Bercakap Dengan ZIONIS (siri akhir)

Penjelasan mengenai gerakan Zionism telah pun dibincangkan pada siri yang lalu, oleh itu, siri kali ini akan mengupas isu gerakan sekumpulan golongan Yahudi Orthodoks yang tidak bersikap pro-Zionis dan memilih untuk berbeza pendirian dengan kumpulan Yahudi Sekular yang berfahaman Zionism.

Penulis sebelum ini pernah menyatakan tentang fakta bahawa tidak semua Yahudi adalah Zionis dan begitu juga sebaliknya. Kewujudan kumpulan Neturei Karta (The Guardians of The City) telah membuktikan kebenaran fakta ini. Menurut kefahaman mereka, gerakan Zionis dan penubuhan negara Israel adalah bertujuan untuk merosakkan agama Yahudi. Mereka juga mendakwa gerakan Zionism tidak sesekali mewakili bangsa Yahudi secara keseluruhan dan mereka yang berpegang kepada fahaman Zionis ini dianggap kafir oleh mereka. Gerakan ini diasaskan di Jerusalem, Palestin pada tahun 1938 hasil dari serpihan pecahan kumpulan Agusdas Yisroel. Agusda Yisroel pada awalnya wujud menentang aliran Zionism, tetapi akhirnya mula melemahkan pegangnya apabila ramai dikalangan pengikutnya mulai terpengaruh dengan gerakan Zionism. Masalah ini berlarutan apabila Rabbi Cook the Elder mengeluarkan fatwa wajib bagi bangsa Yahudi seluruh dunia menyokong gerakan Zionism berdasarkan tafsiran semula Talmud. Bagi mereka yang masih berpegang teguh pada kepercayaan asal dan meneruskan penentangan terhadap Zionis, mereka menyisihkan diri daripada kumpulan Agusdas Yisroel dan membentuk Neturei Karta.

Antara perbezaan yang ketara di antara Neturei Karta dengan golongan Zionis adalah sikap mereka terhadap isu negara Israel di Palestin. Kumpulan Neturei Karta sama sekali menentang pembinaan negara Israel (Erez Yizrael) kerana beranggapan bahawa ini hak Tuhan mereka untuk menentukannya, apatah lagi pembinaan negara Erez Yizrael menumpahkan banyak darah serta mengambil hak orang lain. Mereka berpegang pada apa yang disebut di dalam Tenach, "not with armed force and not with power, but in My spirit says the Lord of Hosts." Mereka sebenarnya yakin terhadap kedatangan ‘Messiah’ yang telah dijanjikan Tuhan untuk pulang bersama ke Palestin dan hidup aman dan harmoni dengan penduduk lain dalam keadaan beriman kepada Tuhan. Sesuatu yang menarik untuk dikongsi bersama, terdapat kisah ‘Messiah’ dalam versi agama Kristian, Yahudi dan juga Islam, namun apakah kebenaran disebalik cerita ‘Messiah’ ini dari sudut Islam?

Sesuatu yang menarik untuk dikongsikan, kumpulan ini bukan hanya tidak mengiktiraf gerakan Zionism, mereka banyak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyatakan kerelaan mereka untuk bernaung dibawah kerajaan Islam berbanding dibawah pemerintahan Zionis. Kenyataan ini dibuat di dalam akhbar-akhbar mereka sejak dari tahun 1944 lagi. Mereka juga sering kali mengeluarkan kenyataan-kenyataan mengutuk kerajaan Israel dan sering kali menggantung bendera Israel separa tiang apabila tiba hari sambutan kebangsaan penubuhan negara Israel yang dilakukan pada setiap tahun. Kenyataan paling berani yang pernah dikeluarkan oleh mereka adalah mengenai kesediaan mereka untuk hidup bersama-sama kaum muslimin di dalam sebuah negara Islam Palestin. Hal ini telah mendatangkan tindak balas yang negatif oleh pihak Zionis apabila penempatan mereka di Mea Sherim telah dikacau dan dihuru-harakan oleh rejim Zionis. Akhirnya, mereka mengambil keputusan untuk keluar berhijrah meninggalkan wilayah Palestin.

Gerakan Neturei Karta kini telah mempunyai 60 000 keahlian diserata dunia dan berpusat di Brooklyn, AS. Mereka juga sering berhubung dengan United Nation (UN) untuk menyuarakan pandangan-pandangan mereka terhadap isu Palestin dan menggesa UN agar tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel. Usaha mereka juga meliputi masyarakat antarabangsa apabila ia menyeru masyarakat dunia agar tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel dan ia perlu digantikan dengan negara Palestin yang merdeka.

Terdapat juga segelintir golongan Yahudi yang merasa tidak selesa dengan gerakan Zionis terutamanya ‘Christian Zionist’. Mereka merasa tidak selesa disebabkan oleh beberapa isu seperti ‘Christian replacement theology’,’ evangelical proselytizing’ dan hal-hal berkaitan dengan isu politik domestik. Mereka juga merasakan bahawa Kristian Zionis adalah lebih konservatif terhadap isu di Palestin lebih daripada orang Yahudi sendiri. Apabila kerajaan Israel memberi sebahagian kawasan Israel kepada penduduk Palestin, berlaku kritikan yang hebat daripada golongan Kristian Zionis. Golongan Kristian Zionis beranggapan bahawa negara Israel adalah pemberian kepada bangsa Yahudi oleh Tuhan. Pat Robertson menyatakan bahawa, “It’s an absolute disaster...I don't think the holy God is going to be happy about someone giving up his land.” Dia juga mendakwa bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon jatuh sakit adalah sebagai balasan kerana menyerahkan sebahagian Israel kepada rakyat Palestin.

Kesimpulan

Isu yang melibatkan negara Palestin bukan membabitkan pertempuran diantara umat islam dengan bangsa Yahudi semata, hakikatnya jika isu ini dinilai dari kacamata yang lebih luas, umat Islam sebenarnya berhadapan dengan hampir keseluruhan kuasa besar dunia yang menganuti akidah Zionis. Usaha untuk melahirkan kembali tokoh pahlawan Islam sehebat Sallehudin Al-Ayubi hasil usaha tajdid oleh Imam Al-Ghazali bukan mampu untuk direalisasikan dalam masa puluhan tahun, bahkan ia mungkin mengambil masa ratusan tahun. Kewujudan negara haram Israel moden masih boleh dianggap terlalu baru, sejarah telah membuktikan hal ini. Usaha menyedarkan umat islam tentang hakikat pertemburan yang sedang berlaku di antara gerakan Zionism (terutamanya Kristian Zionis) dengan agama Islam perlu dicanangkan secara meluas. Perlu juga penulis ingatkan,usahlah kita terlalu mendabik dada dengan sejumlah besar bantuan kewangan yang disumbangkan saban tahun kepada rakyat Palestin, kerana belum pasti sumbangan kita itu sampai ke kumpulan sasaran. Di sekeliling bumi Palestin, ramainya jasad Islam yang mati jiwanya namun Zionis mindanya kerana sentiasa ingin memenuhi kantong poket dengan darah saudaranya!

Rujukan:

  1. Zionis-Musuh Sebenar Kaum Yahudi, Maszlee Malik (UIA)

  2. Christian Zionism, David Krusch (Jewish Virtual Library)

  3. Zionism versus Judaism, Dr Azzam Tamimi (Pemikir Politik Islam, UK)

  4. The Great Gulf Between Zionism & Judaism, G. J Neuberger (Member of Neturei Karta)


Oleh: ajim

http://www.ajimtajdid.blogspot.com


Comments