KERAJAAN PERPADUAN: Untung UMNO timbul, untung PAS tenggelam..

Ada beberapa perkara yang membuatkan penulis memerah kepala apabila memikirkan pergolakan dalaman kepimpinan dalam parti PAS ketika ini. Penulis tidak akan menulis secara penjang lebar, namun cukup sekadar melepaskan perasaan yang lama membuku dan bernanah mengenai isu kerajaan perpaduan hasil lontaran idea pimpinan tertinggi PAS.

Penulis secara peribadi amat tidak bersetuju dengan idea kerajaan perpaduan ini, sandaran penulis berdasarkan beberapa hujah dan logik politik. Semua sedia maklum tentang parti PAS dan UMNO pernah berkerjasama dalam tahun 1970-an, namun kerjasama itu hanya mampu bertahan hanya beberapa tahun sahaja. Pelbagai alasan dan sebab diberikan oleh kedua-dua parti, namun yang pasti PAS berada dalam kedudukan yang tidak baik ketika itu. Jika ada yang beranggapan penulis tidak bersetuju hanya kerana PAS patut belajar dari sejarah lalu, penulis tidak berfikir sebegitu. Sejarah hanya sebagai satu bentuk iktibar untuk dipelajari, namun untuk menyamakan sejarah dulu dan apa yang berlaku kini, ia merupakan satu tindakan yang kurang bijak. Masa telah berlalu dan kepimpinan dalam UMNO sendiri telah banyak berubah. Hujah menolak kerajaan perpaduan hanya beralasan takut sejarah akan berulang, merupakan satu bentuk kesilapan dalam pemikiran.

Penulis menolak kerajaan perpaduan ini kerana beberapa sebab, antaranya:

1. PAS dan UMNO harus sedar, kedua parti ini merupakan satu bentuk cerminan yang mana saling melengkapi. Jika kerajaan perpaduan ini terlaksana, apakah ada parti pembangkang lain yang memiliki persamaan asas seperti UMNO dan PAS? PAS merupakan satu parti yang sangat kritikal terhadap isu-isu yang membabitkan kepentingan umat Islam. Setiap tindak laku pimpinan UMNO, pastinya mendapat reaksi segera daripada pimpinan PAS. Ini mewujudkan satu bentuk tradisi politik yang sihat dikalangan warga Melayu Islam di Malaysia.

2. Jika ada yang berhujah, kerajaan perpaduan ini penting kerana bangsa Melayu kini diambang perpecahan, maka penulis menganggap ini satu kesilapan besar dalam pemikiran politik Melayu. Apakah bersatunya Melayu itu hanya diukur apabila parti UMNO mendapat kedudukan selesa dalam bentuk sokongan daripada rakyat? Jika UMNO lemah, maka lemah jugalah kesatuan dikalangan bangsa Melayu? Jika tradisi pemikiran ini berterusan dikalangan pimpinan Melayu, maka impian PAS untuk menggantikan UMNO sebagai parti yang dominan hanya akan tinggal mimpi sahaja. Masakan tidak, jika setiap kali UMNO terkulat-kulat mencari sokongan rakyat, maka PAS bermurah hati menghulurkan tangan membantu menguatkannya. Walhal, perkara yang sebaliknya tidak pernah berlaku dalam tabiat sejarah politik di antara keduanya.

3. PAS sewajarnya memberikan tumpuan dalam menguatkan kehadirannya sebagai rakan terpenting dalam Pakatan Rakyat (PR). Apa yang berlaku kini, PAS umpama tempelan kecil yang sering kali tenggelam dalam asakan ganas kedua rakannya iaitu parti DAP dan juga PKR. Jika PAS memiliki visi untuk menjadi wakil Perdana Menteri dalam barisan pemerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, maka maka ia harus bersiap siaga memperkukuhkan jaringan politiknya di kawasan Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak. Jika sikap PAS masih ditakuk lama, maka bersedialah untuk menjadi parti yang hanya menang terlopong diatas peluang yang diciptakannya sendiri!

Benar, kini terdapat beberapa asakkan yang mencabar kedudukan Islam dan orang Melayu. Namun asakkan itu hanya berbentuk sementara, pendirian parti pemerintah harus konsisten dan tegas agar apa yang dipersetujui 50 tahun lepas akan terus dipegang dan dijunjung. Jika kerjasama di antara UMNO dan PAS dalam bentuk kesefahaman ini, pastinya ia tiada membawa sebarang masalah atau bantahan. Namun, jika kerjasama dalam bentuk kerajaan perpaduan atau gabungan, penulis tidak menganggap ia sebagai satu tindakan yang bijak, apatah lagi terpuji!

Oleh: ajim

http://www.ajimtajdid.blogspot.com

*Sekadar melepaskan emosi pandangan, namun hanya cebisan.. masih dirantai selama setahun lagi oleh AUKU!!

Comments

saya juga xsetuju dgn idea ini
ajim said…
akhirnya idea 2 telah pun dicancelkan.. huhu