Saya dan RTM


Apabila menyebut nama Radio Televisyen Malaysia (RTM), pelbagai gambaran awal dan persepsi muncul di minda khalayak. Antara yang sering terbayang ialah siaran radio ‘orang lama’, rancangan televisyen (TV) yang membosankan, siaran untuk orang-orang pencen, dan lebih dari itu, ia di cop oleh sebahagian pihak sebagai alat propaganda kerajaan untuk memfitnah dan memburukkan parti lawan. Penulis fikir, ramai yang bersetuju dengan persepsi awal ini, benar atau tidak itu memerlukan satu penghujahan yang lain.

Penjenamaan RTM

Secara peribadi, penulis melihat RTM sebagai satu nilai nostalgik yang akan dikenang sehingga ke akhir hayat. Membesar bersama rancangan yang mempunyai nilai yang tinggi dan berbekas seperti drama bersiri Opah, siri animasi pendek Hikayat Sang Kancil dan Buaya (arahan oleh Hassan Muthalib), dan rancangan Kuiz Di mana Joe Jambul menjadikan penulis meletakkan RTM di suatu sudut yang khas. Namun, bercakap tentang masa silam tidak menjanjikan apa-apa tentang masa hadapan, ia hanya satu bentuk ukuran tentang pencapaian masa silam. Penulis berpendapat, sebahagian besar rancangan yang disiarkan di RTM kini kurang mendapat sambutan disumbangkan oleh beberapa faktor. Antara faktor utama ialah kegagalan RTM untuk keluar daripada imej lamanya. Ya, imej yang konservatif dan tidak mesra belia (baca: remaja). Tidak dinafikan, kelihatan ada usaha-usaha untuk ‘meremajakan’ RTM dengan memperkenalkan rancangan-rancangan yang bersifat santai dan dekat dengan generasi muda seperti Xpressi Kembara, Intrend dan rancangan bual bicara remaja Generasi Y. Usaha-usaha seperti ini harus dipuji. Namun usaha itu seakan masih gagal menarik perhatian remaja di Malaysia. Usaha ini gagal kerana kurangnya promosi yang berkesan dan usaha penjenamaan yang gagal. Prinsipnya mudah, sebaik mana atau secanggih mana pun produk yang dihasilkan, namun jika ia gagal dipasarkan dengan baik, produk itu akan hanya selayaknya mengisi tempat di‘muzium’ dan hanya dipertontonkan kepada khalayak yang terhad sahaja. 

Penjenamaan RTM dilihat seakan tersangkut di suatu sudut dan tidak mampu untuk terus bergerak ke hadapan. Contoh yang mudah, ada beberapa rancangan di RTM yang sudah jauh berada ke hadapan seperti rancangan Bicara Rakyat yang diterbitkan oleh Muhammad Shahzil. Rancangan ini membawa penonton ke aras perbincangan yang lebih terbuka dan kritikal, tetapi dalam masa yang sama rancangan ini berhadapan dengan nilai-nilai konservatif yang cukup menebal di RTM. Nilai pembaharuan yang cuba dibawa seakan sudah ditenggelamkan oleh nilai konservatif ini. Apa yang penulis maksudkan dengan nilai konservatif ialah, rancangan-rancangan lain yang bersifat lapok dan amat gagal membawa penonton memahami suatu isu menurut perspektif yang lebih luas. Antara nilai konservatif utama di RTM ialah drama-drama Melayu dan slot Berita RTM. Drama-drama Melayu yang dipaparkan di RTM kebanyakkannya memaparkan suasana yang tidak relevan dan memperbodohkan minda penonton. Kelemahan dikesan terutamanya dari sudut jalan cerita yang bersifat sangat tipikal dan lakonan yang dipaparkan juga kurang berkesan. Seolah-olah drama yang disiarkan di RTM hanya bertujuan untuk memenuhkan kuota, dan bukan pula untuk mengisi keperluan penonton! 

Berita RTM merupakan penyumbang utama kegagalan penjenamaan RTM. Pengisian berita sangat gagal dimana ia seolah bukan menyiarkan berita, tetapi lebih bertindak sebagai pembodek. Sebagai entiti yang penting, Berita RTM sewajarnya lebih bertanggungjawab di dalam menyiarkan berita dengan membawakan permasalahan yang sebenar dan membuat liputan di atas kapasiti penyiar berita. Jika berita yang disiarkan tidak mewakili hati nurani rakyat, maka kerajaan tidak akan tahu isu sebenar yang dihadapi mereka dan akhirnya ia akan menjadikan slot berita RTM tidak relevan dan rakyat akan beralih kepada medium-medium lain yang lebih bersifat marhaen. 

Budaya Kerja Melayu?

Apabila berkesempatan pergi ke Angkasapuri RTM baru-baru ini, penulis amat berbesar hati kerana ini merupakan pengalaman pertama menjejakkan kaki ke sebuah stesyen penyiaran TV dan radio negara. Sebelum menjejakkan kaki , penulis sudah sedia maklum dengan gambaran-gambaran awal  dan tipikal untuk sebuah organisasi kerajaan. Namun penulis tetap bersangka baik. Setelah sampai dan mendaftar, penulis dibawa masuk ke dalam pejabat Unit Hal Ehwal Semasa. Pemandangan pertama yang penulis lihat ialah, segerombolan manusia yang sedang enak bersantapan dan membaca surat khabar. Kemudian apabila masuk lagi ke dalam ruang pejabat itu, kelihatan seorang wanita sedang sibuk membalas komen-komen di’facebook’. Rakan disebelahnya pula sedang menonton filem Azura arahan terbaharu Aziz M. Osman dan seorang lagi sedang khusyuk melayan lagu penyanyi Taylor Swift di laman ‘youtube’. Jam menunjukkan pukul 11.30 pagi dan kelihatan semua pekerja di dalam pejabat itu sedang membuat kerja yang sangat ‘’Hal Ehwal Semasa’’.  

Untuk RTM menjadi terus relevan dan segar, bukan sahaja memerlukan penjenamaan semula program-program terbitannya, tunjang utama kepada struktur RTM itu juga harus dijenamakan semula dengan meningkatkan prestasi pekerja dan membuang jauh-jauh stigma pemikiran lama pekerja sektor awam. Penulis tidak mahu terlibat di dalam usaha untuk menjenamakan mentaliti pekerja sektor awam itu ada kaitan dengan sikap bangsa Melayu. Penulis pernah ulas mengenai hal ini di dalam artikel pendek yang bertajuk ‘Memelayukan Melayu’. Kunci utama kepada penjenamaan semula RTM ialah pekerja yang bernaung dibawahnya. Jika kunci ini gagal dibentuk dengan baik, maka segala usaha yang dilakukan akan gagal dan menjadi sia-sia kerana merekalah yang menjadi penggerak kepada usaha penjenamaan ini. 

Kritik dan Kritis 

Apabila penulis mengkritik RTM dan menjadi kritis terhadap isi kandungannya, ini tidak bermaksud penulis berniat untuk memburukkan imej RTM. Jika RTM ingin terus maju kehadapan, ia harus bersedia untuk menerima kritikan dan berani mengambil risiko untuk berubah. Apabila kritikan dan cadangan sudah diberi, diharapkan ia akan diberikan perhatian secara serius dan bukan pula dibakul sampahkan idea itu.
RTM, anda perlu berubah!   

Comments