Mampukah Manifesto Pakatan Harapan membela anak muda?

Antara keluh kesah anak muda yang banyak di dengari adalah seputar isu peluang pekerjaan dan juga gaji. Dua hal ini banyak menekan golongan muda dan mereka berharap agar keluhan mereka ini dapatdi dengar dan ada usaha untuk mengubah dasar serta polisi negara agar beban yang mereka tanggung dapat diperbaiki. Pakatan Harapan (PH) sebagai koalisi parti politik ada mencadangkan solusi bagi menyelesaikan masalah ini seperti yang telah termaktud di dalam buku harapan yang mana juga merupakan manifesto rasmi kerajaan PH di dalam pilihanraya ke-14. Sebelum kita membincangkan apakah solusi kerajaan PH terhadap isu ini, adalah lebih baik kita mendalami asas kepada keluh kesah anak muda berkaitan dengan isu gaji dan juga peluang pekerjaan.

Krisis gaji
Mengikut dapatan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 2017, dilaporkan gaji pertama graduan baru lepasan universiti hampir tidak naik sejak dari tahun 2012 sehingga ke tahun 2016. Secara purata, gaji pertama graduan baru lepasan ijazah ialah sekitar RM2000.00 sahaja, manakala lepasan diploma gaji pertama mereka ialah sekitar RM1200.00 sahaja. Kos sara hidup pada tahun 2012 pastinya tidak sama dengan kos sara hidup pada tahun 2016. Jika kita mengambil kadar purata inflasi tahunan sebanyak 3.5% sebagai indikasi asas kadar kenaikan gaji, maka secara mudahnya boleh dikatakan graduan ijazah pada tahun 2016 sepatutnya mempunyai gaji permulaan sekurang-kurangnya RM2700.00 sebulan. Jika gaji permulaan mereka kekal pada RM2000.00, maka mereka sebenarnya menanggung beban inflasi sebanyak RM700.00 sebulan jika dibandingkan dengan graduan pada tahun 2012!
Peluang pekerjaan terhad
Menurut laporan yang sama dikeluarkan oleh BNM, jumlah pekerjaan yang diiklankan di laman Jobstreet.com untuk jawatan graduan baru menunjukkan aliran menurun jika dibandingkan tahun 2012 dengan tahun 2016. Setiap tahun, jumlah graduan meningkat dan pengurangan peluang pekerjaan ini menyebabkan suasana untuk mendapatkan pekerjaan menjadi lebih kompetetif dan akan meningkatkan lagi kadar pengangguran anak muda di Malaysia. Laporan BNM menunjukkan pada tahun 2015, kadar pengangguran anak muda berada pada 10.7% iaitu bersamaan dengan 3 kali ganda daripada kadar pengangguran nasional iaitu 3.1%.
Hal ini berlaku kerana di Malaysia fokus utama penciptaan peluang pekerjaan banyak tertumpu kepada sektor low skill yang mana sektor ini banyak mengaji pekerja asing. Menurut laporan menteri bertanggungjawab, jumlah pekerja asing berdaftar di Malaysia pada tahun lalu sekitar 2 juta orang, manakala pekerja asing tidak berdaftar dianggarkan lebih daripada 4.6 juta orang dalam pelbagai sektor. Tenaga buruh tempatan terpaksa bersaing dengan pekerja asing yang mana gaji mereka jauh lebih rendah daripada pekerja tempatan.
Mitos pekerja tempatan
Terdapat mitos yang berlegar dikalangan bijak pandir mendakwa anak muda dan tenaga buruh tempatan terlalu memilih kerja dan tidak mahu bekerja dalam sektor 3D (dirty, difficult & dangerous) sehingga menyebabkan ia diisi oleh ramai pekerja asing. Hakikatnya, dakwaan ini sangat tidak tepat dengan realiti yang berlaku dilapangan. Sebagai contoh, kerajaan Pulau Pinang pernah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia sebanyak 2,500 jawatan kosong dalam sektor 3D iaitu sebagai pengutip sampah. Walaupun kekosongan jawatan hanya lah 2,500 sahaja, tetapi jumlah permohonan yang diterima adalah sangat tinggi iaitu sebanyak 25,000 permohonan. Ini kerana gaji yang ditawarkan oleh kerajaan Pulau Pinang adalah agak tinggi iaitu sebanyak RM1,300.00 sebulan.
Contoh kedua adalah kebanjiran rakyat Malaysia diluar negara bekerja sebagai buruh kasar. Contoh paling dekat ialah Singapura. Setiap hari, dianggarkan terdapat 200,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura kerana bekerja disana. Mereka sanggup beratur diawal pagi dan hanya balik lewat malam. Selain Singapura, dilaporkan terdapat ramai buruh kasar dari Malaysia yang bekerja di Australia dan juga Korea Selatan dan jumlah mereka dianggarkan puluhan ribu. Kenapa hal ini berlaku? Jawapannya mudah, gaji yang ditawarkan jauh lebih tinggi berbanding di Malaysia.   
Mampukah kerajaan Pakatan Harapan?
Di dalam buku harapan, kerajaan PH menjanjikan beberapa perkara hal yang terkait langsung dengan isu ini. PH telah berjanji untuk menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,500.00 sebulan. Mereka juga berjanji untuk mencipta 1 juta peluang pekerjaan dengan gaji sekurang-kurangnya RM2,500.00 sebulan dalam tempoh masa 5 tahun pentadbiran. Penetapan gaji minima kepada RM1,500.00 sebulan membantu golongan muda lepasan diploma dan juga SPM yang mana gaji permulaan mereka telah beku sekurang-kurangnya sejak 9 tahun lepas pada kadar RM1200.00 sebulan. Mungkin ada yang akan mempersoalkan penetapan gaji minima kepada lebih tinggi akan menyebabkan syarikat di Malaysia akan lari keluar kerana tidak sanggup menanggung kos lebih tinggi. Menurut Dr Anas Alam Faizli, syarikat di Malaysia mampu membayar gaji lebih kepada pekerja. Menurut beliau, Gross National Income (GNI) di Malaysia menunjukkan nisbah 30:70 gaji kepada keuntungan syarikat. Jika dibandingankan dengan negara maju, kita jauh ketinggalan kerana mereka sudah berada pada nisbah 60:40 gaji kepada keuntungan syarikat. Mereka mengutamakan gaji pekerja lebih daripada keuntungan syarikat.
Janji PH untuk mencipta 1 juta peluang pekerjaan bergaji sekurang-kurangnya RM2,500.00 pula menjawab keluh kesah anak muda lepasan ijazah. Gaji permulaan mereka juga telah mendatar sejak 9 tahun lepas pada kadar RM2,000.00 sebulan. Tetapi timbul persoalan, mampukah kerajaan PH mencipta 1 juta pekerjaan dalam masa 5 tahun dengan sasaran gaji RM2,500.00 sebulan? Untuk mencapai sasaran ini, kerajaan PH harus bekerja keras untuk menukar ekonomi negara sedia ada kepada ekonomi berasaskan inovasi untuk mencipta lebih banyak pekerjaan yang berkualiti dan bergaji tinggi. Menurut laporan UNESCO 2006, jumlah penyelidik di Malaysia untuk setiap sejuta penduduk ialah hanya 365 orang sahaja. Jumlah ini jauh ketinggalan jika dibandingan dengan Jepun dan Amerika Syarikat dengan masing-masing mempunyai penyelidik 5,416 dan 4,721 untuk setiap sejuta penduduk. Di dalam buku harapan ada menyebut komitmen kerajaan PH untuk merangsang ekonomi baru, ekonomi perkongsian dan sektor R&D agar aktiviti inovasi berjalan dengan lebih rancak. Ini menunjukkan bahawa janji untuk mencipta 1 juta peluang pekerjaan bergaji minima RM2,500.00 sebulan bersandarkan rancangan yang betul namun hasilnya mungkin tidak dapat dinikmati dalam tempoh kurang 5 tahun.
Realistik dan berani
Sebelum ini ada kedengaran cadangan untuk menghapuskan hutang PTPTN, namun di dalam buku harapan cadangan ini tidak dimasukkan. Kerajaan PH mengubah cadangan itu kepada cadangan yang lebih realistik dengan memberikan kelonggaran kepada graduan hanya perlu membayar balik pinjaman PTPTN jika gaji mereka mencecah RM4000.00 sebulan. Berdasarkan senario semasa, graduan mungkin mengambil masa lebih dari 5 tahun sebelum gaji mereka boleh mencecah RM4,000.00 sebulan. Ini merupakan satu kelegaan yang besar kepada golongan muda.
Kerajaan PH juga komited untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Saksama (EEOC) untuk menghapuskan amalan pengambilan pekerja yang tidak adil dan diskriminasi. Kerajaan Umno-BN pernah mencadangkan hal yang sama tetapi gagal untuk dimasukkan ke dalam versi akhir Model Baru Ekonomi. Penubuhan surunhanjaya ini amat penting kerana telah berlaku banyak diskriminasi dalam pengambilan pekerja terutamanya dalam sektor swasta. Diskriminasi ini telah dibuktikan oleh satu kajian yang telah dilakukan oleh Lee Hwok Aun dan Dr Muhammed Abdul Khalid bertajuk, “Does Race matter in getting an interview? A field study on hiring discrimination in Peninsular Malaysia.” Kajian ini telah dibentangkan di Universiti Malaya pada 2 November 2012. Keberanian kerajaan PH untuk menubuhkan suruhanjaya ini wajar dipuji kerana kerajaan Umno-BN tiada keberanian untuk menubuhkan surunhanjaya ini walaupun Pak Lah pernah membangkitkan isu ini sewaktu beliau berada dalam kerajaan.
Antara langkah berani lain kerajaan PH adalah komitmen mereka untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing daripada 6 juta kepada hanya 4 juta sahaja. Pengurangan 2 juta pekerja asing merupakan ini satu langkah berani yang mungkin akan mendatangkan kemarahan pemain industri tetapi jelas ia akan menguntungkan tenaga buruh tempatan.
Harapan rakyat
Kerajaan Umno-BN banyak menumpukan kritikan terhadap manifesto buku harapan pada isu GST semata. Ini menunjukkan bahawa banyak janji dan komitmen di dalam buku harapan ini sukar untuk ditandingi oleh Umno-BN. Secara peribadi, penulis masih menunggu manifesto BN untuk dikeluarkan dengan harapan Umno-BN akan cuba memberikan pilihan yang lebih baik atau setidak-tidaknya meniru banyak janji yang ada di dalam buku harapan.
…. kerana akhirnya, di dalam pertarungan politik yang sihat, rakyat yang akan mendapat manfaat terbanyak.

Comments