TAJDID: Versi mudah faham....

Seperti yang telah dijanjikan sebelum ini, berikut merupakan ulasan penulis.

1. Secara mudah, tajdid membawa maksud baru. Tapi bukan baru yang tiada asal, tetapi baru yang kembali kepada asal. Dalam erti kata yang lain, ia merupakan satu usaha untuk mengembalikan sesuatu kepada wajah asalnya.

2. Tajdid berlaku dalam banyak bidang, ada yang melakukan dalam lapangan agama, politik dan juga pemikiran.

3. Tajdid dalam bidang agama berlaku seperti berikut:

a. Apabila berlaku unsur-unsur yang tidak islamik dalam masyarakat islam. Contohnya, dahulu masyarakat melayu seringkali menganggap bulan Safar sebagai bulan sial atau malang sehingga ada upacara mandi safar kerana kononnya untuk membuang bala. Walhal imej asal Islam tidak begitu, tiada istilah atau ada wujudnya hal yang seperti itu. Pembetulan salah faham ini merupakan satu proses tajdid dalam bidang agama.

b. Tajdid juga berlaku apabila ada usaha untuk membentuk masyarakat Islam yang beramal berdasarkan dalil dan nas yang sahih. Kebiasaan masyarakat Melayu beramal berdasarkan apa yang diwarisi dan apa difahami daripada ibubapa mereka. Agak sukar untuk mereka menilai kembali apa yang dilakukan itu ada dalilnya didalam agama atau hanya sekadar adat Melayu semata.

4. Tajdid dalam bidang politik adalah seperti berikut:

a. Orang politik di Malaysia terlalu banyak yang berpolitik berdasarkan politik kepartian. Contohnya, jika si A penyokong parti UMNO, maka apa sahaja yang dilakukan oleh pihak PAS akan menjadi salah dari sudut kaca matanya. Begitu juga yang berlaku sebaliknya. Tajdid politik adalah membentuk kefahaman yang mana berpolitik bukan berdasarkan lambang parti, tetapi berpolitik atas fakta dan kebenaran. Contoh terbaik adalah YB Zulkifi Noordin, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu. Beliau tetap mengkritik kepimpinan partinya sendiri apabila ia dapati bersalahan dengan prinsip yang beliau pegang iaitu Islam yang teratas. Parti itu alat, Islam itu matlamat.

b. Maki hamun dan cacian merupakan makanan ahli politik di Malaysia. Kisah-kisah peribadi musuh politik juga diaibkan dan dijaja dengan meluas. Sikap ahli politik ini merupakan antara longgokkan sampah yang perlu kepada usaha tajdid. Ahli politik jika pun berbeza idea dan pandangan, ia harus mengkritik secara ilmiah. Bukan dengan sikap yang emosi, kemudian memaki musuh politiknya. Politik yang asal adalah politik yang mempunyai usaha ke arah membangunkan masyarakat dan memajukan ekonomi, bukan politik yang hanya melahirkan lebih banyak longgokkan sampah pemikiran dan penipuan.

5. Tajdid dalam bidang pemikiran berlaku seperti berikut:

a. Kita jarang membenarkan sikap menerima kepelbagaian dalam pemikiran. Kita suka membiarkan diri dengan apa yang sudah ada sedia diwarisi. Kita akan menolak idea-idea pembaharuan yang mana membawa kepada kerencaman pemikiran. Idea-idea pembaharuan (tajdid) tidak semestinya bercanggah dengan Islam, banyak idea-idea yang lahir mampu memberikan imej yang lebih moden dan segar kepada agama Islam tanpa mengorbankan keaslian agama itu sendiri.

b. Apabila kita menerima sesuatu perkhabaran, jangan secara mudah kita menerimanya, hatta perkara dalam perkara agama sekali pun, kerana bukan semua cerita yang disampaikan itu benar. Kita berhak bertanya, apakah sumber cerita yang disampaikan? Sejauh mana kebenarannya?

Cadangan:

Menonton Forum Gerakan Tajdid Satu Perbincangan, Dr MAZA vs Astora Jabat.

Kesimpulan:

1. Apa yang ditulis berdasarkan apa yang penulis faham, ia terbuka untuk menjadi benar dan salah.

2. Penulis hanya bertindak untuk menyampaikan. Penerimaan itu terpulang kepada individu.

3. Menulis seperti ini bukan bermakna penulis seorang yang baik, berakhlak mulia, berbudi pekerti, apatah lagi seorang yang pandai agama.

4. Penulis mengambil risiko menulis hal seperti ini, mungkin ada yang menganggap penulis ‘poyo’, berlagak bagus, atau hipokrit.

5. Jika terlalu memikirkan apa yang orang lain kata, maka kita tidak akan bergerak ke mana-mana.

* Satu ag tulisan yg serius.. letih dah nak nulis, aku nak break jap.. assignment, project, PSM.. banyak nak kena wat nie.. adoyai.. my last posting.. huhu..

Comments