[PPM-Siri 2] Pasca BERSIH 2.0: Hakikat dan Hikayat Pendokong Islam

[Pena Politik Malaysia – Siri 2]

Pasca BERSIH 2.0: Hakikat dan Hikayat Pendokong Islam

Seperti yang telah dinyatakan pada siri artikel sebelum ini, impak penganjuran perhimpunan BERSIH memang boleh dijangkakan. Paling ketara, imej pihak berkuasa seperti Polis terpalit dengan kesalahan moral yang teruk. Kematian seorang peserta demonstrasi itu yang dikaitkan dengan sikap tidak bertanggungjawab Polis amat menduka citakan. Ditambah pula dengan sikap ‘nasi tambah’ ahli politik yang tidak bertanggungjawab seakan mahu semua kesalahan itu dipalitkan pada pihak berkuasa. Benar, mungkin ada sebahagian pengawai Polis yang bertindak keterlaluan mengawal keadaan sewaktu perhimpunan itu berlangsung, namun untuk memalitkan semua kesalahan pada pihak Polis merupakan suatu tindakan yang tidak wajar. Peserta perhimpunan BERSIH itu sendiri tidak semestinya ‘Bersih’ dengan segala kesalahan moral sewaktu perhimpunan berlangsung, pastinya mereka juga ada yang bertindak melampaui batas. Namun bersetujukah kita untuk menyatakan bahawa semua peserta perhimpunan BERSIH itu gagal mengawal kelakuan mereka? Pastiya kita semua tidak bersetuju. Kita mahukan keadilan, namun biarlah keadilan itu dalam kacamata sebenar, bukan hanya adil dipihak kita, biar juga adil dimata Allah. Mungkin juga sebahagian ulama’ yang mengharuskan amalan demonstrasi dengan syarat tidak berlaku kesalahan moral seperti merosakan harta awam, mencaci pemerintah dan menimbulkan provokasi terpaksa memikirkan kembali fatwa mereka itu. 
   
Suatu yang mengagumkan mengenai parti Pas ialah pengikut mereka. Sifat setia pada parti yang amat menebal sehingga disegani lawan dan kawan. Setiap perubahan pada dasar parti pasti akan mendapat sokongan padu pengikut mereka. Jika Pas mahu mengarahkan ahli mereka berkumpul atau mengadakan perhimpunan, cukup sahaja dengan kata-kata Tuan Presiden Pas, atau Mursyidul Am Pas, tidak perlu imbuhan sebagai insentif untuk mereka taat mengikuti. Ini mungkin hasil tarbiah Pas yang sangat berkesan terhadap ahlinya agar sanggup berkorban demi kelangsungan parti politik anutan mereka. Maka tidak hairanlah, walau sehebat mana sekatan kerajaan Barisan Nasional (BN) menghalang perhimpunan BERSIH, namun Pas masih unggul berjaya menghimpunkan begitu ramai ahlinya. Ini suatu pelajaran yang perlu parti lain ambil nota, UMNO terutamanya.

Ada suatu tanggapan berbentuk mitos yang seringkali berlegar dikepala pengikut Pas yang mana mereka percaya parti itu akan berjaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang menjalankan prinsip-prinsip Islam sekelip mata. Sebahagian manusia yang buta (baca: salah matlamat) mengikuti perhimpunan BERSIH itu percaya, jika perhimpunan itu berjaya menjatuhkan kerajaan BN, maka Pas akan menguasai pentadbiran Malaysia dan segalanya akan menjadi Islamik. Malaysia bukan Kelantan, Terengganu atau Kedah, Malaysia adalah Malaysia. Ini hakikat yang perlu pengikut Pas sedar. Malaysia merupakan sebuah negara yang sangat komplek kerana terbina dalam landasan sekular namun separa Islamik. Ditambah pula dengan komposisi kaum yang unik, dasar Islamisasi tidak semudah A, B atau C. Ketika negeri Selangor masih dipimpin kerajaan UMNO-BN, Pas kelihatan begitu agresif mengkritik dan menghentam UMNO terutamanya berkaitan isu kilang arak di Shah Alam, isu kebanjiran pusat hiburan dan pusat judi di Selangor. Kritikan dan hentaman yang berlebihan kadang kala diberikan oleh Pas kepada UMNO telah menimbulkan keyakinan kepada pengikut Pas yang cintakan dasar Islamik seolah-olah percaya apabila Pas memerintah Selangor kelak, masalah ini akan selesai. Tiada kilang arak, tiada pusat hiburan dan tiada pusat judi. Maka segala masalah sosial akan menjadi selesai. Selepas tsunami politik 2008, Pas telah berjaya membentuk kerajaan di Selangor bersama PKR dan DAP. Masalah yang Pas seringkali juarai pada tahun sebelum 2008 masih juga belum selesai, ini merupakan antara tamparan yang paling hebat pernah Pas rasai selepas kemenangan besar mereka pada PRU-12. Baru-baru ini kerajaan Pas Kedah bercadang untuk menutup semua pusat hiburan di Kedah sepanjang bulan Ramadhan yang akan datang, namun dengan segera mendapat bantahan MCA dan juga DAP. Akhirnya setelah berbincang, rancangan itu terpaksa dibatalkan dengan bersyarat, pengunjung Islam tidak dibenarkan masuk. Alasan pembatalannya mudah, Islam menghormati dan meraikan hak-hak bukan Islam. Mungkin ramai yang tidak perasan, ini merupakan alasan yang sama pernah UMNO gunakan. Dahulu Pas selesa menduduki kerusi pengkritik, bercakap hanya bermodalkan air liur. Masa berjalan dan terus berputar, kini Pas merasai apa yang pernah UMNO rasai. Cukup sukar melaksanakan proses Islamisasi didalam sebuah negara seperti Malaysia. Ruang itu walaupun ada, namun ia perlu bijak dimainkan agar ada unsur menang-menang diantara pembuat dasar. Mimpi-mimpi indah yang mahu memudahkan suatu urusan yang sulit itu perlu segera disedarkan, kejayaan tidak pernah datang bergolek. Tertegaknya Islam di Malaysia tidak dengan kejatuhan UMNO dan tidak pula dengan naiknya Pas dikerusi pemerintah. Ia merupakan suatu proses yang amat rumit dan memerlukan pemimpin manusia yang sedar tentang hakikat, bukan hanya mahu bergantung pada hikayat keajaiban-keajaiban parti Islam semata.    

Pas mungkin telah sedar, namun masih ada sebahagian pengikut Pas yang masih buta-buta tidak mahu menerima hakikat ini. Segala kesalahan mahu dilonggokkan pada UMNO. Segala kemaksiatan yang ada dibumi Malaysia ini berpunca daripada kegagalan UMNO mentadbir negara ini dengan baik. Mereka perlu disedarkan tentang hakikat dan hikayat yang mana Pas bukan lagi berada didalam kapasiti pembangkang seperti dibeberapa negeri, Kedah dan Selangor, tetapi kini mereka sudah menjadi sebahagian daripada keluarga pemerintah dinegeri terbabit. Pendukung Pas perlu diingatkan agar jangan terlalu bermain dengan sentimen semalam, seakan-akan mahu menjadikan Pas sebagai pentadbir yang hanya tahu mengungkit kesalahan-kesalahan pentadbir lepas. Mereka harus bangkit dengan kekuatan sendiri, sedaya upaya mengatasi ‘track record’ UMNO yang sebelum ini telah cuba sebaik mungkin melaksanakan proses islamisasi menurut kemampuan mereka. Kita sebagai umat Islam generasi baharu harus berperanan pada kadaran yang kita mampu, mencorak masa hadapan Malaysia dengan melihat proses Islamisasi mengikut hakikat, dan bukan hikayat!       

Comments