Bercakap Dengan ZIONIS (siri 2)

Pada siri yang lepas, kita telah dapat lihat bagaimana kaitan kejatuhan Empayar Islam Uthmaniyyah dengan usaha secara terancang pihak kuasa besar dunia dalam memecahkan negara Palestin daripada kekuasaan Uthmaniyyah. Pastinya ada pembaca yang terfikir, apakah kaitan dengan kuasa besar dunia itu dengan bangsa Yahudi? Siri ini akan mengupas bagaimana dan mengapa gerakan Zionism didukung kuat oleh kuasa besar yang berkerajaan Kristian.
Gerakan Zionism



Nama tokoh Yahudi selaku ‘Pioneers’ gerakan Zionis seperti Theodore Herzl (1860-1904)pastinya dikenali ramai, namun hakikatnya ia telah dipelopori sejak ratusan tahun lalu seperti Shabbetai Zvi (1626-1676), Judah Alkalai (1798-1878), Moses Hess (1812-1875), dan Leo Pinsker (1821-1871). Gerakan Zionis telah dilancarkan oleh Theodore Herzl pada tahun 1897 dan diperakui dalam ‘World Zionist Congress’ di Basle pada 27-29 Ogos 1897. Gerakan ini telah menjadi satu usaha diperingkat global untuk mewujudkan sebuah negara Israel di Palestin dan seterusnya mendapatkan sokongan kepada kewujudannya. Herzl mewujudkan hubungan diplomatic yang kuat bagi mendapatkan sokongan kuasa besar ketika itu dan memujuk British untuk terlibat sama dalam ‘Jewish Project”.

Sebenarnya, negara Palestin merupakan bukan pilihan utama sebagai tempat penubuhan negara Yahudi, tetapi Herzl memilih sebuah negara di Afrika iaitu Uganda sebagai pilihannya namun ditolak sewaktu ‘Second Zionist Conference’. Pada tahun 1898 sewaktu lawatannya ke Palestin, dia tidak merasa berminat dengan Palestin kerana negara Palestin ketika itu kotor dan telah berlaku pencemaran. Akhirnya, untuk mengekalkan strategi agar terus berkuasa, Herzl bersetuju memilih Palestin sebagai pilihan penubuhan negara Israel. Antara usaha yang dilakukan oleh Herzl adalah menawarkan bantuan kewangan kepada Sultan Abdul Hamid (Kerajaan Uthmaniyyah) sebagai pertukaran kepada kewujudan negara Israel di Palestin, namun Sultan Abdul Hamid mengambil keputusan untuk menolak cadangan itu. British mengambil alih ‘Zionist Project’ apabila World Zionist Organization tajaan Herzl gagal mencapai kejayaan yang besar dan akhirnya British berjaya mendapatkan negara Palestin pada september 1918.

Semasa kekuasaan British di Palestin (1918-1948), pintu negara Palestin telah dibuka dengan seluas-luasnya untuk menerima kemasukan pelarian Yahudi dari seluruh dunia. Bilangan penduduk Yahudi meningkat secara mendadak dari 55 000 orang (1918) kepada 646 00 orang (1948). Selepas perang Dunia ke-2 dan penubuhan negara Israel di Palestin, pihak Zionis mengalami kesukaran untuk memujuk lebih ramai bangsa Yahudi masuk ke dalam Palestin. Jika hal ini berterusan, negara Israel akan mengalami masalah dari segi demografi penduduk apabila rakyat asal Palestin berjumlah jutaan orang. Namun peristiwa ‘Holocaust’ yang berlaku di Eropah seakan satu konspirasi untuk kembali memaksa bangsa Yahudi di Eropah kembali memikirkan semula perpindahan mereka ke Palestin.

Kristian Zionism


Mungkin istilah ini sesuatu yang baru dan asing, hakikatnya ia merupakan tulang belakang yang banyak membantu penubuhan dan seterusnya mengekalkan negara Israel di bumi Palestin. Kristian Zionism ini boleh diertikan sebagai penganut kristian yang menyokong kepulangan bangsa Yahudi ke wilayah Palestin mengikut ramalan Bible. Ia merupakan satu kepercayaan dikalangan sebahagian penganut agama Kristian yang mana mempercayai kedatangan ‘Messiah’ ke bumi dan pemerintahannya sebagai Raja. Kristian Zionis menafsirkan ‘Torah’ dan ‘New Testament’ sebagai ramalan masa hadapan bagaimana dunia ini berakhir dengan kedatangan ‘Jesus’ dari syurga yang akanmemerintah dunia. Kewujudan negara Israel dianggap sebagai titik pusat terhadap visi mereka itu. Merujuk kepada risalah yang dikeluarkan oleh Prebyterian Church (U.S.A), golongan Kristian Zionis ini mengaitkan tafsiran literal Genesis 12:3 adalah merujuk kepada Israel iaitu, “I will bless those who bless you, and the one curses you will curse.”


Sokongan golongan ini bukan baru, tetapi bermula seawal tahun 1880 apabila William Hechler membentuk satu komuniti Kristian Zionis untuk membantu pemindahan bangsa Yahudi Rusia ke Palestin. Beberapa tahun kemudian, dia berkawan dengan Theodor Herzl selepas membaca buku Herzl yang bertajuk ‘The Jewish State’ dan turut membantu meningkatkan sokongan terhadap gerakan Zionism. Pada tahun 1980, Jerry Falwell iaitu pengasas Moral Majority (gerakan pro-Zionism) berkata tentang negara Israel, “I firmly believe God has blessed America because America has blessed the Jew. If this nation wants her fields to remain white with grain, her scientific achievements to remain notable, and her freedom to remain intact, America must continue to stand with Israel.”

Melalui kerja-kerja kebajikan, sokongan politik dan bantuan kewangan kepada Israel, Kristian Zionis telah menunjukan bahawa mereka adalah seteru terbaik kepada kewujudan negara Israel. Terdapat beberapa contoh yang membuktikan fakta ini, antaranya ialah; Pastor John Hagee telah berjaya memungut USD 4.7 Million untuk disalurkan kepada United Jewish Communities, Pat Robertsons dari Christian Broadcasting Network telah mendermakan ratusan ribu dolar untuk membantu Yahudi diseluruh dunia untuk berpindah ke Israel. Dalam konteks semasa, kita dapat melihat sokongan kerajaan Amerika Syarikat dan barat secara amnya terhadap negara Israel dengan pemberian bantuan kewangan berbillion dollar dan sokongan ketenteraan atas alasan keselamatan.


*siri berikutnya akan mengupas tentang satu pertubuhan Yahudi non-Zionis yang mana menentang penubuhan negara Israel dibumi Palestin..


Rujukan:
1. Christian Zionism, David Krusch (Jewish Virtual Library)
2. The Reality of The Zionist & Their Propaganda, Dr Mohsen Salleh (Al-Zaytouna Centre For Studies and Consultantions)
3. The Downfall of Islam (Ottoman Empire) & The Creation of The ‘Illegal’ State of Israel, Dr Roslan Mohd Nor (University Malaya)
4. Christian Zionism, Prebyterian Church (U.S.A)
5. Wikipedia; Christian Zionism


Oleh: ajim
http://www.ajimtajdid.blogspot.com/

Comments