Langit Petang - Siri 3 (i)


Siri 3: Zaman hitam dan putih (i)..


Zaman kanak-kanak merupakan zaman yang paling aku samar tentangnya. Tidak banyak memori yang disimpan, namun ada beberapa memori yang cukup berbekas dalam hati. Aku percaya, zaman kanak-kanak hanya ada dua warna sahaja, sama ada hitam atau pun putih. Kita mencorakkan kehidupan tanpa banyak fikir dan soal, menuruti tanpa tahu sama ada betul atau salah, dan tiada siapa yang terlalu mengambil berat tentang keputusan kita.

Aku seorang yang aktif ketika kacil, bergerak ke sana dan ke sini tanpa menghiraukan panas terik. Kadangkala makanan tengah hari aku tidak jamah, lewat petang menjengah maghrib baru aku pulang. Ketika Mak dan Ayah keluar menoreh, aku dijaga oleh Akak aku. Yin nama panggilannya. Sepatutnya, ketika itu dia perlu memasuki kelas Tadika, namun disebabkan perlu menjaga aku, dia tidak mengambil kelas Tadika, tetapi terus masuk darjah satu pada tahun berikutnya. Jika terlalu bosan duduk di rumah, aku dan Yin akan mengayuh basikal ‘jaguar’ pergi ke kebun getah di mana Mak dan Ayah menoreh. Basikal ‘jaguar’ yang disebut bukan bermakna basikal itu keluaran syarikat kereta ‘Jaguar’, tetapi satu istilah yang merujuk kepada basikal tua yang mempunyai tempat duduk di belakang yang agak lebar. Aku sendiri boleh duduk bersila jika duduk di tempat duduk belakang. Jangan ditanya bagaimana muncul gelaran basikal ‘jaguar’, aku hanya menurut pada kebanyakkan orang. Basikal seperti ini kerapkali muncul dalam filem-filem Melayu lama. Kalau si kecil berhajat besar untuk menunggang basikal jenis ini, terdapat cara yang unik. Kita perlu mengayuh basikal ini dengan keadaan berat sebelah di mana badan kita akan menyilang ke bawah palang di tengah basikal. Kemudian kita akan mengayuh seperti orang yang hilang keseimbangan.

Ketika itu, Mak dan Ayah menoreh di Kampung Parit Ghani, jaraknya daripada rumah lebih kurang 10 kilometer atau mungkin lebih. Kebun tempat Mak dan Ayah aku menoreh dimiliki oleh seorang saudara yang berpangkatkan Nenek, ibu saudara kepada Mak, namun aku memanggil dia dengan gelaran Atok. Disebabkan keuzurannya, dia mengupah Mak dan Ayah untuk menoreh dikebunnya, dan hasil jualan getah buku akan dibahagikan dua. Masih terngiang-ngiang ditelinga aku, bagaimana Ayah dan Atok berbincang untuk membahagikan hasil jualan getah buku, kadangkala kedengaran suara bernada tegas. Ayah aku tidak pernah bersekolah, aku tidak pasti bagaimana dengan Atok, mungkin tidak juga. Pada fikiran aku, kekurangan seperti ini yang memungkinkan kesukaran untuk membahagikan hasil jualan walaupun pada hakikatnya hasil jualan tidak seberapa. Pada awal perjumpaan dengan Atok, aku merasa pelik dan hairan melihat kedua matanya. Kelihatan tidak selari pergerakan antara kiri dan kanan. Setelah diselidiki, rupanya Atok memakai mata batu. Salah satu bebola mata asalnya telah rosak dan telah digantikan dengan mata palsu. Sama seperti Mak, namun mata yang rosak itu tidak pula diganti dengan mata palsu.

Keluarga aku dihadiahkan televisyen oleh Cik Asban, berstatus Pak Saudara yang merangkap adik ipar Mak. Tidak pasti, usia aku berapa tahun ketika itu. Apabila sesebuah keluarga memiliki televisyen sudah cukup menggambarkan kehidupan yang agak mewah. Memiliki televisyen juga memerlukan lesen, sampai sekarang aku masih memikirkan rasionalnya kenapa undang-undang sebegitu pernah dibuat. Kini, televesyen sudah menjadi asasi. Setiap keluarga seolah-olah wajib memilikinya. Apabila berjumpa rakan-rakan, bercerita tentang rancangan televisyen sudah menjadi satu kemestian. Antara rancangan kegemaran kanak-kanak ketika itu, Usop Sontorian dan juga kuiz Di mana Joe Jambul. Aku masih ingat trademark rancangan kuiz kelolaan Kak Zizi itu, watak Joe Jambul yang mempunyai jambul yang besar dan juga sebutan berlagu nama rancangan itu yang mudah diingati. Namun aku fikir, kini peranan televisyen semakin suram, generasi baru (termasuk diri yang menulis) tampak lebih gemar menggunakan internet. Ada beberapa menyebab yang difikirkan menjadi punca permasalahan ini, antaranya ialah kawalan dan sekatan yang keterlaluan. Tidak dinafikan, ada sebahagian sekatan itu baik untuk menapis rancangan-rancangan yang tidak bersesuaian dengan etika Timur, namun jika tapisan itu juga melibatkan aspek pemikiran dan intelek, ia sesuatu yang sukar diterima. Kerencaman pemikiran sewajarnya kita cambah, tidak kira sama ada dalam bidang politik, agama dan juga budaya. Adakah kerana suatu pemikiran itu berbeza dengan kita, maka ia perlu diharamkan tanpa perlu kepada ruang untuk berhujah dan menjawab? Jika itu yang kita ingin tuju, maka jadilah kita bangsa yang jumud dan hidup dalam dunia kepompongnya sendiri.

Bersambung...

Comments