Memelayukan Melayu


1. Orang Melayu sudah memiliki standardnya sendiri. Ia merupakan satu bentuk penjenamaan yang dipaksa agar sinonim dengan orang Melayu. Gerak kerja penjenamaan ini dilakukan oleh banyak pihak, Melayu itu sendiri turut terlibat. Apakah bentuk jenama yang telah disinonimkan dengan Melayu? MALAS, KURANG CERDIK, dan TIDAK MENEPATI MASA.

2. Orang Melayu seringkali melihat orang Melayu yang lain sebagai panduan, kemudian menjadikan ia seolah satu tanda aras yang perlu diikuti. Contoh situasi:

i. Janji Melayu: Orang Melayu (tidak semua) beranggapan, tidak menepati masa itu sudah menjadi hal yang biasa. Jika berjanji pukul 8.00 pagi, maka waktu sebenar janji itu adalah 8.30 pagi, bahkan mungkin lebih melewati 9.00 pagi. Bila ada Melayu 'lain' yang menepati masa, maka terkulai-kulailah dia menunggu. Maka Melayu 'lain' itu pun menjadi Melayu yang telah disinonimkan.

ii. Malas: Suatu yang jenama yang paling berjaya. Kaum bukan Melayu juga mengenali jenama ini telah disinonimkan dengan orang Melayu. Orang Melayu ada tahap kerajinannya, ia jarang melebihi kaum lain. Jika Melayu 'lain' miliki sifat rajin luar biasa, maka mudahnya dia dituduh poyo, berlagak bagus, dan tunjuk baik. Oleh itu, agar kelihatan sama dengan Melayu, Melayu 'lain' itu pun menjadi Melayu yang telah disinonimkan.

iii. Mahu contoh lagi? Fikir sendiri.

3. Penjenamaan ini seolah-olah sudah menjadi 'Dosa Warisan' kepada orang Melayu. Hampir setiap orang Melayu ingin dipandang sifatnya seperti mana yang disebutkan diatas. Barangkali, bayi kecil Melayu yang baru lahir itu juga sudah mewarisi dosa ini. Namun, benarkah begitu?

4. Tidak, tidak benar sama sekali. Sebenarnya, ramai yang tidak sedar tentang penipuan idea ini. Penjenamaan Melayu dengan sifat-sifat ini telah dipaksakan tersemat didalam minda orang Melayu sejak dulu lagi. Ia seolah-olah menyatakan setiap orang Melayu wajib bersifat begitu. Duka cita, ada sebahagian Melayu yang bersenang hati menerima, katanya ini hakikat. Hakikat apa yang dia telah dipaksa untuk menerima sejak dahulu lagi.

5. Setiap orang itu membentuk nilai sendiri dalam sikapnya. Malas atau tidak menepati janji itu tidak lahir dari keturunan atau bangsa. Ini bukan agama Kristian yang memiliki dosa warisan! Orang Melayu, jika ingin meletakkan standard harus melihat pada nilai yang tinggi. Bukan pada ukuran yang buruk, kemudian bersenang-senang menerima. Lebih buruk, apabila ada Melayu 'lain' yang miliki sifat yang lain, ia ditentang dan diperlekeh.

6. Orang Melayu harus melihat diri sendiri dalam membentuk sikap dan prinsip. Mari bertanya secara jujur pada hati kecil yang sering kita padamkan cakap-cakapnya, apakah benar kita menerima penjenamaan Melayu sedia ada itu? Ataupun sebenarnya kita menafikan, namun kalut untuk menongkah arus menyatakan hal itu tiada kaitan dengan kaum atau bangsa. Ia tentang persoalan sikap! Ya, sikap individu itu sendiri!

7. Kita jangan terperangkap atas jenama ini. Penjenamaan yang telah memelayukan Melayu. Sekian lama orang Melayu berfikir atas kapasiti jenama ini dan ia telah memenjarakan pemikiran. Orang Melayu harus menjenamakan dirinya atas kapasiti individu, bukan bangsa semata. Orang Melayu harus memandang potensi diri, bukan mendengar apa yang orang lain kata dan khabarkan tentang mitos jenama Melayu.

8. Ini nasihat buat diriku dan buat orang yang suka mengambil manfaat.

Comments