Manusia berubah, dan aku juga!

Belajar
Aku ingat lagi, semasa aku bersekolah rendah, antara perkara yang aku impikan adalah habis belajar. Waktu itu, peperiksaan UPSR pun aku tak ambil lagi. Tapi keinginan aku untuk habis belajar sangat membuak-buak, aku berasa sangat tak sabar nak berkerja. Terasa nak pegang duit sendiri kononnya. Kehidupan keluarga aku yang sukar ketika itu menyebabkan aku fikir duit adalah penyelesai bagi segala masalah. Kini, apa yang aku hajati beberapa tahun lepas sudah aku kecapi. Ya, aku sudah tamat belajar. Bukan sekadar lepasan SPM sahaja seperti yang aku fikirkan dulu, tapi aku telah tamat belajar sehingga ke tahap ijazah. Perjalanan hidup aku kini bukan seperti yang aku fikirkan semasa sekolah rendah. Dulu aku hanya impikan sekeping sijil SPM dan terus bekerja, semudah itu. Kita hanya mampu berangan tentang masa hadapan, berfikir untuk mencorak kehidupan yang kita impikan. Namun terlupa, Perancang di atas itu lebih mengetahui apa yang lebih baik untuk kita.

Bekerja
Aku selalu bermonolog dan berkata pada orang lain tentang betapa aku tidak suka menjadi seorang guru. Aku tidak fikir aku miliki jiwa pendidik yang mampu bersabar mengajar orang lain tentang ilmu, tentang kehidupan. Selalu juga aku berfikir, kebanyakkan orang yang bekerja dengan kerajaan ini tidak kompetetif. Erti kata yang lebih mudah, pemalas! Kini, apa yang aku fikirkan dulu banyak yang sudah berbeda. Aku seperti mahu menjilat ludah aku kembali. Kehidupan ini bukan seperti yang kita fikirkan dan sangkakan, manusia yang berteori tentang itu dan ini tidak sama dengan manusia yang bersifat praktikal. Aku kini diambang dunia pekerjaan, masih mencari-cari ke mana hala tuju hidup selepas ini. Angan-angan yang disifatkan oleh diri sendiri sebagai ‘perancangan’ kelihatan begitu gagal. Aku masih berkira-kira tentang masa hadapan, tentang pekerjaan.

Tajdid?
Tatkala aku kenal dengan istilah tajdid atau pembaharuan, aku fikir ini yang akan membawa kepada pembaharuan minda umat Islam. Satu pendekatan yang digelar paling selamat dan juga paling sederhana. Aku begitu rakus dan ghairah menyampaikan hal yang aku sendiri hanya tahu sekadar ala kadar. Kegilaan aku pada aliran ini sehingga aku abadikan nama timangan aku dengan nama tajdid. Ya, AJIMTAJDID. Aku merasa inilah manhaj yang paling benar, suci dan bersih. Sehingga aku tidak perasan, kegilaan penyakit yang secara perlahan membunuh diri.

Penyakit merasa diri paling benar, paling berilmu dan paling sederhana.

Aku lihat penyakit ini sudah banyak menjangkiti sebahagian besar mereka yang digelar pendukung tajdid, salafi dan islah. Ada sebahagian yang mendakwa, aliran tajdid adalah aliran yang mementingkan hujah dan nas. Duka cita apabila aku melihat hal yang sebaliknya. Aku dapati, sebahagian mereka apabila gagal menjawab penghujahan orang lain dalam forum agama milik mereka, maka yang memilih berbeda dari mereka itu akan disingkirkan. Bahkan, lebih teruk dari itu mereka melabel yang disingkir itu sebagai pengikut tareqat, penganut ajaran sufi, tidak faham dalil, tidak mahu berlapang dada, berfikiran sempit dan sebagainya. Tutup cerita, tidak perlu hujah balas. Entah sudah ke mana hilangnya slogan tajdid yang dicanang melata itu. Sudah membakul sampah barangkali. Pertempuran pemikiran bukan hanya berlaku di antara mereka yang bergelar mendukung aliran salaf dan khalaf, namun sesama sendiri juga berlaku. Selalu juga aku membaca tentang kisah salafi ‘tulen’ vs salafi ‘kurang tulen’. Salafi ‘tulen’ mendakwa salafi ‘kurang tulen’ sebagai tidak cukup sunnah, bahkan lebih dari itu salafi ‘kurang tulen’ mendakwa salafi ‘tulen’ menuduh salafi ‘kurang tulen’ sebagai khawarij. Isunya apa? Seputar isu berkaitan politik dalam bab menegur pemerintah. Aku menjadi bosan. Tatkala dunia mahu menginjak-injak agama Islam, ada yang masih berperang dalam kelambu sendiri...

.. dan kelihatan kelambu itu sudah pun terbakar. 

Apabila aku menulis kata tentang hal ini, bukan bermakna aku sudah memalingkan muka pada aliran tajdid. Aku barangkali cuma mahu memuntahkan apa yang sudah lama terbuku dalam hati, telah lama aku cuba bersangka positif tiapkali hal itu berlaku. Namun kini aku titipkan sekadar merekodkan apa yang ada dalam fikiran, ia sudah membusuk.

Akhirnya..
Membesar adalah satu keajaiban. Kita berubah dan berevolusi selari dengan proses pembesaran kita. Apa yang kita fikirkan tentang masa hadapan pada 10 tahun lepas, kini berubah. Aku kadang kala mahu membiarkan masa depan ditentukan tanpa perancangan, mahu biarkan ia bergerak dengan penuh teka teki tanpa pengharapan, mungkin kerana aku sudah kecewa dengan kegagalan. Namun, acap kali itu aku akan teringat kata-kata yang tertampal di sekolah lama aku.

‘Jika anda gagal merancang, anda merancang untuk gagal’

Kegagalan merancang bukanlah sesuatu yang mengecewakan bukan?

Comments