Ramai yang tersenyum sinis apabila Datuk Seri Najib Razak
mengumumkan pembubaran parlimen awal bulan ini. Kepenatan berspekulasi selama
bertahun-tahun tentang tarikh pembubaran parlimen akhirnya terbalas lelah.
Calon-calon yang bertanding merebut kerusi DUN dan Parlimen pula umumnya sudah
diketahui ramai. Kini hanya menanti hari pengundian yang seakan tidak siapa
yang menjamin pasti apa keputusan yang bakal didapati. Politik gila sedang
melanda parti yang sedang perintah dan yang mahu perintah.
Sembang
Kosong
Terdapat ramai ahli politik jadian yang hanya tahu menaip
laju dilaman sosial, tapi sekadar hanya tahu menaip laju. Bercerita tentang hal
politik sepatutnya begitu dan begini, seolah dialah pakar sains politik dan
ekonomi. Namun apabila ditanya sudahkah mendaftar sebagai pengundi ataupun
mahukah pergi mengundi? Maka ahli jadian ini akan diam seribu kelu. Jika ada
jawapan pun, kelihatan sedikit dangkal. Apa guna pergi mengundi? Satu undi
tidak membawa apa-apa makna perubahan katanya.
Mempunyai pendapat politik tidak salah, bahkan ini hak
demokrasi, tetapi menyangka satu undi tidak membawa makna itu salah. Jika semua
orang memiliki mentaliti seperti ini, sistem demokrasi akan mandul dan tidak
akan dapat disuburkan di Malaysia. Barang kali juga mereka pejuang demokrasi
tulen, kerana tidak mendaftar dan tidak mengundi itu juga salah satu hak dalam demokrasi.
Namun kita hanya akan diimarahkan dengan kerencaman pendapat politik, dan ia
bakal berakhir menjadi sembang politik. Berbunyi bising tapi kosong.
Calon vs
Parti
Terdapat perdebatan intelektual mengenai apa yang patut
menjadi keutamaan semasa mengundi. Adakah perlu mengutamakan calon kemudian
barulah parti, atau pun melihat jenama parti terlebih dahulu? Dalam konteks
politik di Malaysia, kebanyakkan tokoh politik kepartian menyeru masyarakat dan
pengikut mengutamakan lambang parti semasa membuat pilihan mengundi. Realiti
pengikut parti politik di Malaysia juga menunjukkan sikap yang sama dengan
begitu setia mengundi lambang parti anutannya tidak kira siapa calon yang
diletakkan dikawasan itu atas alasan taat kepada keputusan pengurusan tertinggi
parti politik. Hal ini amat bermanfaat dan memberi kelebihan kepada survival
parti politik terbabit, tetapi ia merupakan satu kerugian besar kepada hak
pengundi untuk memilih.
Pengundi yang terpuji seharusnya mempunyai kajian dan
penilaian sendiri terhadap latar belakang calon yang ingin dipilih dengan
mengambil kira faktor pendidikan, pengalaman dalam bidang politik, kepetahan
berhujah, boleh bekerja untuk rakyat, bersikap mesra dengan masyarakat dan
mudah untuk didekati. Senarai ini bukan satu bentuk lengkap ciri-ciri yang
perlu ada, tetapi ia sekadar contoh terhadap beberapa hal-hal penting yang
perlu diambil kira semasa menilai seseorang calon yang telah diletakkan untuk
bertanding di dalam kawasan tertentu. Keperluan dan penilaian politik itu
senantiasa berubah mengikut tempat dan masa. Ada yang berhujah, jika pengundi
meletakkan penilaian calon sebagai perkara teratas, ini akan menyebabkan mereka
membelakangi keputusan tertinggi pengurusan parti. Benar. Biarkan ia berlaku.
Ini akan memberikan tekanan kepada parti politik terbabit untuk meletakkan
calon-calon yang bertanding dibawah lambang mereka dengan mengambil kira
aspirasi rakyat yang mahukan calon yang berwibawa. Bukan sekadar melengkapkan
senarai calon atau memberikan ruang kepada ahli majlis tertinggi dalam parti
mereka untuk bertanding merebut kerusi.
Manifesto parti yang sepatutnya menjadi taruhan pertama
semasa membuat penilaian mengundi? Tidak! Ia sepatutnya diletakkan pada tempat
yang kedua. Kredibiliti calon masih lagi penting. Bagaimana suatu manifesto
atau idea yang baik itu mahu digerakkan kelak jika calon yang terpilih itu
nanti tiada nilai yang boleh menggerakkan idea itu? Maka hasilnya, manifesto
akan berakhir menjadi sebuah tragedi dan rakyat akan terus dibohongi. Maka
tidak hairanlah apabila ada yang menyatakan, manifesto itu bukan janji. Rakyat
yang menjadi pengundi harus menguatkan kuasa memilih mereka, agar akhirnya kita
tidak terpaksa memilih apa yang telah dipilih untuk kita. Dan lebih malang,
pilihan itu sekadar memilih antara yang mana paling kurang buruk!
Lalang
Politik
Menjadi lalang dalam politik Malaysia kadang kala sangat
sukar. Terutamanya apabila berhadapan dengan sebahagian manusia yang merasakan
dirinya berprinsip dengan sekadar mengimani sebuah fikrah parti politik dan
setia dengannya. Lalang politik itulah yang sebenarnya berprinsip dalam
berpolitik. Manusia yang mendakwa berprinsip itu barangkali lupa, dia
sebenarnya hanya tahu menurut dan membatu dengan apa yang diputuskan tanpa banyak
soal. Disuruh bersorak mereka bersorak, dan disuruh diam mereka akur untuk diam.
Prinsip jenis apakah sebenarnya yang sedang dipegang oleh mereka itu? Prinsip
Pak Turut barang kali.
Tidak memasuki atau dimiliki oleh parti politik tertentu itu
tidak salah. Apa yang salah adalah mendakwa orang lain salah hanya kerana tidak
memiliki keanggotaan dalam mana-mana politik kepartian. Prinsip itu tidak
terlekat atau tergantung pada mana-mana parti politik, tetapi ia amat mendasar
kepada apa yang kita pegang dan percaya iaitu kepada fakta dan kebenaran.
Manusia yang berprinsip adalah mereka yang senantiasa berpegang teguh kepada
dua hal itu, tidak kiralah sama ada mereka itu berparti atau pun tidak. Lalang
itu walaupun kelihatan rapuh apabila sentiasa terbuai ke kiri dan ke kanan dek tiupan
angin, tetapi jarang benar akar lalang itu tercabut dibawa pergi. Lalang
politik itu senantiasa mengakar pada prinsip, tidak kira parti apa. Yang benar
itu tetap benar.
Firman
Politik
Penulisan ini bukan firman-firman politik yang mana wajib
untuk diikuti. Tapi ia sekadar mahu menambah celaru dalam dunia politik yang
sudah sedia bercelaru. Kecelaruan itu bukan mahu menambah buntu, tapi mahu mencambah
idea pemikiran agak kita tidak melulu dalam menghadamkan pilihan dikertas undi
itu nanti. Bukankah kita telah diingatkan oleh firman yang Satu ini?
“Dan
janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya.
Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta
pertanggungan jawabnya” [al-Israa’:36]
Comments