Pemikiran HAMKA – Siri 2: Tajdid Dan Islah


Sebelum meneroka jauh pemikiran HAMKA mengenai tajdid dan islah, perlu difahami maksud keduanya. Tajdid berasal daripada perkataan jaddada, yujaddidu dan juga al-tajdidan yang membawa erti memperbaharui sesuatu perkara. Islah pula berasal daripada perkataan aslaha yang membawa maksud menghilangkan sesuatu kerosakan, membaiki sesuatu setelah rosak, mengembalikan sesuatu hak kepada yang berhak, sama ada hak sesama manusia ataupun hak Allah. Seorang muslih (pemurni) akan tetap menentang segala aktiviti anti tauhid dan bersedia untuk mempertahankan kesucian Islam pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Perkataan tajdid dan islah adalah sesuatu yang sinonim dan berlaku pada waktu yang sama.

HAMKA bukan hanya terkenal sebagai seorang ulama’, da’ie pujangga, wartawan dan aktivis Muhammadiyah sahaja, beliau lebih dari itu dikenali sebagai seorang mujaddid oleh sesetengah pihak. Sumbangannya terhadap dakwah dan kemajuan Islam di Indonesia dan alam Melayu amnya amatlah besar terutamanya melalui penulisan dan pemikirannya. Sifat reformis yang ada pada diri HAMKA telah diwarisi daripada orang tuanya sendiri iaitu Abdul Karim Amrullah yang telah mendidiknya dalam hal keagamaan. Selain itu, beliau juga mendapat didikan awal agama pada usia 16 tahun daripada Haji Omar S. Tjokromaninoto ketika baru datang ke Jakarta. Melalui abang iparnya, A.R Mansur, dia mempelajari ilmu tafsir dan mendapat bimbingan sebagai aktivis Muhammadiyah. HAMKA juga telah dipengaruhi oleh pemikiran islah Sayid Jamaluddin Al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh dan Sayid Rashid Rida, ulama’ refomis tiga serangkai yang amat berpengaruh di Mesir.

Dalam menghadam pemikiran HAMKA, pastinya kita akan melihat Islam yang diperjuangkan oleh beliau adalah menyeluruh meliputi aspek akidah, syariah dan akhlak. Hal ini sama seperti tokoh reformis yang lain, misalnya para tokoh refomis seperti Sayid Jamaluddin Al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh dan Sayid Rashid Rida yang menolak amalan khurafat, tahyul dan bidaah. Beliau juga menolak takliq iaitu amalan menerima sesuatu ajaran secara membuta tuli dan sebaliknya beliau menganjurkan penggunaan akal dalam memahami agama. Melalui dakwahnya sama ada dalam bentuk syarahan mahupun tulisan, HAMKA sememangnya menampakkan pendirian selaku ulama’ refomis yang mana mendukung kuat pemikiran berjalur tajdid dan islah. Antara pemikiran tajdid yang disampaikan oleh beliau adalah menekankan peri penting kemerdekaan umat Islam. HAMKA menerusi buku Revolusi Agama telah menempatkan rangka revolusi atau kebangkitan kemanusiaan, yang mana pada dasarnya suatu kebangkitan agama kerana agamalah yang menciptakan kemerdekaan, yakni kemerdekaan jiwa dan semangat. Beliau juga mengaitkan kemerdekaan dengan amal makruf, nafi mungkar apabila menyatakan kemerdekaan menyatakan pendapat (amal makruf), dan kemerdekaan mengkritik yang salah (nafi mungkar). Kalimat makruf bererti pendapat umum yang sihat dan manakala mungkar pula penolakan orang banyak atas yang salah. Natijahnya, ia membawa kepada pembinaan pemikiran masyarakat yang sihat. Beliau juga mengaitkan ia dengan tahap keimanan seseorang kepada Allah, jika berkurang, maka kita tidak berani lagi bernahi mungkar.

Naskah besar tulisan HAMKA iaitu Tafsir Al-Azhar ditulis atas dorongan untuk mentajdid dan mengislahkan masyarakat, khususnya golongan belia di alam Melayu yang mana tidak berkemampuan untuk memahami bahasa arab, tetapi amat meminati agama, maka penulisan ini diharap dapat membina keimanan mereka. Tafsir Al-Azhar dilihat sangat relevan dengan situasi semasa apabila terdapat banyak contoh yang berkait rapat dengan situasi yang berlaku di Indonesia ketika itu. Contohnya, beliau membawakan persoalan polemik agama antara Islam dengan Kristian, antara umat Islam yang berlainan mazhab, ancaman Ahmadiyyah, Komunisme dan sebagainya. Pada masa yang sama, beliau juga menghasilkan tafsir bagi membersihkan tafsir Al-Quran daripada cerita-cerita karut dan dongeng yang terbit daripada kisah-kisah Israiliyyat yang mana cerita yang dibawa oleh orang Yahudi ke dalam Islam. Dapat dilihat, usaha ini selari dengan sifat seorang reformis yang mementingkan ketulenan beragama.

HAMKA menolak amalan adat masyarakat setempat yang mengandungi unsur-unsur khurafat, tahyul dan bidaah dalam usahanya mempertahankan kemurnian Islam. Beliau pernah mengkritik amalan adat-adat usang yang berlaku dalam masyarakat Minangkabau seperti campur tangan kaum keluarga dalam kehidupan berumah tangga sehingga membawa kepada penceraian. Kritikan ini dapat dilihat dalam melalui novel-novelnya seperti Merantau ke Deli dan Dijemput Mamak. Di dalam naskhah Di Bawah Lindungan Kaabah, beliau mengkritik soal perbezaan status serta keangkuhan keluarga bangsawan jika martabat wanita lebih tinggi daripada lelaki. Bagi HAMKA, tiada perbezaan antara manusia Muslim melainkan ketaqwaan kepada Allah. Dalam menekankan tentang pentingnya syura (bermesyuarat) dalam urusan kemasyarakat hinggalah ke peringkat negara, secara tidak langsung beliau telah menyanggah pendapat bahawa Barat telah lebih awal membawa kebebasan dan unsur mesyuarat kerana Magna Carta, iaitu hak yang diberikan oleh Raja Inggeris kepada para pembesar itu hanya berlaku pada 1215 Masihi. Ini menunjukkan keluasan pemikiran HAMKA yang mampu membuat perbandingan antara Islam dan Barat sehingga mampu membuktikan Islam tetap unggul.

Dalam menangani isu berkaitan wanita dalam Islam, HAMKA telah memberikan penjelasan yang bernas mengenai kedudukan wanita dalam Islam melalui karyanya, Agama Islam dan Perempuan (1939). Isu wanita selalu menjadi mainan dan sering disalah tafsir oleh pihak Barat dan orang Islam yang cetek pengetahuannya mengenai Islam. Dalam karyanya itu, beliau telah membela kedudukan wanita sebagai ibu dan menentang penindasan kaum lelaki terhadap wanita, terutamanya di Minangkabau yang terkenal dengan adatnya itu. Penjelasan yang lain telah diberikan dalam karya, Kedudukan Perempuan Dalam Islam (1974)yang mana beliau menimbulkan persoalan memuliakan wanita selaku ibu, penghormatan dan kasih sayang terhadap kaum Hawa dan hak-hak wanita. Di samping itu, beliau membuat perbandingan dan mengkritik kepincangan serta amalan barat dalam hal wanita bermula dengan pandangan yang diberikan oleh kitab Perjanjian Lama (Old Testament) sehinggalah ke zaman moden. Di samping dalam mempertahankan kemurnian Islam, beliau juga dapat mengukuhkan keyakinan umat Islam terhadap agamanya.

Dalam bidang akidah, HAMKA amat tegas terhadapnya. Beliau menolak pandangan Mu’amar Qadhafi, Presiden Libya yang menyatakan bahawa, ‘kita orang Islam berpegang kepada Al-Quran sahaja, tidak perlu berpegang kepada Hadis dan Sunah Rasulullah’. Bagi HAMKA, Qadhafi bersikap begitu kerana beliau dikelilingi oleh pihak komunis yang sentiasa memuji-muji kepimpinan beliau, namun tidak pula dipedulikan oleh negara-negara Islam yang lain. Ketegasan HAMKA dalam memelihara akidah dibuktikan melalui Majlis Ulama’ Indonesia (MUI)apabila beliau mengeluarkan fatwa menolak pendapat pihak pemerintahan iaitu Menteri Agama berhubungan isu ‘Natal Bersama’. Lantaran itu, pihak pemerintah mengarahkan agar fatwa itu ditarik balik. Namun, HAMKA tidak melakukan sedemikian dan apabila persetujuan tidak dicapai, beliau mengundurkan diri sebagai Ketua MUI. Walaupun begitu, dalam menghadapi kepelbagai mazhab dalam Islam, beliau bersikap berlapang dada dan bertoleransi meskipun dia sebagai salah seorang pemimpin Muhammadiyah yang mempunyai pegangan sendiri dalam beberapa cabang persoalan fiqh. Dalam ceramah dan tulisan yang disampaikan sejak awal lagi, beliau mengelak daripada membangkitkan persoalan furu’yang hanya akan dipertikaikan tanpa sebarang penyelesaian. Dalam hal ini, beliau faham yang mana lebih utama, yakni menghadapi kerosakan akidah dan ancaman daripada musuh-musuh Islam.

Setelah membawakan beberapa contoh dan usaha oleh HAMKA, maka dapatlah dirumuskan bahawa beliau sememangnya layak diiktiraf sebagai seorang mujaddid dan muslih di alam Melayu. Pemikirannya menjangkaui aspek agama yang luas dan dalam, kemerdekaan dalam berfikir, keadilan pemerintah, meliputi juga isu dialog antara agama, dan polemik mempertahankan kemurnian akidah dan ibadat yang jelas membuktikan tajdid dan islah yang diperjuangkannya.

Oleh: ajim

*Penulisan ini merupakan ringkasan/rumusan terhadap makalah yang bertajuk, Tajdid dan Islah Mengikut Pemikiran HAMKA oleh Prof. Madya Dr. Fadhlullah B. Jamil dalam buku Pemikiran HAMKA terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2008.

Comments