Sultan & Raja

Kiriman ini merupakan isu yang sensitif untuk dibicarakan. Namun penulis rasa ia hal yang penting kerana bersangkut paut dengan orang Melayu dan kedudukan Islam di negara ini. Di harap penulisan ini tidak disalah tafsir. Sila baca tulisan ini dan nilaikan dari sudut akademik dan rasional.


1. Seperti yang umum sedia maklum, kedudukan orang Melayu dan Islam di Malaysia bernaung di bawah sistem beraja. Raja Melayu atau Sultan di negeri tertentu akan bertanggungjawab dalam memelihara dan mempertahankan kedudukan orang Melayu dan Islam. Kerajaan British telah meninggalkan negara ini dengan Islam berada dibawah kuasa Raja-Raja Melayu, bukan pula Islam berada di atas Raja-Raja Melayu dan seluruh pentadbiran politik negara ini.

2. Baru-baru ini, Kartika Sari Dewi yang sepatutnya dihukum sebat telah diberi keampunan oleh Sultan Pahang. Hukuman sebat telah bertukar menjadi khidmat masyarakat. Dari satu sudut ia kelihatan cukup positif, namun ada beberapa sudut lain yang perlu juga diambil perhatian. Hal ini menunjukkan kuasa yang ada pada Sultan mampu 'mengatasi' hukuman yang telah ditetapkan oleh mahkamah syariah. Kerisauan untuk kuasa itu disalah guna pada masa hadapan tetap ada.

3. Menjadi Sultan atau Raja Melayu yang berjiwa rakyat tidak cukup hanya dengan melawat kampung sebulan sekali dan kemudian bergambar sahaja. Ini tidak berjiwa rakyat. Sultan berjiwa rakyat yang sebenar adalah dengan menjiwai dan merasai kesusahan rakyat marhaen di kampung dan ceruk desa. Rasakan bagaimana ceroinya air kopi mereka, betapa tawarnya air gula mereka, dan betapa mereka tidur hanya beralaskan tikar mengkuang. Mereka tiada tukang masak 5 bintang yang membantu menyediakan masakan. Mungkin Sultan Johor yang baharu telah mendahului hal ini dengan melakukan Kembara Mahkota Johor.

4. Ketua Agama Islam perlu responsif dan cepat bertindak apabila ada isu yang membabitkan kepentingan umat Islam. Tidak perlu menunggu 2 tahun sekali, atau setahun sekali untuk bersidang. Keputusan yang diambil juga bukan hanya perlu adil, ia juga perlu kelihatan adil dan sesuai dalam konteks negara Malaysia.

5. Untuk dihormati, kita perlu menjadi manusia berilmu dan berakhlak mulia. Menjadi manusia yang dilahirkan dalam kelompok institusi beraja tidak menjadikan kita lebih mulia daripada orang lain. Hatta keturunan Nabi yang dimuliakan itu juga ada batasannya didalam memberikan penghormatan. Kemuliaan sesorang manusia itu bergantung pada sikap, akhlak dan juga ilmu.

6. Ada beberapa tokoh institusi beraja yang boleh dijadikan contoh yang baik, salah seorang daripadanya ialah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah. Beliau bukan hanya sekadar seorang yang Raja yang terpelajar, tetapi juga mempunyai nilai intelektual yang tinggi. Apabila membaca teks-teks ucapan beliau, dapat dilihat bahawa ia bukan sekadar teks ucapan yang disediakan untuk dibaca, tetapi beliau juga terlibat didalam penyedian teks itu. Bercakap dengan ilmu tidak sama dengan bercakap sekadar membaca.

6. Penulisan ini bukan ingin menyembah derhaka, tapi cuma patik mohon mengkritik.

Comments