RAMADHAN: Batalkah jika...

Bulan yang penuh barakah telah tiba, maka berpusu manusia berusaha untuk meningkatkan amal ibadah mereka agar kerahmatan bulan ini tidak disia-siakan. Seluruh umat Islam wajib berpuasa pada bulan ini, namun telah berlaku sedikit salah faham mengenai beberapa perkara mengenai ibadah puasa ini. Berikut merupakan beberapa contoh perkara yang selalu disalah fahami berkenaan hukum hakam dalam ibadat puasa.

1. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.

Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.

Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.

(petikan, Ramadhan: Batalkah Puasa Anda Jika... oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman)

2. Menetapkan waktu imsak

Menetapkan waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum masuknya waktu Subuh adalah satu ketetapan yang tidak ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, malah ia menjauhi tuntutan sunnah untuk mengakhirkan waktu sahur. Alasan “berhati-hati” adalah tidak perlu kerana kita dibolehkan makan dan minum sehingga jelas masuknya waktu Subuh. Allah 'Azza wa Jalla berfirman:

Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. [al-Baqarah 2:187]

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya Bilal azan ketika waktu masih malam, oleh itu makanlah dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan.” (Perawi menerangkan): “Beliau (Ibn Ummi Maktum) adalah seorang yang buta, dia tidak akan melaungkan azan sehingga dikatakan kepadanya: Waktu Subuh telah masuk, waktu Subuh telah masuk.” (Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 617 Kitab Azan).

Dalam ayat dan hadis di atas, jelas bahawa dibolehkan untuk bersahur, yakni makan dan minum, sehingga jelas terbitnya fajar atau dilaungkan azan Subuh. Tidak wujud waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum waktu Subuh.

(petikan, Puasa Ramadhan: Antara Yang Ditinggalkan dan Ditokok Tambah, oleh Hafiz Firdaus Abdullah)

3. Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:

Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.

Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercangah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).

Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.

(petikan, Ramadhan: Batalkah Puasa Anda Jika... oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman)

Demikian beberapa contoh salah faham berserta penjelesan oleh Ustaz Zaharuddin dan juga Kapten Hafiz Firdaus Abdullah. Kita meraikan perbezaan dalam pandangan dan mempraktikkan amalan ibadah berdasarkan sumber dalil yang sahih dan benar. Mari tajdid cara fikir kita!

Comments