Saturday, May 2, 2015

Review Buku: Aku Kafir, Engkau Siapa?

Mengapa perlu Alvin Tan jika kita ada Ooi Kok Hin

Tajuk buku ini memang provokatif, aku fikir ia sengaja dinamakan begitu. Tambahan pula buku ini terbitan Dubook Press, maka tajuknya pasti liar dan angkuh. Selain kompilasi lawak kartunis Lambok, buku ini aku sambar ketika melaram di pesta buku antarabangsa PWTC 2015. Buku ini bagi aku sangat jujur, luahan perasaan seorang Cina yang melihat Malaysia dari sudut pandangnya.

Pandangan Sdr Kok Hin jika dibaca oleh Melayu konservatif, pasti ia akan mengundang makian kerana dia telah mempersoalkan 'hak-hak Melayu'. Lebih teruk, akta hasutan mungkin akan terguna pakai. Tetapi aku senang membaca apa yang dia lontarkan. Pandangannya sangat jujur tetapi harmoni. Apabila membaca buku ini, aku langsung tak merasa tercabar, mungkin sahaja aku sudah kurang kemelayuannya atau darah Jawa aku terlalu pekat.

Sdr Kok Hin telah membangkitkan beberapa persoalan berat tetapi yang benar-benar menangkap aku adalah soal sekolah satu aliran, Islam Malaysia vs Islam Amerika & asimilasi Indonesia vs multikultural Malaysia. Aku berkongsi sentimen yang hampir sama pada kebanyakkan persoalan yang dia dibangkitkan. Aku ulas sedikit pada rangkap berikutnya.

Sekolah satu aliran tidak semudah memansuhkan sekolah vernakular / jenis kebangsaan. Malaysia masih ada sekolah-sekolah yang mengasingkan sebahagian masyarakat seperti sekolah agama, SBP, dan Mara. Jika benar kita serius untuk mewujudkan sekolah satu aliran, keberanian perlu ada untuk memansuhkan semua jenis sekolah yang mewujudkan satu kecenderungan kelompok atau kaum tertentu. Ini mustahil, sekurang-kurangnya pada waktu kehidupan ini.

Apabila berada di Amerika, Sdr Kok Hin menerima sedikit kejutan apabila dia dapati Muslim di sana amat ramah dan terbuka menerima kehadiran non-Muslim ke dalam masjid mereka. Beda dengan apa yang dia alami ketika berada di Malaysia. Silap langkah, dia mungkin akan dimarahi dengan kata-kata, "orang kapir mana boleh masuk masjid!!". Walhal masjid di Malaysia, kebanyakkan yang membinanya adalah kontraktor Cina.

Kita telah kritik ramai rakan-rakan Cina dan India yang masih tidak fasih berbahasa Melayu / kebangsaan. Perbandingannya adalah dengan Cina Indonesia yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu. Kritikan ini betul. Tetapi dalam masa yang sama, kita marah apabila ada usaha bukan Melayu untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai medium penulisan sastera, sejarah & agama. Kita masih lagi fikir bahasa Melayu hanya untuk budaya Melayu, sastera Melayu dan agama Islam semata. Kita sedang berkontradiksi.

Dia khuatir satu hari nanti dia akan meninggalkan Malaysia kerana kecewa, seperti mana kawannya yang lain. Tetapi dia masih optimis dan menaruh harapan pada Malaysia.

Dengan semua perkara diatas, mengapa perlu kita angkat-angkat kelucahan Cina Alvin Tan? Walhal kita masih ada harapan Cina Ooi Kok Hin!

Link Terpilih

Blog Widget by LinkWithin