HAPUSKAN DISKRIMINASI PEKERJAAN


Budaya diskriminasi ditempat kerja bukan sesuatu perkara yang baharu. Hal ini telah lama berlaku namun belum ada kesungguhan yang serius daripada pihak kerajaan dan juga majikan di Malaysia untuk menangani isu ini secara holistik. Dengan mengambil semangat Malaysia baharu, rencana ini akan membincangkan isu ini dengan harapan ia akan membuka kembali perdebatan dan seterusnya dasar-dasar boleh dibentuk bagi mengekang diskriminasi disektor pekerjaan supaya ianya tidak berterusan. Diskriminasi pekerjaan di Malaysia secara umumnya boleh dibahagikan kepada tiga bentuk iaitu gender, kaum dan juga agama.

Diskriminasi gender

Laporan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2016 menunjukkan graduan wanita lebih ramai berbanding lelaki iaitu perbandingan seramai 335,253 (62%) berbanding keseluruhan bilangan mahasiswa iaitu 540,638 bilangan mahasiswa di universiti. Tetapi sedikit mengewakan apabila kadar penyertaan tenaga wanita pada tahun yang sama amat rendah iaitu hanya sekitar 54% berbanding lelaki yang mencatatkan jumlah sebanyak lebih 80%. Menurut laporan yang disiarkan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ini merupakan kadar “luar biasa rendah” bagi penyertaan wanita dalam tenaga kerja, berbanding negara lain di rantau ini seperti Thailand (69.9%) dan Singapura (62.9%) pada tahun 2011.


Antara penyumbang kepada penglibatan yang rendah adalah kerana berlakunya diskriminasi gender kepada wanita apabila gaji yang ditawarkan kepada mereka jauh lebih rendah berbanding lelaki. Menurut statistik pada tahun 2008 yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia, lelaki berpangkat pegawai kanan dan pengurus berpendapatan gaji bulanan purata RM4,296, manakala wanita pula dalam kedudukan yang sama memperoleh hampir separuh jumlah itu, RM2,522. Lelaki dalam kategori profesional memperoleh purata RM3,670, tetapi rakan perempuan memperoleh RM2,848. Malah pekerja lelaki di industri perkilangan & pemasangan memperoleh purata RM860 berbanding gaji purata rakan perempuan mereka iaitu RM623. Menurut laporan Jabatan Statistik Malaysia pula, pada tahun 2017 purata gaji lelaki di Malaysia ialah RM2,954 manakala purata gaji wanita pula RM2,772 sebulan.

Selain daripada faktor gaji, golongan wanita juga merasa tersisih kerana fasiliti tempat kerja tidak menyediakan persekitaran yang kondusif untuk mereka bekerja dengan selesa. Ini kerana, golongan wanita biasanya terikat dengan komitmen sebagai ibu dan juga isteri yang mana memerlukan fasiliti sokongan dan juga waktu kerja yang anjal. Apabila kurangnya sokongan dari sudut ini, golongan wanita lebih rela mengorbankan kerjaya mereka dengan menjadi suri rumah tangga sepenuh masa walaupun mempunyai pendidikan yang tinggi.

Diskriminasi agama

Menurut laporan daripada Kementerian Sumber Manusia mendapati 13 daripada 88 hotel di Semenanjung Malaysia menetapkan dasar 'standard grooming' yang melarang pekerja wanita bertudung. Laporan ini berdasarkan pemeriksaan bermula pada bulan Disember 2017 sehingga ke 26 Januari 2018. Terdapat juga larangan untuk pramugari syarikat penerbangan seperti MAS yang tidak membenarkan pemakaian tudung oleh pramugari yang beragama Islam. Isu larangan ini mendapat perhatian ramai pihak sehingga telah banyak kali dibincangkan di dalam sidang Parlimen.


Pada Januari 2018, telah tular satu paparan skrin applikasi WhatsApp seorang penyelia cawangan rangkaian sukan yang melarang pekerja mereka menunaikan solat. Apabila mendapat desakan masyarakat Malaysia, JD Sports Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia memahami sentimen yang mengetengahkan perihal JD Sports yang menolak hak pekerjanya untuk menunaikan solat. Tindakan drastik telah diambil dengan memecat perkhidmatan individu terbabit dan mereka menyatakan kekesalan dan komitmen untuk tidak akan bertoleransi terhadap sebarang tingkah laku yang melibatkan unsur-unsur diskriminasi.

Diskriminasi agama ini amat jelas bercanggah dengan Perkara 11 di dalam perlembagaan yang menyatakan bahawa seseorang berhak untuk bebas menganuti dan mengamalkan agamanya. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Johor, R Vidyanathan, selain daripada peruntukan perlembagaan Malaysia, Kod Perilaku Keharmonian Perindustrian yang adalah perjanjian bersama antara Kementerian Sumber Manusia dengan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEFF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyatakan, menjadi kewajipan majikan tidak mendiskriminasikan pekerja dan mewujudkan keharmonian di tempat pekerjaan.

Diskriminasi kaum

Pada tahun 2016, negara kita digegarkan dengan satu dapatan kajian yang telah dilakukan oleh Dr Hwok Aun Lee (Universiti Malaya) dan Dr Muhammad Abdul Khalid (Universiti Kebangsaan Malaysia) yang bertajuk “Degrees of Discrimination: Race and Graduate Hiring in Malaysia”. Di dalam dapatan kajian ini menunjukkan terdapat diskriminasi terhadap graduan berbangsa Melayu ketika dalam proses pengambilan kerja di Malaysia.


Bermula Ogos hingga Oktober 2011, mereka telah menghantar 3022 resume palsu kepada 753 iklan online pekerjaan jenis kejuruteraan dan akaun / kewangan. Separuh daripada resume itu didaftarkan sebagai pemohon bangsa Melayu dan baki separuh lagi didaftar sebagai pemohon bangsa Cina. Kelayakkan pada resume itu dipadankan untuk pemohon berbangsa Melayu dan Cina supaya tidak timbul isu mengenai perbezaan kualiti graduan di dalam kajian ini. Hasil daripada kajian ini mendapati, 22.1% pemohon berbangsa Cina akan dipanggil untuk temuduga kerja berbanding dengan pemohon berbangsa Melayu yang hanya sekadar 4.2% sahaja yang dipanggil untuk temuduga. Secara mudahnya, jika satu (1) orang graduan Melayu dipanggil untuk temuduga kerja, dalam masa yang sama lima (5) orang graduan Cina juga telah dipanggil untuk temuduga walaupun memiliki kelayakkan akademik yang sama.

Secara perbandingan, pekerjaan disektor kejuruteraan merupakan tempat berlaku diskriminasi terbesar dengan hanya 2.9% sahaja pemohon Melayu yang dipanggil untuk hadir ke temuduga berbanding dengan pemohon Cina iaitu seramai 24.8%. di dalam sektor akaun/kewangan pula mencatatkan peratusan yang sedikit lebih baik kepada pemohon berbangsa Melayu dengan peratusan panggilan temuduga sebanyak 5.7% berbanding pemohon Cina sebanyak 19.1%.

Dapatan kajian ini jelas menunjukkan sikap bias sebahagian besar majikan di Malaysia yang tidak melihat kelayakkan akademik semata, tetapi lebih melihat kepada faktor kaum ketika ingin mengambil pekerja. Hal ini diburukkan lagi dengan sikap sesetengah majikan yang mengiklankan jawatan tertentu dengan meletakkan syarat perlu menguasai bahasa Mandarin. Kita dapat memahami logik jika skop pekerjaan itu memerlukan kita berkomunikasi dengan pelanggan dari Taiwan atau China, tetapi untuk sebuah syarikat lokal dan tumpuan perniagaan juga pada pasaran lokal, ia amat tidak wajar. Lebih malang, ada juga yang secara jelas meletakkan jenis kaum tertentu sebagai syarat kelayakkan untuk memohon.

Janji Pakatan Harapan (PH)

Antara janji reform di dalam Buku Harapan ialah dengan menubuhkan Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Saksama seperti yang termaktub dalam Janji 33. Berikut merupakan petikan janji tersebut;

Kami menyedari bahawa amalan pengambilan pekerja yang tidak adil dan diskriminasi wujud dalam banyak sektor ekonomi. Kajian-kajian oleh ahli akademik telah mendedahkan wujudnya diskriminasi dalam pengambilan pekerja di sektor swasta. Pada masa yang sama, terdapat juga aduan mengenai amalan ketidakadilan terhadap pengambilan pekerja di sektor awam. Penubuhan sebuah Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Saksama (EEOC), yang akan diwakili oleh individu yang dihormati dari sektor swasta dan awam, bertujuan untuk menghapuskan amalan pengambilan pekerja yang tidak adil dan diskriminasi ini. Dengan berbuat demikian, kami akan mewujudkan tenaga kerja di sektor awam dan swasta yang lebih pelbagai, lebih berdaya tahan, lebih inovatif dan lebih responsif terhadap pola dan permintaan pasaran serta keperluan warganegara Malaysia.

Sebelum kerajaan PH sibuk untuk berbincang keperluan sama ada perlu atau tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), apa kata kita fokus kepada pelaksanaan Janji 33 ini? Adalah lebih baik, jika suruhanjaya ini nanti boleh diluaskan skop untuk juga melihat kepada persekitaran tempat kerja dan peraturan-peraturan tertentu agar diskriminasi tidak terus berlaku.

Apa perlunya kita mengejar ratifikasi ICERD yang jalannya masih penuh berliku dan seakan tiada sinar dihujung jalan? Sedangkan ada hal yang lebih mudah dan praktikal untuk kita laksanakan terlebih dahulu.

Comments