Langit Petang - Siri 1



 Siri 1: Bertemu Jodoh
Kisah perkahwinan Mak (Rani) dan Ayah (Roslan) aku amat menarik hati, sebuah kisah klasik yang mungkin dilihat sudah tidak relevan dalam dunia moden ini. Semuanya bermula ketika Mak berada di Segamat menolong saudaranya memotong getah. Waktu itu, usia Mak baru menjengah usia 18 tahun dan tidak menetap bersama ibunya di Bukit Gambir. Apabila aku bertanya Mak tentang pengalamannya ketika itu, kelihatan dia begitu gembira menceritakan pengalaman hidupnya di usia remaja. Antara yang aku ingat, Mak menyebut perihal bagaimana dia memotong getah, bangkit susu getah, memesin getah buku untuk dijadikan getah skrap dan juga kesungguhannya bertungkus lumus membawa getah itu untuk dijual dengan hanya menaiki basikal. Aku hanya mampu membayangkan, kerana sekuat mana aku pernah menolong Mak hanyalah sekadar bangkit getah buku, itu pun hanya kadang kala.
Ketika di Segamat, Mak mendapat telegram dari Bukit Gambir yang menyuruhnya pulang ke kampung. Tidak pula dinyatakan alasan kenapa, memang tabiat anak zaman itu untuk tidak banyak soal. Mereka lebih banyak menurut daripada menyoal bagaimana dan mengapa. Setelah pulang, barulah Mak mengerti tentang hal pernikahan yang telah ditetapkan oleh Ayah tirinya (Hj Mesir). Ayah kandung Mak (Markom) meninggal dunia ketika Mak masih kecil. Masih segar diingatan Mak, ketika itu arwah baru sahaja pulang dari pekan. Kemudian arwah duduk bersandar dipintu rumah, dan ia rebah ketika ingin merangkul anak kecilnya yang baru selesai menyusu badan. Sebelum Mak dinikahkan dengan Ayah, Hj Mesir sudah terlebih dahulu membawa Ayah ke rumah untuk saling dikenalkan secara tidak langsung dengan Mak. Hal ini mengingatkan aku dengan beberapa hadis yang dipetik daripada kitab ‘Bekal-Bekal Pernikahan Menurut Sunah Nabi’ karangan Sheikh Shalih Fauzan, antaranya menyebut:
“Apabila seorang di antara kalian mengkhitbah (meminang) seorang wanita, maka jika dia bisa melihat apa yang mendorongnya untuk menikahinya maka lakukanlah” (HR Ahmad & Abu Dawud)

Majlis pernikahan tidak dilakukan di rumah pengantin, tetapi di rumah Tok Kadi. Apabila diceritakan kepada aku tentang majlis yang berlangsung, aku hanya mampu tersenyum. Majlis itu berlangsung dalam suasana yang sangat ringkas dan kelihatan agak lucu. Mak bersama Ibu dan Ayah tirinya pergi ke rumah Tok Kadi hanya dengan berbasikal, manakala ayah pergi ditemani oleh kawannya menaiki motorsikal. Akad nikah secara tiba-tiba terpaksa ditangguhkan sebentar apabila wali kepada Mak tiada. Pada awalnya, mereka fikir pengantin perempuan boleh berwalikan dengan Hj Mesir yang mana merupakan Ayah tiri kepada Mak. Maka suasana menjadi sedikit kelam kabut apabila terpaksa bergegas mencari wali kepada Mak. Akhirnya, adik kepada Mak iaitu Asban menjadi wali pernikahan ini. Apa yang menjadi sedikit lucu, ketika Asban dicari untuk menjadi wali, dia berada di dalam kandang kambing. Mak sendiri tidak pasti sama ada Asban sempat mandi atau tidak semasa menjadi wali. Usai akad nikah, Ayah membawa Mak pulang dengan hanya berbasikal. Rumah Ayah ketika itu hanyalah sebentuk kotak, tiada bilik dan hanya berbekalkan dua tingkap. Namun itu sudah memadai, rumah yang besar belum menjaminkan apa-apa natijah kepada kehidupan seterusnya.
Aku kerapkali tersenyum sendiri apabila mengenangkan cerita ini. Entah sudah berapa kali aku bertanyakan hal pernikahan ini kepada Mak aku. Kadang kala aku merasa hairan dan pernah bertanya pada diri sendiri, ‘semudah itu?’ Apabila membandingkan dengan perkahwinan yang berlangsung dewasa ini, aku cuba mencari rasional harga perkahwinan yang bernilai puluhan ribu ringgit tetapi akhirnya kecundang dimeja talaq. Cerita ini akan aku kenang sebagai satu kisah nostalgik yang amat bermakna untuk dikongsikan pada generasi yang akan datang, dan mungkin juga pada diri aku sendiri.
Bersambung...

Comments

dnasura said…
ajim. seronok bace. sy tunggu siri 2 ye :)
ajim said…
yeke. hehe, tq2.
semut said…
senangnya perkahwinan nie....btolla org ckp kalu jodoh x ke mana....hahaha...
ajim said…
tahu tidak mengapa cik semut, hihi