Tuesday, March 22, 2016

MP Ledang & 1MDB untuk Melayu

Baru-baru ini, penulis mendapat satu salinan rakaman sebuah acara ‘Townhall Media Sosial Ledang’ yang membabitkan seorang ahli parlimen, YB Datuk Ir Hamim Samuri yang kononnya memberikan pencerahan terhadap isu-isu semasa, terutamanya yang membabitkan Dato’ Seri Najib Razak. Penulis bukan ahli Umno, tetapi merupakan anak jati Ledang yang secara dekat mengikuti perkembangan politik semasa. Walaupun Hamim Samuri ada menyentuh isu-isu panas yang lain seperti lantikan menteri “cap ayam” daripada kawasan Malaysia timur, penulis fokuskan tulisan ini sekitar isu 1MDB dan derma RM 2.6 bilion sahaja.


1MDB untuk Melayu

Antara hujah yang digunakan YB Ledang untuk mempertahankan 1MDB adalah dengan mendakwa bahawa pembangkang sengaja mencipta spekulasi dan persepsi negatif bagi menggagalkan 1MDB kerana kononnya syarikat ini adalah entiti penting dalam usaha membantu orang Melayu. Hamim Samuri tidak menyebut secara terperinci apa yang dimaksudkan sebagai membantu orang Melayu, tetapi hasil dapatan penulis, mungkin ia ada kaitan dengan isu jemaah haji dan aktiviti CSR yang telah dijalankan. Untuk pengetahuan Hamim Samuri, apabila 1MDB menghantar ribuan orang Islam pergi menunaikan ibadah haji, tidaklah bermakna ia membantu orang Melayu dalam erti kata yang sebenar. Ia juga tidak menjawab persoalan tentang dakwaan salah laku pengurusan dan bagaimana syarikat itu terbeban dengan sejumlah hutang yang amat besar.

Cubaan mengaitkan 1MDB dengan orang Melayu adalah satu taktik membebankan oleh Melayu supaya mereka merasa mudah tercabar apabila syarikat ini berteruskan dikritik secara terbuka oleh pembangkang dan rakyat Malaysia yang lain. Ini akan menyebabkan isu yang awalnya berkaitan tentang salah laku pentadbiran bertukar menjadi sentimen berkauman. Sentimen orang Melayu cuba digunakan sebagai benteng mempertahankan syarikat 1MDB daripada kritikan salah laku. Penulis percaya, selepas ini sentimen agama akan digunakan apabila akan ada orang yang mempertahankan 1MDB dengan alasan ada usaha-usaha pihak barat dan Yahudi yang cuba menjatuhkan pemimpin negara Islam seperti Najib Razak dengan menggunakan isu ini. Akhirnya orang Melayu dan Islam terus diperkudakan bagi menutup isu sebenar.

Akibat sarat dengan hutang yang tinggi, 1MDB terpaksa menjual aset-aset milikannya bagi mengurangkan bebanan hutang. Antara langkah yang diambil oleh syarikat 1MDB adalah dengan menjual 60% pegangan di Bandar Malaysia dengan harga RM 7.41 bilion kepada sebuah syarikat usaha sama antara Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd dan China Railway Construction Corp. 1MDB juga terpaksa menjual 100% aset tenaga iaitu Edra Global Energy Bhd kepada China General Nuclear Power Corporation dengan nilai RM 9.83 bilion. Dengan penjualan aset-aset strategik negara kepada negara luar, penulis tidak nampak dimana logiknya 1MDB dikatakan mahu membantu orang Melayu.

Derma RM 2.6 bilion

Apabila menjelaskan tentang isu derma RM 2.6 bilion, kelihatannya Hamim Samuri juga mengakui tidak mempunyai maklumat yang lengkap. Beliau juga masih teraba-raba mencari jawapan yang boleh memuaskan hatinya. Namun, apa yang berbeza Hamim Samuri memilih untuk mendengar pendapat Menteri bukan Umno yang menurutnya memberikan sedikit keyakinan kepadanya untuk menerangkan isu ini kepada khalayak umum. Menurut rakaman tersebut, Najib Razak dikatakan tidak boleh memberikan penjelasan secara terperinci mengenai derma yang diberikan kepadanya adalah kerana ianya membabitkan institusi kerabat diraja Saudi. Masalahnya terlalu kompleks kerana di Saudi terdapat kabilah-kabilah tertentu di dalam institusi beraja yang kononnya berebut tahta sebelum Raja Salman menaiki tampok pemerintahan Arab Saudi. Jika Najib Razak memberikan penjelasan tentang isu derma ini, kononnya ia akan menjejaskan hubungan kedua negara.

Dengan beranggapan benar Najib Razak menerima derma daripada kerabat diraja Saudi, maka ada beberapa persoalan yang sepatutnya berlegar difikiran kita. Apabila duit sebesar ini disumbangkan ke dalam akaun peribadi Najib Razak selaku Perdana Menteri Malaysia, apakah yang diharapkan sebagai timbal balik. Jika tidak ada, apakah tujuan asal sumbangan ini diberikan? Memerangi ancaman ISIL? Bantuan kempen pilihanraya? Menyebarkan fahaman mazhab Hambali di Malaysia? Mengapa Najib Razak memulangkan baki derma yang kononnya tidak digunakan selepas pilihanraya? Benarkah derma yang diberikan benar-benar telah disalurkan pada urusan yang sepatutnya?

Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman menyatakan bahawa seramai 744 orang penerima biasiswa universiti luar negara telah dipotong dan telah ditukarkan kepada biasiswa universiti dalam negara. Pemotongan ini dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM 240 juta. Mengapa Najib Razak boleh memulangkan wang derma yang berbaki USD 620 juta, sedangkan derma itu boleh disalurkan kepada pelajar yang memerlukan biasiswa?

Terlalu banyak persoalan yang berbangkit dan tindakan kebanyakkan pemimpin Umno untuk tuli taat tanpa banyak soal amat mendukacitakan. Mereka sedaya upaya untuk bersangka baik, tindakan mereka umpama menutup bangkai gajah. Bau bangkai terlalu kuat untuk disembunyikan.

Imej Najib Razak dan Malaysia di mata dunia

Selain isu 1MDB dan derma RM 2.6 bilion, Najib Razak juga berhadapan dengan skandal tuduhan rasuah membabitkan pembelian aset pertahanan iaitu dua kapal selam sewaktu dia memangku jawatan Menteri Pertahanan. Menurut laporan The Financial Times (FT) pada 4 Februari 2016, pihak pendakwaraya Paris telah melancarkan siasatan secara rasmi terhadap Najib Razak dan pihak hakim akan menentukan sama ada Bernard Baiocco, bekas Presiden Thales International Asia ada membayar sejumlah wang kepada Najib Razak melalui kenalan rapat beliau bagi memenangi bidaan pembelian dua unit kapal selam.

Pada 30 Januari 2016 pula, Wall Street Journal (WSJ) melaporkan pihak pendakwaraya Swiss menyatakan terdapat indikasi yang menunjukkan bahawa terdapat dana berjumlah 4 bilion telah disalah guna dan mereka sedang melihat kemungkinan empat kes jenayah. Dilaporkan terdapat sejumlah dana telah dipindahkan ke dalam Swiss akaun yang mana akaun ini dipegang oleh bekas pengawai tinggi Malaysia dan bekas pegawai daripada negara United Arab Emirates (UAE).

Kedua kes ini menyebabkan nama Najib Razak dan Malaysia menjadi terkenal kerana sebab yang salah. Keseriusan masalah tadbir urus negara kita telah menjangkau kepada satu tahap yang luar biasa apabila berjaya mengheret dua negara untuk terlibat sama dalam siasatan salah tadbir negara kita. Ini sesuatu yang memalukan negara.   

Parlimen & Umno Ledang

Sewaktu Pilihanraya Umum ke-13 berlangsung, penulis terlibat sebagai Pemerhati bagi kawasan parlimen Ledang dibawah kendalian kumpulan think-tank, Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dengan kebenaran pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Tugas Pemerhati adalah melakukan pemerhatian dan menulis laporan tentang bagaimana proses demokrasi berlangsung sewaktu proses penamaan calon, tempoh berkempen, pengundian dan semasa pengiraan undi. Pengalaman penulis sewaktu menjadi Pemerhati parlimen Ledang menunjukkan trend sokongan pengundi terhadap Umno semakin merosot dengan teruk sekali, terutamanya dikalangan pengundi muda. Pada tahun 2004, Hamim Samuri mendapat 74% undi, kemudian merosot pada tahun 2008 dengan hanya 57% undi, dan pada tahun 2013, sokongan pada Hamim Samuri hanya tinggal 50% sahaja berbanding calon PKR, Hassan Abdul Karim yang mendapat 47% undi.

Pada tarikh 15 Mac 2016, Umno bahagian Ledang ada mengutuskan surat kepada Setiausaha Agung Umno menyatakan pendirian menyokong penuh kepimpinan Najib Razak sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia. Surat ini dinamakan Deklarasi Kepimpinan Umno Ledang. Menurut laporan portal Umno-Online, Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan bahawa Persidangan Tahunan Cawangan Umno akan bermula 18 Mac hingga 1 Mei 2016, manakala Mesyuarat Perwakilan Bahagian pula akan bermula pada 1 Ogos hingga 15 September 2016. Jika surat ini diutuskan pada tarikh 15 Mac 2016, sebelum bermulanya persidangan tahunan cawangan Umno, apakah Deklarasi ini benar-benar mencerminkan hati nurani ahli Umno Ledang, atau pun ia hanyalah sekadar penyedap halwa pimpinan atasan yang hanya mahu dengar yang baik-baik sahaja?


Sudahlah sokongan akar umbi jatuh merundum, kemudian golongan elitis Umno cuba berlagak kononnya memahami hati nurani akar umbi. Wahai Hamim Samuri, realiti sebenar tidak secantik sokongan di atas kertas. 

Sunday, February 14, 2016

Wajarkah diskusi Asri-Zamihan?

Apabila timbul cadangan diskusi atau debat antara Mufti Perlis, Prof. Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr MAZA) dengan Ustaz (Dr) Zamihan Mat Zin, Pengawai Kementerian Dalam Negeri (KDN), terdapat beberapa kenyataan dibuat oleh mufti dan agamawan tertentu yang tidak bersetuju dengan diskusi ini kerana kononnya akan berlangsung debat yang membincangkan perkara furu’ ataupun khilafiyyah. Ada juga dikalangan mereka yang bersetuju, tetapi menggesa agar ia diadakan dalam keadaan tertutup dan hanya dihadiri oleh golongan agamawan, ulama’ dan pakar akademik. Ini kerana dibimbangi orang awam akan terkeliru dengan hasil daripada diskusi ini. Terdapat juga kebimbangan akan berlaku perpecahan dikalangan umat islam di Malaysia.


Ada dua perkara yang perlu jelas disini, pertama tajuk diskusi antara dua tokoh agama ini tiada kaitan langsung dengan tajuk isu furu’ atau khilafiyyah. Salah faham ini tidak akan timbul jika agamawan yang memberikan komentar meluangkan sedikit masa membaca tajuk cadangan diskusi. Kedua, perpecahan umat Islam di Malaysia dan dunia berlaku majoritinya disebabkan oleh politik kepartian, tidak kerana debat atau diskusi ilmiah berkaitan agama. Jika benar bimbang perpecahan umat Islam akan berlaku, haramkan sahaja parti politik seperti UMNO dan Pas.

Memahami Kronologi Isu

Pertembungan antara Dr MAZA dan Ustaz Zamihan bukanlah baru bermula pada tahun ini, tetapi telah bermula sejak sekian lama. Perbezaan ini pada awalnya berlegar pada isu feqh antara mazhab dan takwilan terhadap sifat Allah. Tetapi isu yang betul-betul menarik perhatian media dan rakyat bermula pada tahun 2010, apabila Ustaz Zamihan dilaporkan pernah membuat dakwaan mengaitkan nama Dr MAZA dan Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis ketika itu) dengan fahaman wahabi dan mempunyai kaitan dengan kumpulan Jemaah Islamiah (JI) tetapi telah dinafikan oleh mereka. Menurut laporan akhbar, Ustaz Zamihan dilaporkan membuat dakwaan itu ketika memberikan taklimat dalam mesyuarat anti keganasan anjuran pihak Polis.

Selepas daripada insiden itu, pertembungan antara mereka menjadi semakin sengit. Ustaz Zamihan dengan jelas di dalam ceramahnya pernah memanggil Dr MAZA dengan gelaran mufti “anjing” hanya kerana perbezaan pendapat di dalam isu feqh. Beliau juga di dalam ceramah pernah memberikan gelaran “mu kapir!” kepada seorang tokoh agama di Malaysia kerana memetik pendapat ulama’ dalam isu kedudukan ayah dan ibu Nabi Muhammad. Dr MAZA pula berterusan mempersoalkan kredibiliti Ustaz Zamihan dalam mempertahankan ahli sunnah wal jamaah kerana beliau didapati pernah berguru dan menterjemahkan buku seorang ulama’ yang mempunyai kecenderungan Syiah iaitu Hassan as-Saqqaf. Dr MAZA seringkali secara sinis mengingatkan tentang bahaya syiah berbaju sunni yang dipercayai ditujukan kepada Ustaz Zamihan.


Sejak beberapa tahun lepas, Ustaz Zamihan didapati kerap membuat cabaran debat secara terbuka kepada Dr MAZA, hal ini boleh disemak dengan merujuk status-status facebook dan rakaman-rakaman video kuliah beliau, tetapi semuanya tidak dilayan oleh Dr MAZA. Difahamkan, beliau tidak melayan cabaran debat kerana merasakan tidak sesuai dengan kedudukan beliau sebagai mufti kerajaan negeri.


Terbaharu, pada 4 Februari 2016, Ustaz Zamihan ada mengeluarkan kenyataan mencabar sekali lagi Dr MAZA untuk berdebat. Beliau menyebut, “Saya juga bersedia 24 jam untuk berdebat secara ilmiah dengan beliau atas apa saja topik sekalipun. Beliau boleh memilih mana-mana tajuk berkaitan, lokasi, peserta dan format. Saya tidak pernah gentar untuk berhujah dgn Mufti sepertinya. jika tewas, beliau perlu meletak jawatan sebagai seorang mufti dan berhenti memfitnah saya.”



Cabaran terbaharu ini dibuat oleh Ustaz Zamihan selepas insiden pengharaman 16 orang penceramah agama daripada memberikan sebarang kuliah agama di dalam negeri Johor di mana Dr MAZA salah seorang daripadanya kerana dipercayai membawa fahaman yang terkeluar daripada pegangan ahli sunnah wal jamaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Shahidan Kassim (DSSK) cuba merealisasikan permintaan debat Ustaz Zamihan dengan Dr MAZA apabila cuba menganjurkan satu diskusi antara mereka berdua bertajuk ‘Extremis Agama Di Malaysia: Satu Perbincangan’ pada 10 Februari 2016. Setelah bertahun lamanya tidak melayan cabaran Ustaz Zamihan untuk berdebat, akhirnya Dr MAZA menyambut baik cadangan yang telah dikemukan oleh DSSK kerana menyifatkan cabaran debat oleh Ustaz Zamihan semakin keterlaluan.

Walaupun dalam cabaran berdebat yang dikemukan oleh Ustaz Zamihan menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk hadir, tidak kira tempat atau format, tetapi dengan tiba-tiba beliau meminta untuk diadakan perbincangan terlebih dahulu dengan beliau dalam menentukan moderator, tarikh dan format. Setelah perbincangan diadakan, tarikh diskusi dipinda kepada 17 Februari 2016 kerana beliau mempunyai program yang lain pada tarikh 10 Februari 2016 walaupun Dr MAZA sedia menangguhkan program pada tarikh terbabit. Dalam kiriman yang terbaharu dibuat oleh Ustaz Zamihan, beliau kembali mempersoalkan penganjur kerana masih tidak menerima surat jemputan rasmi beserta format, tarikh, masa, lokasi dan moderator program. Beliau juga meminta surat jemputan di hantar kepada majikan beliau, Timbalan Perdana Menteri (TPM) merangkap Menteri Dalam Negeri.

Rasional Diskusi

Isu yang akan dibincangkan oleh mereka berdua bukan berkaitan hukum qunut subuh atau hukum membaca talqin, tetapi membincangkan tentang isu extremis agama di Malaysia. Hal ini bukan perkara remeh atau perkara furu’ dalam ibadah, tetapi perkara yang amat mendasar kerana membabitkan imej Islam dan kefahaman yang betul dalam beragama. Tambahan pula Ustaz Zamihan menggunakan platform KDN secara terbuka mengaitkan fahaman dan tokoh tertentu dengan aktiviti keganasan. Beliau pernah mengaitkan pengajian tauhid 3 (Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyan dan Tauhid Asma wa Sifat) dengan doktrin ISIS (Daesh). Tuduhan seperti ini amat berat dan mempunyai implikasi besar dalam dunia Islam dan di Malaysia khususnya kerana pengajian tauhid 3 ini diajar di sekolah menengah sebagai salah satu kaedah mengenal Allah.

Disebabkan tuduhan berat seperti ini dilakukan secara terbuka, maka amatlah penting untuk ia dibincangkan dan dijawab secara terbuka agar masyarakat dalam menilai dua sisi pandangan yang berbeza. Adalah sangat tidak adil, apabila ada satu pandangan atau tuduhan sudah dilemparkan kepada masyarakat sehingga menimbulkan polemik kemudian mahu dibiarkan sahaja tanpa diuruskan dengan betul. Diskusi seperti ini diharapkan dapat memberikan pencerahan kepada masyarakat tentang bahaya sikap extremis dalam beragama dan menyangkal salah faham yang berlegar dikalangan masyarakat.

Budaya berfikir, bukan takfir

Jika diskusi ini dibatalkan, atau dihadkan kepada yang “ahli” sahaja, maka kita sebenarnya sedang memandulkan pemikiran masyarakat Islam serta merendahkan nilai keupayaan mereka untuk berfikir serta membuat penilaian. Kita seringkali beranggapan bahawa masyarakat masih belum matang untuk membuat penilaian tentang setiap hujah agama yang dikemukan. Maka, mereka lebih mudah beranggapan pihak berautoriti sahajalah yang menentukan segalanya, apa yang betul dan apa yang salah.

Kita sepatutnya membudayakan kemahiran berfikir secara kritis dalam agama. Ini dapat mendidik masyarakat Islam supaya membuka dimensi minda mereka, daripada lembah kejumudan kepada ladang-ladang ilmu yang lebih luas. Jika masyarakat Islam lebih kerap berfikir, kelak akan timbul banyak persoalan diminda mereka, dan untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan itu, mereka akan terpaksa menambah ilmu melalui pembacaan, mendengar penghujahan, perdebatan, atau melalui pertanyaan. Ilmu yang baik dan bermanfaat akan membuahkan keharmonian dalam beragama, dan orang yang malas berfikir sahaja yang mudah memberi label takfir.

Takutlah Allah!

Sunday, January 17, 2016

Mengapa orang Melayu curiga dengan bukan Melayu?

Artikel ini ditulis sebagai rencah tambahan terhadap tulisan yang telah dikemukan oleh Saudara Ooi Kok Hin bertajuk, “Mengapa orang bukan Islam takut dengan Islamisasi?”. Tulisan ini adalah berbentuk eksperimental yang cuba mengulas isu secara jujur tetapi naïf dan sinikal.


Walaupun Malaysia seringkali dicanang sebagai negara yang mempunyai masyarakat majmuk yang harmoni, tetapi hakikatnya itu hanyalah gambaran luaran yang tampak indah. Hubungan inter-kaum di Malaysia sebenarnya sangat rapuh. Dalam kebanyakkan hal, mereka hanya berinteraksi jika hanya ada keperluan. Contohnya mereka hanya akan berinteraksi dalam urusan yang melibatkan pekerjaan, pembelajaran dan juga apabila melibatkan urusniaga. Tidak bersetuju? Cuba kita mengambil sedikit masa untuk duduk memerhatikan semula interaksi antara kaum di Malaysia, secara jujurnya kita akan terpaksa untuk bersetuju dengan fakta ini.  

Masalah ini timbul kerana wujud perasaan saling tidak percaya di antara mereka walaupun ianya tidak dizahirkan. Saudara Ooi Kok Hin sudah menulis menurut persepsi masyarakat bukan Melayu, maka makalah ini akan cuba mengulas isu ini menurut persepsi masyarakat Melayu.  

Bahasa dan Sekolah Kebangsaan

Setelah beberapa generasi masyarakat bukan Melayu menetap dan menjadi warganegara Malaysia, mereka masih gagal menguasai bahasa kebangsaan dengan baik. Walaupun tidak dinafikan terdapat sebahagian daripada mereka yang begitu fasih bertuturkan dalam bahasa kebangsaan, tetapi majoriti masih gagal menguasai bahasa kebangsaan dengan baik. Jika dibandingkan dengan warga asing yang baru menetap di Malaysia, tidak sampai 1 tahun mereka sudah mampu menuturkan bahasa kebangsaan dengan baik, bahkan ada dikalangan mereka yang mampu menuturkan bahasa kebangsaan jauh lebih baik daripada orang bukan Melayu yang lahir dan membesar di Malaysia. Kegagalan menguasai perkara asas seperti ini mendorong orang Melayu mempersoalkan keseriusan bukan Melayu mendokong bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara.  

Orang Melayu tidak dapat memahami mengapa perlu wujudnya Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK)? Mereka beranggapan, jika orang bukan Melayu serius dengan jati diri sebagai warganegara Malaysia, mengapa perlu mengasingkan anak mereka belajar dalam sekolah yang lain? Apakah orang bukan Melayu masih beranggapan mereka terikat dengan sentimen negara tanah besar China ataupun India. Soal kesetiaan mereka terhadap negara menjadi tanda tanya. Orang Melayu merasakan, jika atas alasan mahu belajar bahasa ibunda, boleh sahaja Sekolah Kebangsaan menawarkan subjek bahasa Cina atau Tamil. Apa rasional Sekolah Jenis Kebangsaan perlu diwujudkan serta dipertahankan?

Jaringan Kaum

Dalam soal perniagaan dan peluang pekerjaan, terdapat unsur diskriminasi terhadap pekerja dan peniaga Melayu. Jika diamati dalam laman-laman carian kerja, banyak pengiklanannya memerlukan penguasaan bahasa Mandarin sebagai syarat kelayakkan untuk memohon sesuatu jawatan. Jika jawatan itu memerlukan komunikasi dengan syarikat daripada negara China atau Taiwan, itu difahami kerana mempunyai konteks. Tetapi kebanyakkan daripadanya hanyalah syarikat yang beroperasi dalam lingkungan Malaysia sahaja. Barangkali iklan seperti itu sewajarkan diiklankan dalam bahasa Mandarin agar yang membacanya terdiri daripada mereka yang mampu bertutur dalam bahasa Mandarin!

Dalam soal jaringan perniagaan, orang Melayu juga mengalami masalah. Jika peniaga Melayu ingin mendapatkan bekalan barangan tertentu daripada pembekal bukan Melayu, dalam sesetengah keadaan terdapat perbezaan harga yang ditawarkan kepada Melayu dan bukan Melayu. Perbezaan harga ini menyebabkan peniaga Melayu terpaksa menjual barang dagangan mereka dengan harga yang lebih tinggi daripada peniaga bukan Melayu. Ini menimbulkan perasaan tidak puas hati dikalangan orang Melayu kerana mereka merasakan wujud diskriminasi terhadap mereka.

Pembaratan bukan Melayu

Terdapat kebimbangan masyarakat bukan Melayu terhadap proses Islamisasi yang sedang berlaku di dalam masyarakat  Melayu. Mereka gusar dengan orang Melayu yang mula berfesyen  serban Arab, berjubah Arab dan cuba mengislamkan institusi kenegaraan. Sebaliknya, orang melayu juga merasa bimbang dengan budaya ‘pembaratan’ masyarakat bukan Melayu yang sedang aktif menular. Lihat sahaja kebanyakkan daripada mereka mula menukar atau menambah nama mereka dengan nama yang berbunyi kebaratan. Sudah jarang-jarang nama seperti Lim dan Tan disebut, lebih banyak nama-nama berbunyi ‘mat salleh celop’ disebut seperti Joseph, Joshua dan Jason.

Orang Melayu juga bimbang apabila nilai-nilai budaya yang disepakati secara umum oleh masyarakat timur seperti tidak bersekedudukan sebelum berkahwin dan pemakaian pakaian sopan semakin ditinggalkan. Ada juga usaha-usaha untuk menjadikan nilai-nilai barat sebagai asas mutlak kepada tafsiran ‘human rights’.  Apabila hal ini dibangkitkan oleh orang Melayu, maka mereka dianggap kolot dan cuba mengislamisasikan masyarakat Malaysia. Walhal perkembangan ini akan mencemarkan institusi masyarakat yang telah sepakat menjadikan nilai-nilai ketimuran sebagai asas kepada pembentukan akhlak dan moral masyarakat di Malaysia. Jika orang bukan Melayu berhak untuk merasa takut dengan Islamisasi, orang Melayu pula berasa berhak untuk merasa gusar dengan budaya ‘pembaratan’ bukan Melayu.   

Kaum terpilih

Orang Melayu juga merasakan nilai mereka telah direndahkan oleh masyarakat bukan Melayu. Sesetengah kumpulan dalam masyarakat bukan Melayu menganggap orang Melayu sebagai beban untuk negara ini maju kehadapan. Mereka menganggap orang Melayu sebagai kaum yang malas dan bodoh. Hal ini diburukkan lagi dengan sekumpulan Melayu ‘bajet’ liberal dan progresif yang bersungguh-sungguh merendahkan keupayaan kaumnya sendiri. Apabila kumpulan Melayu ‘bajet’ liberal ini mengiakan pembodohan Melayu secara serkap jarang, maka secara tidak langsung ia telah mewujudkan perasaan ‘superior’ orang bukan Melayu terhadap orang Melayu.    

Apabila wujud perasaan ‘superior’ terhadap orang Melayu, maka justifikasi terhadap keupayaan Melayu akan menjadi sumbing kerana ia telah dibentuk oleh persepsi awal, bukan dinilai secara keupayaan individu. Jika ada perkumpulan wacana atau niaga dikalangan orang bukan Melayu, jarang orang Melayu untuk dilibatkan. Jika ada pun ia bukan atas kapasiti keupayaan dan kepercayaan individu, tetapi lebih kepada memenuhi kehendak kuota. Segregasi ini telah mengasingkan orang bukan Melayu ke satu pelosok dunianya sendiri. Kumpulan manusia terpilih.

Dua hala

Apabila orang bukan Melayu takut dengan proses Islamisasi, maka orang Melayu pula mula merasa curiga. Mengapa perlu takut dengan Islamisasi? Adakah orang bukan Melayu di Malaysia anti-Islam? Soalan-soalan seperti ini bermain diminda orang Melayu dan akhirnya ia digunakan oleh sebagai ahli politik sebagai senjata survival politik mereka. Budaya dialog untuk mendamaikan persoalan ini tidak subur kerana sudah wujud perasaan curiga di satu pihak, manakala di satu pihak lagi berasa mereka ‘superior’ dan tiada keperluan.


Saya tidak kata semua ini betul atau salah, berlaku secara mutlak dan konsensus, tetapi inilah antara sebabnya mengapa orang Melayu merasa curiga dengan bukan Melayu.

Link Terpilih

Blog Widget by LinkWithin