BANGSA JOHOR, BANGSA “DERHAKA”

Kita selalu digambarkan dengan khabar betapa akrabnya dan mesranya kesultanan Johor dengan rakyat Johor (baca: bangsa Johor). Hal ini juga menjadi bahan promosi apabila ingin mengambarkan tentang betapa indahnya kesepaduan bangsa Johor dan betapa Sultan dan rakyat berpisah tiada.


Tetapi, bangsa Johor bukan sekadar hubungan akrab dengan Sultannya sahaja, tetapi lebih daripada itu mereka amat berani dan pernah melakukan hal-hal yang sukar untuk kita jangkakan. Mereka berani menyatakan kebenaran dan melawan “tuan” mereka apabila keadaan memerlukan mereka berbuat sesuatu.

Jika kita soroti sejarah bangsa Johor, terdapat beberapa peristiwa besar penderhakaan bangsa Johor yang telah menjadikan negara Malaysia seperti mana yang ada sekarang ini. Jika episod penderhakaan ini tidak berlaku, maka sukar untuk kita fikirkan apa yang akan terjadi terhadap anak bangsa kita.

Onn Jaafar dan tujuh bersaudara

Sultan Ibrahim (meninggal 1959) secara mudah menandatangani perjanjian Malayan Union apabila hanya mengambil masa 2 hari sahaja untuk berfikir. Baginda juga langsung tidak merujuk kepada mana-mana badan perundangan di Johor. Tidak lama selepas itu, pada 3 Disember 1945, Sultan Ibrahim secara tergesa-gesa pergi ke England. England merupakan antara negara yang paling kerap baginda kunjungi dan digambarkan sebagai negara yang dicintainya.

Dato’ Onn Jaafar selaku penasihat Sultan merasa marah dan mengkritik keras baginda apabila mengetahui Sultan Ibrahim telah menandatangani perjanjian Malayan Union tanpa melakukan sebarang perbincangan. Keberanian Onn Jaafar terserlah sejak daripada zaman mudanya lagi. Beliau pernah menyiarkan salah guna kuasa Sultan Ibrahim menggunakan JMF untuk membina tempat lumba kuda dan membuka ladang di Pagoh dan Pasir Pelangi menyebabkan beliau dibenci dan dibuang negeri ke Singapura.

Beberapa orang Melayu Johor yang diketuai oleh 7 orang anak kelahiran Muar seperti Datuk Abdul Rahman Yassin (Pegawai Kewangan negeri Johor), Hj Hassan Yunos (Mufti Johor), Cikgu Kosai Saleh, Dr Awang Hassan (kemudian menjadi Gabenor Pulau Pinang), Cikgu Ahmad Sulaiman, Cikgu Supiah Sulaiman, dan Sulaiman Abdul Rahman mengetuai gerakan menentang perbuatan Sultan untuk bersetuju dan menandatangani Malayan Union.

Oleh kerana Sultan Ibrahim sudah berada di London, mereka ada menghantar telegram kepada baginda yang berbunyi;

“Berdasarkan alasan-alasan diatas (menyerahkan Johor kepada British), kami orang-orang Melayu di Johor Bahru sebulat suara memutuskan untuk tidak lagi menerima Tuanku sebagai Sultan di negeri ini.”

Setelah menerima telegram tersebut yang mengancam untuk melucutkan tahta Sultan miliknya, baginda (dan Sultan Kelantan) mengubah minda untuk tidak menyokong Malayan Union. Sultan Ibrahim menulis surat kepada Colonial Office dari rumahnya di London dengan membawa maksud menarik balik tandatangan sokongan terhadap Malayan Union.

Datuk Seth Mohd Said

Ketika proses rundingan kemerdekaan Malaya di London pada 1956, Sultan Melayu menghantar wakil mereka untuk memaklumkan hasrat mereka kepada British sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan kemerdekaan Malaya.

Kesemua Sultan Melayu telah bersetuju kecuali Sultan Ibrahim dari Johor. Wakil Sultan Johor ialah Datuk Muhamed Seth Mohd Said. Antara perkara penting bagi mencapai kemerdekaan Malaya seperti yang ditetapkan oleh British ialah Raja-Raja Melayu mesti bersetuju dengan kemerdekaan Malaya.

Pada 17 September 1955, Sultan Johor pernah menitahkan bahawa, “The British have made Malaya prosperous… If they leave, the communist will take over, and they are the country enemies. There is no knowing what they would do.” Ucapan pro-British ini telah mengundang pemboikotan oleh Tunku Abdul Rahman ketika sambutan Jubli Intan Sultan Johor.

Tunku Abdul Rahman menyanggah ucapan Sultan Johor dan menganggap ia sebagai mengarut atau “nonsense”.

Tunku Abdul Rahman maklum dengan hal itu (menolak kemerdekaan) dan mempunyai perancangan memujuk Datuk Seth Said untuk “derhaka” kepada titah Sultan Johor.

Rombongan kemerdekaan tidak menaiki kapal terbang, tetapi menaiki kapal laut dan jangka masa pelayaran adalah sangat lama. Ini merupakan peluang terbaik buat Tunku Abdul Rahman “meracuni” fikiran Datuk Seth Said untuk bersetuju dengan kemerdekaan Malaya.

Akhirnya, ketika rundingan kemerdekaan di London berjalan, Datuk Seth Said memilih untuk menderhaka kepada titah Sultan Johor dengan untuk bersetuju Malaya mencapai kemerdekaan. Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Derhaka era moden

Sebelum PRU-14, semua rakyat Malaysia maklum dengan sikap partisan yang telah ditunjukkan oleh Tengku Mahkota Johor (TMJ) apabila secara terbuka menyerang Tun Mahathir dan menyeru agar bangsa Johor menyokong dan mengekalkan koalisi Umno - Barisan Nasional (BN).

Sultan Johor juga dilaporkan oleh media banyak mengkritik dan menghentam Tun Mahathir secara terbuka. Kemuncak persengketaan ini menyebabkan Tun Mahathir ada menulis surat terbuka kepada Sultan Johor di The Star yang mana beliau rela ditangkap (lese majeste) kerana menyatakan kebenaran.

Apabila keputusan PRU-14 keluar pada awal pagi 10 Mei 2018, hasilnya amat berlawanan dengan apa yang telah dititahkan oleh TMJ kepada bangsa Johor. Pakatan Harapan (PH) yang diketuai oleh Tun Mahathir menang bergaya apabila memperolehi 36 kerusi Dun di Johor berbanding BN hanya 19 kerusi manakala Pas hanya sekadar 1 kerusi sahaja.
Dari sudut sokongan parlimen, dianggarkan 54% pengundi bangsa Johor telah menyokong PH yang diketuai oleh Tun Mahathir. Manakala 62% pengundi bangsa Johor telah menolak Umno-BN pada PRU-14.

Ini merupakan contoh moden penderhakaan bangsa Johor terhadap titah kesultanan Johor.

Johor harus kekal jadi Johor

TMJ didalam banyak tulisan dan ucapannya menyebut kita perlukan lebih ramai orang yang berani bercakap benar. Ini juga katanya merupakan salah satu cara untuk mengelakkan kesilapan lalu.

Semangat yang ditiupkan oleh TMJ ini amat bertepatan dengan sejarah bangsa Johor. Mereka berani menyatakan kebenaran hatta sehingga terpaksa melawan Sultan mereka sendiri. Akhirnya, sejarah telah membuktikan bahawa apa yang mereka lawan itu telah membawa kebaikan yang lebih besar. Kebaikan ini bukan hanya dinikmati di Johor, tetapi juga di Malaysia keseluruhannya.

Oleh:
Anak jati Johor, rakyat Malaysia.

Ajimtajdid

Comments