Dr Mohd Asri Zainul Abidin, satu nama yang cukup popular dan kontroversi dengan pandangannya yang dilihat berbeza dengan aliran pemikiran perdana di Malaysia. Kini, namanya kembali menjadi panas apabila beliau mengadakan sidang akhbar tergembar bagi menjawab pertuduhan yang dilembarkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dalam Memorandum Bantahan kepada YDA Sultan Mizan terhadap tawaran lantikan beliau pada jawatan YDP YADIM. Namanya semakin hangat apabila beliau ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan diiringi sekumpulan anggota Polis semasa mengadakan sesi kuliah agama disebuah rumah atas alasan berceramah tanpa mendapat tauliah.
Hal ini menyebabkan penulis merasa marah dan kecewa dengan isu yang telah berlaku. Berbekalkan dengan ruang penulisan di dalam blog ini, penulis ingin mengutarakan beberapa persoalan yang timbul lantaran isu yang timbul ini.
1. "Kami kesal dengan Mohd Asri memperbesarkan dan mencari publisiti terhadap perkara yang menjadi hak dan budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan. Ini adalah isu dalaman yang sepatutnya diselesaikan secara perbincangan tertutup dan berhikmah," katanya (Presiden PGSM, Mohamad Isa Abd Ralip). (petikan: Bharian)
Komentar penulis:
Memperbesarkan dan mencari publisiti? Apakah pihak PGSM menganggap hal ini perkara yang kecil? Siapakah yang mula-mula menghebohkan pada umum hal ini? penulis berpandangan, tuduhan terhadap Dr Asri iaitu mencerca Imam Ghazali, Imam Nawawi serta menolak hadis Imam Bukhari adalah bukan sesuatu yang boleh dipandang ‘kecil’. Apakah tuduhan yang dilembarkan oleh pihak PGSM ini bersabitkan bukti? Dimanakah kredibiliti PGSM yang dikenali umum sebagai amat mementingkan ketepatan hujah dan bukti? Penulis difahamkan, isu ini menjadi besar apabila pihak PGSM menyiarkan salinan Memorandum Bantahan perlantikan Dr Asri sebagai YDP YADIM di laman web rasmi mereka.
2. “Seramai 35 anggota JAIS telah datang ke premis tersebut dengan tiga buah van pada jam 9.45 malam. Kedatangan mereka diiringi lebih 25 orang polis beruniform dalam kereta patrol.” (petikan: Mstar)
Gambar ehsan Mstar
Komentar penulis:
Apakah rasionalnya pihak JAIS menahan Dr Asri dengan kehadiran sejumlah anggota yang begitu ramai disamping diiringi oleh anggota Polis? Apakah kuliah Dr Asri dilihat sebagai satu bentuk ancaman yang begitu serius pada keselamatan negara sehingga perlu diiringi oleh 25 anggota Polis?
3. “Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin selepas beliau menyampaikan kuliah di sebuah kediaman di Taman Sri Ukay dekat sini, malam ini. Penahanan Mohd. Asri pada pukul 12 tengah malam itu disebabkan beliau menyampaikan kuliah tanpa tauliah.” (petikan: Utusan)
Komentar penulis:
Apakah definisi tauliah menurut pihak JAIS? Apakah tauliah itu berbentuk sijil kelayakkan untuk menyampaikan ceramah agama? Jika itu yang menjadi ukuran, maka rasional atas alasan itu amat memalukan. Selaku bekas Mufti bagi kerajaan negeri Perlis, pastinya Dr Asri berkelayakkan dari sudut akademik dan sarjana. Untuk makluman, Dr Asri merupakan pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM), ijazah pertamanya daripada Universiti Jordon dalam bidang syariah dan bahasa arab, mendapat Phd dalam bidang agama daripada Universiti Islam Malaysia (UIA).
4. “Dua orang pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengadakan perbincangan dengan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, kira-kira pukul 11.40 pagi ini, setelah lebih dua jam bekas Mufti Perlis itu menunggu ketibaan mereka…. "Bila saya periksa dengan dua pegawai JAIS itu, tiada pendakwaan dibuat atau difailkan di mahkamah. Oleh sebab itu pertuduhan terdahulu dibatalkan dan akan digantikan dengan satu perjanjian baru untuk menyiasat Dr.Asri. Namun begitu, kami kesal dengan apa yang berlaku," kata Zulkifli yang ditemui di perkarangan mahkamah sejurus berakhirnya perbincangan tersebut." (petikan: Mstar)
Komentar penulis:
Dimaklumkan pada awalnya, Dr Asri diminta hadir ke mahkamah pada pukul 9.00 pagi, namun pihak JAIS sendiri gagal memenuhi arahan yang diberikannya sendiri. Kemudian diberitahu, pihak mahkamah tidak menerima sebarang pendakwaan oleh pihak JAIS terhadap Dr Asri. Penantian yang begitu lama menjadi sia-sia. Sewajarnya pihak JAIS bersikap professional terhadap isu ini.
KESIMPULAN:
1. Penulis merasakan, isu ini sebenarnya didasari oleh tuduhan kepada Dr Asri yang menyatakan beliau sebenarnya menganut fahaman wahabi. Isu wahabi ini telah penulis ulas, sila rujuk artikel Wahabi: Istilah yang ditakuti
2. Pertembungan ini melibatkan dua kelompok, golongan konservatif dan juga golongan pembaharuan. Hal ini seakan mengulangi sejarah, dan ia kelihatan berkitaran.
3. Golongan yang mewakili agama sewajarnya bersifat profesional dan rasional dalam mengambil sebarang tindakan. Ini kerana, setiap tindakan akan memberikan implikasi yang besar terhadap imej Islam itu sendiri.
4. Dalam berhadapan dengan isu seperti ini, sikap dan akhlak penyokong haruslah dijaga. Jika sebelah pihak yang melakukan fitnah, sebelah pihak yang lain jangan pula berkelakuan 2x5. Jagalah adab dalam menjaga hubungan sesama Islam.
5. Sokongan pelbagai pihak yang diterima oleh Dr Asri hadir daripada YAB Perdana Menteri, Senator Dato’ Jamil Khir, Ketua Pemuda PAS, Ketua Pemuda UMNO, Dato’ Saifuddin Abdullah, Datin Paduka Marina Mahathir, Sister In Islam, Tun Abdullah, Tun Mahathir dan lain-lain menunjukkan kesatuan pemimpin politik dalam hal ini.
6. Moga kebenaran akan terungkap.
Comments
yg meresahkan, agama dipolitikkan...bukankah lebih patut kita agamakan kembali politik yang kita sedar sudah lari daripada arah tuju?
yg merisaukan pula, isu tauliah ini dilihat disalahgunakan sebagai satu "alat kawalan" kepada pendakwah dalam menyampaikan pandangan yg berbeza.
http://www.malaysiakini.com/news/116699
tapi alhamdulillah, isu ini pasti akan membuka mata orang Islam amnya, penguasa agama khasnya akan beberapa penambahbaikan yg perlu dilakukan atas sistem yg sedia ada.
wallahualam.
saya berpendapat ada rasionalnya peraturan itu dilaksanakan. Bukan bermaksud mengawal pendakwah tetapi untuk menjaga kepentingan masyarakat umum dan khasnya masyarakat dalam negeri berkenaan.Dengan adanya peraturan itu maka pihak berkuasa alert tentang kerja2 mereka.
ini adalah inisiatif kerajaan negeri berkenaan untuk memastikan tiada pencabulan dalam agama.
Kita jangan terlalu bersangka baik kepada semua yg mengajar di surau2 atau di masjid2, barangkali ada segelintir yg mengambil kesempatan jika peraturan sedemikian tidak diwujudkan.
Persoalannya di sini(kes Dr Asri) ialah telah berlaku perlanggaran (Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Islam Selangor)iaitu mengajar agama tanpa tauliah.
Pada penilaian saya, saya rasa tak timbul soal ilmu yg diajar itu baik atau buruk..ulamak atau guru biasa.
Org yg xde lesen naik motor untuk ke masjid bukan merupakan satu dosa. Malahan dapat pahala disebabkan niatnya untuk beribadat. Tapi bila tertangkap oleh pihak berkuasa, dia tetap dikira bersalah kerana memandu tanpa lesen. Peraturan ini menjadi wajib aridhi kepada penunggang tersebut untuk mematuhi arahan pemerintah.
ada undang2 yg membantu dlm urusan negara, ada juga undang2 yg hanya akan membantutkan urusan agama.. undang2 tu la yg perlukan satu perubhan agar ia dpt membantu urusan agama, bukan membantutkan urusan agama..
wa.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tindakan itu adalah wajar kerana bekas mufti itu secara terang-terangan tidak mengikut undang-undang yang ditetapkan dalam pentadbiran agama negara ini.
Menurutnya, sebagai sebuah negara berperlembagaan yang memberi kuasa kepada pentadbir-pentadbir agama seperti Jabatan Agama Islam, Majlis Agama dan Mahkamah Syariah menjalankan tugas, penangkapan terhadap mana-mana individu yang mengajar agama tanpa pentauliahan adalah wajar.
"Saya pelik kenapa orang ramai riuh rendah, termasuk orang-orang atasan yang mendukung negara. Perkara ini tak perlu jadi isu.
"Saya juga pelik kenapa Dr Mohd Asri tidak ambil berat dengan amaran yang dibuat Jais sebelum ini, tak ada tauliah memang tak boleh tapi dia tak endahkan," katanya kepada Sinar Harian semalam, mengulas isu penangkapan bekas mufti itu Selasa lalu.
Mengenai pentauliahan, Harussani berkata, semua pihak perlu akur dengan perlembagaan dan enakmen berkaitannya yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) setiap negeri serta telah disahkan oleh raja-raja.
Menurutnya, enakmen berkenaan sudah diselaraskan di seluruh Malaysia supaya terdapat kawalan dari segi penyebaran agama di setiap negeri.
"Tak ada (tauliah) memang salah, tak ada siapa pun yang berkecuali termasuk saya sendiri. Jika saya hendak berceramah di negeri lain, saya juga mohon tauliah, ibarat kita mohon lesen sama seperti bidang profesional lain yang perlu ada lesen," katanya.
Beliau berkata, semenjak Islam berada di Malaysia, Mazhab Shafie adalah pegangan umat Islam dan atas dasar itu perlembagaan dalam undang-undang Islam negara ini berperanan mengawal jika terdapat ajaran-ajaran yang bertentangan dihebahkan.
"Negara kita ada prinsip lima rukun negara, kalau tak guna salah satu daripadanya, tak betullah.
"Situasi negara kita sekarang sudah teruk dengan momokan isu politik, cukuplah dengan hal itu sahaja jangan sampai hal-hal agama pula jadi tak betul," katanya.
Perkataan Ibn Sirin
Dalam Muqoddimah Sahih Muslim (1/15), Imam Muslim meriwayatkan dari Muhammad bin Sirin rahimahullah,
“Isnad itu sebahagian dari agama, jika tidak kerana isnad, maka sesiapa akan berkata apa saja yang dikehendaki (dalam urusan agama tanpa ilmu mendalam tentangnya)”
Beliau berkata lagi:
"
إن هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذون دينكم ".
Ilmu itu adalah agama, maka perhatikanlah dari siapa kamu mengambil agamamu (ilmu agama tersebut).