Langit Petang - Siri 2


Siri 2: Kelahiran
Setelah dua tahun berkahwin, akhirnya Mak dan Ayah dikurniakan anak pertama. Kemudian tahun silih berganti, sehingga lahirlah sembilan adik-beradik. Ramai yang terkejut apabila mengetahui bilangan adik-beradik aku yang ramai. Jika mengikut sejarah, memang menjadi kebiasaan keluarga berketurunan Jawa mempunyai anak yang ramai. Oleh itu, jika jumlah adik-beradik 8, 9 atau lebih daripada itu dianggap sesuatu yang normal. Aku merupakan anak yang ke-7. Menjadi anak yang lahir hampir kepada bongsu tidak menjanjikan apa-apa, kehidupan ketika itu sangat sukar.
Ketika mak ingin melahirkan aku, bidan yang ditugaskan menyambut kelahiran bayi kawasan sekitar Bukit Gambir tiada. Difahamkan, Bidan itu pergi menyambut kelahiran bayi lain. Maka terpaksalah Ayah pergi ke kawasan Simpang Lima mendapatkan Bidan lain. Simpang Lima dan Bukit Gambir tidaklah terlalu jauh, mengambil masa lebih kurang 15 minit perjalanan. Namun, kerana keadaan ketika itu awal pagi sekitar pukul 2 - 3 pagi, ia menjadi sedikit sukar. Pergi ke hospital bukan satu pilihan yang baik. Jarak untuk ke Hospital Daerah sahaja akan memakan masa lebih kurang 45 minit, ditambah lagi dengan isu ketiadaan kenderaan.  
Akhirnya, aku dilahirkan pada sekitar jam 4 pagi, 24 September 1987 dan disambut oleh seorang Bidan Cina. Keesokan harinya, kehilangan Bidan Bukit Gambir itu terjawab apabila dia dikhabarkan menyambut kelahiran bayi di sekitar rumah jiran. Jarak rumah jiran itu hanya selang beberapa rumah sahaja. Dalam tidak sedar, aku mempunyai kembar (lain Emak dan lain Ayah) yang lahir pada waktu yang hampir sama, cuma bezanya dia lahir lewat sedikit iaitu pada jam 6 pagi.
Ketika aku kecil, tiada istilah lampin bayi pakai buang yang berjenama dan jika ada pun, itu bukanlah pilihan yang baik. Memang menjadi lumrah bayi ketika itu akan memakai lampin kain yang berwarna putih. Setiap kali selepas melepaskan hajat, lampin kain itu akan dibasuh dan digunakan semula. Aku masih ingat jalur halus benang-benangnya, ia kelihatan sedikit jarang. Sama ada selesa atau tidak memakai lampin ini, sudah pasti aku tidak mampu ingat. Namun untuk membandingkan dengan lampin pakai buang yang ada kini, sudah pastinya ia jauh berbeda melangit. Tradisi pemakaian lampin jenis ini kekal sehinggalah ke adik yang paling bongsu. Entah masih ada atau tidak tradisi pemakaian lampin kain itu tatkala kini, mungkin sudah tiada.
Orang kata, sebaik-baik susu adalah susu ibu. Aku sangat bersetuju, kerana aku sendiri pernah bergantung pada susu ibu. Seorang cikgu yang pernah mengajar aku pernah berkata, kedegilan anak-anak muda sekarang ini mungkin kerana tidak minum susu ibu. Mereka dibesarkan dengan diberi minum susu lembu, maka sifatnya lebih kurang seperti seekor lembu. Memang kenyataan ini kelihatan bersifat dangkal, apa kena mengena dengan minum susu lembu dengan pembentukan peribadi seseorang? Namun begitu, kita kadangkala melihat ada benarnya kenyataan ini. Entah kebetulan atau tidak, aku sendiri tidak pernah mengambil secara serius apa yang diperkatakannya.     
Tatkala menceritakan tentang kelahiran, Al-Quran telah mendahului sains moden apabila sudah menceritakan secara terperinci tentang kejadian manusia 1400 lepas. Seperti mana yang diceritakan oleh Allah dalam kitab-Nya:
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kokoh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik.”
(Surah Al-Mu’minuun: 12-14)
Antara prinsip hidup yang aku pegang adalah, kehidupan ini tidak dinilai semata dengan masa, tempat dan bagaimana kita dilahirkan, namun ukuran sebenar kehidupan adalah pada kematian. Jika seseorang itu dilahirkan sebagai seorang Islam, namun pada kehidupan dan saat kematian dia gagal menjadi Islam, alangkah sia-sia kehidupannya itu. Oleh itu, marilah kita belajar untuk hidup dan mati dalam Islam!
Bersambung…

Comments

azlan said…
Ko ade sorang lg kembar lain mak lain ayah.tapi lg tua sehari stengah jam dr ko.haha.
dnasura said…
Mereka dibesarkan dengan diberi minum susu lembu, maka sifatnya lebih kurang seperti seekor lembu.

ayat nampak kasar kan, tapi part ni mmg sy slalu dgr org tua cakap.tp dlm zaman skrg ni ramai ibu2 sibuk, so mane yg mudah bg susu formula je.mungkin ni juga salah satu penyumbang kepada perubahan nilai peribadi budak2 skrg berbanding budak2 zaman dulu.

nice story ajim.