Pemikiran HAMKA – Siri 3: Penulisan Sejarah Melayu


Sumbangan pemikiran HAMKA dalam ilmu sejarah Melayu amat besar. Walaupun HAMKA tidak dididik secara formal sebagai seorang sejarawan, namun tulisannya menepati kehendak disiplin ilmu dalam bidang itu bagi membolehkan karyanya dijadikan sebagai bahan rujukan. Penulisan ini akan memfokuskan sejarah Islam di Alam Melayu bertumpukan pada bahagian ketujuh yang bertajuk, “Perkembangan Agama Islam di Nusantara” dalam buku beliau Sejarah Umat Islam. Bahagian ketujuh ini mengambil masa lima belas tahun untuk disiapkan sebelum buku sejarah ini dapat diterbitkan pada tahun 1961. Melalui bahagian ketujuh ini, HAMKA menghuraikan tentang asal usul bangsa, bahasa dan agama orang Melayu sejak zaman dahulu sehinggalah kedatangan agama Hindu dan Buddha. Seterusnya beliau menerangkan tentang penyebaran agama Islam ke Alam Melayu. Melalui perbincangannya, HAMKA menghuraikan pengaruh dan kesan mendalam Islam ke atas masyarakat Melayu. Tidak ketinggalan, beliau juga menyentuh tentang pertembungan yang berlaku antara Islam dan penjajah Barat pada abad ke-16 dan ke-17.

Ketika HAMKA meneroka bidang penulisan sejarah, beliau berhadapan dengan cabaran yang besar apabila menghadapi kesukaran mendapatkan bahan-bahan rujukan bagi menghasilkan tulisan yang meyakinkan. Ketika itu, sebahagian penulisan sejarah mengenai penyebaran Islam ke Alam Melayu ditulis oleh sarjana Barat. Lantaran itu, tulisan HAMKA sendiri tidak dapat lari daripada menjadikan penulisan Barat sebagai sebahagian daripada rujukan. Walaupun begitu, rujukan yang diambil daripada sumber Barat tidaklah dilakukan tanpa penelitian yang rapi. Ini kerana setiap rujukan itu akan dianalisa dengan kritikal kerana menyedari ada agenda tersembunyi di sebalik penulisan mereka yang sering kali dikaitkan dengan penjajahan dan kristianisasi. Bagi mengimbangi pendapat ini, HAMKA memberikan pendapatnya sendiri melalui perspektif baharu tentang penyebaran Islam ke Alam Melayu. Sumber-sumber rujukan tradisional Melayu tidak dikesampingkan dengan menjadikan ia sebahagian daripada rujukan yang penting dalam penulisannya. Walaupun begitu, beliau masih rasional dalam menganalisa sumber-sumber tempatan di mana beliau sendiri turut ragu dengan kebenarannya kerana sumber-sumber tersebut telah bercampur antara fakta dengan mitos. Penggabungan pelbagai sumber, Barat, Arab dan tempatan telah menjadikan karya HAMKA ini cukup istimewa kerana memberikan perspektif yang seimbang dalam huraiannya tentang penyebaran Islam di Alam Melayu.

Perspektif tempatan tentang proses yang membawa kepada penyebaran Islam ke Alam Melayu telah dikaitkan oleh HAMKA dengan tiga isu iaitu tarikh sebenar Islam diperkenalkan kepada orang Melayu, asal usul pendakwah yang menyebarkan agama Islam dan bagaimana proses ini berlaku dengan begitu berkesan sekali. HAMKA cenderung berpendapat bahawa agama Islam telah disebarkan pada awal abad Hijrah iaitu pada abad ketujuh Masihi melalui kajian beliau dengan merujuk sumber China. Beliau juga bersandar kepada pendapat tulisan T.W. Arnold yang mengaitkan peranan yang dimainkan oleh pedagang-pedagang Arab sejak sebelum abad Masihi lagi dalam kegiatan perdagangan di rantau Melayu. Walaupun HAMKA berpendapat begitu, beliau bersetuju dengan pandangan Barat yang menyatakan bahawa Samudera-Pasai (abad 13-14) merupakan kerajaan Islam yang pertama wujud di rantau ini dengan bersandarkan daripada maklumat pengembaraan Marco Polo. Pendapat yang dikemukan oleh HAMKA ternyata berasas dan boleh diterima apabila terdapat kajian dan penemuan-penemuan baharu seperti kajian penemuan batu nisan dengan tulisan Arab bertarikh 419 H/1028 M di Teluk Cik Munah, Pekan, Pahang. Begitu juga dengan penemuan batu nisan Shaykh Abdul Kadir Ibn Husayn Shah Alirah bertarikh 290 H/902 M di Tanjung Aris, Alor Setar. Penemuan ini menunjukkan keberadaan Islam kukuh di rantau ini menjelang abad ke-13 dan menandakan Islam telah bertapak di Alam Melayu selewat-lewatnya pada abad ke-11.

Majoriti sarjana dan orientalis Barat mengemukan teori bahawa kedatangan Islam ke rantau ini dibawa dari benua kecil India dan bukan dari semenanjung Arab. Teori ini pada awalnya dikemukan oleh seorang sarjana bernama Pijnappel, seorang profesor Pengajian Melayu di Universiti Leiden, Belanda. Beliau tidak menolak kemungkinan Islam dibawa oleh orang Arab, tetapi berpendapat tidak dibawa secara terus dari dari Arab, tetapi sebaliknya datang dari Gujerat dan Malabar. Kemudian teori ini disokong oleh kajian yang dibuat oleh J.P. Moquette berdasarkan kepada gaya batu nisan yang ditemui di Pasai pada tahun 1428 yang didapati sama seperti gaya batu nisan di makam Maulana Malik Ibrahim (1419)di Grisik. Moquette membuat kesimpulan bahawa kedua-dua batu nisan itu sama dengan batu nisan yang ditemui di Cambay dan Gujerat. HAMKA telah menyanggah pendapat para sarjana dan orientalis Barat dengan menyatakan terdapat bukti kukuh bahawa Islam yang dibawa ke rantau ini datang terus dari Semenanjung Arab dengan merujuk karya sastera Melayu tradisional seperti Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu. Dalam menyokong pendapatnya ini, beliau berhujah dengan merujuk peristiwa Sayid Abdul Aziz yang mengislamkan Sultan Melaka. HAMKA juga merujuk kepada Hikayat Merong Mahawangsa yang menceritakan tentang pendakwah Arab yang bernama Shaykh Abdullah al-Yamani yang dikatakan datang langsung dari Semenanjung Arab bagi menukarkan agama Sultan Kedah kepada agama Islam dan seterusnya dikenali sebagai Sultan Muzaffar Shah. Terdapat juga kisah-kisah lain yang dipaparkan oleh HAMKA seperti pengislaman yang berlaku di Aceh pada sekitar tahun 1112 M oleh seorang pendakwah Arab bernama Shaykh Abdullah Arif. Kegagalan teori sarjana Barat adalah apabila tidak merujuk dan mengiktiraf sumber-sumber tempatan sebagai sebahagian daripada sumber rujukan penting sejarah penyebaran Islam ke Alam Melayu. HAMKA menganggap mereka tidak jujur dan berkepentingan apabila beliau mengungkapkan, “... nampaknya adalah sebagai satu percubaan yang amat teratur untuk menghilangkan keyakinan negeri-negeri Melayu tadi tentang hubungan rohani yang mesra antara mereka dengan Tanah Arab sebagai sumber pertama dari Islam.”

Para sarjana sepakat bahawa perdagangan merupakan faktor penting kepada berlakunya proses islamisasi di Alam Melayu. Teori faktor perdagangan mulanya diperkenalkan oleh Tome Pires yang menulis sekitar tahun 1515 M. Timbul pula satu persoalan, adakah pemelukan agama Islam secara besar-besaran oleh umat Melayu pada abad ke-13 dan ke-14 boleh dijelaskan dengan meyakinkan sekadar melalui hubungan perdagangan ini? HAMKA berpendapat bahawa perdagangan dengan semangat: laba-rugi sudah tentu tidak dapat menyumbangkan kepada penyebaran agama Islam yang pesat. Proses pengislaman berlaku apabila pendakwah Arab datang langsung dari Tanah Arab, menukarkan agama pemimpin Melayu tempatan kepada agama Islam dan langkah ini diikuti oleh rakyat jelata. Dalam huraiannya, HAMKA menyenaraikan peranan pendakwah Arab yang mengislamkan raja-raja Melayu di Sumadera-Pasai, Aceh, Kedah dan lain-lain tempat. Bagi melengkapkan teori yang dikemukan oleh HAMKA tentang peranan yang dimainkan oleh pendakwah Arab, Syed Muhammad Naquib al-Attas pula menekankan pemikiran rasional agama dan nilai intelektual yang tinggi diterima secara terbuka oleh orang Melayu. S.Q Fatimi pula meletakkan kejayaan proses islamisasi di rantau ini atas sikap yang dimainkan oleh pendakwah Islam berbeza dengan pendakwah Kristian. Para pendakwah Islam bersikap terbuka dalam hubungan mereka dengan penduduk tempatan malahan mempelajari bahasa dan mengahwini wanita tempatan. Hakikat menunjukkan majoriti penduduk di Alam Melayu beragama Islam membuktikan penerimaan agama tersebut dalam komuniti besar di Asia Tenggara. Fakta juga menunjukkan penyebaran agama Islam berlaku secara sukarela tanpa menggunakan sebarang paksaan atau aktiviti ketenteraan.

HAMKA telah melakukan sebahagian kerja yang amat besar apabila memecahkan teori-teori yang selama ini diterima hampir bulat-bulat oleh masyarakat Melayu tentang penyebaran Islam di Alam Melayu. Pandangan beliau mewakili sarjana tempatan dengan mesej yang cuba dibawa iaitu Islam disebarkan ke Alam Melayu melalui proses yang penuh komitmen dan Islam yang disebarkan itu ialah Islam yang murni dari sumber yang asal.

Oleh: ajim

*Penulisan ini merupakan ringkasan/rumusan terhadap makalah yang bertajuk, Sumbangan HAMKA Dalam Penulisan Sejarah Melayu di Alam Melayu oleh Prof. Madya Dr. Mohammad Redzuan Othman dalam buku Pemikiran HAMKA terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2008.

Comments