GILA WAHABI?


Penulis pernah menulis mengenai istilah wahabi dalam penulisan yang lepas. Isu ini kembali timbul dan menjadi makanan media apabila Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis ditangkap oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas alasan tiada tauliah untuk mengajar agama dinegeri Selangor. Lantaran penangkapan Dr Asri oleh pihak JAIS, maka timbul pula isu fahaman Wahabi yang kononnya menjadi anutan Dr Asri dalam pengajaran agama. Penulis masih mencari maksud sebenar Wahabi kerana pendefinisian yang diberikan oleh beberapa tokoh agama yang menolak fahaman Wahabi masih lagi kabur. Isu ini amat serius apabila ada segelintir tokoh yang menyatakan golongan Wahabi ini terkeluar daripada Ahli Sunah Wal Jemaah (ASWJ).

Berikut merupakan beberapa contoh pendefinisian fahaman Wahabi oleh beberapa tokoh agama di Malaysia:

1. Tidak Qunut ketika solat subuh.

Ulasan penulis: Qunut subuh menurut Imam Nawawi di dalam Syarah al-Muhazzab adalah sunat. Manakala ulama’ Hanafi dan Hanbali berpendapat qunut subuh telah dinasakhkan (sumber: Ustaz Zain YS, Qunut) Jika tidak membaca Qunut ketika solat subuh sudah bisa dipanggil sebagai golongan Wahabi, maka apakah ulama’-ulama’ dalam mazhab Hanafi dan Hanbali juga Wahabi?

2. Tidak berzikir secara jahr (kuat) selepas solat.

Ulasan penulis: Penulis nukilkan pendapat Imam Nawawi ini dari Saudara Nawawi Subandi.


قال اصحابنا إن الذكر والدعاء بعد الصلاة يستحب أن يسر بهما إلا أن يكون اماما يريد تعليم الناس فيجهر ليتعلموا فإذا تعلموا وكانوا عالمين أسره


Terjemahan: Para ulama dari mazhab Syafi'e (ash-haabunaa), berkata: Zikir dan doa setelah solat, disunnahkan supaya dilakukan dengan merendahkan suara, kecuali apabila dia seorang imam yang hendak membimbing (mengajar) orang lain (para makmum), maka dibolehkan untuk mengeraskan (menguatkan) suaranya, supaya mereka semua dapat belajar darinya, dan apabila diketahui bahawa mereka telah memahami serta sudah tahu (akan zikir-zikirnya), maka hendaklah dia kembali berzikir dengan merendahkan suara. (Rujuk: Imam an-Nawawi, al-Majmu' Syarah al-Muhazzab, 3/487)

Wahabikah Imam Nawawi?

3. Tidak mengamalkan sifat 20.

Ulasan penulis: Sila tonton kuliah ini. Persoalan menarik yang dikemukakan oleh Ustaz Abu Islam.





KESIMPULAN:

1. Penulis beranggapan, isu ini hanyalah satu bentuk berbezaan pandangan dalam hal-hal berkaitan pentafsiran agama. Perbezaan pandangan adalah sesuatu yang baik kerana ia dapat menyuburkan budaya ilmu dan menambahkan lagi tahap keilmuan. Namun, setiap perbezaan hendaklah diteraskan dengan ilmu dan sikap rasional.

2. Sikap suka melabel mana-mana tokoh agama yang berbeza pandangan dengan gelaran tertentu seperti Wahabi haruslah segera dihentikan, apatah lagi apabila gelaran label itu seakan membawa maksud yang sesat atau terkeluar daripada kelompok ASWJ.

3. Dalam berbeza pandangan, janganlah bersifat keras dan dengan mudah melabel setiap hal yang tidak dipersetujui sebagai perkara Bidaah atau Wahabi. Sikap yang keras seperti ini akan menjadikan keadaan tertambah kusut, maka label Wahabi dan Bidaah akan sentiasa dicanang oleh dua pihak yang bertelagah pendapat.

4. Usahlah bersuara seperti mendabik dada dengan sokongan yang baru diterima. Kritikan pada pihak lain juga seharusnya dengan nada yang memandang ke bawah. Isu yang timbul ini mungkin sebagai hikmah untuk satu pihak menambah jumlah pengikut, namun ia mungkin menjadi medan untuk pengikut sedia ada memikirkan kembali sokongan kepada satu pihak itu.

5. Isu ini, jika dinilai dari satu sudut ia mempunyai kebaikan yang penting dalam aspek ummah. Mungkin apabila timbulnya isu ini, masyarakat mula kembali kepada perbincangan yang berkisar tentang agama. Buku-buku agama, para ustaz dan laman web Islamik kembali ditagih bagi memberikan jawapan kepada kekeliruan yang dihadapi. Namun jika isu ini tidak ditangani dengan bijak, ia mungkin juga akan menimbulkan perasaan kecewa dikalangan umum apabila melihat gelagat agamawan yang tidak ubah seperti politikus yang sungguh jelek!

6. Jangan jadi manusia yang gila Wahabi!

Comments