Isu Island Red Cafe (IRC) lagi!


Aku pernah menulis berkaitan isu IRC ini dulu, kini keraguan yang aku timbulkan itu kelihatan rasional. Kepada yang belum membaca artikel tersebut, boleh klik link dibawah ini:

MLM: IRC2U (Island Red Cafe)

Dibawah ini pula petikan berita berkaitan skim pelaburan yang dijalankan oleh IRC dan kenyataan pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) :

SSM siasat Island Red Cafe tawar skim tidak sah kepada awam

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sedang menyiasat Island Red Cafe di bawah Akta Syarikat kerana menawarkan pelaburan berbentuk skim berkepentingan yang tidak sah kepada orang ramai.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata, pihaknya juga mendapati Island Red Cafe menjalankan perniagaan francais dan mengutip yuran francais yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 6 dan 37 Akta Francais 1998.

Sehubungan itu, katanya, kementerian telah memberi amaran kepada Island Red Cafe supaya tidak mengulangi perbuatan itu dan mengarahkan yuran francais dikembalikan.

"Mengenai Island Red Cafe yang membuat promosi menarik pelaburan ahli, ia bukanlah syarikat jualan langsung tetapi merupakan sebuah syarikat pelaburan skim berkepentingan.

"Mana-mana syarikat yang ingin menawarkan skim berkepentingan kepada orang ramai perlu mendaftar skim tersebut dengan SSM terlebih dahulu, sekiranya cara penawaran adalah dalam bentuk pemasaran pelbagai peringkat (MLM), syarikat mestilah mendapat lesen di bawah skim jualan langsung," katanya.

Beliau menjawab soalan Hee Loy Sian (DAP-Petaling Jaya Selatan) ketika menggulung perbahasan Bajet 2010 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Island Red Cafe merupakan satu program yang sedang berkembang pesat di seluruh negara dan menggunakan konsep perniagaan mudah melalui cara 'makan dan buat duit'.

Ia menawarkan lima pakej iaitu satu bintang bernilai RM360, tiga bintang (RM990), tujuh bintang (RM2,310), 10 bintang (RM3,300) dan 15 bintang (RM4,950) yang meliputi baucer makan, yuran, kad keahlian dan bonus insentif.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kementeriannya juga sedang membuat pindaan kepada Akta Jualan Langsung 1993 dengan memasukkan klausa yang lebih luas tentang skim piramid.

Katanya, pindaan yang dijangka dibentang pada Mac tahun depan itu dibuat kerana akta sedia ada mempunyai banyak lompong dan tidak dapat mengambil tindakan berkesan terhadap penipuan yang dilakukan melalui Internet.

"Selain itu aspek penguatkuasaan juga diperketatkan bagi mengenakan penalti yang lebih tinggi terhadap mereka yang mempromosikan skim piramid.

"Definisi jualan langsung juga akan dipinda selaras dengan perkembangan semasa," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya akan mengeluarkan sisipan khas jualan langsung dalam akhbar Utusan Malaysia pada minggu kedua Disember ini yang mengandungi senarai syarikat jualan langsung berdaftar dan tips mengetahui perbezaan antara skim piramid dan skim cepat kaya.

sumber: Utusan

Comments