Pucuk Hijau
Ketika mula belajar di Universiti pada tahun 2006, saya
mempunyai kegilaan yang luar biasa terhadap dunia politik Malaysia. Kegilaan
saya ini dicetuskan oleh rasa hinaan apabila merasa diri tiada apa-apa nilai
yang boleh menyaingi rakan-rakan Universiti yang rata-rata hadir dengan minat
yang berlainan dan mengagumkan. Selaku pelajar yang pasif dalam sukan, saya
memilih untuk aktif dalam dunia yang tidak memerlukan peluh jantan untuk
menitik. Saya bermula dengan membaca akhbar-akhbar politik picisan yang terjual
secara mingguan atau bulanan. Apa nama akhbar itu, saya tidak mampu untuk
mengingatinya kembali. Tetapi, apa yang masih saya ingat terdapat cerpen-cerpen
politik yang mengunakan nama haiwan sebagai dukungan watak untuk mengambarkan
politikus-politikus yang sedang bertarung hangat di arena politik negara. Kini
saya merasa, cerpen-cerpen itu tidak lebih daripada sebahagian satira politik
yang keterlaluan dan berlebihan dalam mengambarkan musuh politik mereka.
Oleh kerana Universiti yang saya duduki itu masih pucuk
hijau, gerakan politik dikalangan pelajar amat kaku. Semasa pemilihan Majlis
Perwakilan Pelajar, tiada istilah pro-aspirasi atau pro-mahasiswa. Apa yang ada
hanya menang tanpa bertanding. Medan pertemburan pula hanya berlaku di
medan-medan maya seperti diskusi kumpulan Universiti di laman sosial Friendster.
Maaf, ketika itu Facebook masih belum seperti sekarang. Boleh dikatakan, saya
antara orang yang aktif di dalam diskusi maya itu. Kelebihan menulis yang saya
ada digunakan sebaikkannya untuk menyebarkan idealism politik yang saya imani
ketika itu. Saya pernah ditegur oleh seorang rakan, kebetulan dia merupakan
orang kuat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA). Katanya, saya sedang berada dalam
pemerhatian pihak HEPA. Ketelanjuran ketika itu, kempen Pilihanraya Umum ke-12
(PRU-12) sedang hebat berlangsung. Kehebatan itu boleh digambarkan seperti “makan
beralaskan poster kempen PRU-12, tidur bermimpikan keputusan PRU-12 dan duduk
termenung di atas mangkuk tandas memikirkan nasib Malaysia PRU-12”. Kecenderungan
terhadap politik menyebabkan kadang kala saya menjadi bahan senda gurau dan
‘rujukan’ kepada rakan-rakan lain.
Alam
Realiti
Kehebatan di alam maya tidak menjadikan saya hebat di dalam
dunia realiti. Saya seorang yang tidak aktif berpesatuan atau mengikuti
mana-mana jemaah. Saya lebih gemar memilih pendekatan melihat dari jauh,
walaupun kadang kala hadir dalam aktiviti yang dijalankan oleh kumpulan atau
jemaah tertentu seperti seminar dan juga forum. Pernah di ‘basuh’ oleh rakan
tentang kepentingan berjemaah tidak pernah memudarkan prinsip saya itu. Keengganan
saya untuk melibatkan diri di dalam mana-mana kumpulan berpaksikan kepada
beberapa hal, antaranya saya merasakan keterikatan saya akan menyebabkan cara
fikir terkongkong dalam ruang lingkup kumpulan itu sahaja. Pandangan saya ini
berdasarkan pemerhatian secara peribadi, melihat ramai individu yang hanya
bercakap dalam konteks kumpulan sahaja. Pertimbangan juga akan menjadi dacing
yang cacat kerana terpaksa menjaga kepentingan kumpulan atau jemaah. Ramai yang
menafikan bahawa mereka terikat, namun hakikatnya amat berbeda. Ini fenomena
yang menyedihkan. Benar, bukan semua tetapi malangnya ramai yang begitu. Walaupun
saya memilih pendirian itu, saya amat terbuka bahkan menggalakkan rakan-rakan
lain terlibat. Saya akan mengutip pengalaman-pengalaman mereka dan bersifat
analitikal. Bagi saya, ini adalah kemanisan untuk mematangkan pemikiran sendiri
terhadap isu-isu politik, agama, semasa dan kenegaraan.
Pendirian
Politik
Tun Dr Mahathir pernah menyatakan pendapat mengenai
pembentukan fasa politik seseorang sewaktu menulis kata pengantar di dalam buku
tulisan Kassim Ahmad yang bertajuk, ‘Mencari
Jalan Pulang: Dari Sosialisme Kepada Islam’. Beliau menyebut tentang tiga
fasa, pertama seseorang itu akan cenderung kepada politik kiri, pada fasa kedua
akan menjadi seseorang yang berada dipertengahan dan ketiga akan menjadi berat
kepada politik kanan. Saya ingin menyalin bulat kata-kata Tun, tetapi malangnya
buku itu telah hilang daripada simpanan! Politik kiri saya bermula dengan
sedikit ekstrim iaitu pada usia seawal 12 tahun. Apabila krisis politik berlaku
ketika itu, seorang Ustazah menzahirkan kata-kata kebencian terhadap Dr
Mahathir dengan berkata gambarnya yang tergantung di dinding kelas itu selayaknya
dipijak sahaja. Apabila kelas beransur habis, saya bersama rakan-rakan berasa terinspirasi
dengan kata-kata Ustazah itu lantas bertindak menurunkan gambar Dr Mahathir
sambil mengoyakkan dan memijak-mijak wajahnya. Kami lakukan dengan penuh
beremosi, tapi kosong. Apa itu liwat dan bulu ari-ari pun masih belum kami
ketahui maknanya.
Di awal Universiti, saya masih berhaluan kiri. Beranggapan
Pak Lah sebagai pemimpin yang tidur dan lemah. Khairi Jamaluddin (KJ) pula
seorang politikus muda yang egois dan bodoh sombong. Secara tidak sengaja, saya
mula mengangkat Dr Mahathir sebagai hero. Perbandingan mula dilakukan.
Kritikan-kritikan Dr Mahathir terhadap Pak Lah dan KJ mula dijadikan
firman-firman politik. Pas pula mula menawarkan tempat terhadap Dr Mahathir,
dan ayat-ayat Mahafiraun sudah tidak lagi kedengaran. Setelah keluar dari
penjara, saya melihat Anwar Ibrahim menjadi figura politik yang sangat mengiurkan.
Saya selalu terkesima mendengar ucapan-ucapan beliau yang bersifat memahami apa
yang marhaen rasakan. Walaupun kadang kala ia mungkin lebih bersifat simpati
terhadap apa yang pernah berlaku pada dirinya dan keluarga. Hal ini berterusan
sehinggalah Pakatan Rakyat memenangi sejumlah besar kerusi Parlimen dan ia
cukup mengagumkan kerana pada awalnya saya fikir Pakatan Rakyat akan tewas
dengan mudah. Kebimbangan telah bertukar menjadi berita gembira.
Pendirian
Politik 2.0
Setelah hampir setahun Pakatan Rakyat memenangi beberapa buah
negeri, pendirian politik saya mulai goyah. Saya mula sedar tentang apa itu
politik dan berpolitik. Politik dan berpolitik tidak sama. Berpolitik ketika
menjadi pembangkang tidak sama ketika menjadi pemerintah. Kejelekan terhadap
kebobrokan orang politik begitu memuncak. Janji-janji tentang surga dunia jika
berjaya memerintah mula mengkhianati pendirian saya sendiri. Menyedari hal itu,
saya kembali mengosongkan jiwa politik dan mula berusaha mengisi dengan politik
baru yang lebih realistik dan dinamik. Saya tidak lagi mudah terpedaya dengan
angka-angka yang bersifat populis dan janji-janji yang tiada asas untuk mampu
dilakukan. Saya fikir, hal ini turut dilakukan oleh kebanyakkan anak muda. Ramai
juga ahli politik juga turut terpaksa menyesuaikan diri dengan perubahan
politik baru ini. Antara yang mengagumkan saya ialah KJ, beliau bangkit menjadi
orang yang baru setelah menyepi seketika akibat teruk dikritik kerana dituduh
menjadi antara penyebab utama kemerosotan sokongan rakyat terhadap Barisan
Nasional (BN). Perdebatannya bersama Rafizi di kota London telah berjaya
mencuri perhatian saya. Pertembungan yang banyak bermain dengan angka dan fakta
antara kedua anak muda ini begitu mengujakan. Masing-masing kelihatan begitu
profesional ketika mengemukakan penghujahan dan menjawab soalan. Tiada lagi
kisah dalam kain perlu dibangkitkan. KJ telah memilih jalan yang betul.
Jika dulu saya berlebihan melihat lambang (walaupun tidak
terlibat) dan hanya tokoh-tokoh tertentu, kini saya miliki pendirian politik
baru. Saya melihat atas kapasiti individu, bukan lagi lambang dibelakangnya
atau kepetahannya menukil janji. Politik tidak lagi berkisar tentang parti
politik semata. Ia melibatkan banyak juzuk tatacara pengurusan negara. Berpolitik
juga tidak sewajarnya hanya mampu menunjukkan kelemahan dan korupsi musuh
politik, tetapi juga mesti mampu membawa idea-idea baharu yang sesuai dengan
zaman dan bersifat realistik dengan kondisi yang sedia ada.
Proses
kematangan
Mungkin ada yang bertanya, apa motif tulisan ini dinukilkan? Saya
bukanlah orang besar, tetapi saya merasakan setiap orang akan mempunyai jalur
kematangan pemikiran politik sendiri dan saya ingin berkongsi dengan pembaca.
Tidaklah juga saya bermaksud untuk membuktikan kebenaran kata-kata Tun Dr
Mahathir kerana saya sendiri tidak tahu dimana fasa yang saya berada sekarang. Perkongsian
ini mungkin bermanfaat pada sebahagian manusia yang akan, sedang dan pernah
mengalami proses kematangan pemikiran politik sebagaimana saya. Saya percaya,
dengan membaca pengalaman orang lain, ia akan membantu proses kematangan
seseorang dan tentulah ke arah yang lebih baik!
Comments