Hipokrasi Penentang Zakir Naik

Sejak dari tahun 2016, pelbagai cerita mengenai pendakwah Islam terkenal dari negara India iaitu Dr Zakir Naik muncul di dada-dada media massa Malaysia dan juga antarabangsa. Zakir Naik terkenal diseluruh dunia sebagai ‘mubaligh’ agama Islam yang menjadikan subjek perbandingan agama sebagai teras kepada setiap perbincangan dalam ceramah-ceramahnya. Beliau juga telah banyak me’murtad’kan ramai penganut agama Kristian dan Hindu kepada agama Islam.

Apabila Zakir Naik semakin kerap muncul di Malaysia, ia menimbulkan perasaan tidak senang segelintir pihak sehingga menimbulkan bantahan kepada kerajaan Malaysia. Dalam rencana ini, mereka yang menentang Zakir Naik akan dinamakan sebagai penentang kerana sikap konsisten mereka menentang apa juga isu yang berkaitan dengan Zakir Naik.



Kerajaan Navendra Modi di India

Penentang Zakir Naik begitu lantang dan tegas meminta agar kerajaan Malaysia menghantar pulang Zakir Naik ke India atas beberapa pertuduhan yang sedang dihadapinya disana. Antara tuduhan yang dilemparkan kepadanya oleh kerajaan India adalah mengasut lebih 50 orang yang terlibat dengan aktiviti keganasan dan juga penggubalan duit haram. Zakir Naik pula bertegas tidak mahu pulang ke India kerana bimbang tidak mendapat perbicaraan yang adil dibawah kerajaan India pimpinan Navendra Modi. Sebaliknya, beliau menggesa perbicaraan yang melibatkan dakwaan keatasnya dibicarakan di Mahkamah Antarabangsa atau pun di Mahkamah Malaysia. Apakah kebimbangan Zakir Naik ini mempunyai asas? Ataupun sebenarnya beliau memang sedang menyelamatkan diri seperti mana yang didakwa oleh para penentangnya?

Jika kita soroti sejarah politik Navendra Modi, kita akan berjumpa dengan beberapa fakta yang menarik. Pada tahun 2002, Navendra Modi didakwa oleh seorang bekas pegawai kanan Polis di Mahkamah Agong India iaitu dengan sengaja membenarkan rusuhan anti Islam berlaku di Gujarat yang telah mengorbankan lebih 1000 orang. Sanjiv Bhatt mendakwa ketika dalam satu mesyuarat dengan Navendra Modi, beliau mengatakan penganut Hindu perlu dibenarkan melepaskan kemarahannya tetapi kenyataan ini telah dinafikan oleh Modi. Dalam satu temubual dengan media Reuters berkenaan dengan insiden rusuhan anti Islam di Gujarat, Modi memberitahu bahawa beliau telah membuat perkara yang betul dan tidak ada perasaan bersalah. Pada tahun 2005, permohonan visa diplomatik Modi ke US telah ditolak atas alasan keganasan agama yang dilakukan pada tahun 2002. Berikut merupakan petikan kenyataan daripada kedutaan US, “We can confirm that the Chief Minister of Gujarat state Narendra Modi applied for but was denied the diplomatic visa - under the Immigration and Nationality Act - which makes any government official who was responsible for or directly carried out at any time, particularly severe violations of religious freedom, ineligible for a visa.” Pada tahun 2014 Navendra Modi dipilih menjadi Perdana Menteri India apabila Parti Bharatiya Janata memenangi pilihanraya buat pertama kali.

Pada bulan Mac 2017, Modi telah melantik Yogi Adityanath sebagai Ketua Menteri Uttar Pradesh, negeri yang mempunyai paling padat penduduk di India. Adityanath dikenali sebagai seorang extrimis Hindu yang mempunyai banyak tuduhan jenayah seperti cubaan membunuh, mencemarkan rumah ibadat dan menghasut untuk melakukan rusuhan. Dalam laporan The Economic Times, pada tahun 2015 Adityanath pernah menyebut,”If given a chance, we will install statues of Goddess Gauri, Ganesh and Nandi in every mosque.”Dia juga pernah berkata seperti yang dilaporkan oleh The Washington Post, “If one Hindu girl marries a Muslim man, then we will take 100 Muslim girls in return … If they [Muslims] kill one Hindu man, then we will kill 100 Muslim men.” Lantikan Yogi Adityanath oleh Navendra Modi turut mendapat kecaman daripada Amnesty International India, menurut Aakar Patel, “Adityanath has been one of Uttar Pradesh's most polarising politicians, given to hateful rhetoric that incites discrimination and hostility against minority groups, particularly Muslims.”

Jika penentang Zakir Naik boleh memuji tindakan beberapa negara yang memberikan perlindungan kepada beberapa rakyat Malaysia yang melarikan diri keluar negara apabila berhadapan dengan tuduhan di mahkamah - atas alasan mahkamah atau kerajaan Malaysia dikhuatiri tidak dapat berlaku adil - kenapa pula sikap yang sama tidak dipamerkan dalam kes Zakir Naik?

Retorik Kebebasan Bersuara

Zakir Naik merupakan tokoh pendakwah Islam yang mempunyai kemahiran dalam bidang perbandingan agama. Dalam ke semua sesi ceramah atau debat, beliau hanya memetik nas-nas daripada kitab-kitab agama samawi dan juga Hindu. Sehingga hari ini, masih belum ada bukti daripada mana-mana video ceramah beliau yang menggalakkan aktiviti keganasan terhadap agama lain atau pun menghina agama lain. Jika ada pun ucapan yang kononnya dibuat oleh Zakir Naik yang menggalakkan aktiviti keganasan, kenyataan itu telah dipotong atau pun diambil luar konteks. Apa yang kerap dimainkan oleh penentang Zakir Naik hanyalah tuduhan daripada National Investigation Agency (NIA) yang mana ada sekumpulan orang kononnya “terinspirasi” daripada ucapan Zakir Naik untuk melakukan aktiviti keganasan.

Sebahagian besar daripada penentang Zakir Naik di Malaysia merupakan penyokong tegar kepada kebebasan bersuara. Namun apabila Zakir Naik ingin menggunakan ruang itu, beliau dihalang atas alasan menjaga keharmonian beragama dalam kalangan masyarakat majmuk berbilang agama di Malaysia. Golongan yang sama juga kerap kali menggunakan alasan kebebasan bersuara menghentam institusi-institusi agama Islam dan mengkritik keras beberapa polisi dan fatwa yang melibatkan orang Islam. Jelas kebebasan bersuara yang mereka perjuangkan itu sangat bersifat retorik dan selektif! Jika benar mereka pejuang kebebasan bersuara, sewajarnya mereka meraikan setiap ceramah Zakir Naik yang penuh dengan hujah dan fakta daripada petikan kitab-kitab suci agama samawi dan juga Hindu. Jika mereka ingin berhujah balas, Zakir Naik amat terbuka dalam soal itu.

HINDRAF dan Campur Tangan Pentadbiran Islam

Hindu Rights Action Force (Hindraf) merupakan NGO Hindu yang paling lantang dan  keras menentang kehadiran Zakir Naik di Malaysia. Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy seperti dalam laporan portal Free Malaysia Today (FMT) mempertikaikan keperluan menjemput penceramah kontroversi Zakir Naik menyampaikan khutbah di Malaysia. Beliau mempersoalkan motif sebenar kerajaan mengalakkan ceramah beliau di Malaysia. P Waythamoorthy bersama 18 individu lain pernah memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia kerana menurut mereka kerajaan melindungi Zakir Naik dan memohon agar status penduduk tetap (PR) yang dikurniakan kepada Zakir Naik dibatalkan.

P Waythamoorthy dalam kiriman surat terbuka kepada Mufti Perlis pada 23 April 2017 menafikan beliau ada mencampuri urusan pentadbiran agama Islam di Malaysia. Ini sangat berlawanan dengan apa yang beliau katakan seperti apa yang dilaporkan oleh media FMT. Apabila beliau dan Hindraf mempersoalkan jemputan Majlis Agama Islam Perlis kepada Zakir Naik untuk memberikan khutbah jumaat yang mana khutbah ini khusus untuk orang Islam, ini jelas cubaan untuk campur tangan dalam urusan pentadbiran agama Islam. Sempadan campur tangan ini sangat jelas, hatta budak pra-sekolah juga dapat memahami maksud kenyataan P Waythamoorthy. Belum pernah berlaku di Malaysia, orang Islam mempertikaikan kedatangan mana-mana tokoh agama Hindu ke Malaysia untuk melakukan ritual atau memberikan ceramah yang dikhususkan kepada pengikut agama Hindu.

Penganugerahan status PR kepada Zakir Naik pula merupakan sebahagian daripada pakej hadiah apabila beliau diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah pada tahun 2013 oleh kerajaan Malaysia seperti yang disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Zahid Hamidi. Anugerah ini telah disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong yang ketika itu, Sultan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Apabila mengetahui hal pemberian status PR kepada Zakir Naik, maka serangan kepada beliau semakin meningkat. Antara persoalan yang ditimbulkan adalah rasional pemberian PR kepada Zakir Naik sedangkan masih ramai lagi rakyat berketurunan India di Malaysia yang masih belum memiliki kad pengenalan sebagai warganegara. Menurut N Surendran, terdapat sekurang-kurangnya 300,000 orang kaum India hanya memiliki kad pengenalan merah atau hijau atau langsung tiada dokumen pengenalan diri.

Pemberian status PR kepada Zakir Naik bukan bermaksud kerajaan berwenang-wenang dalam urusan pemberian status PR dan mengabaikan masalah kaum India terutamanya berkaitan urusan dokumentasi.  Pemberian ini hanya kepada satu individu dan kes terpencil kerana ia melibatkan penganugerahan daripada Yang di-Pertuan Agong. Masalah dokumentasi kaum India di Malaysia sangat rumit dan menurut Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar Malaysia (DHRRA Malaysia), terdapat sekurang-kurangnya sembilan kategori individu yang mengalami masalah dokumentasi seperti lahir di Tanah Melayu sebelum 31 Ogos 1957, lahir di Tanah Melayu selepas 31 Ogos 1957, datang ke atau lahir selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, lahir di luar negara selepas pembentukan Malaysia, kewarganegaraan di bawah keadaan khas, pemegang kad pengenalan hijau, pendaftaran lewat kelahiran, permohonan lewat bagi kad pengenalan dan lahir di Malaysia tetapi tiada sebarang dokumen sokongan sebagai bukti.

Adalah lebih baik penentang Zakir Naik (baca: Hindraf terutamanya) menumpukan seluruh tenaga mereka membantu kerajaan menyelesaikan masalah utama kaum India di negara ini daripada membazirkan tenaga membuat bising hanya kerana satu PR dianugerahkan kepada seorang lelaki dari negara India.

Polemik Puisi Pagi Jumaat

Apabila Mufti Perlis menulis puisi pagi jumaat, beliau menerima kecaman yang teruk daripada masyarakat Hindu terutamanya. Faizal Tehrani mengambil peluang menambahkan rencah dengan membuat interpretasinya sendiri sehingga membawa kepada kesimpulan yang mana puisi ini mempunyai satu asas yang sama dengan novel The Satanic Versus oleh Salman Rushdie, dan kartun ‘Nabi Muhammad’ oleh Charlie Hebdo seperti yang disiarkan di laman Projek Dialog. Ulasan yang dibuat oleh Faizal Tehrani jauh tersasar kerana telah dibuai oleh sentimen sekterian yang mana beliau dikenali sebagai pencinta mazhab Syiah dalam novel-novel karangannya manakala Mufti Perlis pula terkenal dengan kelantangannya mengkritik Syiah.

Dr Asri dalam jawapan balas apabila ditanya mengenai puisi itu mendakwa ia ditujukan kepada kerajaan Modi di India yang mana mensucikan haiwan lembu sehingga seakan dianggap menyembah haiwan itu. Di India, terdapat banyak kes yang mana orang Islam dibunuh kejam oleh extremis Hindu kerana memiliki atau memakan daging lembu. Jawapan Dr Asri ini segera dibalas oleh pengkritik dengan menyatakan bahawa Mufti Perlis telah berbohong kerana puisi ini difahami ditujukan kepada penganut Hindu di Malaysia dan berkait rapat dengan isu sekitar Zakir Naik. Berikut merupakan puisi penuh tulisan Dr Asri;

..apabila yang mempertuhankan lembu bersatu..
lantas menyeru agar pendakwah kita dibelenggu..
mahu diserahkan kepada kerajaan zalim menyembah api dan penganut sati..
pembakar wanita janda..di benua sana..
ajaran yang mengkastakan manusia..
sedih, sehingga ada yang dipanggil paria..
wajarkah manusia diperlakukan demikian rupa..
betapa menghina insan sesama..
di sini pula tidak pernah mereka berterima kasih kepada apa yang ada..
berpakat mereka membuat angkara..
kita tidak boleh berdiam bahasa..
toleransi dan kesabaran ada hadnya..
puisi pagi jumaat..

Apabila membaca puisi ini, memang dengan jelas puisi ini bertemakan isu sekitar Zakir Naik. Namun puisi ini boleh dibahagikan kepada dua fasa bagi memahami konteks yang beliau ingin cuba sampaikan. Fasa pertama bermula dari baris pertama hingga baris ke lapan dan boleh difahami ia merujuk kepada situasi yang berlaku di negara India apabila beliau ada menyebut “di benua sana”. Fasa pertama juga boleh difahami ia merujuk kepada extremis Hindu yang mana telah melakukan pelbagai keganasan seperti membakar wanita janda dan membunuh orang Islam yang menyimpan daging lembu sehingga dianggap mempertuhankan haiwan itu.  

Pada baris ke sembilan (fasa kedua), beliau mulakan dengan “di sini pula tidak pernah mereka berterima kasih kepada apa yang ada..” membawa pembaca kembali ke Malaysia. Beliau menganggap kini terdapat unsur-unsur extremis Hindu yang mula cuba menapak di Malaysia dan seakan mencabar keharmonian beragama di Malaysia. Di akhir kalam, Dr Asri mengingatkan kesabaran itu ada batasnya sebagai amaran kepada mana-mana kumpulan extrimis yang cuba mengadaptasi situasi di negara India dibawa ke negara Malaysia.

Apa-apa hasil seni memang sangat bersifat subjektif. Penilaian dan pemahamanan manusia berbeza dan seterusnya akan menghasilkan pelbagai kesimpulan akhir. Puisi ini jika dilihat pada satu sudut memang kelihatan keras dan mengguris perasaan penganut agama Hindu, tetapi dari sudut yang lain ia membawa maksud yang jelas berbeda daripada apa yang umum fahami.

Nasihat Buat Rakyat Malaysia

Dalam mendepani isu Zakir Naik, adalah lebih baik ia diserahkan kepada kebijaksanaan kerajaan dalam menguruskan isu ini terutamanya apabila melibatkan urusan antara kerajaan Malaysia dan kerajaan India. Jika ada sebarang kegusaran terhadap sesuatu isu, salurkan suara ini dalam ruang lingkup demokrasi tanpa perlu mencampuri sensitiviti agama lain. Penentang Zakir Naik juga harus kembali mencerminkan diri, adakah penentangan itu memang benar dilakukan atas alasan menjaga keselamatan negara ataupun sebenarnya mereka mengalami sindrom alergik terhadap apa-apa proses pengembangan agama Islam di Malaysia?

Sikap hipokrit dan selektif mereka telah menjadi bukti!

Comments