Dalam mana-mana sejarah agama
dunia, unsur mistik dan keajaiban memang tidak dapat dinafikan. Setiap agama di
dalam dunia miliki nilai dan unsur yang boleh dianggap sebagai kesaktian
sebagai bukti kehebatan dan kebenaran agama tersebut. Secara umumnya, unsur
mistik dan ajaib yang dimaksudkan ialah situasi, keadaan atau kebolehan luar
biasa yang tidak mampu dimiliki oleh manusia normal dan tidak mungkin berlaku
menurut logik pemikiran manusia. Namun kadang kala, keajaiban yang disangka
ajaib itu hanyalah sebahagian daripada kedangkalan ilmu manusia yang masih
belum mampu memahami logik alam ini.
Agama Islam sebagai agama yang ke
dua terbesar di dunia juga pastinya memiliki kisah-kisah yang boleh dikaitkan
dengan unsur mistik dan ajaib. Sesetengah hal itu sudah menjadi perkara yang
mendasar dalam pegangan hidup beragama. Kisah-kisah yang sudah disepakati itu
tidak menjadi masalah, namun kewujudan cerita-cerita moden baharu dan cuba
disandarkan pada Islam dewasa ini menimbulkan satu polemik di dalam kehidupan
Muslim. Cerita-cerita ini begitu cepat tersebar dan menjadi ‘viral’ di dalam laman sosial seperti facebook dan juga youtube. Kegopohan sebahagian umat Islam yang menyebarkan
cerita-cerita ini tanpa berfikir panjang menyebabkan berlaku salah faham dan
dalam banyak keadaan boleh mencemarkan imej agama Islam itu sendiri.
Antara cerita-cerita ajaib
sensasi yang kerap berlegar di dalam dunia orang Islam ialah tentang kewujudan
tanda atau lambang-lambang yang menunjukkan kalimah Allah atau Muhammad. Kita
sering kali mendengar cerita tentang bagaimana nama Allah dan Muhammad terukir
di awan, tumbuhan dan haiwan. Semua ‘keajaiban’ ini didakwa merupakan kebesaran
kuasa Allah dan membuktikan kebenaran agama Islam. Namun, adakah benar kita
mahu memahami agama dengan kisah-kisah keajaiban seperti ini? Adakah kita mahu
mempromosikan agama rahmat ini kepada non-muslim dengan hal-hal seperti ini? Memang tidak dinafikan, unsur sebegini
mampu menarik perhatian masyarakat. Tetapi sebagai umat Islam yang berfikir
panjang dan rasional, pastinya kita tidak akan menjadikan ini sebagai hujah
utama apabila berdakwah kepada mereka. Sifirnya mudah, jika kita menganggap
kemunculan kalimah yang mirip kepada nama Allah itu sebagai bukti kebenaran Islam,
bagaimanakah pula kita mahu menjawab kepada masyarakat Islam dan bukan Islam
jika ada pula tanda atau lambang yang muncul mirip kepada lambang salib? Hal
ini tidak mustahil, seperti mana tidak mustahil berlaku kepada nama Allah dan
juga Muhammad.
Seni silat amat sinonim dengan
orang Melayu. Pelbagai jenis cabang silat telah wujud dan ia merupakan antara
khazanah berharga yang dimiliki oleh orang Melayu. Disebabkan Melayu itu amat
sinonim dengan Islam, maka setiap budaya Melayu yang ada ingin dikaitkan dengan
agama Islam. Seni silat tidak terlepas dengan hal ini. Ada sebahagian seni
silat Melayu yang mendakwa mampu memberikan seribu keajaiban seperti kekebalan
dengan mendakwa menggunakan bacaan al-Quran dan kaedah Islam. Hal ini amat
melucukan. Jika benar hal kebal ini wujud di dalam Islam, mengapakah Nabi
Muhammad S.A.W sendiri tidak mempraktikkan ‘khazanah berharga’ ini semasa
baginda berhadapan dengan masyarakat Arab jahiliah? Walhal sepanjang sejarah
dakwah Nabi, baginda pernah cedera dan betapa ramai sahabat baginda syahid di
medan perang. Duka cita sebahagian masyarakat Melayu terlalu taksub dan percaya
dengan cerita-cerita mitos begini sehingga sanggup menyalah guna nama agama
untuk menghalalkan tindakan yang jelas tidak ada kaitan dengan agama.
Air jampi merupakan salah satu
bentuk perubatan yang ada di dalam Islam. Hal ini pernah dilakukan oleh Nabi
Muhammad S.A.W. Namun air jampi kini sudah mengalami revolusi besar,
penggunaannya sudah melebihi daripada kadar yang sepatutnya. Sudah menjadi satu
kebiasaan masyarakat Melayu, jika anak mereka menghadapi peperiksaan besar,
mereka akan membaca surah Yaasin pada air dan berharapan anak mereka akan
cemerlang pada hari peperiksaan jika minum air tersebut. Tetapi, hasil yang
berlaku sebaliknya. Anak-anak masyarakat Cina lebih ramai yang berjaya di dalam
pelajaran walaupun mereka tidak minum sebarang air jampi. Untuk Berjaya dalam
pelajaran, kita memerlukan segenap usaha dan kerajinan, bukan hanya seminggu
dua ulang kali dan selebihnya bergantung kepada keajaiban air jampi. Ada
juga cerita-cerita mitos yang berlegar di kalangan masyarakat tentang air holy water yang mampu menjadikan
seseorang itu murtad jika meminumnya kerana tidak akan mampu untuk mengucapkan
dua kalimah syahadah selepas itu. Jika dakwaan ini benar, pastinya
pendakwah-pendakwah Kristian akan memberikan begitu banyak air ajaib ini secara
percuma di seluruh dunia dan menjadikan semua umat Islam murtad. Ini bukan
dunia komik. Tidak ada air di dalam dunia yang mampu untuk mengubah keyakinan
seseorang dalam beragama. Jika ada air yang mampu mengubah akidah seseorang,
pastinya Nabi Muhammad S.A.W adalah orang yang pertama melakukannya dengan
menjampi telaga zam-zam dan menjadikan seluruh masyarakat Arab jahiliah
menganut agama Islam. Hal itu tidak berlaku dan tidak akan berlaku.
Cetusan ini bukan bermaksud mahu
menafikan secara mutlak kewujudan kisah-kisah ‘ajaib’ di dalam Islam, tetapi
lebih kepada mengajak pembaca menjadi penganut agama Islam yang rasional di
dalam beragama. Islam bukanlah agama yang berdiri dengan kisah-kisah ajaib
semata, jika ada pun ia hanyalah merupakan kisah sampingan dan bukan perkara
utama. Islam berdiri dengan hujah dan fakta yang rasional. Jadilah Muslim yang
menyebarkan agama Islam dengan rasa cinta yang betul, bukan dengan sangkaan
sahaja. Bukan semua kisah agama yang kita dengar itu benar, tapislah ia dengan
ilmu. Jika air minuman kita boleh memilih untuk yang bertapis sahaja, mengapa pula
tidak dengan kisah agama?
Comments
ini email saya: muktahan@gmail.com
wassalam
mukhtar
http://abuumair1.wordpress.com/soal-jawab/al-quran-dan-hadis/02-004/
maaf atas kelewatan. Agak lama tidak membuka laman blog.