Wajarkah diskusi Asri-Zamihan?

Apabila timbul cadangan diskusi atau debat antara Mufti Perlis, Prof. Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr MAZA) dengan Ustaz (Dr) Zamihan Mat Zin, Pengawai Kementerian Dalam Negeri (KDN), terdapat beberapa kenyataan dibuat oleh mufti dan agamawan tertentu yang tidak bersetuju dengan diskusi ini kerana kononnya akan berlangsung debat yang membincangkan perkara furu’ ataupun khilafiyyah. Ada juga dikalangan mereka yang bersetuju, tetapi menggesa agar ia diadakan dalam keadaan tertutup dan hanya dihadiri oleh golongan agamawan, ulama’ dan pakar akademik. Ini kerana dibimbangi orang awam akan terkeliru dengan hasil daripada diskusi ini. Terdapat juga kebimbangan akan berlaku perpecahan dikalangan umat islam di Malaysia.


Ada dua perkara yang perlu jelas disini, pertama tajuk diskusi antara dua tokoh agama ini tiada kaitan langsung dengan tajuk isu furu’ atau khilafiyyah. Salah faham ini tidak akan timbul jika agamawan yang memberikan komentar meluangkan sedikit masa membaca tajuk cadangan diskusi. Kedua, perpecahan umat Islam di Malaysia dan dunia berlaku majoritinya disebabkan oleh politik kepartian, tidak kerana debat atau diskusi ilmiah berkaitan agama. Jika benar bimbang perpecahan umat Islam akan berlaku, haramkan sahaja parti politik seperti UMNO dan Pas.

Memahami Kronologi Isu

Pertembungan antara Dr MAZA dan Ustaz Zamihan bukanlah baru bermula pada tahun ini, tetapi telah bermula sejak sekian lama. Perbezaan ini pada awalnya berlegar pada isu feqh antara mazhab dan takwilan terhadap sifat Allah. Tetapi isu yang betul-betul menarik perhatian media dan rakyat bermula pada tahun 2010, apabila Ustaz Zamihan dilaporkan pernah membuat dakwaan mengaitkan nama Dr MAZA dan Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis ketika itu) dengan fahaman wahabi dan mempunyai kaitan dengan kumpulan Jemaah Islamiah (JI) tetapi telah dinafikan oleh mereka. Menurut laporan akhbar, Ustaz Zamihan dilaporkan membuat dakwaan itu ketika memberikan taklimat dalam mesyuarat anti keganasan anjuran pihak Polis.

Selepas daripada insiden itu, pertembungan antara mereka menjadi semakin sengit. Ustaz Zamihan dengan jelas di dalam ceramahnya pernah memanggil Dr MAZA dengan gelaran mufti “anjing” hanya kerana perbezaan pendapat di dalam isu feqh. Beliau juga di dalam ceramah pernah memberikan gelaran “mu kapir!” kepada seorang tokoh agama di Malaysia kerana memetik pendapat ulama’ dalam isu kedudukan ayah dan ibu Nabi Muhammad. Dr MAZA pula berterusan mempersoalkan kredibiliti Ustaz Zamihan dalam mempertahankan ahli sunnah wal jamaah kerana beliau didapati pernah berguru dan menterjemahkan buku seorang ulama’ yang mempunyai kecenderungan Syiah iaitu Hassan as-Saqqaf. Dr MAZA seringkali secara sinis mengingatkan tentang bahaya syiah berbaju sunni yang dipercayai ditujukan kepada Ustaz Zamihan.


Sejak beberapa tahun lepas, Ustaz Zamihan didapati kerap membuat cabaran debat secara terbuka kepada Dr MAZA, hal ini boleh disemak dengan merujuk status-status facebook dan rakaman-rakaman video kuliah beliau, tetapi semuanya tidak dilayan oleh Dr MAZA. Difahamkan, beliau tidak melayan cabaran debat kerana merasakan tidak sesuai dengan kedudukan beliau sebagai mufti kerajaan negeri.


Terbaharu, pada 4 Februari 2016, Ustaz Zamihan ada mengeluarkan kenyataan mencabar sekali lagi Dr MAZA untuk berdebat. Beliau menyebut, “Saya juga bersedia 24 jam untuk berdebat secara ilmiah dengan beliau atas apa saja topik sekalipun. Beliau boleh memilih mana-mana tajuk berkaitan, lokasi, peserta dan format. Saya tidak pernah gentar untuk berhujah dgn Mufti sepertinya. jika tewas, beliau perlu meletak jawatan sebagai seorang mufti dan berhenti memfitnah saya.”



Cabaran terbaharu ini dibuat oleh Ustaz Zamihan selepas insiden pengharaman 16 orang penceramah agama daripada memberikan sebarang kuliah agama di dalam negeri Johor di mana Dr MAZA salah seorang daripadanya kerana dipercayai membawa fahaman yang terkeluar daripada pegangan ahli sunnah wal jamaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Shahidan Kassim (DSSK) cuba merealisasikan permintaan debat Ustaz Zamihan dengan Dr MAZA apabila cuba menganjurkan satu diskusi antara mereka berdua bertajuk ‘Extremis Agama Di Malaysia: Satu Perbincangan’ pada 10 Februari 2016. Setelah bertahun lamanya tidak melayan cabaran Ustaz Zamihan untuk berdebat, akhirnya Dr MAZA menyambut baik cadangan yang telah dikemukan oleh DSSK kerana menyifatkan cabaran debat oleh Ustaz Zamihan semakin keterlaluan.

Walaupun dalam cabaran berdebat yang dikemukan oleh Ustaz Zamihan menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk hadir, tidak kira tempat atau format, tetapi dengan tiba-tiba beliau meminta untuk diadakan perbincangan terlebih dahulu dengan beliau dalam menentukan moderator, tarikh dan format. Setelah perbincangan diadakan, tarikh diskusi dipinda kepada 17 Februari 2016 kerana beliau mempunyai program yang lain pada tarikh 10 Februari 2016 walaupun Dr MAZA sedia menangguhkan program pada tarikh terbabit. Dalam kiriman yang terbaharu dibuat oleh Ustaz Zamihan, beliau kembali mempersoalkan penganjur kerana masih tidak menerima surat jemputan rasmi beserta format, tarikh, masa, lokasi dan moderator program. Beliau juga meminta surat jemputan di hantar kepada majikan beliau, Timbalan Perdana Menteri (TPM) merangkap Menteri Dalam Negeri.

Rasional Diskusi

Isu yang akan dibincangkan oleh mereka berdua bukan berkaitan hukum qunut subuh atau hukum membaca talqin, tetapi membincangkan tentang isu extremis agama di Malaysia. Hal ini bukan perkara remeh atau perkara furu’ dalam ibadah, tetapi perkara yang amat mendasar kerana membabitkan imej Islam dan kefahaman yang betul dalam beragama. Tambahan pula Ustaz Zamihan menggunakan platform KDN secara terbuka mengaitkan fahaman dan tokoh tertentu dengan aktiviti keganasan. Beliau pernah mengaitkan pengajian tauhid 3 (Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyan dan Tauhid Asma wa Sifat) dengan doktrin ISIS (Daesh). Tuduhan seperti ini amat berat dan mempunyai implikasi besar dalam dunia Islam dan di Malaysia khususnya kerana pengajian tauhid 3 ini diajar di sekolah menengah sebagai salah satu kaedah mengenal Allah.

Disebabkan tuduhan berat seperti ini dilakukan secara terbuka, maka amatlah penting untuk ia dibincangkan dan dijawab secara terbuka agar masyarakat dalam menilai dua sisi pandangan yang berbeza. Adalah sangat tidak adil, apabila ada satu pandangan atau tuduhan sudah dilemparkan kepada masyarakat sehingga menimbulkan polemik kemudian mahu dibiarkan sahaja tanpa diuruskan dengan betul. Diskusi seperti ini diharapkan dapat memberikan pencerahan kepada masyarakat tentang bahaya sikap extremis dalam beragama dan menyangkal salah faham yang berlegar dikalangan masyarakat.

Budaya berfikir, bukan takfir

Jika diskusi ini dibatalkan, atau dihadkan kepada yang “ahli” sahaja, maka kita sebenarnya sedang memandulkan pemikiran masyarakat Islam serta merendahkan nilai keupayaan mereka untuk berfikir serta membuat penilaian. Kita seringkali beranggapan bahawa masyarakat masih belum matang untuk membuat penilaian tentang setiap hujah agama yang dikemukan. Maka, mereka lebih mudah beranggapan pihak berautoriti sahajalah yang menentukan segalanya, apa yang betul dan apa yang salah.

Kita sepatutnya membudayakan kemahiran berfikir secara kritis dalam agama. Ini dapat mendidik masyarakat Islam supaya membuka dimensi minda mereka, daripada lembah kejumudan kepada ladang-ladang ilmu yang lebih luas. Jika masyarakat Islam lebih kerap berfikir, kelak akan timbul banyak persoalan diminda mereka, dan untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan itu, mereka akan terpaksa menambah ilmu melalui pembacaan, mendengar penghujahan, perdebatan, atau melalui pertanyaan. Ilmu yang baik dan bermanfaat akan membuahkan keharmonian dalam beragama, dan orang yang malas berfikir sahaja yang mudah memberi label takfir.

Takutlah Allah!

Comments