Kassim Ahmad dan Pemikirannya

Kassim Ahmad mungkin nama yang asing bagi sesetengah masyarakat Malaysia, terutamanya generasi muda yang lahir pada tahun lewat 80-an dan 90-an. Namun bagi mereka yang sentiasa aktif dalam membaca isu-isu berkaitan tentang politik dan agama Islam, pastinya nama Kassim Ahmad ini sinonim dengan kontroversi di dalam kedua-dua lapangan ini. Penulisan ini akan memperkatakan tentang sejarah hidupnya secara ringkas dan penumpuan akan diberikan pada corak pemikirannya yang agak kritikal.

Biografi Kassim Ahmad

Kassim Ahmad dilahirkan pada 9 September 1933 Kampung Kubang Tampang, Kubang Pasu. Nama asal beliau sebenarnya Osman, namun ditukar kepada Kassim kerana menurut kepercayaan masyarakat Malayu lama nama bayi perlu ditukar jika bayi itu kerap sakit. Ayahnya bernama Ahmad Ishak, seorang guru agama manakala ibunya bernama Ummi Kalthum Hj Ahmad. Antara pendidikan awal beliau adalah di Kolej Sultan Abdul Hamid iaitu sekolah terbaik dan tertua di negeri Kedah. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (ketika itu masih di Singapura) dengan menghasilkan tesis yang bertajuk ‘Characterization in Hikayat Hang Tuah’ yang mana akhirnya tesis ini mencetuskan revolusi pada pemikiran masyarakat Melayu ketika itu apabila beliau mengemukakan idea baru pejuang bangsa dengan watak Hang Jebat ditampilkan sebagai pejuang. Buku ‘Hadis-Satu Penilaian Semula’ (1986) merupakan buah tangan beliau yang paling kontroversi apabila berlaku tuduhan dan kecaman yang dasyat terhadap beliau. Hal ini berlaku gara-gara kandungan buku itu yang mengkritik hadis yang bercanggah dengan Al-Quran sehingga beliau dituduh sebagai golongan ‘Anti-Hadis’. Buku ini telah diharamkan beberapa bulan selepas penerbitannya, namun isi kandungan buku ini tersebar luas ke luar negara apabila ada usaha untuk mengalih bahasa kepada bahasa Inggeris. Pencapaian cemerlang beliau dalam bidang politik adalah apabila menjawat jawatan Pengerusi Parti Sosialis Rakyat Malaysia selama 18 tahun (1966 - 1984) sehingga beliau mengambil keputusan untuk berhenti. Beliau dan rakan sealiran dengannya telah menubuhkan Jemaah Al-Quran Malaysia (JAM) pada 11 Jun 1995 dengan bertujuan menyeru masyarakat Malaysia dan dunia kembali kepada ajaran Tuhan melalui kitab-Nya iaitu Al-Quran.

Pemikiran Kassim Ahmad

1. Di depan Masjid itu, konon, seorang pembela hantu tinggal. Saya tidak ingat namanya. Orangnya besar dan tinggi. Kononnya, bila dia meninggal, nyawanya amat susah mahu keluar ................... Saya tidak percaya akan segala khurafat ini. saya ceritakan ini – dan saya menyaksikan sendiri banyak kejadian – untuk menunjukan bahawa masyarakat kita banyak mengandungi adat-adat mundur yang menruntun kemajuan kita. Bagaimana kita menghuraikan adat-adat mundur ini?(ruj m/s 27: Mencari Jalan Pulang – Daripada Sosialis Kepada Islam, Kassim Ahmad)

- Penulis amat bersetuju untuk kita membendung sikap sesetengah masyarakat Melayu yang senantiasa mengikat pemikirannya pada cerita karut-marut hasil daripada warisan nenek moyang yang belum tentu miliki kebenarannya. Banyak adat warisan ini mengekang pemikiran umat Melayu Islam agar terus berfikir secara saintifik dan mementingkan kebenaran sesuatu fakta.

2. ‘Walaupun bapa saya guru agama, belajar agama di sekolah pondok selama lapan tahun, beliau tidak pernah menyuruh saya membaca Quran dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris yang saya fahami. Demikian juga guru agama kami di kolej itu, Sheikh Abdul Hamid, yang juga Guru Besar di Sekolah Ma’had Alor Star................Inilah tradisi: faham atau tidak faham,Quran dibaca dalam bahasa Arab. Tidak digalakkan dibaca dalam bahasa Melayu atau Inggeris!’ (ruj m/s 53-34: Mencari Jalan Pulang – Daripada Sosialis Kepada Islam, Kassim Ahmad)

- Ini suatu fakta dan realiti yang menarik untuk difikirkan. Kita rajin membaca sesuatu yang kita sendiri tidak faham. Pemikiran tradisionalis sentiasa menganggap membaca itu sudah memadai, namun untuk memahami kita perlu belajar ke negara Arab. Kita harus membezakan istilah memahami dan mentafsirkan Quran. Kita boleh memahami isi kandungan Al-Quran tanpa perlu belajar sehingga ke Al-Azhar, pelbagai buku dan terjemahan sedia ada untuk membantu kita memahami Al-Quran. Namun untuk sampai ke tahap mentafsirkan isi kandungan Al-Quran, itu memerlukan tahap kesarjanaan yang tinggi dalam ilmu Islam.

3. ‘Apabila buku Hadis Keluar, masyarakat Islam di Malaysia memandang serong saya. Mereka cap saya ‘Anti-Hadis’, walaupun saya tidak menolak semua hadis. Saya hanya menolak hadis yang terang-terang bercanggah dengan ajaran-ajaran Quran. ‘ (ruj m/s 64: Mencari Jalan Pulang – Daripada Sosialis Kepada Islam, Kassim Ahmad)

- Penjelasan mengenai terdapatnya hadis yang seakan bercanggah dengan Al-Quran telah pun dijelaskan oleh beberapa tokoh agama di Malaysia dan dunia umumnya. Antaranya Kapten Hafiz Firdaus melalui bukunya ‘20 Hujah Golongan Anti Hadis & Jawapan’. Contoh jawapan kepada kekeliruan yang ditimbulkan dalam bukunya itu ialah:

Hadis-hadis dua kalimah syahadah yang diajar oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam: “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah” adalah bercanggah dengan syahadah yang diajar oleh al-Qur’an melalui lisan Nabi Ibrahim alaihi-salam:

Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam [al-Baqarah 2:131]

Penjelasan:Dakwaan wujudnya percanggah ini adalah sangat lemah kerana jika dikaji ucapan Nabi Ibrahim alaihi-salam tersebut, ia adalah sebagai menyahut firman Allah Subhanahu waTa’ala kepadanya:

(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: “Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim) !” [al-Baqarah 2:131] Mendengar firman Allah ini maka menjawablah Nabi Ibrahim alaihi-wasallam:

Nabi Ibrahim menjawab: “Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”. [al-Baqarah 2:131]

Sesiapa yang menelusuri firman Allah Subhanahu waTa’ala kepada Nabi Ibrahim alaihi-salam dan jawapannya sepertimana dalam ayat di atas akan mendapati ia tidak sedikitpun memiliki erti mengatasi, membatalkan atau menyanggahi syahadah: “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah Rasul Allah.” Syahadah yang diajar oleh Rasulullah ini terbahagi kepada dua bahagian: Syahadah pertama bererti bahawa seseorang itu sedia mentauhidkan Allah Subhanahu waTa’ala sebagai Tuhan yang satu-satunya layak disembah dan sedia mengakui bahawa semua urusan langit dan dunia tertakluk kepada kekuasaan dan kehendak-Nya. Syahadah kedua bererti seseorang itu sedia menerima dan mengiktiraf Nabi Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam sebagai Perutusan Allah, yakni dengan menerima dan mentaati segala perintah-larangan syari’at agama yang dibawanya. Perkataan saksi dalam kedua-dua kes di atas bukanlah bererti saksi sepertimana dalam kes mahkamah, tetapi bererti ikrar, pengakuan pengesahan, pembenaran dan pembuktian. Persaksian ini tidak lengkap dengan sebutan mulut sahaja tetapi hanya setelah ia tersemat kukuh di jiwa dan dibuktikan dengan perbuatan harian. Oleh itu seseorang yang bersyahadah tetapi dia masih menyembah berhala atau enggan solat sepertimana Rasulullah solat, maka syahadahnya tidaklah dikira sah. Dua kalimah syahadah yang diajar oleh Rasulullah ini memang tidak terdapat lafaznya di dalam al-Qur’an, tetapi maksudnya adalah merupakan terbitan dan rumusan dari seluruh keterangan, ajaran dan perintah al-Qur’an itu sendiri. Tiada siapa yang akan mempersoalkan hakikat ini kecuali orang yang benar-benar tidak mengenal al-Qur’an.

(ruj: 20 Hujah Golongan Anti Hadis & Jawapannya, Hafiz Firdaus Abdullah)


4. ‘Singapura-ala-Lee Kuan Yew, suatu pulau kecil di dalam lautan budaya Melayu, suatu kemustahilan pada jangka panjang............. Singapura harus kembali ke pangkuan ibunda. Tiada tempat bagi Singapura sebagai benteng imperialisme dalam abad ke-21 ini.’ (ruj m/s 86: Mencari Jalan Pulang – Daripada Sosialis Kepada Islam, Kassim Ahmad)

- Suatu perasaan yang dikongsi oleh ramai insan di Malaysia, masyarakat negeri Johor terutamanya. Walaupun hubungan Malaysia dalam konteks semasa disifatkan sebagai ‘duri dalam daging’, namun ia umpama mencincang air yang tidak akan putus. Survival negara pulau kecil ini akan terus bergasak dalam keadaan geografinya yang semakin mendesak kepada perluasan daerahnya. Singapura juga akan terus mendabik dada selagi mana kuasa imperialisme yang mendukungnya masih bertahan, namun itu dalam jangka masa yang boleh dijangkakan.

5. ‘Yang menghalang umat Islam daripada mencapai kekuatan ini ialah mereka sendiri. Sesetengah negara Islam lebih percaya kepada kaum penjajah Inggeris-Amerika daripada rakyat mereka sendiri. Perang Teluk satu contoh yang jelas. Mereka mengutamakan keuntungan-keuntungan material yang mereka boleh dapat dari kuasa-kuasa Barat ini. Mereka harus ingat bahawa kekuatan material yang mereka mahu itu boleh kita bangunkan dengan menggunakan sumber-sumber dan tenaga kita sendiri. Mereka harus ingat juga bahawa kuasa-kuasa Barat yang "menolong" mereka ini mempunyai niat jahat mereka sendiri yang merugikan umat Islam.’ (ruj: Umat Islam Mestiah Berani Keluar Dari Kejumudan Mereka, Kassim Ahmad)

- Fakta dan realiti yang sedang berlaku, bukan hanya didunia Arab, hatta di alam Melayu juga ia telah berlaku dan masih terus berlaku. Dalam banyak hal, kita boleh mencontohi negara Iran yang mana membangunkan negaranya menggunakan kebanyakkan usahanya sendiri. Maka hala tuju negara itu berhak untuk sendiri ia tentukan, banyak dasar-dasar luar negara Iran begitu vokal dan sentiasa ‘telling the truth’ kepada kuasa dunia. Kebebasan dan kelantangan suara mereka dibayar oleh usaha gigihnya yang tidak mengikat dirinya pada mana-mana kuasa imperialisme dunia seperti United States (US) dan juga British.

Kesimpulan:

Kassim Ahmad mempunyai pemikiran yang berhaluan kiri dan sosialis pada awal penglibatannya dalam dunia pemikiran, namun beliau sifatkan dirinya sudah menemui jalan pulang apabila kembali kepada ajaran Al-Quran. Walaupun ada sebahagian pemikirannya dilihat sedikit memesong daripada neraca ilmu, namun sebahagian yang lain ia mempunyai nilai yang tinggi. Pemikiran kritikal dan sentiasa ingin berfikir pada luar kotak tradisionalis seharusnya wajar dikongsi bersama pemikir Melayu yang lain. Sikap sebahagian umat Melayu yang suka melabel tanpa menjawab isu pokok amatlah dikesali, nasib Kassim Ahmad seharusnya tidak berlaku pada pemikir yang lain. Jika ada yang tersesat jalan, maka jalan keluar harus diberikan. Kita usahlah meletakkan mereka pada suatu sudut, dan kemudian semua telunjuk kesalahan diletakkan pada mereka semata!

Nota kaki: Buah tangan terbaru Kassim Ahmad iaitu ‘Mencari Jalan Pulang – Daripada Sosialisme Kepada Islam’ sewajarnya menjadi bacaan rakyat Malaysia. Buku berbentuk pengalaman hidupnya ini ditulis kata pengantar oleh Tun Dr Mahathir yang mana pernah menyifatkan Kassim Ahmad sebagai musuh politiknya. Namun akhirnya mereka kini berkongsi meja membincangkan permasalahan umat Melayu dan Islam.


Oleh: Ajim
http://www.ajimtajdid.blogspot.com/

Comments

Anonymous said…
ngeh3...
Sherin said…
Kassim Ahmad ni..bapa kepada siti kassim ke
ajimtajdid said…
Bukan, tiada kaitan.