Dr Asri masuk UMNO atau Pas: Apa masalahnya?


Merujuk kepada tulisan saudara Yusri Mohamad dalam ruangan forum di Utusan Malaysia bertarikh 23 Jun 2010 menyebabkan penulis rasa terpanggil untuk memberikan pandangan balas berkaitan isu yang ditimbulkan olehnya. Isu utama yang dibangkitkan oleh saudara Yusri ialah berkaitan cakap-cakap politik yang menyebut Dr Asri (mantan Mufti Perlis) akan menyertai UMNO pada hari jumaat ini bersama dengan 100 orang alim ulama’ berkelulusan tinggi. Usai membaca ulasan beliau, dapat kita faham tentang beberapa hal penting yang ditekankan terutamanya berkaitan manhaj yang dipegang oleh Dr Asri yang didakwa sebagai syaz (ganjil) dan juga akan merugikan kedua-dua parti politik, secara jelas beliau menyebut nama parti UMNO dan juga Pas.  

Menyebut nama Dr Asri sahaja sudah dapat membayangkan seorang tokoh ikonik muda agama yang dilihat cukup kontroversi dengan pelbagai pandangannya sehingga membangkitkan perdebatan dikalangan masyarakat Malaysia. Lantaran ketinggian populariti Dr Asri dikalangan generasi muda, sebahagian golongan liberal dan masyarakat bukan Islam telah menyebabkan beberapa tokoh politik (Pas dan UMNO) mengambil inisiatif mengajak beliau menyertai parti politik tertentu, namun sehingga kini Dr Asri masih belum memberi kata putus terhadap hal ini.

Penulis secara peribadi bersama sebahagian besar pembaca merasakan Dr Asri tidak wajar melibatkan diri dalam kancah dunia politik kepartian. Namun untuk jangka masa panjang, kemasukannya dalam mana-mana parti politik adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Sebagai seorang pendakwah bebas, ruang lingkup beliau terbatas dalam beberapa keadaan sahaja. Penglibatan beliau dalam bidang politik akan memberikan skop dan ruang lingkop yang lebih besar kepada tugas dakwah. Jika dulu beliau hanya boleh bercakap dan menyarankan tentang hal itu dan ini, maka dengan adanya kuasa dan dukungan politik segala saranan itu mampu untuk direalisasikan.

Astora Jabat, bekas penulis agama di akhbar Utusan Malaysia pernah menyatakan bahawa kini Dr Asri akan bergusti di dalam gelanggangnya apabila beliau mula menjawat jawatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis. Namun hakikatnya, penulis merasakan beliau ketika itu hanyalah menjadi pengadil perlawanan di antara peninju, justeru kemasukan Dr Asri ke arena politik secara serius barulah akan menunjukkan sifat ‘bergusti di dalam gelanggangnya’. Jika sebelum menduduki kerusi Mufti, beliau dilihat sebagai pemerhati akademik dan orang luar, kemudian apabila menjadi Mufti pandangannya mula memasuki gelanggang, dan akhirnya kemasukan ke dalam dunia politik akan memberikan impak yang lebih besar di mana segala cakap dan tingkap laku akan ditafsir pelbagai, kesannya juga akan lebih dirasai. Jika dulu segala saranan dan nasihat mungkin dilihat sebagai orang yang bebas, namun selepas menyertai mana-mana parti politik, pandangannya mungkin akan ditafsir sebagai berkepentingan.

Tulisan saudara Yusri Mohamad membawa kepada dua implikasi persepsi, pertama menimbulkan keraguan kepada Dr Asri berkenaan manhaj agamanya, kedua memberikan peringatan kepada parti politik yang berminat terhadap Dr Asri tentang risiko-risiko tertentu seperti hilang sokongan majoriti. Dua implikasi yang ingin ditimbulkan ini mungkin hadir daripada kebimbangan peluasan pengaruh Dr Asri dikalangan rakyat Malaysia. Kebimbangan ini wujud apabila beliau diyakini membawa ajaran ‘Wahabi’ yang didakwa boleh memecahbelahkan masyarakat Islam di Malaysia. Terbaharu, ada cubaan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengaitkan beliau dengan gerakan extremis agama. Pandangan saudara Yusri Mohamad sebenarnya lebih berbaur pertembungan aliran pemikiran agama, dan bukan percanggahan dari sudut pembawaan manfaat politik.

Jika benar Dr Asri ingin secara serius memasuki dunia politik kepartian, beliau harus diperingatkan dengan beberapa hal. Antaranya ialah risiko kehilangan audien dikalangan parti lawan. Contohnya, apabila beliau memasuki UMNO, kemungkinan besar pendukung Pakatan Rakyat akan mulai memandang kata-kata dan saranan Dr Asri sebagai mewakili UMNO dan berkepentingan, begitu juga sebaliknya. Beliau harus memastikan agar tidak kehilangan audien yang besar ini walau apa parti pun yang akan dipilih olehnya. Jika UMNO menjadi parti pilihan, beliau harus berusaha merealisasikan cadangannya dahulu agar UMNO memiliki sayap Badan Ulama’ seperti mana parti itu kini memiliki sayap Puteri, Pemuda dan Wanita. Pandangan-pandangannya yang bersifat sinis dan kritikal terhadap mana-mana pihak harus dikekalkan bagi menjamin kelangsungan pemikiran tajdid yang dicanang-canangnya itu. Janganlah apabila sudah memasuki politik kepartian, pandangan-pandangannya yang bersifat sinis dan tajam itu akan dipencenkan. Jika itu berlaku, maka Dr Asri tidak lebih daripada hanya mengulangi sejarah beberapa tokoh agama dinegara ini.       

Kemasukan Dr Asri ke dalam mana-mana parti politik sama ada UMNO atau Pas sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya, bukan pula hanya sekadar mahu mendapat nama atau menunjukkan sokongan daripada agamawan. Penulis berpendapat, selagi ia bermanfaat membangunkan umat Islam di negara ini tanpa mengira pegangan politik, ia adalah sesuatu yang amat baik. Oleh itu, jika Dr Asri masuk UMNO atau Pas, apa masalahnya?              

Petikan artikel di akhbar Utusan:

Comments