Friday, December 4, 2009

Pemikiran HAMKA – Siri 1: Sejarah Hidup


Haji Abdul Malik Karim Amrullah lahir pada tanggal 17 februari 1908 di sebuah kawasan desa kecil Sungai Batang, Maninjau Sumatera Barat. Ahli keluarganya berlatar belakang ulama’ di mana ayahnya iaitu Abdul Karim Amrullah atau dikenali juga sebagai Haji Rasul merupakan seorang ulama’ yang aktif menulis. Ayahnya juga dikenali sebagai pendukung aliran Kaum Muda di mana beliau gigih membanteras amalan khurafat dan bidaah yang berlaku dalam masyarakat ketika itu. Datuknya juga merupakan ulama’ yang cukup berpengaruh di Minangkabau.

Ketika kecil, beliau dipanggil Malik. Zaman kecilnya sama seperti kanak-kanak lain, beliau belajar mengaji, berpencak silat dan selalu tidur di surau. Semasa belajar di Thawalib, Malik hanyalah pelajar yang biasa, tidak tergolong dalam kalangan cerdik pandai, bahkan dia malas belajar dan suka ponteng sekolah. Malik amat suka mengembara mengunjungi perguruan pencak silat, mendengar senandung dan kaba, iaitu penceritaan kisah rakyat menggunakan nyanyian dan alat muzik tradisional. Malik berhenti sekolah apabila ayah dan ibunya bercerai. Walaupun begitu, dalam diam-diam beliau giat membaca terutamanya karya-karya sastera, tidak kira naskhah Melayu atau Arab bahasa pengantarnya.

Sekitar tahun 1920-an, muncul gerakan-gerakan politik dan agama seperti Sarekat Islam dan Muhammadiyah. Gerakan Muhammadiyah diasaskan oleh KH Ahmad Dahlan di Yogyakarta agak selari dengan aliran agama yang dibawa oleh Abdul Karim Amrullah iaitu ayah Malik. Selain itu, muncul juga gerakan yang bersifat nasionalis sekular dan juga komunis di tanah Jawa oleh Alimin. Kebangkitan gerakan-gerakan ini telah menimbulkan perbincangan masyarakat umum di surau-surau dan di mana-mana sahaja. Sifat Malik yang mempunyai kecenderungan ingin tahu dan keinginan mencari pengalaman telah membawa dia ke Kota Pekalongan, Pulau Jawa untuk bertemu abang iparnya. Kemudian beliau ke Yogyakarta mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan oleh parti Sarekat Islam dan menjadi anggota parti itu. Beliau juga menganggotai Muhammadiyah dan mengikuti pengajian yang diberikan oleh pemimpin Muhammadiyah seperti KH Mochtar, KH Fachruddin, Kiai Bagus Hadikusumo dan lain-lain. Keberadaan Malik di Yogyarkarta telah banyak meninggalkan kesan yang mendalam terhadap hidupnya, apatah lagi ketika itu beliau masih di usia remaja. Kegilaan membaca buku-buku sastera, sejarah dan sebagainya membantu meninggalkan erti yang cukup besar dalam pembentukan hidupnya.

Pada usia 19 tahun, Malik mengerjakan ibadah haji di tanah suci Makkah tanpa pengetahuan ayahnya yang ketika itu sibuk menguruskan berbagai-bagai tugasan sebagai pengajar di Thawalib. Pemergian Malik ke Makkah hanya berbekalkan wang yang cukup untuk menyewa kapal dari Medan ke Jeddah sahaja, urusan menampung hidup di sana memaksa beliau bekerja di sebuah percetakan buku. Selama enam bulan berada di Makkah, beliau mengambil peluang untuk membaca buku-buku dan menambah kefasihan berbahasa Arab. Setelah pulang dari Makkah, Malik dinikahkan dengan seorang gadis yang bernama Siti Raham.

Malik rajin menghantar karya penulisannya ke beberapa penerbitan surat khabar di Jakarta dan Medan. Kemudian, rakan-rakannya meminta beliau menerajui sebuah majalah bernama Pedoman Masyarakat. Majalah ini telahberkembang pesat dan melahirkan beberapa karya hebat seperti Tasauf Moden, Falsafah Hidup, Lembaga Hidup, dan Lembaga Budi dalam bentuk penerbitan buku. Tidak dikesampingkan, karya sastera beliau iaitu Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang merupakan cerita sambungan daripada majalah Pedoman Hidup. Karya-karya Malik telah tersebar luas di Indonesia dan mengangkat namanya sebagai Sasterawan Islam, maka lahirlah sebutan HAMKA hasil daripada singkatan nama penuhnya iaitu Haji Abdul Malik Karim Amrullah. Pendudukan tentera Jepun telah membantutkan penerbitan majalah Pedoman Hidup. Selepas itu, HAMKA mula mencurahkan perhatiannya pada gerakan Muhammadiyah dan menyandang jawatan Ketua Muhammadiyah Sumatera Timur.

HAMKA banyak terlibat dalam politik untuk mempertahankan Indonesia tatkala menentang pendudukan tentera Belanda. Beliau dipilih oleh wakil Presiden iaitu Muhammad Hatta sebagai Secretaris Front Pertahanan Nasional iaitu perhimpunan parti-parti politik Sumatera Barat dalam usaha untuk penentang Belanda. Beliau juga menubuhkan Pembela Negara dan Kota (BPNK) yang berperanan sebagai gerakan gerila melawan Belanda. Walaupun menjawat Ketua BPNK, beliau turut bergerila memasuki hutan, mendaki dan menuruni bukit dalam usaha mengobarkan semangat rakyat menentang Belanda. Setelah Indonesia medeka, HAMKA dan keluarga berpindah ke Jakarta bagi memulakan hidup baru pasca-merdeka. Pada awal tahun 1950, terdapat permintaan yang banyak daripada penerbitan buku untuk mengulang cetak bukunya, genre sastera dan juga agama. HAMKA turut semakin giat melebarkan dakwat penulisannya dan banyak memenuhi undangan melakukan tugas dakwah. Penyebaran dakyah Parti Komunis yang membawa fahaman atheis ditentang oleh HAMKA menerusi Parti Islam Masyumi. Pemberontakan di Sumatera Barat oleh kepimpinan Masyumi menyebabkan parti itu dibubarkan oleh Presiden Soekarno yang waktu itu rapat dengan komunis. Rentetan peristiwa ini, HAMKA menerbitkan majalah Panji Masyarakat, majalah yang mirip seperti Pedoman Masyarakat. HAMKA telah diserang oleh komunis melalui lidah akhbar mereka seperti Harian Rakyat dan Bintang Timur dihalaman utama dengan tajuk seperti, ‘Neo-Masyumi muncul di masjid Al-Azhar’ dan ‘Kebayoran Baru Jakarta’. Masjid Al-Azhar merupakan tempat di mana HAMKA meyampaikan kuliah subuh dan mengajarkan tafsir Al-Quran. Pada tahun 1964, HAMKA dan beberapa pemimpin serta ulama’ ditangkap dan dipenjara berdasarkan Undang-undang Anti-Subversif yang dibuat oleh Soekarno. Penahanan ini berdasarkan tuduhan mengadakan pertemuan-pertemuan untuk membunuh Soekarno dan menerima wang daripada Tunku Abdul Rahman, ketika itu Perdana Menteri Malaysia walaupun tiada bukti. Penahanan ini memberikan ruang kepada HAMKA untuk menulis karya hebatnya, Tafsir Al-Azhar. HAMKA dibebaskan sejurus selepas kejatuhan pemerintahan Soekarno.

Penglibatan HAMKA dalam Majlis Ulama’ Indonesia (MUI) hasil daripada permintaan oleh Menteri Agama ketika itu, Prof Mukti Ali. MUI bagi HAMKA harus pandai menjaga jarak, kerana bila terlalu dekat dekat dengan pemerintah, nescaya hangus, begitu juga bila terlalu dekat dengan rakyat juga boleh jadi hangus. Sikap seperti ini menyebabkan HAMKA amat berani dalam menyatakan pendapat meskipun tidak sebulu dengan keinginan Presiden Soeharto ketika itu. HAMKA pernah penolak keinginan Soeharto agar membenarkan upacara golongan penganut agama peninggalan nenek moyang Indonesia seperti percaya pada kubur keramat, memuja pohon beringin, dan sebagainya. Kemuncaknya, HAMKA hanya mampu bertahan menjawat jawatan Ketua MUI selama lima tahun sahaja apabila beliau meletak jawatan apabila terjadi perbezaan pendapat antara MUI dengan pihak pemerintahan iaitu Menteri Agama berhubungan isu ‘Natal Bersama’. MUI yang dipimpin oleh beliau mengeluarkan fatwa, ‘Haram bagi umat Islam mengikuti perayaan Natal di Gereja’. Menteri Agama ketika itu, Alamsyah Ratuprawiranegara meminta MUI menarik balik fatwanya, namun HAMKA menolaknya dan terus menyatakan pengunduran sebagai Ketua MUI.

Beberapa bulan kemudian, pada tarikh 24 Julai 1981, setelah selesai solat terawikh di Masjid Al-Azhar, beliau mendapat serangan jantung dan meninggal pada usia 73 tahun setelah dirawat selama beberapa hari di hospital.

Oleh: Ajim

*Penulisan ini merupakan ringkasan/rumusan terhadap makalah yang bertajuk, HAMKA: Keperibadian, Sejarah dan Perjuangan oleh H. Rushdi Hamka dalam buku Pemikiran HAMKA terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2008. H.Rushdi Hamka merupakan anak kepada HAMKA.

No comments:

Link Terpilih

Blog Widget by LinkWithin