Tenggelamkan Kerajaan Perpaduan, Timbulkan Perpaduan Islam

Akhirnya, perdebatan panjang mengenai pro dan kontra kerajaan perpaduan seperti yang diwar-war oleh PAS telah menemui titik noktahnya. Kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat telah mengakhiri perdebatan panjang mengenai isu ini. Mursidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat juga telah menarik balik kenyataan kerasnya terhadap Nasharudin Mat Isa berhubung gesaannya meminta Nasharudin keluar daripada PAS dan memasuki UMNO kerana menyokong kerajaan perpaduan. Walaupun hal ini dilihat selesai dari satu sudut, namun implikasinya telah menimbulkan reaksi yang pelbagai, positif dan juga negatif. Penulisan ini tidak menjurus kepada implikasi idea ini, namun membincangkan satu sudut ruang yang perlu dipenuhi segera oleh kepimpinan politikus yang berkehendakkan Islam.

Walaupun penulis secara peribadi menentang idea kerajaan perpaduan di antara PAS dan UMNO, namun itu bukan bermakna penulis menolak kesatuan ummah dikalangan politikus Islam di Malaysia. Penulis sering kali melihat ada kekeliruan pemikiran dikalangan rakyat, mereka beranggapan perpaduan Melayu dan Islam hanya mampu dibina apabila bersatunya parti-parti politik Melayu di bawah satu kerajaan. Benar, itu boleh menjadi salah satu bentuk ukuran kepada perpaduan dan kesepakatan. Namun jika dilihat dalam kaca mata yang lebih fleksibal, perpaduan dalam konteks politik tidak semestinya menjurus kepada kewujudan kerajaan di bawah satu payung pemerintahan. Ini kerana, tanggapan umum mendefinasikan perpaduan itu menjurus kepada kesamaan dan kesefahaman dalam banyak perkara, wal hal dalam politik kita memerlukan kerencaman dalam pemikiran, kekayaan dalam idea-idea pembangunan negara dan kepelbagaian dalam pembentukan nilai-nilai kenegaraan. Kita memerlukan segala perbezaan ini dalam lapangan politik, namun begitu kita masih boleh mencapai perpaduan dalam erti kata yang sebenar. Penulis melihat perpaduan yang sebenar di dalam politik adalah apabila politikus-politikus Melayu Islam mampu bersama mempertahankan prinsip dan etika yang menjadi asas kepada kekudusan Islam di Malaysia. Penubuhan kerajaan atas nama perpaduan masih belum tentu menjamin kesepakatan dalam mempertahankan Islam, indahnya perpaduan hanya pada nama namun belum tentu dalam tindakannya. Umat islam di Malaysia harus bijak dalam meletakkan keutamaan dalam setiap tindakannya, apakah pembentukan kerajaan perpaduan lebih utama daripada memberikan penekanan terhadap kesepakatan dikalangan politikus Islam mengenai perkara-perkara dasar yang wajib disepakati?

Ahli politik Melayu di Malaysia walaupun berbeza latar belakang politiknya, namun secara umumnya masing-masing berkongsi asas anutan budaya dan akidah yang sama. Asas inilah yang akan mengikat ke arah perpaduan Islam yang akan dibincangkan secara tuntas melalui penulisan ini. Perbincangan mengenai kerajaan perpaduan telah menimbulkan reaksi menyokong dan menentang, namun itu bukanlah satu kesilapan untuk memiliki pendapat yang berbeza dalam isu ini. Uniknya, perbincangan ke arah perpaduan Islam pula pastinya akan menjadi satu kewajaran untuk semua ahli politikus duduk semeja bagi menyahut seruan ini. Satu perkara yang perlu ditegaskan, terdapat perbezaan yang sangat jelas di antara perbincangan ke arah perpaduan Islam dan juga perbincang ke arah kerajaan perpaduan. Jika perbincangan kerajaan perpaduan objektifnya ke arah penubuhan kerajaan bersama di antara parti UMNO dan PAS, namun perbincangan perpaduan Islam lebih menjurus ke arah mencapai kata sepakat terhadap isu-isu yang membabitkan kepentingan umat Islam dan rakyat Malaysia secara umumnya tanpa perlu mewujudkan kerajaan bersama, apatah lagi meleburkan identiti politik masing-masing. Perbincangan ini juga tidak hanya melibatkan parti-parti Melayu seperti UMNO dan PAS, tetapi boleh disertai oleh semua parti yang bulat hati untuk memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam dan rakyat Malaysia. Mungkin ada yang merasa pelik, jika nama perpaduan Islam, mengapa perlu melibatkan parti yang bukan Islam? Islam adalah agama yang sangat syumul dan releven secara teori dan praktikal, oleh itu perpaduan Islam bukan hanya membabitkan umat Islam semata, ia juga membabitkan kepentingan bukan Islam.

Umat Islam di Malaysia kini dianggap lemah, sana sini masyarakat membincangkan hal ini. Kedengaran pelbagai teori punca masalah ini, antara yang kuat dicanang adalah kerana parti UMNO yang kini lemah dan sedang bergelut dengan suasana baru politik. Apa yang menjadi masalah umat islam di Malaysia kini bukan kerana lemahnya UMNO, bukan juga kerana kuatnya asakan DAP, tetapi kerana kita seringkali mengambil langkah mendiamkan diri dalam banyak hal. Kita kekurangan kesepakatan dan ketegasan dalam hal-hal yang membabitkan kepentingan umat Islam di Malaysia. Jika ada pun nada yang dilontarkan, ia lebih kepada lepasan emosional yang berlebihan. Hakikat iklim politik di Malaysia, ahli politik sering kali mengikat dirinya kepada politik kepartian secara keterlaluan hingga kadangkala dukacita ia melebihi ikatannya terhadap agama. Isu ini bukan satu bentuk mitos atau omongan kosong, namun satu hakikat yang perlu ditelan oleh semua khalayak. Apabila ahli politik secara keterlaluan taksub pada politik kepartiannya, segala bentuk fikir akan menjurus dalam konteks yang sempit. Apa sahaja isu yang akan dibawa atau dibincangkan, politikus jenis ini akan sentiasa meletakkan keutamaan pada keuntungan parti anutannya. Hal ini merupakan sifat kedangkalan berpolitik yang hanya akan merugikan umat Islam. Politikus yang matang dan bijak akan menilai setiap isu melangkaui batasan parti dan sentiasa meletakkan keutamaan Islam melebihi keuntungan peribadi dan parti. Kita kekurangan ahli politik Islam seperti ini yang mana mempunyai daya tajdid dalam pemikirannya. Pemikiran politik lama yang beku dan rigid sudah tidak releven pada zaman ini, ia sudah ada pada satu tahap yang mana tidak bergerak. Tanpa daya tajdid dalam pemikiran ahli politik Islam kini, maka sukar untuk merealisasikan perpaduan Islam dikalangan politikus sekalian.

Mungkin akan timbul masalah persepsi dan prejudis pada peringkat awal pelaksanaan perbincangan perpaduan Islam. Antara masalah yang mungkin akan timbul seperti sikap kurang senang masyarakat bukan Islam, kekangan dari dalam parti politik itu sendiri dan juga masalah peribadi sesama pemimpin tertinggi parti-parti berkenaan. Masalah sikap kurang senang masyarakat bukan Islam boleh diatasi dengan menjelaskan kepada mereka apa sebenarnya hala tuju perbincangan itu dan bagaimana mereka boleh memainkan peranan ke arah perpaduan Islam. Seperti yang dinyatakan dari awal, perbincangan ini juga perlu melibatkan mereka. Perbincangan ini juga satu kesempatan terbaik baik politikus Islam menjelaskan wajah sebenar Islam tanpa perlu berlapik atas wajah parti politik yang diwakilinya. Medan perbincangan sihat seperti ini akan mewujudkan kesefahaman bukan sahaja dikalangan politikus Islam, bahkan dengan ahli politik bukan Islam. Kekangan dalaman parti politik terlibat merupakan halangan yang bersifat berkepentingan. Mungkin ada dikalangan pemimpin parti politik terbabit yang merasa kurang senang dengan sebarang perbincangan bersama musuh tradisi parti politiknya. Mereka merasakan parti politik yang dianutinya umpama bayangan agama yang suci dan tidak perlu sebarang perbincangan dengan pihak luar. Sikap taksub kepartian ini merupakan satu bentuk kegilaan dalam berpolitik yang hanya akan menenggelamkan dirinya bersama dengan parti anutannya itu. Masalah peribadi sesama ahli politik, yang mana mungkin ada dendam sesama mereka menyukarkan pelaksanaan perbincangan ini. Sebagai seorang Islam, pastinya mereka sedar tentang betapa Islam menyeru umatnya bersikap pemaaf sesama mereka. Walau apa pun dendam dan kebencian mereka, agama menyuruh mereka bersama atas nama Islam. Agama dan negara merupakan keutamaan yang tertinggi dalam jiwa setiap ahli politik Islam. Jika mereka gagal meletakkan keutamaan ini, maka tidak keterlaluan jika mereka boleh dilabelkan sebagai ahli politik yang gagal!

Objektif perbincangan perpaduan Islam ini harus jelas, mencari kesepakatan dikalangan ahli politik mengenai prinsip dan dasar yang wajib dipertahankan sesama mereka walaupun mempunyai ideologi politik yang berbeza. Dalam kesepakatan itu, masih lagi memelihara kepentingan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa tanpa meminggirkan mana-mana pihak. Segala inisiatif yang baik dan membantu membina kestabilan negara, perlu disambut dengan bersungguh dan serius. Usahlah kita terlalu sibuk berdebat panjang tentang betapa berbezanya sesama kita, mari kita berlapang dada mencari titik persamaan yang wajar dikongsi bersama!

Oleh: ajim

http://www.ajimtajdid.blogspot.com

Comments

dnasura said…
titik persamaan itu sudah lama wujud sekian generasi malah sejak perjuangan politik itu muncul.

cuma bila dengki dan dendam menjadi pakaian, itu semua tidak kelihatan.

sy tidak pandai berpolitik. sekadar pembacaan.hehe
ajim said…
walaupun anda tidak pandai berpolitik, tp anda pandai berkata2.. haha..