Jika Tun Dr Mahathir terkenal dengan idea luar biasanya iaitu Wawasan 2020
di mana ia menyasarkan Malaysia menjadi sebuah negara maju mengikut acuannya
sendiri, maka tidak salah jika penulis mengambil gagasan idea itu tetapi
menjadikan sasarannya lebih ke hadapan dan penulis namakan ia sebagai Wawasan
2050. Intipati dan huraiannya menyusul bersama rantaian coretan ringkas ini.
Ahli politikus di Malaysia kini menjadikan isu negara Islam dan Hudud
sebagai perbincangan yang hangat. Masing-masing mahu dilihat sebagai ke hadapan
di dalam membawakan isu ini agar kelihatan parti itu menjuarai isu-isu yang
berkaitan dengan agama Islam di mata rakyat Malaysia. Malangnya, isu ini sudah
terlebih dipolitikkan. Niat asal untuk memenuhi syariat agama telah menjadi
barang dagangan politik. Untuk menyusun semula agenda asal iaitu menjadikan
Malaysia sebagai sebuah negara yang patuh syariah, kita harus menetapkan
sasaran dan tanda aras bagaimana untuk mencapai sasaran itu. Negara patuh
syariah ini (menurut pandangan penulis) merujuk kepada satu sistem pemerintahan
dan kenegaraan yang menjadikan nilai-nilai Islami sebagai asas kepada
pembentukkan dasar negara. Kebanyakkan kita sudah terbiasa mendengar istilah
negara Islam, hatta Malaysia seringkali digelar sebagai negara Islam yang
progresif dan maju oleh negara luar. Namun apakah istilah negara Islam itu
hanya merujuk kepada jumlah majoriti penduduk? Atau istilah ini merujuk kepada
sebahagian dasar-dasar pemerintahan yang mesra kepada agama Islam? Istilah ini telah
mengundang banyak persoalan dan perdebatan kerana setiap huraian ulama’ ada banyak
yang berbeda dan kadang kala mirip menjustifikasikan sesuatu amalan parti agar
kelihatan selari dengan negara Islam menurut pandangan mereka.
Negara Patuh Syariah (NPS) seharusnya menekankan kepada prinsip keadilan
senagai keutamaan dan ‘workframe’
pemerintahan pula tidak semesti terikat dengan sistem lama tetapi perlu
diselarikan dengan realiti politik hari ini. Secara mudahnya, kita harus
bergerak dan beroperasi menggunakan sistem demokrasi yang sedia ada dengan
memaksimumkan sebanyak mungkin ruang yang ada untuk menuju ke arah NPS tanpa
mengenepikan prinsip dan nilai-nilai Islami. Prof Tariq Ramadhan mengaitkan hal
ini dengan istilah ‘Post- Islamism’ dan
menjadikan negara Turki sebagai contoh. Hal yang sama sedang berlaku di negara pasca-revolusi
Mesir dengan dikepalai oleh tokoh Ikhwanul Muslimin, Dr Mursi. Sebahagian
gerakkan Islam ada yang secara mutlak telah mengharamkan demokrasi dan mahu
memperjuangkan sistem khilafah (baca: kesatuan pemerintahan dunia Islam). Idea
ini tidak salah, namun untuk berjuang mencapai sesuatu tetapi tidak berada dan
tidak mahu untuk berada di dalam sistem adalah sesuatu yang sukar dan mustahil.
Kita harus menjadi umat yang rasional dan realistik dalam hal ini. Prinsip
keadilan adalah bersifat universal dan ia juga menjadi teras utama kepada NPS.
Keadilan yang penulis maksudkan merangkumi banyak hal seperti perundangan,
sosial, kebebasan bersuara dan ekonomi. Di Malaysia, perundangan kita mempunyai
dua darjat nilaian dalam menghukum. Ada sesetengah golongan yang mendapat
tempat dan undang-undang khas apabila terdapat kesalahan mereka yang memerlukan
untuk dibicara. Ada juga kes-kes ajaib dimana hukuman untuk pencuri barang
makanan kurang lebih duit poket dijatuhkan hukuman penjara yang lebih lama
berbanding dengan pencuri amanah rakyat. Ini merupakan salah satu contoh
ketidak adilan sistem perundangan di negara ini.
Keadilan sosial pula menekankan hak masyarakat untuk menikmati keadilan
dalam bentuk yang universal tanpa mengambil kira soal bangsa, jantina dan agama.
Misalannya, bantuan dan sokongan tidak perlu mengikut keutamaan soal bangsa,
tetapi kelayakkannya ditentukan melalui indikasi-indikasi tertentu dan yang
disepakati kemaslahatannya. Kebebasan bersuara merupakan salah satu elemen
terpenting di dalam sistem demokrasi. Ini kerana demokrasi akan mati jika
kebebasan ini dinafikan. Menurut penulis, kita berhadapan dengan dua situasi di
mana hak kebebasan bersuara dinafikan dan ada pula kebebasan bersuara yang
telah menghilangkan hak-hak yang lain. Umum sedia maklum tentang hak-hak
bersuara yang telah dinafikan, tetapi kita memerlukan juga sikap yang adil
dalam menikmati kebebasan bersuara setelah diberikan secara mutlak nanti. Dalam
sesetengah keadaan, berlaku insiden ketidak adilan dalam menyuarakan pendapat
kerana ia menyentuh keaiban manusia lain dan moral kepada masyarakat dan agama.
Kebebasan mesti hadir dengan keadilan dan tanggungjawab supaya kita
menikamatinya dengan penuh rasa harmoni. Perkara fundamental yang terpenting
dalam dunia kapitalis dan telah membawa kepada banyak implikasi yang lain ialah
keadilan dalam pengagihan kekayaan ekonomi. Banyak masalah sosial dan jenayah
wujud akibat dari pengagihan kekayaan ekonomi yang korup dan tidak berdaya
saing. Ia juga menjadi tanda pengukur kepada kejayaan mana-mana dasar
termasuklah juga NPS.
Mungkin ada yang bertanya, mengapa teras-teras yang dinukilkan oleh penulis
kelihatan seperti tidak menampakkan ciri-ciri NPS menjelang 2050? Mengapa tidak
kedengaran istilah-istilah yang berbunyi islami seperti penambahbaikan
infrastruktur Islam (baca: pembinaan masjid-masjid baru, penambahan universiti-universiti
bernama Islam, dan pembesaran pejabat pungutan zakat)? Saban tahun pengurusan
agama di Malaysia terlalu memfokuskan terhadap pembangunan visual sahaja dan
kadang kala teras-teras yang penulis nyatakan seperti ingin disekularkan dengan
cuba memisahkannya dengan unsur agama. Kita tidak perlu meletakkan nama islamik
dalam setiap usaha yang kita lakukan, tetapi penekanan terhadap ruh Islam itu
penting agar keadilan menjadi teras dalam setiap usaha-usaha yang akan kita
lakukan. Selain dari empat teras yang dinyatakan dalam coretan ringkas ini,
terdapat banyak lagi teras yang perlu disenaraikan dan boleh dipanjang oleh
banyak pemikir-pemikir Islam yang lain. Matlamat utama kita meletakkan
teras-teras seperti ini agar ia menjadi indikasi dan tanda aras terhadap usaha-usaha
yang akan dilakukan dalam mengejar Wawasan 2050 di mana Malaysia akan mencapai
status Negara Patuh Syariah. Jika telah sampai pada tahun 2050 tetapi
kita masih lagi gagal melaksanakan Wawasan 2050 secara sempurna, sekurang-kurangnya
gerak kerja kita telah menjadi lebih tersusun dan matlamat menjadi lebih jelas.
Tiada lagi istilah negara Islam menjadi barang mainan parti politik dan kita
berharap agar NPS akan menjadi impian semua umat Islam di Malaysia.
Comments