Filem: Interpretasi & Propaganda Islam

Apabila membicarakan soal seni dan Islam, maka ramai yang sukar untuk mengaitkan keduanya secara langsung. Seakan ada pemisahan yang ketara diantara nilai Islami dan juga nilai kesenian. Mendepani masyarakat moden dimana era hiburan dan seni berada di kemuncaknya, agama Islam kelihatan agak jauh terkebelakang dalam memandu masyarakat menikmati hiburan dan seni. Maka ramai masyarakat Islam menganggap hiburan itu sebagai nilai asing di dalam agama, lebih buruk mereka dimomokkan dengan sebahagian pendapat yang mengharamkan seni dan hiburan secara total. Jika ada pun nilai hiburan yang seakan ‘dihalalkan’, ia sekadar nyanyian nasyid yang secara baku didendangkan di khalayak. Itu pun permintaannya sekadar seakan bermusim dan terhad pada kelompok pendengar tertentu sahaja. 


Namun begitu, lagu nasyid kini mengalamai transformasi yang begitu baik, kehadiran penghibur kontemporari seperti Maher Zain yang membawa lagu ketuhanan dalam rendisi yang berbeza mengajak lebih banyak manusia, Muslim dan juga bukan menikmati hiburan dalam keadaan yang lebih segar tanpa mengenepikan nilai ketuhanan. Namun, seni itu tetap seni. Ia mendatangkan banyak perdebatan tentang soal hukum halal dan haramnya. Perbincangan didalam rencana ini tidak mahu mengheret pembaca kepada perbincangan soal hukum, tetapi kepada persoalan, keperluan dan perubahan yang perlu dilakukan oleh kelompok Muslim yang beranggapan seni (filem terutamanya) itu penting dalam kelangsungan dakwah agama.
 
Tidak ramai sarjana Muslim yang membicarakan soal filem yang bertemakan Islam secara serius. Ada beberapa alasan utama penyumbang kepada faktor ini, pertama seperti alasan yang disebutkan diawal rencana, soal hukum dan kedua ialah kerana seni filem merupakan subjek baru kepada dunia Islam dan memerlukan kepada perbincangan yang panjang dan ‘‘ijtihad-ijtihad’’ baru oleh agamawan dan juga pengkarya seni itu sendiri. Perkara penting seperti ini perlu segera ditangani oleh kelompok sarjana Muslim kerana agama perlu cepat berkomunikasi dengan pemodenan sosial masyarakat dunia. Kita tidak mahu Islam kelihatan gagal untuk memaju masyarakat agar senantiasa melihat agama sebagai nilai yang relevan terhadap hidup mereka. Golongan ulama’ perlu mendekati pemain utama industri filem dan pemain industri itu sendiri perlu ada inisiatif untuk mendapatkan sudut pandang agama terhadap penceritaan dan pengarahan filem mereka agar objektif utama filem itu sendiri tidak jauh tersasar dan menepati piawaian agama. Keperluan gandingan ini bukan bermaksud ulama’ perlu duduk di kerusi penulis skrip atau pengarah, tetapi lebih kepada memurnikan pemahaman, menyantuni dan memberikan satu panduan serta nasihat yang boleh dijadikan aras piawaian kepada mereka. Kerja seni harus digerakkan oleh orang seni, kerana nilai seni yang terhasil pastinya akan lebih berkualiti dan menepati maksud seni itu sendiri.

Mungkin ada yang bertanya, kenapa filem yang menjadi fokus? Mengapa tidak memberikan penambahbaikan kepada usaha dakwah sedia ada? Dakwah konvensional sedia ada seperti ceramah, kuliah agama dan penulisan mempunyai khalayak yang terhad. Industri filem dunia menjanjikan khalayak yang lebih meluaskan dan mempunyai nilai universal. Perkembangan industri filem di Malaysia lewat ini sudah membuktikan potensinya. Pada tahun 2011, jumlah penonton filem cakera tempatan mencecah 10 juta penontonan, manakala jumlah kutipan kasar melebihi RM 100 juta dan menjadikan Malaysia negara kedua selepas China di Asia dari segi kutipan pecah panggung. Fakta ini sudah cukup membuktikan betapa pentingnya cabang dakwah perlu digiatkan ke arah filem pula. Apabila melihat senarai 42 buah filem tayangan 2011, genre filem yang mendominasi panggung adalah genre seram sebanyak 15 buah filem. Filem yang mempunyai nilai masyarakat dan ketuhanan pula sekadar menjadi tempelan, hanya mampu memenuhkan ruang yang ada tanpa memberikan sebarang kehadiran yang signifikan. Ini suatu kerugian kepada usaha dakwah di Malaysia. Jika sebelum ini Malaysia begitu mengungguli dunia Islam dengan pelbagai gelaran seperti negara Islam moden dan progresif, Malaysia juga perlu memperkayakan dirinya dengan nilai seni dan negara syiah Iran boleh dijadikan contoh dari segi ini. Kreativiti pengarahnya seperti Majid Majidi yang mengarahkan filem ‘Children of Heaven’ cukup memberikan impak yang besar bukan sahaja dunia Islam semata, tetapi juga dunia barat. Penceritaan hanya bertemakan persoalan tentang sepasang ‘kasut’, tetapi mesej ceritanya cukup mendalam dan berbekas dihati penonton. Filem seperti inilah yang perlu giat kita promosikan.

Kita seringkali memperkatakan tentang filem-filem dari barat yang kononnya membawa propaganda tertentu dan memberikan kesan yang negatif kepada umat Islam, namun kita hanya berhenti setakat itu sahaja. Jarang-jarang kita mendengar ada usaha dari pihak kita yang membalas propaganda itu dengan propaganda. Ya, propaganda atas propaganda. Mungkin istilah ini agak asing, namun kita harus berfikir di luar kebiasaan dengan mula melancarkan ‘perang’ media untuk memenangi pemikiran generasi muda. Perang ini bukan dalam konteks memperlihatkan betapa korupnya dunia barat, tetapi lebih kepada membetulkan salah faham masyarakat dunia terhadap agama Islam. Kita sudah dilambakkan dengan propaganda media barat yang bertalu-talu memberikan persepsi yang salah terhadap Islam, dan kesannya itu mula membarah dikalangan masyarakat dunia. Filem yang dihasilkan haruslah menjawab dakyah propaganda itu, namun interpretasinya harus jelas dan mudah difahami. Apa yang dimaksudkan dengan jelas dan mudah difahami ialah penceritaan itu tidak terlalu berat hingga sukar untuk orang awam memahami, tetapi tidak pula terlalu ringkas sehingga menjadikan khalayak malas untuk berfikir. Ia juga harus membawa masej Islam dalam konteks yang lebih luas, tidak terlalu mengikat pada pandangan sempit setempat tetapi membawa Islam ke peringkat yang lebih universal. Kita tidak mahu pentafsiran yang sempit dan silap dipamirkan kepada umum, natijahnya ia hanya akan memburukkan lagi salah faham masyarakat terhadap Islam. Filem yang kononnya bertemakan Islam tidak layak dikaitkan dengan Islam jika hanya menampilkan watak yang lengkap berjubah sambil memegang biji tasbih, kemudian perwatakkannya memperlihatkan kejumudan dan sikap baku orang agama seperti yang ditonjolkan didalam kebanyakkan drama dan filem tempatan. Jika semua ramuan ini berjaya diadun rapi oleh pengkarya filem Islami, maka kita akan berjaya menyahut balas filem propaganda barat dengan filem yang membawa mesej propaganda Islam.

Comments