BARRY SOETORO: Lelaki Luar Biasa

Apabila nama ini disebutkan, pasti ada yang terpinga-pinga memikirkan siapakah pemilik nama ini. Persoalan ini akan terjawab jika pembaca menelusuri penuh artikel pendek ini sehingga ke akhir nota. Nama ini telah didaftarkan disebuah pusat pendidikan di kawasan Menteng Dalam,Tebet, Jakarta. Siapa sangka, kanak-kanak yang sering menjadi mangsa ejekan rakan-rakannya ketika kecil disebabkan sifat fizikalnya yang berbeza, kini menjadi antara manusia paling berkuasa dalam sejarah dunia moden ketika ini. Beliau telah lahir di Queen’s Medical Centre, Honolulu, Hawai pada 4 Ogos 1961. Keluarganya mempunyai pertalian genetik yang agak unik di mana ibunya seorang berketurunan suku Cherokee, berasal dari Kansas, Amerika Syarikat, manakala ayahnya seorang lelaki Kenya yang mana merupakan pelajar lulusan ekonomi di sebuah universiti terkemuka di dunia iaitu Universiti Harvard. Barry Soetoro juga secara peribadi merupakan bekas pelajar lepasan Universiti Harvard dalam bidang undang-undang. Penulisan ini tidak berfokus mengenai luar biasa dari sudut biografi, namun pemikiran dan sikap yang ditonjolkan oleh Barry Soetoro.


Antara pemikiran luar biasa Barry adalah sikapnya terhadap isu perang di Iraq. Beliau mempunyai pendirian yang sangat konsisten dalam menentang peperangan di Iraq yang mana beliau kerap kali mengkritik secara terbuka dasar George W Bush ketika melancarkan perang terhadap Iraq. Beberapa siri ucapannya telah mencerminkan sikapnya yang tidak bersetuju menggunakan peperangan terhadap Iraq atas nama penghapusan rangkaian pengganas. Tatkala rakan pesaingnya beranggapan pendirian yang diambilnya itu akan mematikan langkah politiknya, beliau masih terus konsisten terhadap pendiriannya itu. Memetik kata-kata Barry mengenai perang di Iraq, ‘Saya rasa keutamaan kita adalah menyelesaikan peperangan di Afghanistan. Saya mahu menentang peperangan Iraq yang saya panggil peperangan yang dilakukan tanpa berfikir panjang. Saya bimbang peperangan ini memakan masa yang lama, belanja yang tinggi dan kesan yang tidak pasti.’ Telahan ini telah terbukti apabila hingga kini perang saudara antara puak sunni-syiah masih berlarutan dan tidak menunjukkan sebarang petanda keadaan di Iraq akan kembali aman bahkan sebaliknya yang berlaku. Ucapan Barry ketika di Forum Polisi Jawatankuasa Hal Ehwal Amerika Israel (AIPAC) pada 2 Mac 2007 menekankan bahawa pengunduran tentera Amerika Syarikat di Iraq adalah penyelesaian bagi isu ini. Beliau beranggapan pengunduran ketenteraan akan memberikan tekanan kepada pihak-pihak yang bertelagah dan menggalakkan kestabilan politik. Beberapa hari selepas menduduki kerusi selesa, beliau masih lagi konsisten terhadap pendiriannya berkaitan dengan perang di Iraq. Sikap beliau ini telah memberikan sedikit harapan kepada dunia Islam terhadap dirinya kerana beliau bersikap lebih rasional terhadap isu-isu yang membabitkan dunia Islam.

Hubungan Barry dengan dunia Islam sangat luar biasa, mungkin pengalaman bersekolah dan menetap selama beberapa tahun di Indonesia memberikan perspektif yang mesra terhadap Islam. Mungkin juga kerana tempias pengaruh faktor genetiknya. Lupakan sebentar mengenai teori sama ada beliau pernah menganut Islam atau pernah mengamalkan Islam seperti yang diutarakan oleh Daniel Pipes di FrontPagesMagazine, suatu yang pasti beliau kini menganut agama Kristian. Walaupun keanggotaannya dalam United Church of Christ iaitu sebuah gareja protestan yang liberal seolah-olah memperlihatkan beliau sebagai penganut yang taat, namun tidak keterlaluan jika dikatakan beliau sebenarnya dianggap sebagai seorang yang pluralis. Dalam sebuah kenyataan yang dipetik dari www.snopes.com, Barry mengatakan, ‘Saya belajar mengenai kesabaran,disiplin dan memperjuangkan apa yang hak daripada ibu saya. Ia mungkin dapat saya katakan sebagai agama moral. Ibu saya mengajarkan semua itu kepada saya tanpa menyatakan sebagai perintah agama........ Dalam kehidupan keluarga kami, Injil, Quran dan Bhagavad Gita memiliki kedudukan yang sama dengan buku-buku klasik falsafah Yunani, rujukan mengenai kesihatan dan mitologi Afrika..... Ibu menjelaskan agama adalah ekspresi daripada budaya manusia. Ia bukan satu-satunya sumber mata air tetapi hanya sati daripada banyak sumber dan tidak ada satu agama pun yang perlu dianggap terbaik....’ Kembali kepada akar wacana perenggan ini, hubungan Barry dan dunia Islam telah menghasilkan pelbagai harapan dari pelbagai pihak dan Malaysia sendiri tidak terkecuali. Perspektif berbeza Barry mengenai dunia Islam dicerminkan dalam sebuah surat yang ditulisnya mengenai Islam pada tahun 2008 ketika berada di Indonesia, memetik tulisannya itu, ‘Berdasarkan pengalaman peribadi, saya tahu sifat-sifat baik yang terdapat pada diri orang Islam, serta nilai-nilai yang mereka bawa ke Amerika. Ramai orang yang tidak mengenali orang Islam secara peribadi, menuduh agama Islam sebagai punca dan penyebab kekejaman yang dilakukan segelintir umat Islam. Namun, pengalaman mengajar saya yang tindakan itu adalah bodoh dan tidak bijak.’

Untuk menduduki kerusi selesa, pastinya ada syarat utama yang wajib dipatuhi. Hal ini turut berlaku pada Barry Saetoro, dalam banyak ucapannya acap kali beliau menekankan tentang betapa akrab dan teguhnya hubungan di antara Amerika dan Israel. Ucapan terbarunya ketika berada di Mesir sekali lagi membuktikan hal ini, memetik kata-katanya, ‘America's strong bonds with Israel are well known. This bond is unbreakable. It is based upon cultural and historical ties, and the recognition that the aspiration for a Jewish homeland is rooted in a tragic history that cannot be denied.’ Namun apa yang menjadikan Barry sebagai lelaki luar biasa adalah, walaupun penekanan diberikan terhadap hubungan di antara Israel dan Amerika, namun beliau tetap memberikan imbangan terhadap dunia Islam. Imbangan ini diterjemahkan melalui pengiktirafannya terhadap dunia intelektual Islam, ‘As a student of history, I also know civilization's debt to Islam. It was Islam – at places like al-Azhar University – that carried the light of learning through so many centuries, paving the way for Europe's Renaissance and Enlightenment. It was innovation in Muslim communities that developed the order of algebra; our magnetic compass and tools of navigation; our mastery of pens and printing; our understanding of how disease spreads and how it can be healed. Islamic culture has given us majestic arches and soaring spires; timeless poetry and cherished music; elegant calligraphy and places of peaceful contemplation. And throughout history, Islam has demonstrated through words and deeds the possibilities of religious tolerance and racial equality.’ Pihak Israel sudah terlebih dahulu mengambil sikap berhati-hati apabila melihat keseimbangan sikap yang ditunjukkan oleh Barry. Ini terbukti apabila serangan Israel ke atas penduduk Gaza segera dihentikan apabila Barry Soetoro mula menduduki kerusi selesa. Ini menunjukkan keyakinan dan kesombongan pihak Israel di Asia Barat ber’wahyu’kan sokongan daripada pihak yang berkerusi selesa di Amerika Syarikat. Terdapat juga pandangan tidak popular yang mendakwa Barry sebagai anti-Israel. Isu ini timbul kerana mentor spiritual Barry seperti yang didakwa media, iaitu Paderi Jeremiah Wright Jr terkenal sebagai seorang yang agak kritikal terhadap isu penjajahan bangsa Israel di Palestin. Perkembangan ini sebenarnya lebih kepada strategi politik oleh musuh Barry yang mana memainkan isu ini bagi memberikan gambaran buruk kepada pelobi-pelobi Yahudi di Amerika.

Sebagai lelaki luar biasa, amat rugi bagi umat Islam memandang Barry Soetoro bagai lelaki biasa atau seperti lelaki yang dijangka. Sikap beku segelintir umat Islam yang menganggap perkembangan ini tidak membawa sebarang erti kepada umat Islam amatlah dikesali. Benar Amerika adalah Amerika, namun dasar dan polisi pasti akan berubah. Banyak atau sedikit, biarkan ia di dalam ruang yang masih terbuka untuk diperdebatkan, namun ruang itu mesti diwujudkan. Sebarang perkembangan yang bersifat positif atau negatif perlu segera diberi perhatian, segala usaha membina masa depan yang baik perlu disambut dengan nada yang bersungguh. Sikap Dato’ Seri Mohd Najib yang menunjukkan kesediaan terhadap perkembangan positif yang ditunjukkan oleh Barry amatlah dialu-alukan. Namun begitu, sikap berhati-hati, kritis dan vokal masih perlu dikekalkan. Oh ya, jika pembaca masih samar mengenai siapa sebenarnya Barry Soetoro ini, maka info ini pastinya membantu. Beliau kini memegang jawatan Presiden Amerika Syarikat yang ke-44.

Rujukan & Petikan:
1. Obama: Antara Islam, Israel & Amerika, Taufik Rahman.
2. Bonus Dunia Islam: Perlantikan Obama dari kaca mata rakyat Malaysia, Salawati Harris.
3. Barack Obama's Cairo speech, Guardian.co.uk
4. Janji Obama dituntut bukan sekadar retorik, Prof Dr Zaini Ujang.

Oleh: ajim
http://www.ajimtajdid.blogspot.com

Comments