Thursday, October 29, 2015

Catatan Humairah [29-Oct-15]


Hari ini saya bangun awal, seawal jam 5 pagi. Saya nak keluar, tapi Papa dan Mama saya masih tidur.

Saya guling-guling atas katil sambil merengek. Kemudian saya sepak kepala papa saya banyak kali.

Papa saya masih diam, tidur lagi rasanya.

Maka saya pun baring atas badan Papa saya, kemudian saya duduk pula diatas badannya.

Tetapi Papa masih diam.

Setelah semua cubaan gagal, maka saya menangis guling-guling atas katil. Akhirnya Papa bangun. Saya tarik tangan Papa bawa keluar.

Saya nak keluar, saya nak keluar.

Papa kata hari masih pagi, baru pukul 5. Papa kena tidur sebab kena kerja. Tunggulah hari siang. Tetapi saya tetap nak keluar.

..................

Papa nak mandi dan solat subuh, saya tak bagi. Sebab saya nak keluar. Saya tarik-tarik baju Papa.

.................

Gambar di atas ini Papa saya yang ambil. Akhirnya saya keluar juga. Papa bawa pergi makan di Restoran Salim.

.................

Sebelum pergi kerja Papa cium saya. Dia kata,

"Bye, bye Sayang..."



Wednesday, October 14, 2015

Logik Zairil Khir Johari seputar isu Sekolah Satu Aliran

Rentetan daripada artikel penulis yang tersiar di TheMalaysianInsider berkaitan dengan isu sekolah satu aliran, saudara Zairil telah memberikan komen balas di laman Facebook.


Dibawah pula merupakan reaksi balas penulis terhadap hujah-hujah baru yang telah dikemukakan oleh beliau;


Kritikan awal penulis terhadap Saudara Zairil Khir Johari adalah berpunca daripada kenyataan beliau yang telah disiarkan di akhbar Sinar Harian. Salinannya adalah seperti dibawah;



Tuesday, October 13, 2015

Sekolah Satu Aliran & Logik Zairil Khir Johari

Jurucakap Parlimen DAP bagi pendidikan sains dan teknologi, Zairil Khir Johari menyatakan sekolah satu aliran tidak akan dapat mencapai perpaduan kaum. Beliau memberikan beberapa alasan seperti isu demografi, kualiti sekolah kebangsaan dan peningkatan bilangan pelajar Bumiputera di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC). Kenyataan penuh beliau boleh dirujuk di akhbar Sinar Harian, bertarikh 12 Oktober 2015 bertajuk "Perpaduan bukan alasan tubuh sekolah satu aliran."

Membaca ulasan dan alasan penolakan Zairil terhadap cadangan sekolah satu aliran merupakan satu bentuk tindakan terancang untuk membawa pembaca lari daripada konteks isu sebenar. Alasan pertama yang beliau nyatakan adalah, bagaimanakah dengan sekolah di kawasan pendalaman yang mana demografinya dikuasai oleh satu kaum sahaja?
Beliau turut mempersoalkan apakah sekolah sebegitu boleh menjadi pelbagai bangsa? Apa yang disoal oleh beliau merupakan satu bentuk realiti terhadap demografi penduduk di Malaysia. Tetapi dengan berhujah alasan seperti ini menunjukkan Zairil seorang yang tidak realistik. Beliau seakan berharap jika benar mahu sekolah satu aliran dengan pelbagai bangsa di dalamnya, maka semua sekolah satu aliran wajib bersifat demikian.
Jika terdapat beberapa sekolah terutamanya di kawasan pendalaman yang tidak mempunyai cukup syarat ini, maka cadangan sekolah satu aliran ini tidak patut dilaksanakan. Jika logik ini yang digunakan oleh Zairil, maka ia satu bentuk kecelaruan dan kelucuan. Ambil contoh mudah begini. Jika ada sebuah kerajaan yang ingin membina jalan raya untuk kemudahan masyarakat, tetapi jalan raya terbabit tidak dalam memasuki beberapa kampung atas beberapa masalah seperti kos peruntukkan dan bentuk geografi muka bumi, maka projek ini wajar dibatalkan secara total jika kita mengguna pakai logik Zairil.
Memang benar jika sekolah satu aliran dilaksanakan, maka akan terdapat beberapa lompong yang perlu penambahbaikan. Tetapi untuk menggagalkan ia secara total hanya kerana ia tidak mampu dilaksanakan secara menyeluruh, alasan ini sangat dangkal dan murahan. Beliau turut mempersoalkan kualiti sistem pendidikan di sekolah kebangsaan menjadi punca mengapa orang Melayu semakin banyak menghantar anak mereka ke SJKC.
Mungkin ada benar sebahagian dakwaannya itu, tetapi hakikatnya ramai ibu bapa Melayu menghantar anak mereka ke SJKC kerana memahami persaingan untuk mendapatkan pekerjaan memerlukan kemahiran bertutur dalam bahasa Mandarin. Lihat sahaja iklan kerja kosong di laman Jobstreet, kebanyakannya menyatakan syarat layak memohon mestilah menguasai bahasa Mandarin.
Barangkali, iklan itu sepatutnya ditulis dalam bahasa Cina agar sasaran pencari kerja lebih terarah. Jika Zairil berpendapat terdapat kelemahan dalam sistem pendidikan di Sekolah Kebangsaan, sewajarnya beliau atas kapasiti "Yang Berhormat" dan semangat nasional memberikan sumbang saran tentang bagaimana kualiti itu boleh dipertingkatkan.
Bukannya hanya sekadar memberikan alasan tidak boleh kerana itu dan ini.
Mencari jalan damai
Masyarakat Cina atau India tidak akan meleburkan SJK kerana mereka menganggap ia satu bentuk jati diri dan budaya yang perlu mereka pertahankan. Sentimen mereka itu difahami dan wajar diambil perhatian yang serius. Hakikatnya sekolah satu aliran dan SJK masih boleh wujud beriringan tanpa perlu mengorbankan mana-mana identiti sekolah. Jika semua pihak serius, kita perlu melakukan beberapa perubahan yang besar untuk merealisasikan idea ini.
Pihak kerajaan perlu menjadikan sekolah rendah kebangsaan wajib dihadiri oleh semua pelajar di Malaysia bermula daripada darjah 1 sehingga ke darjah 6. Medium pengajaran pula wajib menggunakan bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Sukatan pembelajaran pula patut mengurangkan slot pengajaran subjek agama Islam dan pendidikan moral bagi memendekkan sesi pembelajaran.
Jika sesi sekolah kebangsaan pada waktu pagi, maka pada waktu petang pelajar beragama Islam boleh pergi ke sekolah agama manakala pelajar Cina atau India boleh pergi ke SJK. Sistem pendidikan sebegini lebih fleksibel dan memberikan ruang pelajar berbilang bangsa berinteraksi sesama mereka pada usia yang lebih muda ketika mana minda mereka masih bersih daripada stereotaip bangsa hasil acuan daripada generasi dahulu.
Sekolah sesi petang boleh dijadikan medium untuk memberikan peluang kepada pelajar berbilang bangsa kembali kepada asal agama dan budaya tanpa kerajaan perlu banyak campur tangan tentang bagaimana sistem pendidikan sesi petang itu mahu dibentuk.Kaedah ini memberikan situasi “menang-menang” terhadap sistem sekolah satu aliran disamping meraikan kepelbagaian SJK.
Soalnya bukan boleh atau tidak, tetapi mahu atau tidak.

Link Terpilih

Blog Widget by LinkWithin