KRISIS EKONOMI RAKYAT DI MALAYSIA

Ekonomi negara Malaysia didakwa sedang berkembang dengan pesat jika diukur dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dimana ia berkembang 5.8 peratus pada suku kedua tahun 2017. Pelaburan asing juga didakwa masuk berpuluh-puluh bilion setahun menandakan betapa baik dan makmurnya ekonomi Malaysia. Malaysia juga disenarai antara negara yang paling pesat membangun ekonominya di dalam dunia jika dirujuk laporan yang dipaparkan oleh akhbar perdana. Tetapi persoalannya, adakah perkembangan pesat ekonomi negara ini dirasakan oleh rakyat kebanyakkan? Apakah ekonomi poket rakyat turut sama merasai pertumbuhan pesat itu?


Ekonomi rakyat yang dimaksudkan adalah hal-hal ekonomi yang memberikan “direct impact” kepada rakyat seperti harga rumah, persoalan gaji, harga barang keperluan harian, kemampuan menyimpan dan lain-lain. Rencana ini akan menyentuh persoalan ekonomi rakyat yang dilihat berjalan tidak seiringan dengan loncatan ekonomi negara.  

Rumah Tak Mampu Milik

Isu harga rumah di Malaysia merupakan antara isu yang sangat penting untuk dibincangkan. Ini kerana harga rumah di Malaysia sudah mencapai kepada satu tahap yang tidak masuk akal. Sentimen rumah mahal ini bukan sekadar cakap-cakap kosong, tetapi telah disokong oleh kajian yang dilakukan oleh Khazanah Research Institute (KRI) bertajuk “Making Housing Affordable” dan terbit pada tahun 2015.

Menurut kajian KRI, harga rumah di Malaysia pada tahun 2014 berada dalam kelas ‘sangat tidak mampu milik’ (Seriously Unaffordable) dengan kadar 4.4. Kajian ini dilakukan oleh KRI mengikut kaedah Median Multiple yang mana mengira penengah pendapatan isi rumah selama setahun dan diganda dengan tiga sebagai asas kepada harga rumah mampu milik. Jika harga rumah berkadaran lebih daripada ganda tiga, maka jatuh kepada kelas tidak mampu milik, dan jika jatuh pada ganda tiga dan ke bawah maka ia akan jatuh dalam kategori mampu milik. Pada tahun 2012, Median Multiple di Malaysia berada pada kadar 4.02, kemudian pada tahun 2014 ia meningkat kepada kadar 4.4. Ini bermakna, harga rumah di Malaysia menjadi semakin tidak mampu milik saban tahun.


Pendapatan penengah isi rumah (Median Household Income) di Malaysia pada tahun 2014 adalah sekitar RM4585.00 sebulan, manakala untuk setahun pula adalah RM55,020.00. Harga rumah mampu milik di Malaysia secara idealnya adalah RM55,020.00 digandakan dengan tiga iaitu bersamaan dengan RM165,060.00 dan ke bawah. Tetapi apa yang berlaku, 60% harga rumah di Malaysia pada tahun 2014 ialah RM242,000.00 dan ke atas (Nilai Median Multiple ialah 4.4). Ini bermakna, harga rumah di Malaysia pada tahun 2014 lebih mahal daripada kemampuan pendapatan rakyat sekurang-kurangnya sebanyak RM77,000.00!   

Jika diperincikan lagi kajian daripada KRI ini kepada pecahan negeri, kita akan dapati Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Kuala Lumpur merupakan negeri atau wilayah yang mempunyai kadar Multiple Median yang sangat tinggi iaitu lebih daripada angka 5 dan jatuh di dalam kelas ‘sangat teruk’ (Severely Unaffordable). Di Malaysia, hanya negeri Melaka sahaja yang jatuh dalam kelas harga rumah mampu milik. Kaedah Median Multiple ini telah dibangunkan oleh United Nations Centre for Human Settlement (UNCHS) dan World Bank pada tahun 1988 dibawah program Housing Indicators Program.


Antara punca kepada isu harga rumah menjadi tidak mampu milik adalah apabila kerajaan UMNO-Barisan Nasional dibawah pimpinan Pak Lah menghapuskan sistem Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) pada tahun 2008 dan diteruskan oleh Najib Razak pada tahun 2009. Sistem cukai ini diperkenalkan sebelum ini untuk mengekang spekulator hartanah menaikan harga hartanah secara tidak terkawal.  Sejak dari tahun 1995 hingga ke tahun 2007, CKHT dikenakan sebanyak 30% pada tahun pertama penjualan semula hartanah. Apabila CKHT mula dihapuskan pada tahun 2008 dan 2009, kenaikan harga rumah secara mendadak boleh dikesan apabila pada tahun 2009 ke 2014, secara purata kenaikan harga rumah adalah pada 10.1% (CAGR) berbanding sebelum pemansuhan CKHT iaitu hanya 3.1%. Menyedari hal ini, kerajaan UMNO-Barisan Nasional mula kembali memperkenalkan CKHT secara berperingkat bermula dengan 5% pada tahun 2010 sehinggalah kembali kepada asal iaitu 30% pada tahun 2014.

Kadar Kenaikan Gaji dan Kadar Inflasi

Menurut Laporan Penyiasatan Gaji dan Upah yang di keluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM) pada Mei 2017, gaji penengah (Median Salary) pekerja di Malaysia pada tahun 2016 adalah RM1703.00 meningkat +6.2% berbanding tahun 2015 iaitu sebanyak RM1600.00. Secara kasarnya, separuh daripada pekerja Malaysia pada tahun 2016 mempunyai gaji sebanyak RM1703.00 dan ke bawah iaitu bersamaan dengan 5 juta orang pekerja.

Jika laporan ini diperincikan lagi mengikut negeri, kita akan dapati kenaikan gaji pekerja di Johor pada tahun 2016 hanyalah sekitar RM50.00 sahaja dan bersamaan dengan +2.6% kenaikan. Pekerja di Wilayah Persekutuan Labuan pula tidak menerima sebarang kenaikan gaji. Jika nilai inflasi pada tahun 2016 diambil kira (+2.1%), kenaikan gaji pekerja di Johor sebenarnya hanyalah kurang daripada RM10.00 (+0.5%). Lebih malang di Labuan, kenaikan gaji mereka sebenarnya adalah -2.1%! Hal yang sama pernah berlaku di Kuala Lumpur (KL) pada tahun 2014-2015 apabila kajian daripada JPM menunjukkan pekerja di KL tidak menerima sebarang kenaikan gaji dan jika mengambil kira faktor inflasi, maka kenaikan gaji mereka sebenarnya adalah -2.1%!

Laporan yang dikeluarkan pada bulan November 2017 pula menunjukkan, kadar inflasi di Malaysia sehingga Oktober 2017 berada pada kadar 3.7% dan pada bulan Mar 2017 mencatatkan kadar inflasi tertinggi sepanjang 8 tahun iaitu sebanyak 5.1%! Bank Negara menjangkakan pada tahun 2017 kadar inflasi negara berada pada kadar 3% – 4% dan ini lebih tinggi daripada tahun 2016 iaitu hanya sekitar 2.1% sahaja!

Kos Sara Hidup Meningkat

Jabatan Perangkaan Malaysia ada mengeluarkan laporan Index Harga Pengguna (IHP) pada 24 November 2017 yang menunjukkan kenaikkan harga barang pengguna sebanyak +3.6% dari Oktober 2016 hingga ke Oktober 2017. Peningkatan paling tinggi kadar IHP adalah dalam sektor pengangkutan iaitu sebanyak 12.1%. Hampir semua harga barang harian pengguna meningkat seperti daging ayam (dari RM8.28 ke RM8.48 per kilogram), Ikan kembong (dari RM12.39 ke RM13.84 per kilogram), Sawi (dari RM3.72 ke RM4.46 per kilogram) dan Ikan Cencaru (dari RM8.82 ke RM9.58 per kilogram).


Dalam laporan yang dikeluarkan oleh badan kerajaan itu, hanya ada 2 sektor sahaja yang mengalami penurunan harga, sektor komunikasi dan barangan pakaian & kasut. Tetapi barangan dalam sektor ini bukanlah menjadi keperluan harian pengguna dan tidak begitu mendatangkan kesan yang signifikan kepada pengguna.   

Menurut laporan akhbar pada 28 Disember 2017, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pimpinan SM Mohamed Idris mendapati harga barangan keperluan persekolahan meningkat antara 30% hingga 40% tahun ini, berbanding tahun lalu. Hasil tinjauan CAP mendapati peningkatan harga kelengkapan lengkap persekolahan bagi murid lelaki pada tahun ini naik sehingga RM180.90 berbanding RM133.90 pada 2016, manakala murid perempuan pula meningkat antara RM174.70 hingga RM189.60 berbanding RM157.60 pada tahun lalu.

Agihan Kekayaan Yang Tempang

Menurut Ketua Jabatan Pengurusan Strategik KWSP, Balqis Yusoff terdapat 65% daripada 6.7 juta pencarum mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000.00 ketika tiba usia persaraan mereka. Dengan simpanan sebanyak ini, pesara boleh bertahan hanya selama 5 tahun sahaja itu pun jika mereka hanya berbelanja sebanyak RM820.00 sebulan. Menurut beliau lagi, hanya terdapat 22% daripada pencarum KWSP mempunyai simpanan yang mencukupi iaitu sebanyak RM196,800.00 bagi menampung tempoh persaraan mereka pada usia 54 tahun dan ke atas. 

Selain simpanan KWSP, indikasi kekayaan sesuatu masyarakat itu boleh dirujuk dengan unit saham yang dimiliki. Menurut kajian pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid, 72% pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) mempunyai hanya RM536.00 sahaja di dalam akaun simpanan. Ini jauh ditinggalkan dengan golongan teratas 0.2% yang mana mereka mempunya pelaburan ASB sebanyak RM745,038.00 di dalam akaun mereka. Ini merupakan jurang perbezaan agihan kekayaan yang sangat ketara dikalangan masyarakat Melayu dan Bumiputera. Perbezaan jurang ini jika dirujuk pada Pekali Gini adalah pada kadar 0.838 untuk tahun 2014. Pekali Gini ialah ukuran ketidaksamaan agihan yang digubah oleh ahli statistik dan ahli sosiologi, nilai 0 menyatakan kesamaan jumlah dan nilai 1 ketidaksamaan paling maksimum.

Ketidak mampuan untuk menyimpan kekayaan atau membuat simpanan sebahagian besar rakyat Malaysia berkait rapat dengan kos sara hidup yang semakin tinggi dan kadar gaji yang agak mendatar. Menurut Ali Salman daripada Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), “Savings are a function of income and expenditure. If expenditure rises but incomes do not rise proportionately, then there will be little savings.” Kenyataan daripada Bank Negara Malaysia pada tahun 2015 membenarkan kenyataan ini apabila melaporkan bahawa 3 daripada 4 orang rakyat Malaysia tidak mampu mengadakan RM1000.00 ketika waktu kecemasan. Ini menunjukkan majoriti rakyat Malaysia tiada duit dalam simpanan mereka.

Usaha-usaha Kerajaan

Isu-isu ekonomi rakyat yang dibangkitkan dalam rencana ini bukanlah bermakna tidak ada sebarang usaha daripada pihak kerajaan untuk menanganinya, tetapi persoalan pokok adalah kadar keberkesanan usaha yang dilakukan. Contohnya, inisiatif menangani isu harga rumah oleh pihak kerajaan dengan memperkenalkan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA). Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim memaklumkan kepada Dewan Rakyat sejak penubuhan PR1MA pada 2013 sehingga kini, kira-kira 8,475 unit rumah siap dibina. Daripada jumlah itu, hanya 934 unit rumah PR1MA telah diserah kepada pemilik, manakala selebihnya masih lagi dalam proses serahan kunci.  Jumlah ini sangat kecil dan mencerminkan kegagalan pelaksanaannya.

Kerajaan juga pernah mencadangkan penubuhan makmal kaji kos sara hidup pada tahun 2013 seperti yang di umumkan oleh YB Khairy Jamaluddin. Kemudian pada tahun 2015, Datuk Seri Zahid Hamidi sekali lagi mengumumkan penubuhan jawatankuasa bagi membincangkan kos sara hidup.  Pada hujung tahun 2017, kerajaan melalui Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengumumkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara bagi menangani masalah kos sara hidup. Kita dapat lihat kesungguhan kerajaan UMNO-Barisan Nasional hanya sekadar menubuhkan Jawatankuasa. Tidak dapat dipastikan, apakah yang telah jawatankuasa ini lakukan atau cadangkan. Berkemungkinan, ia berakhir sekadar menjadi cadangan dimuka-muka akhbar sahaja.

Krisis Ekonomi Rakyat

Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan penggunaan istilah krisis bagi menggambarkan betapa teruk situasi ekonomi rakyat sekarang, tetapi apa yang pasti, jika kerajaan UMNO-Barisan Nasional berterusan gagal menguruskan isu ini dengan baik, maka tidak mustahil akan berlaku krisis yang sebenar di masa hadapan. Memahami perit pedih ekonomi rakyat kebanyakkan bukan dengan menjadikan ratusan manusia yang beratur membeli I-Phone sebagai kayu ukur, tetapi ia harus datang dengan bersandarkan fakta dan angka, bukan sangkaan.

Ingatan yang sama harus diberikan kepada Pakatan Harapan yang ingin memerintah negara, ini adalah antara isu-isu yang dekat dengan rakyat. Pakatan Harapan harus  beralih daripada hanya tahu mengkritik dan membangkang, kepada pakatan yang boleh manawarkan idea, solusi dan alternatif yang lebih baik.

Rakyat sedang menilai dan memerhati!

Comments