Thursday, March 18, 2010

DEB & Hubungan Etnik

Pada 10 Mac 2010 yang lalu, Jabatan Pengajian Islam dan Kemanusiaan, Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan sebuah wacana ilmu yang bertemakan ‘Dasar Ekonomi Baru (DEB) Dan Implikasi Terhadap Hubungan Etnik Di Malaysia’. Wacana ini telah menjemput Prof. Datuk Dr Shamsul Amri Bin Baharuddin, Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) sebagai panel pembentang. Tema DEB ini telah dipilih berdasarkan keadaan sosio-politik semasa yang memungkinkan berlaku pelbagai perdebatan pro dan kontra terhadap perlaksanaan dasar itu dan implikasinya dari sudut yang jarang diterokai iaitu kesan pada hubungan sesama etnik di Malaysia. Artikel ini akan merumuskan sudut pandang dan idea yang telah dikemukan oleh tokoh akademik pada majlis ilmu itu. 


Prof. Datuk Dr Shamsul Amri memulakan penghujahan dengan menyatakan bahawa walaupun pada hakikatnya DEB telah lama tamat, namun semangat DEB masih tetap diteruskan dalam cakap-cakap politik, perbincangan semasa dan juga di dalam sembang lapangan maya. Semangat ini saban tahun dicanang dengan pelbagai agenda perjuangan, ada yang meyebut tentang soal Islam, Melayu, hak non-bumi dan sebagainya. Semua sedia maklum, penubuhan DEB ini bertujuan untuk membasmi kemiskinan dan juga menyusun semula masyarakat sejurus berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Untuk memahami kronologi kepada wujudnya DEB, maka perlu untuk kita kembali menyelak semula tirai sejarah negara Malaysia dalam konteks awal penubuhannya. Malaysia ketika awal merdeka, masih lagi sebuah negara yang muda tetapi perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran utama seperti pembangunan ekonomi, pemerintahan dan kestabilan politik, hubungan antara kaum dan juga perang dingin antara blok komunis dan blok kapitalis. Beliau menambah, cabaran-cabaran besar ini membawa kepada wujudnya krisis-krisis seperti isu pembangunan ekonomi di kawasan bandar dan luar bandar. Ini kerana terdapat perbezaan ketara di antara pembangunan kawasan bandar dan luar bandar. Kawasan bandar yang dimonopoli oleh kaum Cina mendapat agihan pembangunan yang lebih baik dan tersusun berbanding dengan kawasan kampung dan pendalaman yang mana majoriti didiami oleh masyarakat Melayu dan India. Tampuk pemerintahan dan kestabilan politik ketika itu masih lagi mencari rentak, kuasa federalisme juga kelihatan masih belum cukup stabil. Krisis hubungan kaum ketika itu walaupun masih belum dikategorikan sebagai darurat, namun boleh disifatkan cukup membimbangkan. Masing-masing bertikam lidah tentang kepentingan kaum masing-masing. Situasi ini cukup menyamai dengan apa yang sedang berlaku dewasa ini di Malaysia. Bermula dari cabaran, kemudian krisis, akhirnya berlakulah peristiwa 13 Mei 1969 hasil gabungan pelbagai krisis dan diterjemahkan dalam satu konflik terbuka. Kelahiran DEB selepas konflik 13 Mei 1969 dilihat sebagai satu usaha penyelesaian untuk semua masalah yang dihadapi ketika itu. Dipertengahan hujah, Prof. Datuk Dr Shamsul Amri sempat menimbulkan persoalan, benarkah DEB merupakan ubat yang cukup mujarab bagi mengubati semua penyakit yang berlaku pada ketika itu?

Terdapat dua masalah besar yang dinyatakan oleh beliau mengenai kefahaman perpaduan sosial rakyat di Malaysia. Masalah pertama ialah mengenai penekanan yang keterlaluan terhadap satu-satu peristiwa konflik berdarah semata. Seolah-olah tiada langsung gambaran perpaduan dan kehidupan rakyat diperlihatkan sebagai senantiasa berkonflik. Gambaran ini selalu didoktrinisasikan melalui media massa yang menggambarkan betapa rakyat perlu dihantui dengan peristiwa silam dan ia kerapkali dimainkan dengan sikap sentimen tertentu. Realitinya, wujud kesepakatan sosial yang berterusan namun kadangkala bermasalah. Ini perkara tabiat didalam sebuah sistem bernegara terutamanya pada negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Masalah kedua pula bersangkut paut pada kesilapan meletakkan persamaan apabila menyatakan perpaduan sosial itu sama dengan perpaduan ekonomi. Sifat-sifat utama perpaduan gagal difahami dan tidak disentuh, antaranya elemen asimilasi, akomodasi, akulturasi dan amalgamasi. Sering kali kita beranggapan, jika pembahagian kek ekonomi seperti yang dirancang melalui DEB berhasil, maka secara automatik Malaysia mampu mencapai perpaduan bersifat nasional. Namun, hasilnya ia tidak seperti yang diharapkan. Perpaduan nasional telah ditafsirkan dengan fahaman sempit dan berubah menjadi satu bentuk pertandingan merebut hak milik ekonomi. Kesannya, kita lebih banyak bercakap mengenai soal ‘pertandingan’ ini berbanding matlamat utama untuk mewujudkan perpaduan yang akhirnya telah dikesampingkan. Dari perbincangan perpaduan nasional, isu ini menjalar menjadi ‘perebutan nasional’ antara kelompok etnik. Prof Datuk Dr Shamsul Amri menyatakan bahawa perebutan nasional ini wujud dalam pelbagai bentuk seperti inter-etnik, intra-etnik, inter-kelas, dan intra-kelas. Asakan ganas perebutan hak milik ekonomi bukan hanya menghasilkan konflik antara etnik, tetapi juga konflik dalaman etnik tertentu. Kegagalan pelaksanaan DEB acap kali didengari, namun isu yang lebih besar adalah kegagalan untuk kita memahamkan kepada khalayak mengenai apa itu perpaduan nasional sebenar. Ekonomi hanyalah wadah kepada satu usaha ke arah perpaduan, namun objektif dan matlamat harus jelas. Jangan pula perpaduan diperkudakan untuk memenangi pertandingan perebutan kek ekonomi.

Dipengakhiran hujah, beliau menyatakan dengan nada tegas dan sinis bahawa walaupun DEB telah lama tamat, namun masalah yang dicanang untuk bersama diselesaikan masih gagal menemui jalan solusi. Sehingga hari ini, masih ramai lagi yang menyimpan dendam dan sakit hati terhadap DEB. Antara bukti jelas fenomena ini ialah keputusan Pilihan Raya 2008. Keputusan ‘tsunami’ politik ketika itu hasil dari tindakan majoriti pengundi bukan Melayu dan sebagian besar pengundi Melayu yang menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap pelbagai isu dan tanggapan bersangkut paut dengan DEB seperti isu bukan Melayu sebagai warganegara kelas kedua, rasuah, pembahagian kontrak, hubungan inter-etnik dan intra-etnik. Diakhir kalam, beliau menekankan peri penting anjakan paradigma yang melihat isu dari konflik kepada penyatuan dalam tindakan. Penyatuan tindakan ini penting dalam memberikan satu bentuk kesatuan dalam kepelbagaian dan bukan pula kesatuan dalam kesamarataan.


Selaku ahli akademik yang hidup, beliau telah menyampaikan syarahan mengenai isu itu pada dimensi yang baharu dan tampak begitu mengesankan sekali. Isi dan gaya penghujahan beliau yang tidak bias pada mana-mana pihak yang berkepentingan dan hanya menekankan soal fakta dan akademik harus dipuji. Sikap ini menandakan kematangan beliau sebagai ahli akademik yang cukup masak dalam arena perdebatan sosio-politik di Malaysia.  

oleh: ajim 

*Sebenarnya artikel ini merupakan tugasan didalam subjek Hubungan Etnik. Tetapi dikirim didalam blog ini sekadar perkongsian bersama.

4 comments:

azlan said...

ko tertinggal 1 benda jim
kata2 hikmat beliau diakhir syarahan..
haaa

ajim said...

erk.. beliau berkata, '...........selamat berjaya?'

Anonymous said...

artikel yang bagus..
tetapi kurang isi..

ajim said...

tq atas kritikan.

Link Terpilih

Blog Widget by LinkWithin