Apabila
terlihat iklan penganjuran wacana dan pelancaran buku Berdialog dengan Gereja
di Melaka, saya tidak henti-henti mencari buku itu disekitar Melaka. Namun hampa,
ia tiada. Saya terpaksa memesan buku itu di MPH
dan menunggu hampir seminggu sebelum buku itu tiba ditangan saya. Hajat dihati
mahu hadam buku ini sebelum wacana berlangsung, tetapi ia hanya tinggal
harapan. Buku itu tiba ditangan sehari sebelum wacana itu berlangsung. Wacana ilmu
dan perlancaran buku ini telah dianjurkan oleh Pemuda PAS Melaka dengan
kerjasama Akademi Ibnu Abbas dan telah berlangsung di markas Pas Bukit Katil.
Rasional & Liberal
Dialog
intelektual ini menampilkan Dr Dzulkefli Ahmad, Ustaz Wan Ji Wan Hussein dan Dr
Mujahid Rawa sendiri selaku ahli panel yang membincangkan intipati buku Berdialog
dengan Gereja. Melihat dan mendengar perbincangan mereka, dua perkara penting
yang sentiasa berlegar di fikiran saya sampai ke hari ini. Mereka berbicara
tentang perdamaian di antara Islam dengan agama lain dan berwacana dengan
mengambil sikap yang rasional dan realistik. Pendekatan ini amat sesuai dengan
sosiopolitik Malaysia sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama
Islam dan dalam masa yang sama meraikan kepelbagaian agama lain. Sepanjang wacana
itu berjalan, tidak kedengaran satu pun ucapan dari ahli-ahli panel berkempen
untuk mengendurkan pegangan akidah kita sebagai umat islam jika mahu
berinteraksi dengan pihak gereja. Bahkan mendengar hujah-hujah mereka
mendatangkan lagi perasan betapa Islam sebagai sebuah agama rahmatan lil
alamin. Jauh berbeda dengan tuduhan-tudahan agamawan kering serta badut-badut
politik yang seringkali melemparkan najis kebodohan dengan mengatakan usaha berdialog
dengan gereja ini menandakan seseorang itu telah penganut fahaman Islam liberal
serta menjadi seorang yang pluralis dengan mengganggap semua agama itu sama. Ini
suatu projek pembodohan. Jika kita tidak mampu untuk memulakan sesuatu yang
mendamaikan, jangan pula kita mahu untuk memulakan sesuatu yang mengeruhkan. Berfikir
dan bertindak rasional tidak menjadikan seseorang itu liberal, tetapi lebih
islamik.
Kita
seringkali mendengar hujah-hujah agamawan tentang betapa Islam itu agama
perdamaian, senantiasa menyantuni masyarakat dengan kebaikan. Namun jarang
benar kita melihat agamawan ini mengambil langkah kehadapan untuk menjalinkan
perdamaian dengan masyarakat bukan Islam. Kita hanya mendengar ucapan yang hanya
tinggal ucapan. Barangkali wujud ketakutan atau keegoan sebahagian agamawan
yang mana merasakan mengapa perlu mereka yang pertama menghulurkan tangan perdamaian,
barangkali fikir mereka, yang sesat dululah yang harus menghulur tangan
perdamaian.
Terancam dan Mengancam
Membaca
sebahagian akhbar dan catatan-catatan di media maya membayangkan betapa
kedudukan Islam di Malaysia kala ini seolah-olah berada di dalam keadaan yang
amat terancam. Bermula dengan isu murtad, kini ia menjalar kepada isu penggunaan
kalimah Allah oleh pihak kristian di dalam penerbitan The Herald dan juga kitab
Bible edisi bahasa Melayu. Ada pihak yang merasa curiga dan gusar dengan tindakan
pihak gereja dimana kelihatan bersungguh-sungguh mempertahankan hak mereka
menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan mereka. Kegusaran ini amat
difahami dan di dalam satu konteks yang lain, ia amat wajar. Di dalam
perkembangan ajaran Kristian sendiri, terdapat kelompok yang digelarkan ‘Evangelist’ yang mana kerjanya tertumpu
kepada projek kristianisasi. Namun itu tidak mewajarkan kita untuk bertindak
seakan ingin pula mahu mengancam mereka. Di dalam pengurusan sebuah negara,
kerajaan berhak untuk menetapkan suatu peraturan dan larangan jika menurut
mereka ia mampu untuk membawa kebaikan atau mampu mengelakkan ancaman kemudaratan
kepada rakyat. Namun, kerajaan harus bijak bukan sahaja di dalam membuat penetapan,
tetapi juga di dalam menyatakan kerasionalan disebalik penetapan itu.
Generasi
sekarang bukan hanya mahu buta mengikut, mereka dahagakan hujah dan alasan disebalik
setiap tindakan. Mereka akan mempersoalkan hampir segalanya. Jika larangan penggunaan
kalimah Allah oleh penganut Kristian itu wajar menurut pihak kerajaan, hujah
dan alasan yang rasional wajar untuk dinyatakan. Jika sekadar beralasan dikhuatiri
umat Islam akan terkeliru, ia belum cukup meyakinkan. Setiap umat islam di Malaysia
akan menikmati pendidikan Islam berbelas tahun lamanya, bermula dari peringkat
sekolah rendah sehinggalah ke peringkat sekolah menengah. Apakah dengan hanya membaca
kitab Bible dengan nama Allah di dalamnya, maka akan goyahlah iman kita? Apakah
telah sia-sia pengajian al-Quran dan Islam kita berbelas tahun lamanya itu?
Kelemahan telah menjadikan kita berasa terancam sehingga terasa pula mahu
mengancam orang lain.
Umat yang terkeliru
Apabila
ada ura-ura cadangan untuk membuka cawangan baru Hard Rock Café di Putrajaya,
maka cadangan ini cepat mendapat bantahan penduduk. Rata-rata masyarakat Islam
membantah cadangan ini kerana ia kelihatan tidak bersesuaian dengan kedudukan Putrajaya
sebagai pusat pentadbiran Malaysia yang diyakini Islamik dan penduduk Putrajaya
itu sendiri yang rata-ratanya masyarakat Islam. Ramai yang tidak tahu, Hard
Rock Café mempunyai kaitan rapat dengan Sultan Selangor. Memetik kata-kata Matthew
Putna semasa pembukaan cawangan itu di Melaka pada tahun 2013, "For over 20 years Hard Rock has been
welcoming locals and visitors to the Malaysian Peninsula with our franchise
partner Sultan of Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Tan Sri Syed Yusof
Syed Nasir and HPL Ltd, and our newest location will continue offering Hard
Rock's unique hospitality,". Apabila ada sekumpulan pemimpin politik
yang berhimpun dan melaungkan slogan bahawa Menteri Besar Selangor telah
mengkhianati Sultan Selangor berhubung dengan isu kalimah Allah, maka saya pun
terfikirkan sesuatu. Adakah tindakan penduduk Putrajaya yang menolak cadangan
pembukaan cawangan Hard Rock Café itu juga boleh dikira sebagai mengkhianati
Sultan Selangor?
Tidak
habis dengan isu kalimah Allah, sudah ada isu ‘nasi tambah’ iaitu air Holy Water yang didakwa digunakan
sebagai usaha untuk memurtadkan orang Islam. Isu ini cukup popular suatu ketika
dahulu, kini ia kembali untuk memarakkan lagi api isu kalimah Allah. Saya tidak
fikir air Holy Water ini mampu untuk
memurtadkan orang Islam. Jika benar, Mubaligh Kristian juga tidaklah terlalu
bodoh. Mereka pastinya akan mencurahkan air itu ke seluruh empangan di Malaysia.
Nescaya akan terketar-ketarlah orang Islam di Malaysia kerana tidak mampu lagi untuk
mengucapkan kalimah syahadah. Maka cakap-cakap tentang kononnya mahu menjadikan
Malaysia sebagai negara Kristian pastinya akan berhasil. Adakah agama kita
terlalu murah dan begitu lemah sehingga kita dikelirukan dengan isu-isu seperti
ini?
Islam & Kristian
Kita
seringkali dibacakan tentang perbezaan di antara Islam dan Kristian sehingga
kadangkala kita sudah menjadikan mereka sebagai musuh dalam nyata. Perbezaan itu
tetap perbezaan, tidak banyak yang kita mampu untuk lakukan. Tetapi menyatakan
keinginan untuk perdamaian tidak akan menjadikan kita lemah, bahkan ia akan
menunjukkan nilai toleransi Islam yang tinggi terhadap agama lain. Bukankah
agama Kristian itu paling dekat dengan Islam?
“Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang
paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang
Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan sesungguhnya kamu dapati orang yang paling
dekat persahabatannya dengan orang-orang beriman ialah orang-orang yang
berkata: “Sesungguhnya kami ini orang Nasrani”. Yang demikian itu disebabkan
kerana di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan
rahib-rahib, (juga) kerana seseungguhnya mereka tidak menyombong diri.” [al-Maidah:82]
Comments