti manusia lain, apatah lagi sehingga menyebabkan kematian, adakah Allah akan menerima amalan kita?

Saturday, May 2, 2015

Review Buku: Aku Kafir, Engkau Siapa?

Mengapa perlu Alvin Tan jika kita ada Ooi Kok Hin

Tajuk buku ini memang provokatif, aku fikir ia sengaja dinamakan begitu. Tambahan pula buku ini terbitan Dubook Press, maka tajuknya pasti liar dan angkuh. Selain kompilasi lawak kartunis Lambok, buku ini aku sambar ketika melaram di pesta buku antarabangsa PWTC 2015. Buku ini bagi aku sangat jujur, luahan perasaan seorang Cina yang melihat Malaysia dari sudut pandangnya.

Pandangan Sdr Kok Hin jika dibaca oleh Melayu konservatif, pasti ia akan mengundang makian kerana dia telah mempersoalkan 'hak-hak Melayu'. Lebih teruk, akta hasutan mungkin akan terguna pakai. Tetapi aku senang membaca apa yang dia lontarkan. Pandangannya sangat jujur tetapi harmoni. Apabila membaca buku ini, aku langsung tak merasa tercabar, mungkin sahaja aku sudah kurang kemelayuannya atau darah Jawa aku terlalu pekat.

Sdr Kok Hin telah membangkitkan beberapa persoalan berat tetapi yang benar-benar menangkap aku adalah soal sekolah satu aliran, Islam Malaysia vs Islam Amerika & asimilasi Indonesia vs multikultural Malaysia. Aku berkongsi sentimen yang hampir sama pada kebanyakkan persoalan yang dia dibangkitkan. Aku ulas sedikit pada rangkap berikutnya.

Sekolah satu aliran tidak semudah memansuhkan sekolah vernakular / jenis kebangsaan. Malaysia masih ada sekolah-sekolah yang mengasingkan sebahagian masyarakat seperti sekolah agama, SBP, dan Mara. Jika benar kita serius untuk mewujudkan sekolah satu aliran, keberanian perlu ada untuk memansuhkan semua jenis sekolah yang mewujudkan satu kecenderungan kelompok atau kaum tertentu. Ini mustahil, sekurang-kurangnya pada waktu kehidupan ini.

Apabila berada di Amerika, Sdr Kok Hin menerima sedikit kejutan apabila dia dapati Muslim di sana amat ramah dan terbuka menerima kehadiran non-Muslim ke dalam masjid mereka. Beda dengan apa yang dia alami ketika berada di Malaysia. Silap langkah, dia mungkin akan dimarahi dengan kata-kata, "orang kapir mana boleh masuk masjid!!". Walhal masjid di Malaysia, kebanyakkan yang membinanya adalah kontraktor Cina.

Kita telah kritik ramai rakan-rakan Cina dan India yang masih tidak fasih berbahasa Melayu / kebangsaan. Perbandingannya adalah dengan Cina Indonesia yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu. Kritikan ini betul. Tetapi dalam masa yang sama, kita marah apabila ada usaha bukan Melayu untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai medium penulisan sastera, sejarah & agama. Kita masih lagi fikir bahasa Melayu hanya untuk budaya Melayu, sastera Melayu dan agama Islam semata. Kita sedang berkontradiksi.

Dia khuatir satu hari nanti dia akan meninggalkan Malaysia kerana kecewa, seperti mana kawannya yang lain. Tetapi dia masih optimis dan menaruh harapan pada Malaysia.

Dengan semua perkara diatas, mengapa perlu kita angkat-angkat kelucahan Cina Alvin Tan? Walhal kita masih ada harapan Cina Ooi Kok Hin!

Thursday, April 2, 2015

Pesan buat suami-suami

Suami,
Ketika terkhilafnya si isteri,
Sebelum engkau berbuat apa-apa,
Sebelum engkau menghambur kata,
Sebelum engkau mematah sendi,

Cuba engkau kenang,
Ketika dia sedang bertarung nyawa,
Memberikan engkau waris berdarah,
Apa yang bisa engkau sumbangkan?
Mungkin sekadar menunggu diluar,
Kemaskini status sosial,

Cuba engkau kenang,
Ketika malam tangis kedengaran,
Apa yang bisa engkau sumbangkan?
Mungkin sekadar memalingkan badan menutup muka,
seakan tiada apa yang telah terdengar,

Hari ini engkau menuntut hak,
Hak sebagai pemegang kunci surga,
Barangkali engkau lupa,
Betapa dekat engkau dengan neraka,

Suami bukan tuhan kecil,
Yang disangka telah dilantik Tuhan,
Seolah setiap kata mahu jadi firman,
Agar si isteri setia tuli mematuhi,

Wahai suami,
Jika engkau mahu berfikir...

ajim 20150402

Link Terpilih

Blog Widget by LinkWithin